Apabila tiga pemimpin Gerakan berebut dua kerusi menteri
Pertarungan di antara Presiden Gerakan Dr Lim Keng Yaik dengan Timbalannya, Kerk Choo Ting, berakhir dengan kemenangan untuk Lim dalam pemilihan parti itu pada 27 Ogos lalu. Lim mendapat lebih kurang 60 peratus undi manakala Kerk pula memperolehi 40 peratus undi perwakilan.
Kemenangan Lim memang sudah diduga sejak awal-awal lagi, tetapi kebanyakan media tidak menyangka Kerk akan meraih sokongan kira-kira 30 peratus perwakilan. Sokongan di luar dugaan ini, dipercayai ada kena-mengena dengan unsur-unsur berikut:
- Lim terlalu "kasar" terhadap Kerk yang merupakan bakal pengganti pilihannya sendiri, yang telah menyandang jawatan Timbalan Presiden Gerakan selama 16 tahun. Semua jawatankuasa perhubungan negeri, diminta menyatakan pendirian secara terbuka untuk menyokong regu Lim-Koh (Tsu Koon) untuk memaksa Kerk berundur atau disingkirkan.
Pertarungan di antara Presiden Gerakan Dr Lim Keng Yaik dengan Timbalannya, Kerk Choo Ting, berakhir dengan kemenangan untuk Lim dalam pemilihan parti itu pada 27 Ogos lalu. Lim mendapat lebih kurang 60 peratus undi manakala Kerk pula memperolehi 40 peratus undi perwakilan.
Kemenangan Lim memang sudah diduga sejak awal-awal lagi, tetapi kebanyakan media tidak menyangka Kerk akan meraih sokongan kira-kira 30 peratus perwakilan. Sokongan di luar dugaan ini, dipercayai ada kena-mengena dengan unsur-unsur berikut:
- Lim terlalu "kasar" terhadap Kerk yang merupakan bakal pengganti pilihannya sendiri, yang telah menyandang jawatan Timbalan Presiden Gerakan selama 16 tahun. Semua jawatankuasa perhubungan negeri, diminta menyatakan pendirian secara terbuka untuk menyokong regu Lim-Koh (Tsu Koon) untuk memaksa Kerk berundur atau disingkirkan.
Imej parti terjejas
Kedua-dua Lim dan Kerk meminta maaf kepada ahli-ahli parti kerana sudah terlajak kata semasa berkempen, sehingga memburuk-burukkan watak dan ketulusan peribadi lawannya dan sekaligus menjejaskan imej parti keseluruhannya.
Kata yang bijaksana, jika ingin tahu kebaikan seseorang, tanyalah kawannya, dan jika ingin tahu kelemahan seseorang, tanyalah lawannya. Justeru, kita harus berterima kasih kepada pertarungan sengit dalam Gerakan kali ini yang memberi peluang kepada kita mengetahui dari dekat, dan dari mulut pemimpin Gerakan sendiri, tentang kelemahan watak dan ketulusan peribadi pemimpin Gerakan terbabit, dan juga kelemahan parti Gerakan itu sendiri.
Rasanya, kuasa politik memang bisa memabuk, malah menggilakan seseorang pemimpin parti. Tun Dr Mahathir Mohamad hanya melepaskan jawatan presiden Umno dan Perdana Menteri selepas 23 tahun berkuasa dan lima orang menjadi timbalan atau calon penggantinya. Presiden MIC S Samy Vellu pernah mengatakan beliau akan menyandang jawatan presiden selama 100 tahun jika perkhidmatannya masih diperlukan. Keng Yaik sudah memimpin Gerakan selama 25 tahun, tetapi masih cuba mencari peluang untuk terus berkuasa.
Dalam politik naungan, mnecari dan melantik bakal pengganti pemimpin sesebuah parti, seolah-olah sudah menjadi hak istimewa pemimpin berbabit. Oleh itu, soal calon pengganti yang layak dan sesuai, sering diperalatkan sebagai dalih untuk melanjutkan tempoh kuasa seseorang pemimpin parti.
Kerana pemimpin berhak melantik dan juga menggugurkan bakal penggantinya, maka taat-setia yang tidak berbelah bagi yang digelarkan sebagai "Falsafah Orang Nombor Dua", wajib diamalkan oleh mereka yang ingin mengambilalih kuasa daripada penaungnya pada suatu hari nanti, mungkin bertahun-tahun, malah berpuluh-puluh tahun lamanya.
Sifat tidak taat-setia atau tidak sabar menunggu, adalah perkara yang amat dipantangi dan tidak dapat dimaafkan. Keng Yaik pernah mengatakan beliau amat benci orang yang mengatakan sekarang sudah tibalah gilirannya. Ada kemungkinan Kerk justeru tidak sabar menunggu dianggap sebagai tidak lagi dapat diterima oleh akar umbi, selepas sekian lama diterima.
Jika Kerk tidak sabar menunggu, bermakna beliau ingin menuntut hak atau gilirannya sebagai presiden agar berpeluang dilantik sebagai menteri penuh yang sudah lama diidam-idamkan.
Formula 'pilih 2 dari 3'
Logik di sebalik formula "memilih 2 dari 3" yang dikemukakan Keng Yaik, mudah difahami, kerana tiga orang merebut dua kerusi (satu Ketua Menteri dan satu lagi Menteri Kabinet), maka tentulah salah seorang daripadanya mesti disingkirkan. Dan bagi Keng Yaik, tentulah Kerk yang berani 'melawannya' yang patut disingkirkan!
Akan tetapi, bagi Kerk pula, beliau telah dilucutkan kelayakan dan peluang sebagai bakal pengganti presiden dan menteri kabinet, malah didesak berundur daripada dari jawatan timbalan presiden parti dan timbalan menteri. Ia memang sesuatu yang terlalu melampau dan pahit untuk ditelan. Maka, tidaklah hairan jika Kerk yang "tersepit" itu, terpaksa "menggigit", atau dengan kata-kata Kerk sendiri: "Harimau terdesak (terpaksa) melompati dinding"!
Yang palsu lagi lucu ialah semua pihak mendakwa dialah yang mewakili hasrat akar umbi, seolah-olah akar umbi tidak tahu akan hak dan kewajiban mereka untuk membuat keputusan sendiri dan mengundi untuk memilih calon sokongan mereka.
Bagaimanapun, politik "Cai Dan" (menu) sudah menjamin kemenangan bagi pasukan/Keng Yaik Sdn Bhd dan kecundangnya kesemua calon dari pasukan Kerk. Yang menang menyapu bersih segala-galanya, dan yang kalah kehilangan segala-galanya, demikiankah yang dinamakan demokrasi? Adakah kekuatan 40 peratus yang menentang Keng Yaik itu boleh dianggap sepi saja, seolah-olah ianya tidak wujud langsung?
Kerk menyeru para penyokongnya supaya tidak meninggalkan parti. Beliau sendiri juga enggan menyentuh sama ada beliau akan berundur dari politik atau tidak. Sebaliknya beliau cuba mengingatkan Keng Yaik tentang kekuatan 40 peratus perwakilan yang menyokongnya.
Sebelum pemilihan, Kerk telah ditawarkan jawatan penasihat parti serta dikekalkan jawatan timbalan menterinya jika beliau sanggup berundur daripada bertanding jawatan presiden dan timbalan presiden. Siapa tahu nanti bakal ada tawar-menawar supaya penentangan 40 peratus itu dapat 'dicairkan' dan perpaduan parti dapat dipulihkan semula?

