Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ada kesempatan untuk saya dan isteri singgah di tempat tarikan terbaru, Dubai Parks and Resort yang terletak berhampiran sempadan emiriyah, Abu Dhabi. Sejauh 45 minit dari pusat bandar raya Dubai dan Abu Dhabi.

Lokasi yang memang memberi kelebihan kerana Abu Dhabi dan Dubai adalah dua emiriyah terbesar dan terkaya dalam persekutuan tujuh emiriyah, UAE.

Kawasan taman tema dan kompleks hotel seluas 570 ekar di gurun selatan Arabia hanya dibuka November 2016 lalu. Sebenarnya tujuan utama kami ialah mengunjungi Outlet Village di kawasan yang sama.

Dubai yang dianggap kota superlatif, telah cukup terkenal dengan bangunan tertinggi di dunia iaitu Burj Khalifa, satu-satunya hotel taraf tujuh bintang berselaput emas, Burj Al Arab, selain pencakar-pencakar langit yang menghiasi landskap, yang menjadikannya Vegas Arabia.

Dubai Parks and Resort itu dibina dengan kos Dhs13.2 bilion dengan tiga taman tema utama setakat ini, taman tema Legoland (ketujuh di dunia dan pertama di Timur tengah), Bollywood dan Motiongate.

Legoland Resort dan Six Flags Dubai hanya akan siap dalam tahun 2019. Setahun sebelum Dubai menjadi hos Ekspo Dunia 2020, kemuncak persedian Dubai untuk menjadi sebuah bandar raya dunia.

Sewaktu kami mula-mula bermastautin di Dubai pada tahun 2000 dahulu, seingatnya, hanya ada sebuah taman tema kecil, Wonderland yang ditutup dalam tahun 2013.

Kami selalunya membawa anak-anak, selain ke pusat beli belah, ke taman-taman biasa iaitu Creek Park, Mushrif Park dan Mamzar Park. Taman-taman ini memang menarik kerana pokok-pokok dan padang menghijau untuk anak-anak menikmati alam. Mengingatkan hutan dan belantara di tanah air.

Selepas itu Ski Dubai, kawasan peranginan ski seluas 22,500 meter persegi dibuka dalam tahun 2005 yang terletak dalam Mall of Emirates.

Tahun 2017, ternyata kawasan Dubai Parks and Resorts menarik ramai pengunjung. Walau bayaran masuk agak mahal tetapi berbaloi terutama untuk mereka yang mahu berhibur.

50 darjah selsius

Walau cuaca sudah semakin panas menjelang musim panas, pengunjung tetap ramai. Mungkin juga kerana Global Village yang dibuka selama enam bulan itu berehat, dan ramai mahu tahu apakah tarikan di Dubai Parks and Resorts itu benar-benar hebat seperti yang diuar-uarkan.

Legoland Dubai mengemukakan enam tema. Di tengah-tengah ialah Miniland, dome atau kubah berhawa dingin setinggi 25 meter yang tentunya memberi kelegaan di musim panas yang boleh mencecah 50 darjah selsius!

Struktur Lego versi Dubai menghamparkan mercu-mercu tanda dari seluruh dunia termasuk piramid, kota purba Petra dan Taj Mahal.

Menguasai kubah ialah model Burj Khalifa setinggi 55 kaki dengan 'dancing fountains' yang mengambil 5,000 jam dan lebih 439,000 bata Lego untuk dibina!

Kesemua taman tema, taman air Legolands, Motiongate dan Bollywood hanya dalam 10 minit berjalan kaki antara satu sama lain, dihubungkan dengan Riverland Dubai iaitu daerah hiburan dan makan yang dibina merentasi sungai buatan.

Taman Tema Motiongate menawarkan Madagascar Mad Pursuit, roller coaster terlaju dalam zon Dreamworks. Ada lima kawasan bertemakan Hollywood, Smurf Village, Studio Central dan Columbia Pictures serta fun rides seperti Green Hornet coaster, sungai Cloudy With A Chance of Meatballs dan Zombieland Blast Off.

Manakala Taman Tema Bollywood pula adalah yang pertama seumpamanya dibina di dunia dengan jalan-jalan beraneka warna, patung-patung gajah serta Rajmahal yang berkelipan melakukan tarian flashmob.

Terdapat juga simulator teknologi tinggi untuk adegan filem-filem popular Bollywood seperti Lagaan, The Thrill of Victory and Krrish.

Heros Flight bertemakan superhero Bollywood yang kacak-kacak.

Selain Dubai Parks and Resorts, satu lagi tarikan ialah IMG Worlds of Adventure, taman tema tertutup berhawa tinggi yang terbesar di dunia. Seluas 1.5 juta meter persegi. Terletak di kawasan Lebuh raya Sheikh Mohamad Bin Zayed.

IMG menawarkan The Lost Valley - Land of The Dinasours, zon Cartoon Network, Adventure Time, serta tayangan 5D siri Ben 10.

Selain zon bertemakan Marvel, yang pertama di dunia dimana kanak-kanak boleh menjadi Ironman, terbang Quiniet, membalas dendam dalam Avengers Batle of Ultron.

IMG sedang membina taman tema indoor yang lebih besar, dengan sembilan zone yang unik merentas 2 juta meter persegi, bernama IMG Worlds of Legends.

Jenama popular dunia

Menawarkan jenama-jenama hebat dan popular dunia.

Tarikan termasuk karektor dari jenama global, termasuk Nickelodeon (Teenage Mutant Ninja Turtles, Dora the Explorer, SpongeBob SquarePants); Ubisoft (Assassin’s Creed, Raving Rabbids, Just Dance; Saban Brands (Saban’s Power Rangers); Pokémon; Mattel (Barbie doll, Hot Wheels, Bob the Builder, Thomas & Friends, Mega Bloks); The Animé Zone (Toei Animation: Dragon Ball Z and One Piece and TV TOKYO: Naruto); Cartoon Network dan jenama IMG Worlds sendiri iaitu Legends of Arabia dan Lost Valley – Dinosaur Adventure.

Ada banyak lagi tarikan lain lebih kecil di Dubai yang mempunyai penduduk hanya seramai 2.75 juta orang. Dubai mahukan seramai 20 juta pelancong dalam tahun 2020.

Sememangnya Dubai popular sebagai destinasi percutian dengan pelancong bermalam seramai 14.9 juta dalam tahun 2016. Pertambahan sebanyak 5 peratus dari tahun 2015.

Malah dalam kemelut harga petrol yang merudum, sepanjang 3 bulan pertama tahun ini, seramai 4.57 juta pelancong telah melawat. Pertambahan dua kali ganda dari jangka waktu yang sama tahun 2016!

Pelancong teramai dari India, Arab Saudi, UK, China dan Rusia. Tiga bulan pertama tahun ini sahaja seramai 580,000 pelancong India, 440,000 pelancong Saudi, 214,000 pelancong UK, 230,000 pelancong China dan 126,000 pelancong Rusia telah tiba.

Seterusnya pelancong dari Iran, Pakistan dan USA selain negara Arab yang lain.

Tidak pasti berapa ramai pelancong dari Malaysia.

Begitupun, Abu Dhabi juga sama agresif dalam menawarkan pilihan taman tema. Pulau Yas di Abu Dhabi yang terkenal dengan Grand Prix, Taman Tema Ferrari, satu-satunya di dunia itu akan membina Taman Tema Warner Bros yang akan membawa karektor superhero DC Comics Superman, Batman, kartun-kartun Bugs Bunny, Scooby-Doo and Tom and Jerry.

Untuk saya dan isteri, tentunya tidak lagi berminat untuk mengunjungi taman-taman tema ini. Tidak menyelerakan dalam usia sebegini.

Malah Outlet Village yang tersergam itu pun sekadar untuk meninjau-ninjau sahaja!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS