Yang sesat dan yang menyesatkan
Saya telah mengikuti kisah perjalanan Ayah Pin melalui laporan media. Pernah juga terlintas di kepala saya untuk pergi dan melawat perkampungan Ayah Pin. Ini bukan satu niat yang begitu kuat. Ini timbul bukan pula kerana saya ada menyimpan cita-cita hendak mencari seorang guru. Niat hendak ke Besut ini hanyalah angan-angan dan cakap-cakap kosong semasa duduk bersembang-bersembang di warung.
Niat hendak ke Besut ini menjadi bertambah kuat kerana saya terbaca tulisan tentang Ayah Pin dalam malaysiakini . Kemudian saya juga terbaca satu laporan dari majalah Off The Edge , sebuah majalah berbahasa Inggeris. Temubual antara wartawan majalah ini, telah dicetak bukan dalam bahasa Inggeris, tetapi dalam bahasa Melayu. Ini mungkin dilakukan agar tidak hilang keaslian isi temubual ini. Inilah yang memikat hati.
Empat bulan yang lalu, saya didatangi seorang wartawan dari Voice of America yang baru sahaja pulang dari perkampungan Ayah Pin. Wartawan radio yang berasal dari London ini telah ke Besut untuk membuat satu program radio tentang Ayah Pin. Saya menjadi bertambah 'curious'. Naluri ingin tahu saya tercabar. Apakah sebenarnya heboh-heboh tentang Ayah Pin ini.
Wartawan Voice of America ini mengeluarkan pandangan lawaknya tentang kemungkinan air yang keluar dari kendi besar di perkarangan 'istana' Ayah Pin ini telah di campur dengan dadah. Saya ketawa besar bila mendengar ini. Wow! Pastilah banyak cocaine atau morphine yang perlu digunakan sebagai ubat pengkhayal. Mengikut wartawan ini, pengikut Ayah Pin mungkin dalam keadaan 'stone' berkhayal dalam satu dunia yang bukan di atas bumi ini.
Tetapi dari temubual yang saya baca dari Off The Edge , saya melihat Ayah Pin ini bukan sedang mengeluarkan pendapat atau falsafah yang jempul. Atau satu pandangaan spiritual baru yang unggul yang boleh dianggap meneroka tanah kerohanian yang mencabar. Kata-kata dan ajaran Ayah Pin tentang Kerajaan Langit, bagi saya, bukan sesuatu yang baru atau memelikkan. Semua agama mengasosiasikan ajaran mereka datang dari langit.
Konsep ini amat senang untuk sama-sama kita difahami. Langit adalah satu konsep tentang ketinggian yang maha tinggi. Tidak mungkin satu agama ingin menyatakan bahawa wahyu yang diterima oleh nabi datangnya dari busut sebelah reban ayam di belakang rumah. Jika ini yang disurahkan, rasa saya mustahil ada yang akan datang mendengarnya apa yang ingin diajarkan.
Saya telah mengikuti kisah perjalanan Ayah Pin melalui laporan media. Pernah juga terlintas di kepala saya untuk pergi dan melawat perkampungan Ayah Pin. Ini bukan satu niat yang begitu kuat. Ini timbul bukan pula kerana saya ada menyimpan cita-cita hendak mencari seorang guru. Niat hendak ke Besut ini hanyalah angan-angan dan cakap-cakap kosong semasa duduk bersembang-bersembang di warung.
Niat hendak ke Besut ini menjadi bertambah kuat kerana saya terbaca tulisan tentang Ayah Pin dalam malaysiakini . Kemudian saya juga terbaca satu laporan dari majalah Off The Edge , sebuah majalah berbahasa Inggeris. Temubual antara wartawan majalah ini, telah dicetak bukan dalam bahasa Inggeris, tetapi dalam bahasa Melayu. Ini mungkin dilakukan agar tidak hilang keaslian isi temubual ini. Inilah yang memikat hati.
Empat bulan yang lalu, saya didatangi seorang wartawan dari Voice of America yang baru sahaja pulang dari perkampungan Ayah Pin. Wartawan radio yang berasal dari London ini telah ke Besut untuk membuat satu program radio tentang Ayah Pin. Saya menjadi bertambah 'curious'. Naluri ingin tahu saya tercabar. Apakah sebenarnya heboh-heboh tentang Ayah Pin ini.
Wartawan Voice of America ini mengeluarkan pandangan lawaknya tentang kemungkinan air yang keluar dari kendi besar di perkarangan 'istana' Ayah Pin ini telah di campur dengan dadah. Saya ketawa besar bila mendengar ini. Wow! Pastilah banyak cocaine atau morphine yang perlu digunakan sebagai ubat pengkhayal. Mengikut wartawan ini, pengikut Ayah Pin mungkin dalam keadaan 'stone' berkhayal dalam satu dunia yang bukan di atas bumi ini.
Tetapi dari temubual yang saya baca dari Off The Edge , saya melihat Ayah Pin ini bukan sedang mengeluarkan pendapat atau falsafah yang jempul. Atau satu pandangaan spiritual baru yang unggul yang boleh dianggap meneroka tanah kerohanian yang mencabar. Kata-kata dan ajaran Ayah Pin tentang Kerajaan Langit, bagi saya, bukan sesuatu yang baru atau memelikkan. Semua agama mengasosiasikan ajaran mereka datang dari langit.
Konsep ini amat senang untuk sama-sama kita difahami. Langit adalah satu konsep tentang ketinggian yang maha tinggi. Tidak mungkin satu agama ingin menyatakan bahawa wahyu yang diterima oleh nabi datangnya dari busut sebelah reban ayam di belakang rumah. Jika ini yang disurahkan, rasa saya mustahil ada yang akan datang mendengarnya apa yang ingin diajarkan.
Petanda zaman
Bagi saya, Ayah Pin ini adalah petanda zaman the sign of time . Dalam masa yang sama, saya juga tidak mahu mengakui bahawa pandangan saya ini adalah satu pandangan yang mutlak dan absolute. Hari ini, apabila tamadun manusia telah melangkah meninggalkan moden dan memasuk era pasca moden, telah tidak wujud lagi satu pandangan yang multak. Semua naratif dari yang kuno, termasuk meta neratif, sedang dipersoalkan. Telah tidak wujud lagi satu kebenaran hakiki. Struktur yang melahirkan konsep hakiki itu juga telah diasak, pecah dan
dipertikaikan.
Apa yang menarik perhatian saya di sini ialah pencarian spiritual yang sedang dilakukan oleh Ayah Pin dan para pengikutnya. Ini bagi saya ialah induk petanda zaman. Ini juga adalah imej yang lahir dari cermin budaya Melayu. Adalah terlalu senang untuk kita semua menuduh Ayah Pin ini sebagai seorang anu atau seorang ini. Saya ingin melintasi pengtakrifan yang mudah ini. Memang betul semua manusia Melayu boleh menuduh Ayah Pin pengamal ajaran sesat atau dia sedang dalam kesesatan.
Tuduhan seperti ini terlalu gampang. Ianya hanya ubat pelali untuk kita melarikan diri dari melihat cermin budaya manusia Melayu itu sendiri. Saya tidak memiliki kudrat untuk menuduh perjalanan spiritual yang sedang dilakukan oleh Ayah Pin sebagai sesat. Saya juga tidak berani menganggap bahawa pegangan spiritual yang saya miliki ini, lebih tinggi dan lebih jelas garisnya dari apa yang dimiliki oleh Ayah Pin. Dalam era pasca moden tidak ada lagi kemungkinan satu-satu struktur yang boleh memonopoli kebenaran.
Bagi saya, persyarikatan agama ( organised religion ) dan agama yang distruktur ( structured religion ) telah dilihat dan dirasakan semakin banyak membawa mudarat daripada kebajikan. Ini bukan bermakna agama tidak lagi memainkan peranan dalam hidup insan. Apa yang terjadi pada hari ini, agama yang disyarikatkan, telah menjadi betul-betul seperti sebuah syarikat perniagaan sendirian berhad.
Saya memiliki masalah besar apabila mendengar tuduhan bahawa si anu itu menjadi pengikut ajaran sesat. Atau mendengar ucapan bahawa hanya agama pegangan si polan ini sahaja yang betul dan suci. Pandangan ini saya lihat terlalu angkuh. Insan yang berani mengeluarkan tuduhan sedemikian seolah-olah telah mengambil tugas Yang Maha Esa di atas muka bumi ini.
Di sini saya cuba menjauhkan diri daripada persyarikatan agama. Seperti sebuah syarikat perniagaan agama persyarikatan ini sedang mengeluarkan satu produk. Maka, wakil jurujual dari jaringan syarikat ini seperti para imam, rahib, rabbai, paderi atau tok cha akan bangun untuk menjajakan produk berjenama keluaran syarikat mereka.
Dalam proses penjualan jenama produk ini, timbullah ayat-ayat pengiklanan yang ini kurang suci, yang ini kurang masin atau yang ini kurang manis. Hanya produk syarikat A sahaja yang lebih putih daripada yang putih. Maka gunakanlah produk syarikat A untuk masa depan anda.
Tuhan yang besar
Bagi saya ini, bukan perjalanan spiritual individu untuk menemui dan mencari kebenaran diri. Manusia seharusnya bebas untuk mencari apa sahaja produk yang dirasakan sesuai untuk menemui erti hidupnya. Saya tidak bersetuju dan tidak akan menerima hakikat bahawa agama saya sahaja yang membawa ke jalan yang benar. Agama-agama lain adalah salah dan sesat. Saya tidak akan memberi kepercayaan kepada sesiapa yang mengakui dirinya atau syarikatnya sahaja yang boleh memonopoli kebenaran.
Saya menolak pandagan yang memonopoli kebenaran ini kerana tagline saya yang terbaik bukan hanya dihamburkan oleh penganut Islam sahaja. Saya juga membaca tagline yang sama dari Kristian, Hindu, Protestant, Sunni, Shiah, Ahmadiah, Katholik, Wahabbi, Ahmad Matahari atau dari Yahudi. Saya menolak tagline ini dan dalam masa yang sama, saya juga menerima kesemua tagline ini.
Pandangan menolak dan menerima ini, mungkin satu yang bercanggah. Tetapi hakikatnya, dalam era pasca moden ini, saya percaya tidak ada sesiapa lagi yang memiliki kebenaran yang mutlak. Semua kepercayaan memiliki kekuatan dan kelemahan. Saya pernah membaca kenyataan seorang jeneral Amerika (dalam kes perang Iraq) yang mengatakan, tuhan orang Islam itu adalah tuhan kecil manakala tuhan orang Kristian itu tuhan Yang Besar.
Saya juga pernah membaca kenyataan rabbai yang mengatakan bahawa agama Islam agama penipuan dan hanya Yahudi sahaja, yang dipilih oleh Yang Maha Esa. Dan saya juga pernah membaca dan mendengar iman yang bersuara atau imam yang mengatakan bahawa kitab Injil itu tidak suci. Ajaran Kristian hari ini telah terpesong.
Bagi saya semua, kenyataan ini adalah keangkuhan pandangan daripada persyarikatan agama. Cakap-cakap seperti ini tidak bersangkut paut dengan perjalanan spiritual individu untuk menemui makna hidup dan mengenal diri. Siapa kita sebenarnya yang begitu angkuh mengatakan bahawa hanya kumpulan kita sahaja yang memonopoli kebenaran. Orang lain kita anggap salah. Saya menolak keangkuhan berbentuk seperti ini.
Lihat sahaja cermin budaya agama manusia Melayu hari ini. Dari pandangan Islam Hadhari, Ayah Pin dan pengikutnya adalah kumpulan sesat lagi menyesatkan. Dari PAS pula, Islam Hadhari yang dipelopori oleh Umno adalah ajaran sesat lagi menyesatkan. Dalam masa yang sama parti Umno telah mengambil pendirian bahawa Islam yang dibawa oleh PAS adalah sesat dan kolot.
Keangkuhan ini berterusan tanpa noktah. Dari kaca mata Sunni, pengikut mazhab Shiah adalah pengikut ajaran sesat. Garis Imamiah dalam mazhab Shiah pula menganggap kumpulan Ismaili sesat. Mazhab Sunni menganggap Ahmadiah sesat, Ismaili sesat, Druze sesat, Jaffari sesat, ajaran Sufi sesat. Dari sini akan timbul persoalan siapa yang sesat dan siapa pula yang menyesatkan.
Bila soalan ini timbul, maka kita akan berhadapan dengan kuasa. Bacalah sejarah dan lihat bagaiman Nabi Isa dianggap sesat oleh para rabbai di Baitulmaqdis dua ribu tahun dahulu. Lihat dan baca sejarah Sidhrata Gautama. Bukankah dia juga dituduh menyesatkan pengikutnya oleh para syahdu Hindu. Socrates mati meminum racun sebagai hukuman kerana dituduh menyesatkan anak-anak muda di Athens. Semua ini tidak ada bezanya daripada apa yang dialami oleh Nabi Muhamad sendiri. Rasul umat Islam ini juga pada awalnya dituduh sesat dan menyesatkan.
Tanda pertempuran
Apabila saya menulis pensejarahan ini, jangan pula dipatah hujah ini dengan mengatakan bahawa saya kini sedang cuba mengangkat Ayah Pin sebagai nabi. Ini bukan apa yang saya maksudkan. Apa yang saya ingin terangkan ialah perjalanan sejarah kemunculan spritual itu semuanya berlatarkan tuduhan dan tohmahan yang sama. Wujudiah insan dalam alam ini memaksa individu berfikir, bertanya, mencari dan meneroka kenapa, mengapa dan ke mana kita ini akhirnya.
Bagi saya, pencarian ini adalah satu yang paling menarik. Dari pencarian makna hidup ini jugalah munculnya para sahib, para nabi, para buddha, para rabbai dan ahli fikir dan ahli falsafah. Ayah Pin adalah petanda zaman dalam cermin budaya masyarakat Melayu. Ayah Pin adalah tanda pertempuran dan perebutan kuasa di antara persyarikatan agama yang dimiliki oleh Umno, dengan kumpulan dan parti-parti lain yang tidak memiliki kuasa atau boleh dibantu oleh kuasa daulah. Sesiapa yang memiliki kuasa daulah, kini berupaya mentafsir siapa yang sesat dan siapa yang benar.
Dalam konteks budaya politik Malaysia, kita sebagai warga, telah dikonstruk untuk menerima hakikat bahawa kuasa daulah inilah yang wajib menjadi timbangtara untuk menunjukkan siapa yang benar dan siapa yang salah. Memang betul, dalam konteks kehidupan harian, yang menjadi timbangtara adalah sebahagian daripada tugas kuasa daulah.
Kuasa daulah wujud di atas keperluan untuk menyusun perjalanan masyarakat. Kuasa daulah telah diberi mandat untuk mengendalikan lembaga-lembaga yang sama-sama dipersetujui umum. Lembaga-lembaga ini diwujudkan agar masyarakat kita dapat berjalan selesa dan kesejahteraan ramai dapat direalisasikan.
Kuasa daulah dapat bergerak lancar dalam hal-hal yang bukan spiritual. Kuasa daulah bergerak dalam dunia yang berasaskan material. Kuasa daulah muncul dalam dunia yang bukan metafisik. Kuasa daulah bergerak adil untuk menterjemahkan perkara yang bersangkutan dengan yang boleh dipegang dan yang boleh dilihat. Apabila kuasa daulah ingin mencampuri hal-hal metafisik, maka muncullah apa yang sedang kita hadapi sekarang ini.
Kuasa politik lawan semangat spiritualiti
Bagi saya, perjalanan spiritual individu bukan tanggungjawab daulah. Dalam hal-hal metafisik dan spiritual, daulah tidak berkemungkinan memberikan pandangan. Apa yang lahir dari daulah bukan kuasa spiritual tetapi suara dan kuasa politik yang diterjemah oleh sesiapa yang memiliki kuasa.
Kalau di zaman feudal, maka kuasa ini dimiliki oleh raja, penghulu atau tuan tanah. Di zaman kolonial, kuasa ini dimiliki oleh kuasa penjajah yang bersenjata. Saya tidak nampak bagaimana pembangunan spititualiti individu dapat dibentuk oleh kuasa daulah.
Ayah Pin sendiri telah dipenjara. Ayah Pin telah disaman. Kawasan perkarangan 'istananya' telah dimusnahkan. Pengikutnya telah ditahan dan ditangkap dan akan dibawa ke muka pengadilan. Apakah perbuatan ini satu kelakuan yang dilihat penuh dengan semangat spiritualiti atau tingkah laku seperti ini lebih mirip kepada kuasa politik.
Bila penangkapan dan kemusnahan ini berlaku, maka saya teringat akan cita-cita kumpulan neocon dari Rumah Putih. Mereka juga bercita-cita suci untuk membawa demokrasi, keamanan dan kesejahteraan untuk rakyat Iraq. Lihat apa yang mereka lakukan kemusnahan, kematian, penyeksaan dan kehancuran.
Memang betul, tingkahlaku George Bush dan gerombolan neocon mudah difahami. Dari segi mikronya, tindak tanduk neocon ini tidak jauh perbezaan daripada apa yang telah kita lihat berlaku kepada Ayah Pin dan-pengikutnya. Kita ingin menyelamatkan manusia dengan memusnahkan manusia yang ingin diselamatkan.
Ayah Pin mahu mendirikan Kerajaan Langit. Saya sendiri tidak percaya akan kewujudan Kerajaan Langit ini. Tetapi saya akan mempertahankan hak sesiapa sahaja untuk mempercayainya. Kepercayaan dan spiritualiti bukan boleh dipaksa-paksa. Kalau Ayah Pin dipaksa untuk menjadi pengikut Nabi Muhammad, pada pandangan saya perbuatan ini telah merendahkan kesucian agama itu sendiri.
Saya memiliki pandangan jika sesiapa tidak mahu menyertai kelab saya, walaupun kelab saya ini adalah yang terunggul, terbaik dan terpilih maka adalah salah untuk saya memaksa sesiapa sahaja menjadi ahli kelab ini. Jika saya melakukan paksaan, maka ertinya kelab saya ini bukanlah yang terbaik dan terunggul, kerana ahlinya semua dipaksa. Jika mereka diberi peluang memilih, besar kemungkinan ramai ahli kelab saya ini akan melarikan diri.
Kerana itu, alangkah lebih baik jika kita sesekali menjengokkan muka di hadapan cermin budaya manusia Melayu itu sendiri. Saya hanya berani melihat muka spiritualiti saya. Saya tidak akan cuba menduga dan memberikan tangga darjah kepada kepercayaan dan kerohanian orang lain. Rasa saya, jika Ayah Pin dan pengikutnya ingin terbang ke langit, maka saya katakan itu adalah hak mereka. Kenapa kita bersifat bagitu angkuh dan tidak membenarkan Ayah Pin memilih sama ada dia ingin ke langit, ke syurga, ke neraka.

