Paling Popular
Terkini

Kaji selidik untuk menguji populariti sesebuah kerajaan biasanya dimulakan dengan soalan: Adakah negara ini sedang menuju ke arah yang betul?

Andaiannya, semakin negatif jawapan yang dikutip, semakin rendah populariti sesebuah kerajaan. Namun demikian, semakin rendah populariti sesebuah kerajaan, tidak bermakna semakin goyah kuasanya – sekurang-kurangnya di Malaysia. Lebih-lebih lagi, masyarakat kita terdiri daripada berbilang kaum, agama, budaya dan bahasa. Perbezaan yang zahir daripada kepelbagaian ini, adakalanya diraikan, tetapi kebanyakan masanya merobekkan hubungan masyarakat.

Petik sahaja contoh pesta arak. Masyarakat Muslim yang kurang selesa dengan Oktoberfest, akan gelisah seandainya pesta arak diberi lampu hijau pada hari ini, apakah pesta seks bebas, pesta LGBT akan dibenarkan juga pada hari esok?

Sebaliknya, masyarakat bukan Muslim berfikir mengikut arah yang bertentangan – seandainya pesta arak diharamkan pada hari ini, apakah yang bakal diharamkan pada hari esok? Haram makan babi, atau haram bela anjing?

Toleransi sesama kaum dan agama semakin terhakis. Tiada pihak yang sanggup bertolak-ansur kerana takut ditolak beransur-ansur ke tepi. Sementara masyarakat Muslim bimbang imej Islamnya semakin dinodai, masyarakat bukan Muslim pula gusar haknya semakin dicabuli.

Apapun perkembangan seterusnya, kedua-dua pihak akan memberi jawapan negatif kepada soalan tadi. Masyarakat Muslim menganggap negara ini tidak menuju ke arah yang betul kerana Islam mula dicabar; di samping masyarakat bukan Muslim menganggap negara ini sedang menuju ke arah yang salah kerana haknya mula dinafikan.

Jikalau kedua-dua sentimen ini dibaca dalam konteks politik Malaysia, maka ia menjelaskan mengapa masyarakat Muslim termakan dengan propaganda untuk mengundi parti yang kononnya mempertahankan Melayu dan Islam. Logiknya mudah, Melayu berpecah, Cina menjadi king-maker (penentu). Kedua-dua belah Melayu-Muslim yang berpecah, akan tunduk kepada tuntutan Cina. Cina akan mendominasi agenda politik, dan nasib Melayu-Muslim akan ditentukan Cina, mengikut logiknya.

Untuk masyarakat bukan Melayu-Muslim pula, sentimen ini menebalkan perasaan bahawa dirinya tidak dihargai sebagai sebahagian daripada negara ini. Seringkali masyarakat bukan Melayu-Muslim dianaktirikan, kalau bukan dikambinghitamkan. Apabila pembangkang juga keberatan untuk menjuarai haknya lantaran takut dilabel sebagai “pengkhianat bangsa Melayu-Muslim”, maka propaganda undi rosak mula menemui pasarannya.

Kesudahannya mudah dijangka, dan ia sememangnya dirancang sebegitu mengikut skripnya. Melayu-Muslim menambat langkah untuk mengundi perubahan, sementara momentum yang asalnya dijana bukan Melayu-Muslim untuk pertukaran kerajaan, diminimumkan. Status quo dikekal. Mereka yang kecewa dan pasrah, berhijrah dan memijak kakinya di bumi orang lain. Umno yang berslogankan “Dulu, kini dan selamanya” mempertahankan rekod sebagai parti politik yang masih berkuasa di dunia ini, daripada kalangan negara yang mengamalkan sistem pilihan raya.

 

Jurang kaum dan agama

Jelas, dasar pecah dan perintah tetap strategi terbaik untuk mengekalkan kuasa, sungguhpun politik perkauman sebegini telah merobekkan hubungan kaum dan agama dalam masyarakat. Pertama ia memecahbelahkan sesebuah masyarakat mengikut kaum dan agama; kedua, komuniti kaum dan agama dipermusuhkan antara satu sama lain; ketiga, puak kaum dan agama masing-masing ditolak ke arah ekstrem sehingga gagal disatukan dengan titik pertemuan.

Hakikatnya, kita semua sedar bahawa kepelbagaian itu wujud dalam setiap komuniti kaum tunggal. Bukan semua Melayu rasis, dan ada juga Cina, India yang rasis. Setiap komuniti mempunyai jalur spektrumnya, dari kiri ke kanan. Ada Muslim yang progresif, ada juga Muslim yang konservatif, malah ada yang ekstremis. Ada yang teruja dengan idea Tariq Ramadan, ada juga yang terpukau dengan ceramah Zakir Naik. Daripada segi amalan hidup harian, ada Muslim yang amat rigid mengikut piawaian halal, ada pula Muslim yang bersahaja untuk memegang anjing.

 

Begitu juga dengan komuniti bukan Muslim. Ada Cina yang terangsang dengan kebangkitan China, ada pula Cina yang menyokong Gerakan Payung Hong Kong untuk menuntut lebih ruang demokrasi daripada Parti Komunis China. Ada orang India yang bergelut dalam kemiskinan, dan ada juga orang India yang dibelai dengan kemewahan kebendaan. Lebar jurang antara kaum, lebar lagi jurang sesama kaum.

Namun imej dan perwatakan kaum distereotaipkan. Cina semestinya kaya dan mementingkan diri, sementara Melayu ditampilkan sebagai pemalas dan bakal mengamuk jikalau keperluannya tidak dipenuhi; di samping India dikaitkan dengan kemabukan dan jenayah. Prejudis ini disemai supaya sistem sedia ada terus beroperasi. Semangat Dasar Ekonomi Baru dilanjutkan kerana lapan daripada sepuluh orang jutawan terkaya di Malaysia berketurunan Cina, disusuli dengan ugutan rusuhan kaum jikalau Melayu hilang kuasa dan ekonomi. Imej negatif India pula digunakan untuk menutup kes kematian dalam tahanan yang melibatkan penyalahgunaan kuasa polis.

Lebih dahsyat, prejudis berakar umbi dalam masyarakat sehingga kontroversi yang tercetus, gagal diselesaikan sebaik-baiknya. Misalnya, kita sedar akan sensitiviti kaum dan agama dalam sesebuah masyarakat berbilang. Apabila ada yang mencadangkan agar pesta arak diharamkan untuk menghormati sensitiviti Muslim, sudah tentu ia mengundang reaksi sebaliknya yang mempertikaikan, “Pernahkah sesiapa menghormati sensitiviti penganut Hindu, apabila daging lembu dihidang dan dimakan secara terbuka?”

Baru-baru ini tercetus pula isu kedai dobi yang mengehadkan pelanggannya kepada Muslim sahaja. Kebanyakan bukan Muslim tidak selesa dengan sikap “saya lebih suci daripada anda” di sebalik pengasingan sedemikian, lantas mempersoalkan, apakah wang kertas dan syiling juga harus dibahagikan kepada halal dan bukan halal satu hari nanti? Atau darah yang diderma juga harus dikategorikan untuk Muslim dan bukan Muslim satu hari nanti?

 

Namun perbincangan di kalangan Muslim jauh berbeza. Ada yang menganggap isu ini telah diperbesarkan, malah mempersoalkan sebaliknya, bukankah bos Cina atau pemilik rumah juga mengenakan syarat “untuk Cina” atau “bukan Muslim sahaja” ketika menyiarkan iklan untuk mengambil staf atau penyewa rumah? Apatah lagi apabila gambar tersebar dengan seorang pelanggan Cina yang membawa anjingnya ke kedai dobi.

Ia berlaku dalam ruang wacana yang berlainan bahasa, jadi pertembungan hujah itu tidak berlaku secara langsung. Jika sesiapa cuba menterjemahkan hujah yang diketengahkan golongan Muslim, lantas akan dibalas dengan pertikaian seterusnya, “Jadi mengapa tidak kamu protes, apabila penjawat awam didominasi kaum bumiputera? Mengapa anda mempersalahkan minoriti (Cina) yang menawarkan kerja untuk Cina? Tahukah anda betapa rumit untuk berkongsi bilik sewa dengan Muslim, kerana amalan hidup mereka berbeza, dan terpaksa pula kita menjaga sensitivitinya!”

Tiada titik pertemuan

Pertikaian tanpa penghujung dan titik pertemuan, tetapi dengan emosi. Jikalau anda memahami kedua-dua bahasa Melayu dan Cina, anda akan sedar betapa lebarnya jurang pandangan antara dua komuniti ini, itu pun belum kita menyelami pergolakan yang berlaku ruang wacana bahasa Tamil. Sudah pasti suara yang lebih minoriti ini mempunyai rungutan dan rintihan yang tidak harus kita remehkan.

Budaya dan politik berpisah tiada. Selagi masyarakat kita gagal menemui kata sepakat, atau mencapai muafakat dalam beberapa isu kaum dan agama, dari isu sebesar pelaksanaan hudud, kedudukan istimewa Melayu, hinggalah isu sekecil pesta arak, kek halal McDonald's, troli halal, dobi untuk Muslim dan sebagainya, agak mustahil perubahan dalam politik direalisasikan.

Usah kita mengidam-idamkan rejim korup ini boleh ditumbangkan dengan demonstrasi massa, kerana masing-masing tidak tahu apakah masa depan yang menunggunya jikalau status quo dirombak. Bukan Muslim tidak akan ke depan, andainya pelaksanaan Hudud yang menanti setelah rejim Umno-BN ditumbangkan. Begitu juga, Melayu tidak akan bermandi darah, jikalau kedudukan istimewa dihapuskan setelah Umno digulingkan.

Suka atau tidak, Umno-BN paling fasih dengan permainan politik perkauman, yang mampu menyeimbangi sokongan pengundi agar dirinya tidak rebah. Ini menjelaskan mengapa apabila kemarahan Melayu meluap-luap ketika zaman reformasi, “ketakutan” Cina telah menyelamatkan Umno. Apabila Cina bangkit menolak Umno-BN, “kegusaran” Melayu pula diperalatkan untuk mempertahankan kuasa Umno-BN.

Seandainya Pakatan Harapan gagal menguasai seni untuk menyeimbangi sokongan pelbagai kaum-agama, atau mencari satu titik pertemuan yang direstui rata-rata komuniti, maka langkah menawan Putrajaya besar kemungkinan tidak kesampaian.

Apa yang lebih dahsyat selepas itu, masyarakat majmuk ini akan terus dirobek. Melayu-Muslim akan diugut, ditakut-takutkan dengan musuh yang direka-reka, iaitu bukan Melayu-Muslim; sementara dengki dan ketidakpuasan bukan Melayu-Muslim semakin memuncak. Ia semestinya berakhir dengan Malaysia yang sedang menuju ke arah kebinasaan. 

Lihat Komen
ADS