Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik disasarkan sekali lagi untuk diselar, bila Utusan Malaysia melaporkan pada 13 Ogos bahawa beliau menggesa parti-parti politik melupakan formula kontrak sosial antara kaum yang dipersetujui semasa negara mencapai kemerdekaan, kononnya atas alasan formula kontrak sosial itu membuatkan masyarakat Cina dan India "merasa kecil hati".

Jika dibandingkan laporan Utusan Malaysia tersebut dengan laporan wartawan malaysiakini Claudia Theophilus , yang buatkan masyarakat Cina dan India "merasa kecil hati"( demoralised / melemahkan semangat?) padahal bukan "formula kontrak sosial antara kaum yang dipersetujui semasa negara mencapai kemerdekaan", tetapi " an often repeated reminder to the Chinese and Indian community that the government did them a great favour by granting them citizenship to stay on, hence they should be grateful and beholden to the state ."

Perenggan laporan Utusan Malaysia yang berkaitan ialah: "Beliau menegaskan, peringatan-peringatan yang sering digunakan untuk memperkecilkan (melemahkan semangat?) masyarakat Cina dan India seperti kerajaan melakukan pengorbanan besar memberikan kerakyatan kepada mereka perlu dihentikan."

Jika laporan malaysiakini itu tepat, maka " demoralised " yang bermakna "melemahkan semangat" telah menjadi "merasa kecil hati" malah "memperkecilkan", dan "peringatan-peringatan" yang berkaitan telah menjadi "gesaan" untuk "melupakan formula kontrak sosial ", yang jelas merupakan interpretasi berprasangka wartawan Utusan Malaysia .

Berasaskan perbandingan di atas, penjelasan Keng Yaik bahawa beliau tidak pernah meminta parti-parti politik melupakan kontrak sosial antara kaum yang dipersetujui semasa negara mencapai kemerdekaan, rasanya boleh dipercayai, kerana selama ini, memang tiada mana-mana parti komponen Barisan Nasional, termasuk Gerakan yang pernah mempertikaikan "kontrak sosial" tersebut.

Maklumlah jarang ada mana-mana pemimpin parti komponen dari parti "serpihan" di samping Umno yang dominan dan berpengaruh mutlak, berani mempertikaikan dasar-dasar kerajaan secara terbuka, apatah lagi tentang kontrak sosial antara kaum semasa merdeka dahulu.

Selaran pemimpin Umno

Selaran pemimpin-peminpin Umno seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia pada 15 Ogos, yang saya perturunkan di bawah sudah mencukupi untuk menjelaskan kenapa Keng Yaik tidak berani mempertikaikan kontrak sosial seperti dakwaan Utusan Malaysia .

* Ketua Penerangan Umno Terengganu, Ahmad Shabery Cheek menegaskan, Gerakan tidak akan berpeluang menerajui kerajaan negeri Pulau Pinang, dan pemimpinnya tidak akan dilantik sebagai menteri sekiranya Umno dan orang Melayu melupakan formula kontrak sosial antara kaum.

* Ada pula yang mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya menggugurkan Keng Yaik sebagai Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi kerana kenyataan terbabit.

* Bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Mohamed Rahmat meminta Presiden Gerakan meneliti semula sejarah Malaysia mengenai hak-hak keistimewaan bumiputera sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

* Pengerusi Biro Ekonomi Pergerakan Pemuda Umno, Reezal Merican Naina Merican mengingatkan Keng Yaik supaya tidak bermain dengan api perkauman dan mengundang tahap sensitiviti yang kuat terhadap orang Melayu.

Jika Keng Yaik pernah mengeluarkan kenyataan bahawa perubahan paradigma diperlukan memandangkan perkongsian kuasa sekarang tidak berasaskan kepada perkongsian sebenar, dan parti-parti politik perlu mengkaji semula kaitan dan kesan dasar-dasar berdasarkan pendekatan berpaksikan kaum seperti laporan Utusan Malaysia maka gesaan beliau itu memang kena pada tempat dan ketikanya, seperti terbukti oleh selaran pemimpin-pemimpin Umno tersebut.

Bukankah selaran-selaran yang berbau gertakan dan dominasi seperti petikan di atas membuktikan perkongsian kuasa Umno dengan parti-parti komponen Barisan Nasional yang lain adalah berat sebelah?

Bukankah sekali lagi Gerakan telah diperingatkan bahawa ianya terhutang budi kepada Umno kerana sudi berkongsi kuasa dengannya, seperti anak Malaysia bukan-Melayu yang berulang-ulang diperingatkan tentang bagaimana mereka patut merasa terhutang budi kepada kerajaan kerana sanggup berkorban dengan memberi kerakyatan kepada mereka?

Episod kali ini mungkin akan reda setelah Ketua Pemuda Umno Hishammuddin memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak lagi mengungkit atau mempertikaikan kontrak sosial antara kaum yang dipersetujui semasa negara mencapai kemerdekaan, dan Keng Yaik telah menemui Perdana Menteri untuk menjelaskan beliau tidak pernah meminta kontrak sosial itu dihapuskan atau dilupakan.

Utusan Malaysia dan pemimpin-pemimpin Umno mungkin sekali lagi menjadi wira bangsa seperti yang diharapkan. Tetapi di manakah etika dan profesionalisme media jika ianya boleh dimanipulasi dengan sewenang-wenangnya demi tujuan kepentingan politik perkauman yang sempit?

Sampai bilakah pemimpin parti komponen Barisan Nasional sanggup terus bertoleransi , tunduk dan bersyukur dengan tidak bermaruah, asalkan Umno sudi "berkongsi kuasa" dengan mereka, sekalipun sering dijadikan kambing hitam oleh media aliran perdana dan diselar secara bertubi-tubi tanpa "diberi muka"?