Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Terbaca di sebuah akhbar Inggeris UAE mengenai “9 amazing Oktoberfest celebrations in the UAE” untuk tahun 2017 ini.

Saya sendiri selepas dua dekad, tidaklah begitu menyedari apa itu sambutan Oktoberfest di UAE sehingga pelbagai laporan media tanah air mengenai bantahan dan sokongan penganjuran terhadap acara itu.

Saya pernah ke Jerman sewaktu Octoberfest dan tahu bagaimana sambutan dan keadaannya, walau tidak tahu asal-usul dan kenapa disambut setiap tahun – sesuatu yang saya tidak berminat ambil tahu.

Tidaklah juga saya peduli dengan Octoberfest yang diuar-uarkan di sini. Tidak tahu banyak juga hotel dan kafe membuat sambutan Octoberfest sehingga ada yang bertanya mengenainya.



Tidak peduli, tidak mahu ambil tahu juga satu kebebasan dalam demokrasi. Walau tidak selalunya 'ignorance is bless', sebenarnya banyak kerja lain yang lebih penting.

Begitupun, kekadang hipokrasi di kalangan kita menjadikan banyak isu kecil menjadi besar, walau ada isu lebih besar yang setiap hari meratah kewarasan. Apa pun, saya tidak setuju kalau pesta minum arak diadakan secara terbuka tanpa menghiraukan sensitiviti tempatan. Itu pun sesuatu yang subjektif dalam negara demokrasi.

Di UAE, rasanya sambutan Ocotoberfest hanya dibuat di hotel-hotel. Saya tidak pasti kerana tidak ambil tahu.

Teringat sewaktu menjadi salah seorang 'pelopor'. iaitu kakitangan terawal pengurusan syarikat media di sini, dipinjamkan oleh majikan, saya ditugaskan untuk menjadi pengurus projek pemindahan pusat kejuteraan sebuah stesen TV terbesar dunia Arab dari London ke Dubai.

Itu adalah tugas berat dan kritikal kerana jadual yang ketat mengikut persetujuan dua syarikat. Apalagi dengan kepala pak-pak Arab yang kadang boleh buat tidak siuman.

Satu hari CEO memanggil saya ke biliknya. Dia seorang Arab tempatan yang mempunyai ijazah daripada Harvard.

"Saya mahu kamu pergi ke lapangan terbang awal pagi esok. Bawa bersama PRO. Sila tunggu pengerusi syarikat media itu yang terbang dari London dan bawa dia ke hotel. Limosin telah ditempah!"

Saya terpaku.

"Pengerusi itu adalah seorang putera diraja Saudi!" Lantas CEO menyebut namanya.

Ada bar yang masih buka?

Saya masih terpaku.

"OK. Itu sahaja. Buat apa yang patut!"

Arahan seorang CEO. Saya keluar daripada bilik dan mula mencari maklumat mengenai pengerusi tersebut. Saya tidak tahu bagaimana rupanya. Memanggil PRO untuk memastikan persediaan.

Sebelum subuh saya sudah berada di lapangan terbang bersama PRO, seorang warga tempatan yang menyediakan plakard dengan nama pengerusi itu. Tidak tahu kenapa CEO tidak datang atau menggunakan khidmat 'marhaba' kerana tetamu kami itu bertaraf VVIP.

Memang ada kebimbangan kerana pertama kali saya bakal menemui seorang putera diraja Saudi. Bimbang takut tersalah cara. Apakah kena berdaulat tuanku, ampun patik beribu-ribu ampun seperti adat Melayu.

Dalam menungggu, dengan plakard, tiba-tiba ada lelaki menegur. Matanya merah dan mulutnya berbau alkohol.

Itulah putera yang ditunggu-tunggu.

Saya terkesima. Dia macam tak siuman.

Dia bertanya nama. Kemudian kami terus ke arah limosin yang menanti di luar. Saya mengesyaki dia mabuk terlalu banyak minum dalam penerbangan.

"Apakah ada bar yang masih buka?" Tanya putera itu, agak garang yang membuatkan saya sedikit menggigil.

Mana ada bar yang buka sampai pagi. Dan saya pun tidak tahu mana bar kerana mana peduli itu semua.

Saya menjawab tidak tahu dan mungkin kalau ada pun telah tutup kerana sudah awal pagi.

Dia kelihatan tidak berpuas hati.

"Di hotel?"

Saya berkata mungkin ada. Jawapan selamat kerana memang saya tidak tahu walau hotel itu taraf lima bintang.

Sebaik tiba di hotel, pengerusi yang mabuk itu terus berkata, "Pergi cari kalau ada bar yang buka. Kamu bayarkan!"

Dia duduk menanti di lounge. PRO menguruskan tempahan hotel.

Bir bagus di Malaysia

Dalam keadaan cemas, saya menelefon CEO yang mungkin nyenyak tidur.

"Tak apa, saya uruskan!" suara CEO menyejukkan.

Sedikit lega kerana membayangkan terpaksa membayar minuman alkohol yang tentu boleh jadi beribu harganya. Sekelip mata boleh menyebabkan saya muflis.

Saya memberitahu pengerusi itu yang tiada bar dibuka tetapi dia boleh minum apa sahaja alkohol dari peti sejuk dalam bilik hotel atau beli apa sahaja secara panggilan. CEO saya akan membayarnya.

Dia terus naik dan masuk bilik.

Esoknya kami bermesyuarat dan hidangan alkohol termasuk sewaktu makan tengah hari. Hanya saya yang tidak mengambil apa-apa minuman beralkohol.

"Kamu dari mana?" Tanya pengerusi yang hairan. Apakah kamu dari negara tanpa alkohol?

"Malaysia!"

Dia ketawa. Katanya, banyak bir yang bagus di Malaysia. Saya malas bertanya kalau dia pernah ke Malaysia kerana saya satu-satunya bukan Arab di kalangan mereka hari itu.

Sebelum pengerusi itu bercakap merapu, CEO terus 'melindungi' saya dengan berkata, "Tak apa, dia OK walau tidak minum. Biarlah dia tak minum!"

Selama dua minggu, setiap habis kerja, pengerusi itu akan bawa kami ke beberapa bar untuk dia 'beroctoberfest' . Saya mula tahu mana-mana bar sekitar Dubai.

Di bar-bar tersebut juga, hanya saya minum fresh orange dan melihat sendiri ramai berjubah dan berserban, ada yang sambil berwirid di tangan kiri dan memegang gelas bir di tangan kanan. Menikmati minuman setan.

Sesuatu yang membuatkan saya jadi serba salah. Kerana kerja saya terpaksa melayani pengerusi itu sehingga bos lama, CEO yang baik itu memanggil saya bekerja semula di bawahnya kerana faham yang saya tidak sesuai untuk dalam keadaan itu berterusan.

Itulah kejutan budaya yang sedikit sebanyak mematangkan dan memberi pengalaman.

Lantas, membaca mengenai Ocotoberfest dalam akhbar Inggeris UAE itu hanya membawa memori Octoberfest pertama di Arabia.


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS