Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sewaktu tiba di hotel penginapan yang kelihatan mewah bersebelahan Universiti Al Azhar, begitu ketat sekali pengawasan. Mulanya sangka ia perkara biasa.

Terlalu ketat sehingga tiga kali pemeriksaan memberikan persepsi yang Mesir masih tidak selamat selepas Arab Spring dan penyingkiran Presiden Morsi.

Saya terasa janggal dan pelik. Ini kali ke empat ke Mesir dan kali pertama selepas Presiden Sisi ditabalkan.

Kemudian, tentera yang mengawal berkata, "Presiden Sisi dan Presiden Putin akan datang makan malam di restoran hotel tersebut!"

Saya bertanya secara bergurau, "Boleh saya bertemu mereka?"

Tentera itu tersenyum, juga bergurau, "Sudah tentu!"

Kami tidak bebas di hotel kepunyaan tentera itu. Hanya boleh berada di lobi dan kawasan bilik. Helikopter sentiasa terbang di atas kawasan hotel. Seakan satu keadaan tegang.

Kedua presiden itu bertemu untuk perjanjian projek loji nuklear di Mesir. Satu langkah ekonomi dan politik luar jangka.

Hotel itu nampak lengang dan hampir semua tetamu adalah orang tempatan. Tiada pelancong. Hanya saya dan rakan yang datang dari Dubai.

Mungkin itu gambaran mengenai pelancong masih tidak membanjiri Mesir seperti sebelum Arab Spring. Saya tidak pasti.

Sepanjang jalan dari lapangan terbang ke hotel, dapat melihat kota raya Kaherah yang dihuni 30 juta manusia itu sama seperti dahulu. Bangunan, kenderaan usang, buruk dan trafik kacau bilau di jalan raya. Penghuni saling kiasu dan berebutan.

Kaherah yang romantis sepanjang Sungai Nil dan berlatar belakang piramid lebih indah dalam filem hitam putih. Era yang tentunya semakin tinggal memori.

Ramai menjual di tepi-tepi jalan. Wajah-wajah warga yang memberikan imej-imej sebuah ruang peradaban dan sejarah yang kontradiksi.

Saya sudah menjelajah Mesir dari selatan ke utara menaiki kereta api, mudik Sungai Nil, menjejak ke Barat ke arah Libya dan menyerang terusan Suez untuk merentas Sinai ke Palestin.

Bukan negara contoh

Pertama kali melangkah kaki saya sudah kena temberang dan insiden itu mengingatkan saya yang negara yang terletaknya sebuah universiti Islam terulung itu bukanlah negara contoh.

Pernah memasuki kampung-kampung pedalaman dan menyaksikan daifnya kehidupan yang pernah cemerlang, gemilang dan terbilang bawah firaun dan era Nabi Yusuf.

Begitu juga dalam kota raya Kaherah, kemiskinan bandar begitu terserlah dengan jurang kaya miskin begitu ketara.

Pengalaman menjejak Mesir yang gah dengan 5,000 tahun peradaban dan sejarah kemanusian, cerita para Nabi dan anbiya. Mesir adalah sebahagian dari rakaman sejarah dunia yang menyaksikan tamadun dan konflik menjadi peninggalan untuk sama belajar dan menginsafi.

Misi besar saya kali ini, adalah untuk bersama rakan bisnes menandatangani perjanjian dengan Kementerian Produksi Militiri. Membekalkan baja organik untuk projek bawah militiri, iaitu 1.4 juta hektar ladang yang bakal dibangunkan.

Selain kerjasama lain untuk meluaskan pasaran dengan membina sebuah kilang untuk pasaran Afrika utara. Kilang yang sama akan dibuka di Rwanda pada bulan Februari 2018.

Saya diperkenalkan kepada Menteri Produksi Militari, Mohammad El Assar dan timbalannya. Kami berbual dan antara kata-kata beliau, mahukan apa yang ditandatangi direalisasikan segera.

Saya diberitahu yang Kementerian Produksi Militari Mesir mempunyai banyak anak syarikat, dalam 70 buah. Mengeluarkan kereta kebal, kereta Jeep hingga ke peralatan konsumer seperti mesin basuh dan pinggan mangkuk.

Malah banyak lagi projek yang sedang diusahakan terutama dalam teknologi terbaharu yang amat diperlukan untuk memajukan Mesir.

Kementerian tersebut telah membuat banyak kerjasama dengan pelbagai negara pengeluar termasuk China, Rusia dan Korea untuk mempelbagaikan produksi dan kepakaran.

Kami terlibat untuk membantu mengusahakan perladangan seluas 1.4 juta hektar dengan membekal baja organik. Kaedah organik untuk melestarikan alam sekitar dan memberi makanan lebih sihat kepada warga Mesir.

Sebagai langkah sekuriti makanan, pihak militari turut mengambil langkah dinamik. Walaupun tanah itu di kawasan gurun, produk yang kami bekalkan telah diuji dan berhasil dalam membaik pulih keadaan tanah, mengurangkan penggunaan air sehingga 50 peratus dan memberikan hasil lebih tinggi di tiga negara Afrika lain.

Walau apa pun kecaman pada Al Sisi...

Dengan penduduk hampir 100 juta, Mesir memerlukan bekalan makanan yang bukan sahaja mencukupi, tetapi berkhasiat tanpa dicemari baja kimia dan pestisid.

Perjanjian yang ditandatangani membuka pintu lebih banyak peluang kerana kaki kami telah pun bertapak dalam Kementerian Produksi Militari yang mana menterinya adalah orang kanan Presiden Al Sisi.

Militari juga membina ibu kota baharu, Kaherah 2 yang bakal di bulan November 2018. Semua kementerian akan dipindah dengan penduduk seramai 6 juta untuk fasa pertama.

Katanya Kaherah 2 ini dibangunkan dengan teknologi dan prasarana moden terkini sebagai lambang Mesir di abad ke 21.

Sememangnya, perubahan adalah mesti untuk sebuah negara seperti Mesir. Walau apa pun tanggapan, persepsi dan kecaman terhadap Al Sisi, mungkin Mesir memerlukan anjakan dalam pembangunan.

Walau teruja, saya tetap berhati-hati kerana teringat kata-kata tersohor ulama besar Mesir sendiri, Muhammad Abduh:

“Aku pergi ke Barat dan melihat Islam, tetapi tidak berjumpa Muslim; aku pulang ke Timur berjumpa ramai Muslim, tetapi tidak melihat Islam.”


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS