Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pada hari Selasa 14 Julai 1789 warga kota Paris telah mengangkat senjata, keluar ke jalan raya untuk menggempur Kota Bastille yang terletak di pinggir kota Paris. Kota lama ini telah dijadikan penjara - memenjarakan para intelektual, ahli politik dan kaum tani yang berani bangun menentang Raja Louise ke-14.

Pada hari itu Kota Bastille telah dirempuh dan dipecahkan. Tahanan politik dibebaskan. Ini adalah detik sejarah yang paling penting, bukan sahaja mengubah Perancis menjadi republik, malah 14 Julai 1789 telah mengubah dunia.

Puluhan tahun kaum tani Perancis telah diinjak-injak oleh kaum feudal yang bekerjasama dengan agamawan dan gereja. Bertahun-tahun kaum tani bangun menunjuk perasaan. Kaum tani rakyat biasa bangun menentang kaum feudal dan agamawan. Berpuluh-puluh dan beratus-ratus pak tani dibakar hidup-hidup. Tanah dan hasil panen mereka dirampas oleh raja.

Gereja dan kaum agamawan bersekongkol dan bersubahat dengan kaum feudal untuk menindas kaum tani. Ayat-ayat suci dan fatwa fatwi digunakan untuk menghalalkan rampasan tanah. Mana-mana pak tani yang berani melawan dibakar hidup-hidup sebagai contoh apa yang akan terjadi di neraka.

Dengan runtuhnya Bastille maka lahirlah konsep dan ideologi - kebebasan, kesaksamaan dan persaudaran. Keruntuhan Kota Bastille membawa konsep kebebasan untuk semua umat manusia. Bastille membawa konsep kesaksamaan antara kita sesama manusia. Bastille membawa konsep persaudaran antara kita semua - anak semua bangsa - umat manusia.

 

Di Kuala Lumpur pada Jumaat 14 Julai 2017 di Malaysia, telah meledak dengan berita wujudnya perserikatan baru - Pakatan Harapan.

Ini adalah penggabungan kerjasama parti BERSATU, PKR, DAP dan AMANAH. Sama seperti Bastille, tarikh ini juga bersejarah. Tarikh 14 Julai 2017 ini melahirkan satu garis politik baru untuk Malaysia.

Pada 14 Julai 1789 warga Perancis bangun angkat senjata untuk membidani kelahiran dunia baru. Pada 14 Julai 2017 Pakatan Harapan membidani kelahiran politik baru pendemokrasian untuk Malaysia.

Penggalangan satu barisan bersatu yang dikenali sebagai Pakatan Harapan ini satu kerja yang sulit. Ia sama seperti warga Perancis bertahun-tahun bangun melawan kaum feudal. Di Malaysia, anak semua bangsa juga telah bertahun-tahun bangun melawan kaum pemerintah suku sakat dan kaum kerabat United Malays National Organisation.

Di Perancis pada tahun 1789 kaum feudal dan agamawan telah bekerjasama. Di Malaysia pada tahun 2017, kelas pemerintah telah juga berkerjsama dengan kelas feudal dan kelas agamawan.

Justeru, anak semua bangsa di Tanah Melayu dan Sabah Sarawak wajib memahami bahawa Pakatan Harapan ialah sambungan dari perjuangan PUTERA-AMCJA, sambungan perjuangan gerakan Reformasi, sambungan perjuangan parti politik menuntut keadilan dan perjuangan pelajar anak muda untuk menjatuhkan rejim Najib-Rosmah.

Selama lebih dari 60 tahun anak semua bangsa di Tanah Melayu bangun berjuang untuk kebebasan, kesaksamaan dan persaudaraan.

Pengisytiharan darurat

Sejarah telah menunjukkan kepada generasi hari ini bagaimana perserikatan barisan bersatu PUTERA-AMCJA ditumpaskan oleh penjajah British pada tahun 1948 dengan pengisytiharan darurat. Gerakan Reformasi 1998-2005 dimandulkan oleh United Malays National Organisation melalui ISA. Kemenangan rakyat dalam PRU13 dinafikan melalui tipu helah lembaga dan aparachik negara miliki parti ketuanan Melayu.

Menyusun, berjuang, rebah terbarai, menyusun kembali, ditumpaskan lagi, disusun kembali - tanpa henti-henti. Sama seperti meledakkan Kota Bastille, perjuangan ini berjangka panjang dan memerlukan pengorbanan sebelum tercapainya harapan untuk mewujudkan dunia baru.

Sebelum wujudnya secara resmi Pakatan Harapan, sebelum dimasyhurkan logo Pakatan Harapan, sebelum 14 Julai 2017, suasana politik bangun melawan kelihatan berjaya dimandulkan oleh Najib-Rosmah.

Secara bijak, secara terancang dengan menggunakan perangkap politik dan taburan dedak, Najib telah berjaya menarik keluar parti Islam PAS daripada barisan bersatu Pakatan Rakyat. Parti Islam PAS yang dikepali oleh Hadi kini kelihatan sampa larau - terumbang ambing tidak tahu hendak pergi atau hendak datang. Hendak ke hulu atau ke hilir. Hendak terkentut atau hendak sendawa.

Menjadikan parti Islam PAS tak tentu hala ini - kentut salah sendawa pun salah - adalah kejayaan besar Najib-Rosmah. Ini kejayaan kedua Najib-Rosmah setelah berjaya menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak pada tahun 2009.

Kejayaan agung Najib-Rosmah apabila Hadi Awang melantik dirinya sendiri sebagai penasihat kepada Najib dan gerombolan parti ketuanan Melayu.

Perbuatan, kelakuan dan perangai Hadi ini samalah seperti apa yang dilakukan oleh kaum paderi dan pemilik gereja di Perancis sebelum leher Louis ke-14 dan isterinya Marie Antoinette dipenggal dalam Revolusi Perancis.

Para agamawan walau pun berkiblat menuju ke Syurga tetapi hakikatnya akidah mereka masih lagi kepada Audi Q7, Vellfire dan Mini Cooper. Fatwa fatwi dan ayat suci itu hanya jampi serapah untuk menipu dan mengaburi mata mak cik dan pak cik Felda.

Pakatan Harapan tanpa parti Islam PAS menyenangkan lagi perjuangan anak semua bangsa untuk menjatuhkan Najib-Rosmah. Jika parti Islam PAS turut bersama Pakatan Harapan pastilah amat susah dan amat berat perjalanan politik harapan baru ini.

Dari pengalaman dalam Pakatan Rakyat, bukan sahaja presiden PAS tidak datang bermesyuarat tetapi apabila keputusan telah diambil, parti Islam ini akan melakukan kerja politik yang bertentang dengan keputusan yang telah diambil secara konsensus.

Dari zaman Revolusis Perancis hingga ke hari ini, tugas dan kerja para agamawan masih belum berubah. Kalau dahulu fatwa fatwi dikeluarkan dari dalam gereja, hari ini fatwa fatwi muncul melalui Whatsapps dan Twitter. Karutnya masih karut.

Menggalang perserikatan barisan bersatu ini bukan mudah. Satu kerja politik yang sulit. Yakinlah bahawa dalam politik Malaysia kesulitan ini bertampuk-tampuk. Bertimbun tambah. Terlalu banyak ranjau yang wajib ditumpulkan.

Pencapaian maha agung

Dengan wujudnya parti politik berasaskan bangsa dan kaum, dengan wujudnya parti politik yang berasaskan agama dan mazhab menjadikan kerja politik di Malaysia ini sulit.

Justeru mari kita melihat sejarah. Wujudnya Angkatan Perpaduan Ummah 1990, wujudnya Gagasan Rakyat 1990, Pakatan Rakyat dan kini Pakatan Harapan adalah satu pencapaian yang maha agung.

Di Malaysia, malah di mana-mana pun dalam alam ini, untuk mencari kesepakatan fikrah bukan satu tugas yang enteng. Lihat sahaja babak babak politik sebelum lahirnya Pakatan Harapan.

Sesudah wafatnya Pakatan Rakyat, kita melihat bagaimana suasana politik bangun melawan Najib Rosmah mengendur. Kita melihat dan merasakan bahawa Najib-Rosmah akan kekal hingga dunia kiamat. Apabila parti Islam PAS berjaya dipengaruhi oleh Najib-Rosmah ramai yang melihat keadaan ini seperti kita semua tersangkut dalam gua tanpa jalan keluar.

Tetiba pada 20 Julai 2016 keluar berita New York Times tentang kes 1MDB. Tetiba kita semua mula mengenal Jho Low. Tetiba mak cik dan pak cik Felda telah pandai menyebut nama Leonardo DiCaprio. Tetiba kita diberitahu bahawa Rosmah pernah berlaki sebelum Najib dan anaknya dengan laki pertama bernama bernama Reza. Semua ini adalah rempah rampai yang menjadi adunan Pakatan Harapan.

Walaupun rempah rampai ini wujud, tetapi suasana politik melawan masih lagi belum kompak dan jitu. BERSIH4 berjaya memanggil 500,000 warga untuk turun ke jalan raya menuntut Najib-Rosmah berundur. Tapi ‘ambience politik’ masih belum lagi menjanjikan apa-apa kemungkinan.

Sesudah BERSIH4, suasana berubah sEdikit. Ketika warga berdemo di jalan raya dalam BERSIH4, Mahathir Muhamad yang satu ketika dahulu amat amat benci dengan politIk jalan raya tetiba turun ke jalan raya untuk menjatuhkan Najib-Rosmah.

Ini perkembangan politik baru. Mahathir Muhamad yang menentang politik jalan raya kini telah menerima hakikat bahawa jalan raya juga adalah garis politik yang tepat dan betul.

Para aktivis NGO dan politik mula berbincang. Tetapi masih tidak ada kesatuan fikrah untuk menerima dan mengalu-alukan secara spontan dan terbuka tidakan positif Mahathir turun ke jalan raya. Suara sinis kedengaran di sana sini. Mahathir masih dianggap musuh ketat untuk sebahagian para aktivis NGO dan pekerja politik.

Tetiba pada petang Jumaat 4 Mac 2016 muncul Deklarasi Rakyat. Ini satu dokumen yang amat penting. Ini adalah permulaan perseragaman NGO, pemimpin parti politik dari semua garis dan mazhab. Deklarasi Rakyat adalah penggalangan fikrah dengan hanya satu tujuan yang tuntas - menjatuhkan Najib-Rosmah daripada tampuk kuasa.

Deklarasi Rakyat berjaya mengumpul 1.2 juta tanda tangan warga Malaysia yang sehati sejiwa bersetuju dengan cita-cita dan niat untuk menjatuhkan Najib-Rosmah.

Sayangnya Deklarasi Rakyat tidak sampai ke kemuncak yang dicita-citakan , turun ke jalan raya untuk menyampaikan niat bantahan mereka kepada Yang di-Pertuan Agong.

Lekeh, sumbang, dendam

Suara lekeh dan suara sumbang dan suara dendam dan suara bebal politik pada ketika itu telah membantutkan satu gerakan ampuh untuk menjatuhkan Najib-Rosmah.

Ramai yang tidak tahu dan tidak sedar bahawa dalam salah satu mesyuarat Deklarasi Rakyat Mahathir sendiri secara terbuka telah menyatakan yang dia sendiri bersedia untuk memandu lori membawa 1.2 juta tanda tangan ini untuk disampaikan kepada Agong.

Para aktivis NGO dan parti politik walau pun ada yang merasa kecewa kerana Deklarasi Rakyat tidak sampai ke kemuncak, tapi mereka tidak berhenti untuk mencari kesepakatan fikrah.

Sayugia diingatkan bahawa sebelum presiden Mubarak diturunkan daripada takhta, sebelum Zainal Abidin lari ke Mekah, sebelum Suharto ditangkap dan didakwa dan sebelum Marcos cabut lari ke Hawaii, rakyat Mesir, Tunisia, Indonesia dan Filipina telah bertahun-tahun turun ke jalan raya berjuang dan berkorban.

Sebelum Bastille diledakkan pada 14 Julai 1789, ribuan kaum tani Perancis telah bangun berjuang dan berkorban. Sebelum leher Louis ke -14 dan Marie Antoinette dipenggal, telah banyak pembelotan berlaku.

Justeru sebelum Najib dan Rosmah dihambat keluar dan sebelum Najib dan Rosmah ditangkap dan didakwa, sebelum Pakatan Harapan berjaya ke Putrajaya, perjuangan dan pengorbanan akan diteruskan. 


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS