Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Di awal tahun 2000, sewaktu saya berada di Riyadh, Arab Saudi, dilaporkan ada senarai Most Influential Indians in the World oleh sebuah akhbar India. Saya tidak melihat sendiri laporan itu. Saya hanya diberitahu yang salah seorang nama yang disebut ialah perdana menteri Malaysia ketika itu.

Sama ada sahih atau tidak, kemungkinannya juga satu jenaka kerana telah timbul isu berkenaan dengan darah keturunan beliau sebagai perdana menteri sewaktu era reformasi.

Apapun, apabila timbul kembali mengenainya dari serangan seorang yang bertaraf timbalan perdana menteri, menunjukkan kita masih terkebelakang walaupun terdapat konsep 1Malaysia.

Kalau seorang perdana menteri yang pernah memerintah selama 22 tahun dianggap pembohong yang mempergunakan bangsa Melayu untuk berkuasa, ternyata politik kita taraf dunia ketiga dan masih sekadar taraf kedai kopi era filem P Ramlee yang lebih maju ke hadapan dalam satira sepanjang zaman.

Dikaitkan dengan Kerala bukan satu yang menghinakan. Sekiranya pernah ke negeri Kerala di India, yang slogan pelancongannya "God's own country' memberikan banyak persamaan dengan tanah air kita, daripada segi muka bumi dan cuaca.

Mungkin kerana hampirnya Kerala dengan negara-negara Arab Teluk, warga Kerala membanjiri dan menguasai dalam pelbagai bidang, terutama bisnes dan keusahawanan.

Saya mempunyai ramai rakan-rakan dari Kerala. Tidak menghairankan kerana di UAE, ada terdapat satu juta warga Kerala, iaitu dalam 42 peratus warga India yang menghuni UAE.

Kawan-kawan dari Kerala memandang tinggi kami dari Malaysia walaupun baru bertemu. Ada kemesraan yang terjalin. Lebih-lebih lagi restoran warga Kerala memang popular di kalangan warga Malaysia di sini. Makanan mereka mengganti makanan kita dan ada yang sama seperti porata.

Saya juga banyak belajar daripada warga Kerala, terutama dalam bisnes kerana mereka cukup hebat. Struktur bisnes melalui modal famili misalnya mengembangkan empayar bisnes dalam setiap peluang yang ada. Sebut bisnes mana, mereka menguasai dengan baik.

Misalnya rangkaian pasar raya keluarga, Madina yang kini berjumlah lebih 60 buah outlet. Ia bermula daripada sebuah keluarga yang memberi peluang pada anggotanya membuka outlet bawah jenama Madina.

Satu demi satu dengan modal dan bantuan barangan sesama sendiri. Tidak memerlukan bank pada peringkat awal.

Apalagi warga Kerala adalah majoriti, bisnes sesama mereka pun sudah cukup baik untuk berkembang dengan cepat.

Dari laporan, keseluruhan kekayaan warga Kerala di UAE berjumlah hampir RM80 bilion. Berikut adalah senarai warga Kerala paling kaya di UAE.

  1. Dr Ravi Pillai, RP Group
  2. Yousuf Ali, Lulu Group International (kini Lulu ada di Malaysia)
  3. Sunny Varkey, GEMS Education (juga ada sekolah di Malaysia)
  4. Dr Azad Moopen, Aster DM Healthcare
  5. Shamseer Vayalil, VPS Healthcare
  6. PNC Menon, Sobha Group
  7. Joy Alukkas, Joyalukkas Group (ada cawangan di Malaysia)
  8. Faizal Kottikollon, KEF holdings
  9. Korath Mohammed, Korath Group
  10. Adeeb Ahamed, LuLu International Exchange
  11. K Muraleedharan, Southern Franchise Company Group
  12. Dilip Rahulan, Pacific Controls

Usaha mereka tanpa bantuan kerajaan India tentunya. Mereka cukup berbangga dengan negeri Kerala yang dikatakan negeri terbaik untuk kehidupan di India.

Dikatakan, pertelingkahan agama di Kerala adalah kurang kerana secara umumnya agama dianggap kedua penting selepas politik. Pengaruh komunisme juga kuat dan parti komunis memang dibenarkan di India.

Apapun persoalan politik keturunan Kerala di Malaysia, warga Kerala di UAE akan terus menguasai pelbagai bidang dan sektor.

Saya yakin, mereka tidak terkesan dengan penghinaan seorang timbalan perdana menteri terhadap seorang individu berdarah Kerala di Malaysia!

MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS