Anggota majlis PBT tidak perlu melatah...
Pihak berkuasa tempatan (PBT) ditadbir seperti sebuah kongsi gelap. Itu kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M Kayveas yang pernah menjadi Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Apabila dakwaan itu keluar dari mulut seorang timbalan menteri yang pernah bertanggungjawab terhadap PBT, tentulah ia mempunyai merit tersendiri. Bunyi kata-kata Kayveas itu memang berat. Ia menjadi satu tamparan hebat kepada mereka yang mentadbir PBT, terutamanya ahli-ahli majlisnya.
Semua orang tahu, hampir 90 peratus ahli majlis PBT adalah orang politik, tokoh-tokoh Umno, MCA, MIC dan komponen Barisan Nasional (BN) yang lain. Lazimnya, ketua bahagian Umno, wakil rakyat, dan pemimpin parti komponen BN, akan berebut-rebut dicalonkan sebagai ahli majlis PBT. Jarang sekali tokoh badan bukan kerajaan (NGO) atau kalangan profesional dijemput menganggotainya.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) ditadbir seperti sebuah kongsi gelap. Itu kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M Kayveas yang pernah menjadi Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Apabila dakwaan itu keluar dari mulut seorang timbalan menteri yang pernah bertanggungjawab terhadap PBT, tentulah ia mempunyai merit tersendiri. Bunyi kata-kata Kayveas itu memang berat. Ia menjadi satu tamparan hebat kepada mereka yang mentadbir PBT, terutamanya ahli-ahli majlisnya.
Semua orang tahu, hampir 90 peratus ahli majlis PBT adalah orang politik, tokoh-tokoh Umno, MCA, MIC dan komponen Barisan Nasional (BN) yang lain. Lazimnya, ketua bahagian Umno, wakil rakyat, dan pemimpin parti komponen BN, akan berebut-rebut dicalonkan sebagai ahli majlis PBT. Jarang sekali tokoh badan bukan kerajaan (NGO) atau kalangan profesional dijemput menganggotainya.
Sudah menjadi tradisi majlis PBT ini difaraidkan di kalangan orang politik, termasuk di Kelantan yang diperintah oleh PAS sejak 15 tahun lalu. Maka, apabila seorang pemimpim parti komponen BN menuduh PBT seolah-olah sebuah kongsi gelap, air yang ditepuk didulang itu terpercik ke muka sendiri.
Menyamakan PBT dengan kongsi gelap sangat besar implikasinya. Tiada mana-mana institusi pun yang suka diibaratkan seperti sebuah kumpulan gangster. Kayves memang berani. Ini bukan kali pertama beliau mengkritik pengurusan dan operasi PBT.
Masih segar dalam ingatan kita bagaimana beliau membongkar penyelewengan yang didakwa dilakukan oleh seorang pegawai kanan sebuah PBT di Selangor tahun lalu.
Cari populariti
Berdasarkan rekod itu, diyakini Kayves bukan bercakap kosong apabila menyamakan PBT dengan kongsi gelap. Tentunya dia mempunyai bukti dan fakta untuk menyokong kenyataannya itu.
Kavyes bukan mencari populariti murahan dengan membuat kenyataan tersebut. Ini kerana kata-kata itu tidak membuatkannya popular, sebaliknya menjadikannya kebencian banyak pihak. Kini Kayveas mencipta banyak musuh dari kalangan pemimpin komponen BN di peringkat negeri dan daerah.
Dalam akhbar hari ini, ahli-ahli majlis PBT di seluruh negara melenting marahkan presiden Parti Progresif Rakyat (PPP) itu. Kenyataan Kayveas itu disifatkan sebagai melampau dan tidak berasas.
Namun, tindakan timbalan menteri itu dialu-alukan oleh para pembayar cukai. Memang ada benarnya tuduhan Kayveas itu kerana sebahagian besar PBT gagal melaksanakan tugas dengan baik. Malah, banyak PBT bukan sahaja menghadapi masalah kewangan, tetapi turut dihantui oleh wabak rasuah.
Di sana-sini kita saksikan pelbagai pihak melanggar peraturan dan undang-undang PBT secara terang-terangan. Hutan, bukit bukau, lereng bukit, tanah kerajaan ditarah dan diterokai sewenang-wenangnya. Rumah, gerai dan kilang haram didirikan sesuka hati dan aspek kebersihan di kawasan kediaman dan komersil sering diabaikan.
Walaupun menerima pelbagai aduan dan kritikan, PBT sering kali gagal bertindak tegas terhadap kontraktor-kontraktor yang memungut sampah, memotong rumput dan menurap jalan. Malah ada pemaju perumahan yang menerokai kawasan tadahan hujan juga dibiarkan lepas begitu sahaja. Mengapa?
Lombong emas
Sebenarnya cerita PBT menjadi "lombong emas" bagi kalangan tertentu bukanlah perkara baru. Kita sedia maklum, PBT menswastakan pelbagai projek dan kontraknya. Kontrak memotong rumput, memungut sampah dan sebagainya menawarkan keuntungan lumayan.
Hasil daripada kontrak PBT ini, ramai yang menjadi jutawan sekelip mata, termasuk suku-sakat dan kroni ahli-ahli majlis sendiri. Tetapi bukannya mudah untuk mendapatkan kontrak-kontrak berkenaan. Sedangkan memohon lot gerai untuk menjual nasi lemak pun, terpaksa melalui pelbagai prosidur, temuduga dan kadangkala terpaksa menghulur "duit kopi", apa lagi untuk mendapatkan kontrak besar.
Ahli-ahli majlis PBT tidak boleh sekadar melenting marahkan Kayveas. Mereka perlu proaktif. Buktikan ketelusan dalam membuat sebarang keputusan. Hanya dengan bersikap terbuka dan telus, maka imej kongsi gelap boleh dipadamkan.
Ketelusan kontrak
Mungkin cadangan Kayveas supaya PBT beroperasi seperti Dewan Rakyat agak keterlaluan. Perdebatan mengenai sesuatu isu atau kontrak yang berjela-jela tidak diperlukan. Ia mungkin satu tindakan yang tidak produktif, akan melewatkan proses membuat keputusan.
Apa yang diperlukan hanya ketelusan, profesionalisme dan sistem pemberian tender yang lebih terbuka dan adil. Mungkin juga keahlian majlis perlu dipelbagaikan, bukan dimonopoli oleh orang politik sahaja.
Sesuai dengan tuntutan semasa, tokoh NGO dan kalangan profesional wajar menganggotai majlis PBT bagi meningkatkan lagi kredibiliti dan keberkesanan operasi agensi ini. PBT bukan sahaja perlu cekap dan pantas mensitar premis atau rumah pembayar cukai, malah perlu berwawasan untuk meningkatkan mutu dan taraf hidup orang ramai.
PBT akan terus dianggap seperti kongsi gelap kalau terus-terusan beroperasi dalam "gelap" .

