Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Kolum
'Memahathirkan' reformasi, mereformasikan Mahathir?

Kita akur dengan hakikat bahawa sejarah ada kalanya berkembang dalam garis yang berliku-liku. Kita terpaksa berundur selangkah sebelum mengorak dua langkah ke depan, atau sebaliknya, jika nasib tidak memihak kita. Untuk penggerak Reformasi pada tahun 1998, tsunami politik 8 Mac 2008 adalah buah yang dituai daripada benih yang ditabur sedekad dahulu, setelah melalui zaman yang agak pedih ketika Umno-BN menguasai lebih 90 peratus kerusi parlimen dalam pilihan raya umum ke-11 pada tahun 2004.

Seandainya PRU14 diadakan pada tahun 2018, apakah pula hasilnya menjelang ulang tahun ke-20 gerakan Reformasi? Dan jika benar Dr Mahathir Mohamad dinobatkan sebagai pengerusi Pakatan Harapan dan seterusnya calon perdana menteri setelah pembangkang menawan Putrajaya, bukankah ia jenaka yang paling tragis dalam sejarah politik Malaysia? Bayangkan, gelombang Reformasi yang bermula dengan laungan “Undur Mahathir”, kini diakhiri dengan laungan “Hidup Mahathir”.

Justeru itu, seandainya HARAPAN menang dalam PRU14, apakah ia kemenangan gerakan Reformasi yang tertangguh selama 20 tahun, atau kemenangan Mahathir dari dulu, kini dan selamanya? Mahathir sebagai ikon Mahathirisme yang terserlah kini berganding dengan kuasa Reformasi yang cuba menamatkan Mahathirisme pada dua dekad lalu. Persoalannya, apakah Mahathir telah direformasikan, ataupun Reformasi pula yang 'dimahathirkan'?

Sesungguhnya perjuangan politik menyaksikan tarik tali antara ideal dengan realiti. Terlalu banyak kekangan dalam sistem politik dan masyarakat yang membataskan pilihan kita. Hakikat yang pahit untuk ditelan di Malaysia, pejuang yang tidak berganjak dari prinsip kebanyakan masanya tidak berganjak ke mana. Pada masa yang sama, pejuang yang terpesong jauh dari prinsip pula semuanya berakhir entah ke mana. Jadi persoalan di sini, meskipun politik itu seni yang memungkinkan kemustahilan, tetapi di manakah bottom line kita, yang akan kita pertahankan sehingga akhir, tidak berganjak untuk mengambil jalan singkat, walaupun digoda dengan kemenangan serta-merta?

Di mana dasar bersama?

Kegagalan menyusun keutamaan agenda menjadi kelemahan HARAPAN. Pemimpin HARAPAN kelihatan tergopoh-gopoh, celaru langkahnya ketika berdepan dengan Mahathir. Pertikaian tercetus antara BERSATU dengan PKR apabila Mahathir kelihatan enggan memegang sepanduk “Anwar PM ke-7” dalam Kongres Nasional Tahunan PKR pada Mei 2017. Persoalannya, mengapa BERSATU diterima untuk menyertai HARAPAN tanpa persetujuan bahawa Anwar Ibrahim adalah calon perdana menteri HARAPAN?

Untuk seketika HARAPAN cuba mengelakkan diri dari terjerat ke dalam pertikaian calon PM, sungguhpun menyedari bahawa isu ini tetap akan menghantui mereka selagi tidak diberi kata dua. Maka pertikaian dilanjutkan apabila Presiden PKR Wan Azizah Ismail menyatakan kesediaan dirinya untuk menjadi pemanas kerusi sebelum tampuk kuasa diserahkan kepada Anwar Ibrahim, dalam wawancaranya dengan Al-Jazeera. Lebih panas, apabila Mahathir Mohamad menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan cadangan agar dirinya menyandang jawatan PM, seandainya direstui semua parti komponen HARAPAN.

Sudah tentu ia mengundang kebingungan dan kekecewaan di kalangan penyokong pembangkang, jika bukan penolakan keras, ketika dikhabarkan bahawa PKR turut bersetuju dengan cadangan untuk berkepalakan Mahathir. Perkembangan sejak tahun 2016 memperlihatkan bagaimana HARAPAN berganjak selangkah demi selangkah untuk memberi laluan kepada Mahathir dan BERSATU. Bermula dengan Deklarasi Rakyat, disusuli dengan cadangan electoral pact 3+1 (DAP, PKR, AMANAH + BERSATU), kemudian diterima permohonan BERSATU ke dalam HARAPAN, dan kini tidak menolak kemungkinan Mahathir dinobatkan sebagai calon perdana menteri HARAPAN.

HARAPAN tidak boleh menyalahkan penyokongnya, kerana electoral pact 3+1 barangkali bottom line yang boleh diterima mereka. Namun jikalau Mahathir dinobatkan sebagai PM, ia jauh tersasar dari apa yang dicita-citakan sebermulanya. Lebih-lebih lagi, Mahathir tidak pernah mengaku kesilapan ketika zaman pemerintahannya, malah HARAPAN belum pun merumuskan dasar bersama mereka. Bayangkan, dalam situasi sedemikian, ke mana hala tuju Malaysia yang akan diterajui oleh PM ke-7 bernama Mahathir?

Bukan kerana dendam mahupun dengki terhadap Mahathir, tetapi Mahathir memang tidak sehaluan dengan politik baru yang cuba ditawarkan Pakatan Rakyat selama ini. Dari segi dasar ekonomi, kaum dan agama, Mahathir memiliki pendirian yang bercanggah dengan apa yang direstui DAP, PKR dan AMANAH (ketika dalam PAS) sebelum ini. Apakah yang akan dilakukan terhadap Proton, konsesi lebuh raya, penjana kuasa bebas (IPP) dan sebagainya, andainya HARAPAN menawan Putrajaya? Jangankan isu-isu sebesar ini, isu-isu seremeh berus cat bulu babi pun PH gagal tampil untuk menyatakan pendirian bersama mereka dengan jelas!

Di sini tersepitnya HARAPAN. Antara merungkai prinsip dan agenda perjuangan, dengan percaturan strategi untuk menjatuhkan musuh politik, HARAPAN mendahulukan perkara yang kemudian. Semakin hari semakin jarang kita mendengar apa bezanya HARAPAN dengan BN, apakah reformasi sistem yang bakal dilaksanakan, sebaliknya skopnya difokus ke atas skandal 1MDB dan susuk tubuh bernama Najib Razak (dan isterinya). Tidak dinafikan bahawa menjatuhkan Najib adalah agenda yang penting untuk membuka pintu kepada perubahan, tetapi apakah perubahan yang ingin dibawa selepas Najib, atau Umno-BN digulingkan?

Misalnya, apabila dituduh penjawat awam didedakkan agar siasatan terhadap 1MDB ditutup, jadi bagaimana sistem ditambah baik untuk mencegah perkara ini daripada berulang pada masa depan? Tatkala kerajaan dikritik kerana kongkongannya terhadap media, apakah Akta Penerbitan dan Mesin Cetak akan dimansuhkan untuk membuka ruang kebebasan bersuara? Lebih penting, apabila dituduh BN menang dengan sistem pilihan raya yang dimanipulasi, apakah reformasi sistem pilihan raya bakal dilaksanakan untuk mewujudkan gelanggang yang sama rata bagi semua parti politik pada masa depan?

Kita tahu komitmen Pakatan Rakyat melalui Buku Jingga. Tetapi secara jujur, kita tidak pasti apakah komitmen dalam Buku Jingga (dasar bersama) itu akan dicairkan lantaran penyertaan BERSATU ke dalam HARAPAN. Malah, kita jarang-jarang mendengar komitmen reformasi dari mulut Mahathir, yang berpotensi untuk dinobatkan sebagai calon PM oleh Pakatan Harapan.

Harus diingatkan, bahawa rakyat sebenarnya juga berhempas-pulas mengerah dirinya untuk menjayakan misi pertukaran kerajaan persekutuan - sama ada sumbangan dalam bentuk kewangan, mahupun titisan peluh yang dicurahkan ketika berkempen untuk HARAPAN. Bukan kesemua mereka menjadi kontraktor kelas F yang mendapat projek selepas pertukaran kerajaan. Jadi, untuk apa segala-gala ini dilakukan, seandainya koruptor A hanya diganti dengan koruptor B, tanpa sebarang perubahan dasar yang menyenangkan hidup mereka sekarang, dan rombakan sistem yang memberi harapan untuk masa depan? Dan jikalau keadaan ini berlaku, bukankah ia menambah keletihan dan rasa pasrah di kalangan rakyat, sehingga tidak ghairah lagi untuk melakukan perubahan pada masa depan?

HARAPAN harus yakin dengan agenda Reformasi

HARAPAN harus sedar, bahawa imej politik baru dan reformisnya semakin luntur dengan penyertaan Mahathir dan BERSATU. Ini realiti yang terpaksa kita terima, demi pulangan bahawa penyertaan Mahathir akan membawa HARAPAN ke kubu Umno yang sebelum ini gagal ditembusi.

Namun HARAPAN harus yakin dengan agenda reformasinya pada tahun 1998. Mahathir yang terjun ke dalam arus Reformasi, bukan Reformasi yang mengemis kepimpinan Mahathir. Penyertaan Mahathir ke dalam HARAPAN bukti terbaik bahawa perjuangan Reformasi adalah benar, sehingga musuhnya tunduk dan akur. Malah dengan perkembangan terkini, ia membuktikan bahawa Reformasi kekal relevan tuntutannya. Gerakan untuk mendaulatkan kuasa rakyat, menegakkan keadilan dan membanteras rasuah – diuji dan teruji sebagai seruan zaman yang relevan, sama ada 20 tahun lalu mahupun 20 tahun kemudian.

Wacananya, rakyat akan terus ditindas dan diperah oleh politikus yang korup, seandainya termakan dengan propaganda perkauman dan agama. Penampilan Mahathir mengukuhkan hujah bahawa sesiapa sahaja boleh dimangsakan dalam sistem politik sebegini, oleh koruptor atas nama perkauman, sungguhpun Mahathir sendiri tidak kurang hebatnya dalam bab politik perkauman. Tibalah masanya kita menamatkan babak politik lama, untuk membuka lembaran sejarah baru di masa depan.

Seandainya Mahathir ikhlas dalam perjuangan ini, beliau harus menebus dosanya dengan menjayakan agenda Reformasi. Beliau tetap boleh menyumbang, dengan gerak kerja di sebalik tabir. Seandainya HARAPAN memperjuangkan politik baru, mereka harus menampilkan ikon yang diyakini semua pihak – seorang yang diuji dan teruji, sanggup berkorban untuk mempertahankan perjuangannya, dan memperlihatkan komitmen untuk agenda Reformasi pada masa depan.

Apapun, apakah makna kemenangan HARAPAN, andainya agenda Reformasi diketepikan? Kita mahu menulis sejarah bahawa Mahathir akhirnya direformasikan, bukannya Reformasi dimahathirkan. Jikalau bottom line perjuangan Reformasi boleh dilewati, lebih baik Anwar Ibrahim tidak melawan Mahathir pada tahun 1998.


LIM HONG SIANG ialah bekas editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu dan penyunting buku Tsunami Cina: Retorik Atau Realiti?

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS