Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Satu ketika dahulu keluarga kami duduk di kampung. Kami ada sawah, berternak ayam itik dan sempat memelihara seekor kerbau betina bernama Kembang. Sering kali saya diberi tugas oleh arwah emak untuk menangkap ayam bila diperlukan sebagai santapan keluarga atau tanda hormat menyambut tamu.

Arwah emak akan mengenal pasti sang ayam mana yang akan dikorbankan. Tugas saya ialah memasang raga buluh untuk memerangkap. Saya menggunakan umpan padi dan nasi sejuk. Kami tidak ada dedak.

Ramai itik dan ayam datang berkerumun makan umpan. Tapi saya hanya ada satu sasaran. Saya menunggu untuk menjatuhkan raga apabila sasaran saya telah masuk ke ruang raga yang terbuka luas.

Jika sasaran ini agak degil untuk masuk perangkap maka saya akan mengejarnya sekeliling kampung sehingga ayam ini letih. Arwah ayah saya yang agak lebai – lulusan sekolah Pondok Lebai Maadah Batu Kikir – tidak membenarkan saya mencederakan sang ayam sebelum disembelih.

Hari ini dunia sedang melihat raga kepungan telah dipasang untuk memerangkap Najib. Seperti ayam saya dahulu si Najib ini agak liar dan agak susah untuk masuk perangkap. Pada hemat saya besar kemungkinan si Najib ini akan diburu sehingga dia jatuh letih sebelum dihantar ke hadapan tuan hakim atas tuduhan mencuri duit 1MDB.

Pada ketika ini ada dua raga yang sedang dipasang untuk menangkap si Najib ini. Satu raga tempatan buatan Malaysia. Satu lagi raga yang dipasang oleh kaum pemodal antara bangsa aka global capitalist. Raga buatan luar negara ini kelihatan ketat kukuh dan diyakini akan menjerut.

Ketika saya memburu sang ayam untuk disembelih, saya juga tertanya-tanya apakah sang ayam ini tahu bahawa dia akan berakhir dalam belanga tanah liat?

Ketika perangkap terpasang untuk menangkap Najib, apakah si Najib ini ada terlintas dalam fikrahnya bahawa hari hari akhirnya semakin dekat. Bila-bila masa sahaja perangkap ini akan melejang.

Ini bukan bermakna si Najib ini akan digulai dalam belanga seperti ayam yang saya tangkap.

Projek memerangkap Najib ini telah lama dipasang. Raga tempatan dan raga luar negara ini sedang bekerja saling bantu membantu. Dua-dua raga ini memiliki cita-cita untuk menangkap Najib. Malah tujuan untuk menangkap Najib ini memperlihatkan seolah-olah ada kerjasama.

Dua-dua raga ini menggunakan 1MDB sebagai umpan. Cuma raga tempatan dan raga luar negara ini tidak duduk semeja untuk membincangkan cara terbaik, tercepat dan terheboh untuk memerangkap Najib.

Pada ketika ini, dua perangkap ini, bekerja tanpa penyelarasan. Tapi hasil kerja dua tukang perangkap ini saling bantu-membantu.

Amat jelas jaringan perangkap tempatan semakin melebar. Buktinya terbonjol. Pada 28 Februari 2018, Equanimity – kapal mewah yang berharga 1 bilion ringgit milik Jho Low – telah ditahan di Bali.

Bila perangkap jatuh...

Pada 2 Mac 2018 sang menteri Salleh Keruak telah berkata bahawa kapal ini bukan milik Jho Low. Apandi, peguam negara juga telah bersuara menyatakan bahawa kapal ini bukan milik Malaysia.

Bila raga perangkap jatuh dan Najib di dalamnya, saya amat yakin ayam-ayam lain akan bertempiaran lari.

Justeru pada ketika ini saya tidak ambil pot dengan ucapan ayam-ayam ini. Kokok mereka tidak saya dengari secara serius. Tak masuk ke telinga kiri dan tak masuk ke telinga kanan.

Kenyataan ini telah menjemput Rais Yatim dan Rafidah Aziz untuk bersuara. Mereka ini adalah bekas menteri kabinet Dr Mahathir. Apakah mereka kini bersimpati dengan perangkap Mahathir untuk menangkap Najib? Soalan ini saya tidak dapat memberi jawapan secara tuntas.

Tetapi apa yang jelas Rais Yatim dan Rafidah Aziz telah menunjukkan rasa mual dan bosan terhadap Najib dan ayam-ayam peliharaannya. Ayam-ayam jenis ini dilihat telah cuba memperbodoh-bodohkan Rais dan Rafidah. Dua-dua ini bekas menteri yang bukan kecil anak.

Rafidah dengan bangga telah memaparkan kisah bagaimana dia sendiri telah bertembung dengan kapal Jho Low di selatan Siam ketika si Rafidah ini bercuti. Rafidah memaparkan gambar yang diambilnya sebagai bahan bukti.

Si Rafidah menyoal: Kalau saya boleh jumpa kapal ini kenapa kerajaan Malaysia tak dapat cari?

Pertanyaan atau soalan dari Rafidah ini masuk akal. Telinga tebal Najib yang mendengar suara Rafidah ini pasti berdesing. Apakah Rafidah sudah belot? Walahhu alam.

Si Rais Yatim pula menerangkan melalui logik akal bahawa kapal ini adalah milik Jho Low. Mengikut lojik akal, kalau kapal ini bukan milik Jho Low kenapa jurucakap Jho Low mengeluarkan kenyataan media menyatakan rasa kesal apabila Equanimity ditahan of DOJ - Jabatan Keadilan Amerika.

Rais Yatim hairan kenapa jurucakap Jho Loh ‘terkentut’ kalau tahi kering itu bukan dimiliki oleh majikannya?

Dua ekor ayam tidak berketak.

Tetiba seekor lagi ayam berkokok. Fuzi Harun berkata Jho Low tidak ada kaitan dengan 1MDB. Apa? Tidak ada kaitan dengan 1MDB?

Rais Yatim merasa tidak puas hati kerana diperbodoh-bodohkan. Bekas menteri undang-undang ini ada ijazah PHD ilmu hukum dari Universiti London, bukan dari Universiti Sintok. Si Rais ini pasti menyampah mendengar dan membaca kenyataan bangang.

Lalu Rais yang juga ahli United Malays National Organisation melalui tweetnya pada 6 Mac telah memberitahu dunia terutama Bani Melayu bahawa kes 1MDB ini sedang berjalan dalam lapan buah negara.

Saya sebagai batu api dan tukang hasut mengambil kesempatan untuk menuliskan nama negara-negara ini - Amerika, Switzerland, Luxembourg, Singapura, Hong Kong, Emeriah Arab Bersatu (UAE), United Kingdom, Thailand, Australia dan Itali.

Kepala taiko 1MDB

Dalam setiap nama negara yang saya tulis ini ada fail kes 1MDB dalam pelbagai bentuk. Ada negara yang mahu Najib disoal kerana Najib ialah kepala taiko 1MDB.

Najib tidak dicekup oleh Interpol, FBI atau CIA bukan kerana dia pahlawan Bugis yang kebal. Atau kerana Najib ada jampi pendinding dari pak bomoh Kerala. Semua tidak betul. Najib belum kena gari kerana Najib masih lagi perdana menteri Malaysia. Khalas.

Wahai Bani Melayu, wahai pengikut ayam serama, biar saya beritahu di sini. Pada ketika ini empat sosok telah dimasukkan ke dalam penjara kerana terlibat dengan kerja jahat bersubahat mencuri duit 1MDB.

Pada ketika ini dua buah bank telah ditutup kerana terlibat dalam mengatur rompakan teratur 1MDB. Beberapa pegawai bank - gedebe bank antarabangsa - telah diberhentikan kerja. Ada sosok yang diharamkan hingga ke liang lahad untuk bekerja dalam hal ehwal bank kerana bersubahat merompak 1MDB.

Hanya di Tanah Melayu peguam negara kita yang menggantikan Gani Patail telah berkata bahawa di Malaysia tidak ada kes 1MDB. Kalau ini bukan menipu apa lagi namanya.

Umum tahu melalui membaca Sarawak Report yang mendakwa kertas tuduhan terhadap si Najib telah disiapkan sebelum Gani 'dipaksa' berhenti kerja atas sebab kesihatan. Umum juga tahu bahawa Abu Kassim Ahmad ketua pesuruhjaya SPRM telah bercuti ke Amerika untuk dibetulkan buah pinggangnya. Amin.

Jelas kelihatan perangkap tempatan telah menyedia suasana dan memberi pencerahan bahawa hari hari akhir Najib akan sampai.

Perangkap raga tempatan ini berkait rapat dengan sampainya PRU14. Pada ketika saya menulis ini laporan demi laporan telah menunjukkan bahawa Pakatan Harapan akan menang dalam PRU14 kecuali ditipu.

Pada 9 Mac 2018, portal Malaysia Insight telah melaporkan bahawa gedebe baru Felda Shahrir Samad, muka manis Felda yang menggantikan muka ketat Isa Samad, akan menerima kekalahan di Johor Bahru. Amin.

Laporan ini selari dengan berita ombak Felda yang dikocak oleh Mahathir di Taib Andak, di Jengka dan paling akhir di Chini - kawasan mengundi Najib sendiri. Warga Felda mula sedar bahawa si Bugis yang rajin menyamun ini sedang terkepung.
Jika warga Felda dapat disedarkan, dapat diberi pencerahan bahawa pada ketika ini Najib bukan hanya dikepong oleh raga tempatan. Warga Felda wajib diberi pencerahan bahawa si Najib anak beranak ini sedang di kepong oleh FBI, CIA dan Interpol. James Bond Amerika sedang mencari Najib anak beranak dan Jho Low.

Ahli parti United Malays National Organisation wajib diberi kesedaran bagaimana Mahathir telah membuat dua menara Petronas KLCC dengan belanja 2 bilion ringgit. Perlu diingatkan projek KLCC ini juga pernah ditentang dan dihebohkan sebagai membazir.

Penganut mazhab Ketuanan Melayu wajib disedarkan bahawa Menara Petronas berharga 2 bilion manakala sebuah kapal Equanimity milik Jho low harganya 1 bilion ringgit. Duit ini didakwa dicuri dari aset berkaitan 1MDB.

Dengan satu 1 ringgit ini semua hutang pak cik dan mak cik Felda akan selesai. Dengan 1 bilion ringgit semua hutang PTPTN akan langsai. Dengan satu bilion ringgit semua ubatan di hospital boleh diberi percuma.

Kapal 1 bilion ringgit ini ditahan di mana? Siapa yang menahannya?

Kapal Jho Low ini sedang ditahan di pulau Bali Indonesia atas permintaan Amerika. Kapal ini ditahan dengan kerjasama polis Indonesia dengan CIA, FBI dan Interpol.

Bukankah Indonesia ini bawah pimpinan Pak Jokowi? Bukankah Pak Jokowi seorang Muslim? Kenapa Pak Jokowi bersubahat dengan FBI dan CIA? Kenapa Pak Jokowi tidak membantu Najib yang juga seorang pemimpin Islam? Tunggu minggu hadapan. 


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS