Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images

Untuk hampir dua dekad sejak gelombang Reformasi membadai pada tahun 1998, kita menyaksikan peralihan kuasa di kalangan tiga generasi dalam Umno-BN. Bermula dengan Dr Mahathir Mohamad yang berundur sebagai perdana menteri pada tahun 2003, diambil alih Abdullah Ahmad Badawi sehingga tahun 2009, sebelum diserahkan tampuk kuasa kepada Najib Razak hingga ke hari ini.

MCA pula dikepalai lima orang presiden, bermula dari Ling Liong Sik yang melepaskan jawatan pada tahun 2003, diwarisi Ong Ka Ting, Ong Tee Keat, Chua Soi Lek dalam tempoh 10 tahun kemudiannya, sebelum diambil alih Liow Tiong Lai pada tahun 2013 sehingga ke hari ini. MIC tidak ketinggalan, menyaksikan peralihan kuasa daripada Samy Vellu kepada G Palanivel, sebelum diambil alih Subramaniam Sathasivam sehingga hari ini.

Ironinya, jikalau dibandingkan kem pembangkang, wajah yang hampir sama ditampilkan sepanjang tempoh dua dekad ini. Dr Wan Azizah memegang jawatan presiden PKR sejak parti ini ditubuhkan pada tahun 1999, dengan Anwar Ibrahim sebagai pemimpin rohaniah (spiritual leader) ketika dalam penjara, dan pemimpin de facto ketika di luar penjara.

Lim Kit Siang, sungguhpun meletakkan jawatan sebagai setiausaha agung DAP pada tahun 1999, tetap berpengaruh dan produktif dengan kenyataan medianya saban hari sehingga kini. Anaknya Lim Guan Eng, mengambil alih jawatan setiausaha agung daripada mendiang Kerk Kim Hock pada tahun 2004, dan dilanjutkan tempoh perkhidmatannya ke tahun 2020, selepas pemilihan semula parti yang berlangsung baru-baru ini.

PAS pula, jawatan presiden dipangku dan kemudian disandang Tuan Guru Hadi Awang setelah pemergian Almarhum Ustaz Fadzil Noor pada tahun 2002. Pernah dikhabarkan bahawa Hadi Awang mungkin melepaskan tampuk kepimpinan lantaran masalah kesihatan yang membelenggunya beberapa tahun lalu, namun tiada petanda menunjukkan beliau bakal berundur dalam masa terdekat, lebih-lebih lagi selepas perpecahan PAS dengan penubuhan Parti Amanah Negara pada tahun 2015.

Sebaliknya, Umno-BN telah membariskan Ahmad Zahid Hamidi (64), Hishammuddin Hussein Onn (56), dan Khairy Jamaluddin (41) di sepanjang tangga kuasa, menanti-nanti peluang untuk mengisi kekosongan seandainya Najib Razak perlu “dikorbankan” untuk menyelamatkan Umno. Ironinya, sekali lagi, Pakatan Harapan terpaksa “mengitar semula” Mahathir Mohamad dari Umno-BN sebagai pengemudi pembangkang untuk menentang Umno BN.

Mengapa politikus tua?

Mengapa gerakan Reformasi yang membakar jiwa anak muda pada tahun 1998, kini terpaksa bergantung kepada kepimpinan daripada satu susuk tubuh yang berusia 92 tahun, selepas pergolakan selama dua dekad?

Kenyataan ini mungkin tidak tepat, kerana anak muda tidak semestinya progresif sementara orang tua tidak semestinya jumud. Persoalan yang diolah semula berbunyi, mengapa generasi anak muda gagal menggalas misi untuk memimpin, menyuntik idea progresif, memupuk budaya baru dalam politik? Apakah kerana politikus tua tidak sanggup melepaskan tangan, ataupun anak muda belum bersedia untuk menyahut cabaran ini?

Persoalan inilah yang bermain di sebalik pertikaian calon perdana menteri Pakatan Harapan. Banyak syarat yang dikenakan ke atas calon perdana menteri dari parti pembangkang, sehingga terlalu sedikit yang memenuhi kelayakannya. Beliau perlu diterima masyarakat umum, membela hak Melayu dan menjaga sensitiviti Islam tanpa menyinggung kaum lain, cekap dalam urus-tadbir kerajaan, diyakini penjawat awam, lantang ketika menampilkan Malaysia di persada antarabangsa, peka dengan tuntutan masyarakat sivil, memiliki kewibawaan untuk berunding di kalangan institusi raja, pasukan polis dan tentera, dan sebagainya.

Sedangkan syarat-syarat ini tidak dituntut ke atas calon perdana menteri Umno-BN. Siapa peduli apa yang dibentangkan Zahid Hamidi di persidangan antarabangsa? Apakah pemimpin MCA akan protes andainya Hishammuddin Hussein yang pernah menghunus keris diangkat sebagai perdana menteri masa depan? Atau, siapa kisah sama ada Khairy Jamaluddin mampu memetik ayat al-Quran ketika mengolah wawasan politiknya?

Jelas, beban yang digalaskan ke atas beban pembangkang lebih berat, berbanding mereka yang sedang menggenggam kuasa. Hakikatnya, masyarakat kita yang terbelenggu dengan mitos sebegini, meletakkan syarat yang pelbagai mengikut keperluan masing-masing terhadap calon perdana menteri pembangkang, sehingga diambil kesempatan oleh politikus tua untuk terus memegang tampuk kepimpinan. Anak muda yang belum sempat membuktikan kemampuan dirinya, atau membina kewibawaannya, diketepikan untuk memberi laluan kepada politikus tua.

Pelbagai alasan diberikan. Masyarakat arus perdana takut dengan idea progresif yang dianggap mencabar status quo, kononnya; kaum majoriti masih diselubungi rasa tidak selamat (insecurity) seandainya perubahan yang diperjuangkan terlalu deras arusnya; atau anak muda tidak cukup pengalamannya untuk mengendalikan detik saat yang amat genting di ambang jatuhnya rejim Umno- BN.

Ada kewajarannya di sebalik sesetengah alasan tersebut. Sengaja atau tidak, tidak mudah politikus tua melepaskan kepimpinan begitu sahaja. Daripada memujuk agar pucuk kepimpinan diserahkan oleh politikus tua, lebih baik anak muda mengolah restu masyarakat untuk memberi mandat kepada mereka.

Anak muda bagaimana?

Apapun, generasi anak muda perlu jelas dengan realiti yang didepaninya. Andainya politikus veteran pun gagal menyelesaikan perbezaan di kalangan mereka, apatah lagi generasi muda yang mendewasa dalam zaman yang lebih mencabar. Petik sahaja, kita mempunyai anak muda yang berfahaman anarki, politik kiri, tidak kurang juga yang liberal. Ada pula yang mengkaji agama, dengan pelbagai mazhab dan alirannya. Kemudian kita dibezakan dengan warna kulit, budaya, bahasa, agama yang berlainan, belum lagi mengambil kira keperluan orang asal dan lapisan yang pelbagai.

Cabaran untuk anak muda, mereka mungkin memiliki idea yang paling tajam dan kedepan pada zamannya, tetapi apakah mereka juga memiliki kemampuan untuk menyelesaikan masalah yang terpampang di depan mata? Kita tidak ketandusan anak muda yang mampu memetik Karl Marx, Adam Smith, Immanuel Kant, Ali Abdul Raziq, juga mereka yang menghafal puisi Rendra, tetapi apakah muafakat yang dicapai di kalangan otak-otak yang bijak ini, untuk menyelesaikan kebuntuan politik yang berlaku di depan mata?

Anak muda kini tidak berpuas hati dengan HARAPAN, antara puncanya, HARAPAN melawan BN ala-BN. Politikus tua memiliki ego yang tinggi. Ironinya, anak muda yang mahu melawan politikus tua ini, turut memiliki ego tersendiri, sehingga menjadi penghalang mereka daripada bersatu-padu. Apabila tenaga anak muda berpecah, sudah tentu ia gagal merempuh kepimpinan politikus tua yang masih berjinak-jinak dengan idea lamanya, di samping amalan rasuah yang tidak menyenangkan.

Kegagalan kita menerokai jalan keluar daripada kebuntuan politik sedia ada, mengakibatkan negara kita ketandusan kepimpinan. Najib Razak adalah perdana menteri yang bertahan di kedudukannya dengan undi minoriti, tetapi bukan pemimpin. Anwar Ibrahim adalah pemimpin, tetapi disekat undang-undang yang dimanipulasikan daripada menyandang jawatan perdana menteri. Mahathir Mohamad mungkin pemimpin, tetapi apakah nilai politik yang didukungnya menggarap imaginasi generasi anak muda yang mendahagakan perubahan, pendemokrasian dan kebebasan?

Pada masa yang sama, suara anak muda, idea politik progresif, disekat daripada berkembang. Ahmad Zahid Hamidi, Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin bukan jawapan untuk masa depan selagi menyelindungi skandal yang terpalit pada susuk Najib Razak. Pemimpin barisan kedua pembangkang pula terbelenggu dengan kelemahan masing-masing, sehingga tiada suara sepakat agar satu pasukan ditonjolkan untuk mengisi lompong kepimpinan tersebut.

Kesemua ini berlaku dalam kitaran. Selagi masyarakat terpukau dengan mitos kewibawaan politikus tua, kesempatan ini akan diambil oleh si tua untuk menyekat kebangkitan si muda. Selagi peluang tidak diberikan, si muda gagal membuktikan diri, lantas masyarakat gagal diyakinkan dengan kemampuan mereka.

Akhirnya semua anggota masyarakat menjadi sebahagian punca mengapa masyarakat kita terbantut. Hakikatnya, perubahan hanya boleh dimulakan apabila kita semua sanggup mengambil langkah untuk berubah.

Lihat Komen
ADS