Malaysiakini
KOLUM

Najib, Cina DAP dan Cina Merah

Hishamuddin Rais

Diterbitkan
Dikemaskini 1 Nov 2017, 4:00 pagi

Satu dunia sedar bahawa Najib sedang terkepung. Kes 1MDB sedang disiasat oleh Polis Persekutuan Amerika (FBI). Siasatan kes penyelewengan dana 1MDB sedang berjalan.

Dari status kes sivil, kini 1MDB telah menjadi kes jenayah di Amerika. Harta yang dibeli hasil duit curi 1MDB telah dibekukan sebelum disita di seluruh dunia atas arahan dan permintaan mahkamah Los Angeles.

Kes curi duit 1MDB ini juga sedang dalam siasatan Peguam Negara Swiss. Kes ini telah berjalan di Singapura. Dalam mahkamah Singapura beberapa sosok yang terlibat dalam kes 1MDB ini telah didapati bersalah dan masuk penjara. Sebuah bank yang bersubahat dalam urus niaga duit curi 1MDB telah ditutup.

Beberapa benggolan saperti Datuk Subuh, Nik Faizal, Casey Tang dan Jasmin Loo telah menghilangkan diri. Mereka ini terlibat rapat dalam kes 1MDB.

Justeru kisah Najib dicari oleh polis Amerika bukan lagi kisah kecik anak. Kisah si pencuri bernama Najib ini telah menjadi bahan sembang dan labun dari warung ke warung.

Di pub dan kafe - dari Bangsar ke Changkat di Bukit Bintang - Mat Yuppie dan Minah Poseur terus membincangkan kisah Najib. Aji No Moto ditambah sana-sini untuk menjadikan bibir Si Pencuri Najib kelihatan lebih merah daripada gincu Paris Hilton.

Malah pada hari ini ramai ahli United Malays National Organisation yang setia pada parti pun semakin berani bertanya-tanya. Ahli Parti Ketuanan Melayu kini amat-amat ingin tahu tentang kisah pencuri anak-beranak yang kini menjadi berita dunia.

Kaya kerana mencuri

Setiap kali akhbar The Wall Street Journal atau Bloomberg News membuat berita tentang Najib maka para Yuppie dan Poseur akan bertaruh bila agaknya Najib akan ditangkap.

Terdapat ahli United Malays National Organisation yang pecah regu dan belot. Kumpulan ini tanpa segan silu terus menuduh presiden parti mereka sebagai pencuri.

Pada awalnya golongan pembelot ini tidak ramai. Ini dua tahun dahulu. Tapi dari hari ke hari kumpulan pembelot ini semakin ramai. Semakin mengampuh hingga melahirkan sebuah parti politik.

Semua ini adalah hasil dari kerja politik sosok yang bernama Tun Dr Mahathir Mohamad. Bekas perdana menteri ini telah menjaya menyakinkan ahli parti untuk belot.

Mahathir menggunakan gaya, cara dan teknik bahasa yang amat senang untuk difahami. Mahathir dengan jelas dan tuntas menerangkan bahawa Najib dulu tak ada duit. Sekarang Najib kaya raya. Najib kaya kerana mencuri. Dengan duit curi dalam saku si Najib berfalsafah Cash is King (duit ialah Raja).

Najib kini dilihat jelas oleh orang ramai sebagai sebagai pencuri. Dengan bahasa yang amat mudah - bahasa kampung - Mahathir telah berjaya meyakinkan umum bahawa Najib ini sah seorang pencuri. Amin.

Inilah gaya Mahathir berkempen. Agensi iklan tersohor seperti Leo Burnett atau McCann Erickson pun tidak akan dapat menandingi cara Mahathir berkempen. Mahathir adalah numero uno, atau bahasa Melayunya nombor satu dalam hal berkomunikasi dengan orang ramai.

Lelaki Cina

Sama ada Si Najib ini keturunan Lanun Bugis atau anak kelahiran Bugis Street bukan pekara induk. Apa yang jelas difahami oleh 30 juta penduduk Malaysia ialah Najib ini seorang pencuri.

Mahathir juga menerangkan kepada umum bahawa Najib mencuri duit kerajaan bersama dengan seorang lelaki Cina bernama Jho Low. Kerajaan dalam istilah saya maknanya orang ramai. Apabila Najib dan lelaki Cina ini mencuri duit kerajaan ertinya Najib dan Jho Low mencuri duit orang ramai.

Orang yang paling ramai di Malaysia ini ialah bani Melayu. Berbanding dengan bani Cina, bani Melayu ini masih lagi miskin. Dan mengikut hujah Mahathir bani Melayu bertambah miskin kerana duit mereka dicuri oleh Najib dan dirembat oleh Jho Low. Amin.

Para pembaca pasti bertanya kenapa perlunya – lelaki Cina ditulis bersama nama Jho Low. Sebenarnya memahami Jho Low sebagai lelaki Cina amat penting dalam kisah pencurian duit 1MDB ini.

Menulis dan melafazkan lelaki Cina ada sebab-musabab. Ini satu kerja logik lagi saintifik. Ia memberi makna dan implikasi politik yang amat mendalam. Lelaki Cina ini sama maknanya jika saya menulis Malaysia sebagai Tanah Melayu.

Harus disedari bahawa perkatan-perkatan ini semuanya dipilih dengan sengaja dan dilakar dengan penuh kesedaran. Ia dilakukan untuk menyampaikan makna yang tepat dan tuntas. Tidak sipi-sipi dan tidak berlapik-lapik.

Wajib dihantuk kepala

Nama Jho Low diikat dengan lelaki Cina dilakukan sebagai jawapan kepada Najib. Jho Low lelaki Cina ditulis kerana secara tersusun, secara sedar dan secara terancang. Najib sedang menyerang parti DAP (Democratic Action Party). Setiap kali Najib menyebut nama parti DAP maka Najib dan menambah kata sifat - Parti Cina DAP.

Dalam strategi Najib untuk mengolah persetujuan bani Melayu parti DAP ini ialah parti politik Cina. Parti Cina wajib dilawan. Parti Cina DAP ini parti musuh kepada parti United Malaya National Organisation. Najib mengajak ahli parti United Malays National Organisation dan bani Melayu bersama-sama menentang dan menghapuskan parti Cina DAP.

Dalam masa yang sama Parti United Malaya National Organisation ini mengajukan garis politik dan falsafah - Ketuanan Melayu.

Kerana wujudnya falsafah Ketuanan Melayu ini maka saya berani mencelah untuk bertanya: Bukankah Jho Low ini juga Cina? Kalau Cina DAP bahaya maka Cina Jho Low pasti juga bahaya?

Pertanyaan dalam bentuk ini saya tujukan pertama kepada ahli parti Ketuanan Melayu. Kedua saya tujukan juga kepada bani Melayu yang fikrah mereka telah menjadi bonsai hinggakan tidak dapat mengenal Cina mana bahaya dan Cina mana tidak bahaya.

Bani Melayu yang terpengaruh dengan lebong anti Cina DAP perlu diberi pencerahan. Bani Melayu jenis ini wajib dihantukkan kepala mereka ke pintu jamban agar mereka sedar bahawa Jho Low juga ialah lelaki Cina.

Jho Low lelaki Cina juga ditulis dengan tujuan untuk memberi kesedaran kepada warga Malaysia dan bani Melayu. Saya mahu menyedarkan mereka bahawa ada pelbagai bentuk dan jenis Cina yang wujud di Malaysia.

Pencurian terbesar sejarah

Ia sama juga dengan pelbagai bentuk jenis India yang tinggal di Malaysia. Bani China, bani India dan bani Melayu memiliki pelbagai fahaman dan perangai. Ada yang jahat dan ada yang baik.

Bukan kerana sosok itu Cina kafir maka secara automatik sosok ini jahat. Dan bukan kerana sosok itu sosok Melayu Islam maka sosok itu jadi baik.

Tapi apa yang amat jelas ialah Jho Low adalah seorang lelaki Cina yang amat jahat. Cina jenis ini telah wujud di Tanah Melayu. Dari zaman berzaman mereka wujud menghuru-harakan politik dan ekonomi Tanah Melayu.

Dari zaman Tunku ke zaman Razak ke zaman Mahathir - Cina jenis Jho Low ini wujud. Nama saperti Ong Yok Lin di zaman Tungku. Micheal Chen dizaman Razak. Eric Chia di zaman Mahathir. Semua ini adalah sosok-sosok Cina yang menghimpit pemimpin Melayu dengan ringgit dan lendir untuk tujuan jahat mereka.

Justeru lelaki Cina bernama Jho Low bukan suatu yang baru muncul. Apa yang berbeza ialah kini Jho Low telah berjaya bersekongkol dengan Najib untuk mencuri duit rakyat. Mencuri duit rakyat juga bukan suatu hal yang baru.

Apa yang baru ialah jumlah duit yang dicuri oleh Najib dan Jho Low. Inilah kes pencurian yang terbesar dalam sejarah.

Jumlah yang dicuri oleh Najib dan Jho Low belum pernah terjadi semenjak berlakunya Big Bang - Ledakan Besar yang diteorikan oleh Profesor Stephen Hawking.

Kes curi duit 1MDB adalah kes curi bertaraf global. Kes antarabangsa. Dari Kuala lumpur ke Singapura, ke Hong Kong, ke Abu Dhabi, ke Zurich, ke London, ke Cayman Island, ke New York, ke Los Angeles ke Hollywood hingga ke celah kangkang Paris Hilton. Inilah kes pencurian yang terbesar dalam alam maya ini. Amin.

Tapi Najib mempertahankan diri dengan menyerang Tony Pua - wakil rakyat DAP. Najib meyalahkan Cina DAP yang dikatakan menimbulkan fitnah dan tohmah kes 1MDB.

Jelas dan terang strategi Najib untuk bertahan menyelamatkan diri ialah dengan menyerang. Najib menyerang parti Cina DAP.

Satu Malaysia sedang melihat strategi Najib ini. Secara terbuka Najib telah menuduh DAP sebagai penyebab semua musibah yang sedang melanggar Tanah Melayu.

Cina DAP diserang. Cina DAP dianggap musuh. Tetapi lelaki Cina Jho Low dipertahankan. Tidak ada laporan interpol dibuat untuk menangkap Jho Low. PDRM tidak mengeluarkan waran tangkap.

Tidak ada sedetik niat daripada Najib atau para Menteri Najib untuk bertanya kepada Jho Low tentang kehilangan duit 1MDB.

Talian hayat Najib

Lelaki China Jho Low ini dipertahankan kesuciannya. Peguam Negara mengumumkan tidak ada apa-apa kes terhadap 1MDB. Nazri Aziz, bekas 'tukang salak' Mahathir kini menjadi 'tukang salak' Najib berkata bahawa lelaki China Jho Low tidak melakukan apa-apa jenayah di Malaysia. Justeru tidak perlu dicari.

Sila ambil perhatian Nazri Aziz ini daripada bani Melayu dan dari Parti Ketuanan Melayu. Kenapa Nazri mempertahan Cina Jho Low wallah hu alam bisawab.

Semua perkembangan ini amat-amat menakutkan. Tetapi ada satu lagi perkara yang paling menakutkan. Yang paling merbahaya. Ini juga tentang Cina.

Kita tahu Najib yang sedang dikepung. Najib akan melakukan apa sahaja untuk selamat. Seperti orang lemas Najib akan memaut apa sahaja untuk terus bernafas. Kayu lalu kayu dipaut - tahi lalu tahi dipaut. Inilah keadaan Najib sekarang.

Pada ketika ini lukah sedang terpasang. Najib yang sedang lemas ini tidak ada jalan lain melainkan masuk ke dalam perangkap kangkang Cina Merah. Cina ini bukan Cina DAP. Bukan. Bukan. Bukan. Najib meminta bantuan talian hayat dari Cina Merah.

Cina Merah ini jenis Cina apa? Apa bezanya Cina Merah dengan Cina DAP? Tony Pua kata Cina Merah ini dari Tong San. Tong San ini apa? Mengapa Cina Merah ini membawa mara bahaya ke Tanah Melayu? Tunggu minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.