Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Maka tersebutlah riwayat Rawana melarikan Sita, oleh tipu Rawana, maka baharulah hasil maksudnya. Rama dan Laksamana diperdayakan kijang emas yang dikejar oleh mereka itu, maka tinggallah Sita seorang dirinya, lalu dilarikan Rawana ke Langkapura Negara. (Kitab ketiga Araṇya-Kāṇḍa)

 

Pada 17 September 2017, satu Malaysia telah membaca berita dan melihat di kaca TV satu sidang akhbar bersejarah anjuran Presiden Parti United Malays National Organisation. Sidang akhbar ini telah dinobatkan sebagai sidang akhbar 'potong stim' oleh para wartawan.

Sidang akhbar telah diadakan di tingkat 39 Menara Dato Onn Bangunan PWTC Kuala Lumpur. Hampir semua para gedebe United Malays National Organisation hadir. Yang ketara tidak hadir hanyalah Khairy Jamaluddin menantu Pak Lah. Kay Jay - nama manjanya - adalah Ketua Pemuda United Malays National Organisation. Kenapa Kay Jay tidak hadir, ada satu cerita lain.

Satu Malaysia menjadi ‘gempar’ sebaik sahaja Najib mengumumkan pada hari Sabtu yang dirinya akan mengadakan satu sidang akhbar khas pada hari Ahad 17 September 2017. Satu Malaysia tertunggu-tunggu apakah isi kandungan sidang akhbar yang dihebohkan sebagai amat amat penting.

Tup tup di sidang akhbar itu Najib hanya mengumumkan Mohd Taib bekas menteri besar Selangor rujuk kembali kepada parti United Malays National Organisation.

Eleh, itu sahaja?

 

 

Satu Malaysia 'mengelehkan' Najib. Perangai dan tabiat Najib dilihat semakin lekeh dan tidak senonoh terutama setelah pulang menabur janji kepada presiden Trump. Najib berjanji Malaysia akan membantu memperkukuhkan ekonomi Amerika. Malaysia akan melabur duit KWSP di Amerika. Malaysia akan membeli kapal terbang Amerika – yang sudah siap, yang belum siapa dan yang akan siap.

Semua ini dispekulasikan dilakukan oleh Najib agar FBI dan Jabatan Keadilan Amerika ( DOJ) tidak menangkap menteri kewangan Malaysia terlibat dalam kes ‘curi’ duit 1MDB.

Kelakuan tidak senonoh Najib ini ditafsirkan akibat serangan tidak sopan dan kurang ajar media arus perdana Amerika yang memperlekeh Najib. Media cetak dan TV Amerika tidak henti-henti menibai Najib.

Malah satu minggu sesudah Najib pulang ke Malaysia, media Amerika masih lagi menyerang Najib. Najib dipakej bersama Trump untuk diperlekeh.

Di Felda Chemomoi, Najib dilihat anggun dan unggul. Di pasar tani Ulu Belitong, ketrampilan Najib dilihat berwibawa, tetapi ketika di Rumah Putih, di hadapan presiden Trump, si Najib kelihatan kecil menikus. Najib sedar akan perkara ini.

Justeru, hanya Mutu mengenal Maniam. Hanya Najib sahaja yang mengenal betapa malu dirinya diperlakukan oleh media Amerika. Amin.

Kalau sudah dimalukan di Amerika, kenapa pulang ke rumah sendiri kena kencing sekali lagi? Kenapa presiden Parti Ketunanan Melayu ini berjaya dikencingkan? Satu Malaysia tertanya-tanya siapa Si Mat Taib ini?

Hebat benarkah Si Mat Taib ini sehinggakan timbalan perdana menteri Zahid Hamidi terpaksa membatalkan program di Perlis untuk hadir bersama di sidang akhbar Najib.

Jawabnya Mat Taib ini memang hebat. Tinggi segak. Daripada sosok potongan badan, amat jelas si mamat yang memakai nama Mat Taib ini memang kacak dan bergaya. Memiliki ketrampilan dan sosok potongan badan yang amat meyakinkan.

Daripada gambar sidang akhbar 17 September itu kita semua dapat melihat si Mat Taib ini lebih tinggi daripada Najib. Rosmah Mansor jika ingin berlabun dengan Mat Taib wajib mendongak.

Justeru rakyat Malaysia yang bijak menganjing telah menobatkan Mat Taib ini sebagai Mat Taison juara tinju dunia dan juga juara gigit telinga. Sebenar-benarnya Mat Taison kita lebih hebat dari Mike Tyson Gigit Telinga.

Bayangkan pada 16 Disember 1996, si Mat Taib ini telah ditahan di lapangan terbang Brisbane Australia kerana didapati membawa wang tunai berjumlah 2.4 juta Australia. Mengikut laporan sebuah akhbar perdana, pada 20 Mei 1998, duit sebanyak ini tersimpan dalam satu beg seberat 19 kilogram.

Beg duit seberat ini telah dipikul ke hulu ke hilir oleh Mat Taib. Kalau kita mahu menjaga otot badan kita ke gym untuk bersenam. Tidak dengan Mat Taib. Cara Mat Taib menjaga badan ialah dengan mengangkat beg duit ke mana sahaja dia berjalan.

Mat Taison ini selain daripada bekas MB Selangor, dia juga pernah menjawat naib presiden Parti Ketuanan Melayu, pernah menjadi ketua penerangan parti dan pernah menjadi menteri wilayah.

Memang hebat tapi masih belum cukup hebat lagi.

Sayugia diberitahu bahawa Mat Taib ini adalah salah seorang yang telah mengambil insurans nyawa sebelum PRU13.

Kita terbaca kenyataan Tun Musa Hitam, kita terbaca kenyataan Tan Seri Musa Hasan dan kita terbaca kenyataan Bapak Saifol - semuanya mengintai-intai akan kemenangan Anwar Ibrahim dalam PRU13. Mereka ini secara bijak telah ‘membeli’ saham Anwar Ibrahim. Mana tahu kalau- kalau....

Tetapi Mat Taib lebih berani lagi. Dia terus meninggalkan parti United Malays National Organisation. Pilihan terbaik dari seorang yang saban hari bergelumang dengan ratusan kilo beg duit ialah menjadi ahli parti Islam PAS.

Parti Islam PAS ini adalah mesin basuh yang lebih awal daripada mesin basuh Muar yang berslogankan Untuk Muslim Sahaja.

 

Fakta membuktikan bahawa 'mesin basuh Islam' ini adalah parti pilihan utama untuk segala jenis polis pencen kaki pau. Ia juga dikatakan pilihan pertama untuk segala jenis bekas pegawai kerajaan kaki duit bawah meja. Parti PAS ini adalah mesin taubat, jalan ke syurga.

Justeru Mike Taison telah bertaubat dan mengubah jalan hidup. Dia tidak lagi bersenam dengan membawa beg duit ke hulu ke hilir. Kini Mat Taison ke hulu ke hilir membawa tasbih sambil mulutnya kumat kamit menyebut ya hanana. Amin.

Apakah ini sahaja kehebatan Mat Taib? Sesipa pun boleh bertaubat. Sesiapa pun boleh pikul duit. Apa hebatnya?

Untuk memahami kehebatan Mat Taison kita semua wajib merujuk kitab Seri Rama. Dalam kitab ini kita bertemu dengan kisah Rawana menyambar Sita dari tangan Rama. Sita yang kecil molek lagi bergetah telah disambar oleh Rawana lalu diterbangkan ke Sri Lanka.

Rawana yang licik telah menjadi kijang emas untuk menarik perhatian Rama. Apabila Rama asyik memburu kijang emas maka si Rawana telah datang menyambar Sita. Amat licik dan tersusun taktik dan strategi si Rawana ini.

Apa hubungan Rawana, Rama dan Sita dengan Mat Taison?

Jangan lupa si Mat Taison ini telah menyambar puteri raja negeri Selangor pada tahun 1987. Si Mat Taison ini telah menyambar Tengku Puteri Zahariah binti Sultan Salahduddin Abdul Aziz Shah aka Ku Yah.

Hebat. Ini memang hebat.

Babak Mat Taib dengan Puteri Sultan Selangor ini sama tarafnya dengan riwayat Hang Tuah dan Tun Teja, dari Pahang ke Melaka.
Perlu diberitahu bahawa dalam permbicaran kes duit di Brisbane, si Mat Taib ini telah didapati tidak bersalah. Dia telah mengakui bahawa dia tidak faham notis amaran di lapangan terbang yang tidak membenarkan duit dibawa keluar masuk. Notis amaran ini bertulis dalam Bahasa Inggeris.

Hujah Mat Taib tidak pandai berbahasa Inggeris ini amat meyakinkan. Dia hanya budak Kampung Sungai Manggis Kelumpang Hulu Selangor. Belajar di sekolah umum dan berjaya menjadi guru sekolah Melayu. Sesudah menjadi guru Mat Taib ini berjaya masuk ke Universiti Malaya. Ini pun dengan menggunakan kuota Bumiputera.

Justeru sebaik sahaja sidang akhbar pada petang Ahad 17 September selesai, Mat Taib telah menghilangkan diri. Para wartawan tercari-cari. Tup tup diberitakan bahawa Mat Taib ini telah terbang ke luar negara.

Ramai membuat andaian Mat Taib terbang ke luar negara untuk menjenguk bank akaunnya. Untuk melihat apakah duit yang telah dijanjikan itu telah masuk. Ini sebenarnya satu fitnah.

Mat Taib terbang ke luar negara bukan melarikan diri. Tujuan Mat Taib adalah untuk membuktikan satu perkara kepada dunia. Perkara ini amat-amat penting.

Satelah bertaubat dalam mesin taubat PAS, Si Mat Taib ini telah juga belajar menggunakan Bahasa Inggeris. Mat Taib terbang ke luar negara untuk membuktikan kepada pemimpin United Malays National Organistion yang telah dikencingnya. Kini dia boleh ke London dan melintasi pegawai imigresen tanpa kekok. Mat Taib kini boleh menggunakan bahasa Inggeris.

 

Ketika tulisan ini digarap ketika Mat Taib telah pulang ke Shah Alam. Dia membuat sidang akhbar sendiri tanpa bantuan Najib. Kini Mat Taib bukan sahaja telah jadi Melayu Islam bertaubat. Mat Taib kini fasih berbahasa Inggeris.

Dalam sidang akhbarnya Mat Taib berkata: “I just want to remind the Malays, in our anger, not accidently kill the goose that lays the golden eggs.

Diterjemahkan: Wahai Bani Melayu bertaubatlah kamu dan jangan pecahkan telur kamu jika kamu terlalu marah.

Ini tanda-tanda bahawa Mat Taib sedang bersedia untuk menggantikan Najib yang telah dikencingnya.


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS