Paling Popular
Terkini

Dua dekad yang berlalu mengubah banyak perkara dalam kehidupan manusia. Pelbagai peristiwa, insiden, perang, tragedi, juga teknologi, produk dan penemuan baru membawa kita dalam dimensi yang berbeza.

Kerana itu tahun 1998 yang mengubah landskap politik negara, seakan satu deja vu apabila tahun 2018, dua puluh tahun kemudian, pemain politikus yang berseteru dahulu kini bersepakat untuk kembali berkuasa.

Ironi sekali. Negara yang mempunyai lebih 30 juta warga masih bergantung kepada sekumpulan kecil politikus yang sudah sepatutnya pencen kerana faktor usia.

Melihat ke belakang, terowong masa dengan segala rakaman memori dan sejarah tidak mungkin terpadam. Hakikatnya, tiada yang kekal dan perubahan itu adalah kehidupan yang terus menjadikan kita sepatutnya lebih matang.

Pengalaman berdemonstrasi, dikejar FRU dan bangkit dari lena sebagai rakyat yang lebih ambil tahu dengan politik negara adalah sesuatu yang tidak ternilai. Benar atau salah, kita sama mengukir sejarah negara bawah demokrasi.

Dalam pertemuan dengan salah seorang yang menjadi mangsa dan korban krisis politik tahun 1998 baru-baru ini, di samping bernostalgia, kami berbincang bukan sahaja dengan keadaan negara, tetapi juga masa depan generasi yang bakal menanggung bebanan kerakusan para perompak yang sedang berkuasa.

Dia kehilangan ratusan juta dan terpaksa berhijrah untuk meneruskan perjuangan. Saya pula kehilangan pekerjaan dan terpaksa berhijrah membawa keluarga dalam membina kehidupan baru di luar kerangka politik yang semakin sadis.

Dendam tidak membawa apa-apa nikmat, terbaik adalah dengan reda dan berusaha lebih gigih dengan sisa usia. Kebencian dan kemarahan telah lama sembuh oleh masa yang berlalu pantas.

Kesimpulannya, apa yang telah berlaku dua dekad lalu tidak boleh diubah atau dipadamkan, tetapi apa yang sedang berlaku hari ini, boleh sahaja kita ubah dengan kemampuan yang ada.

Kita boleh memaafkan dan melupakan apa sahaja yang berlaku apabila melihat di depan mata, ada lagi musibah lebih besar, lebih menakutkan dan lebih menjahanamkan negara.

Kerana itu, walaupun secara peribadi, mahukan barisan pelapis pascamerdeka, anak-anak muda yang lebih terserlah kepimpinan untuk menerajui negara, kita terpaksa akur dengan pilihan yang ada.

Dilihat dari para politikus yang bakal bertanding, ada berkali-kali, ada yang keluar dari persaraan, sememangnya kita dapat melihat kegagalan besar yang membawa kita kepada permasalahan, musibah dan krisis berpanjangan.

Tak malu bohong

Apalagi dengan barisan kepimpinan yang diketuai oleh perompak yang terus tidak malu untuk berbohong, berlakon baik, berpura-pura walau satu dunia telah tahu apa yang dilakukan.

Pilihan yang ada bukanlah terbaik berbanding dengan pilihan rakyat di Indonesia dan Filipina misalnya. Jokowi dan Duterte menjadi simbol demokrasi yang lebih telus dan perubahan besar bukan sahaja dari segi kepimpinan, malah sikap rakyat dalam menilai arah tuju negara.

Tentu sahaja jauh berbanding dengan New Zealand, Kanada dan Perancis, hanya menyebut beberapa negara yang mempunyai perdana menteri di kalangan anak muda. Kerajaan bertukar ganti dan tiada apa-apa yang berlaku, seperti mana yang disebut-sebut dan diancam oleh politikus berkuasa di Malaysia, sekiranya mereka tewas kecundang.

Bagi kita yang sudah enam puluh tahun bawah sebuah parti kebangsaan dengan modal ketuanan dan telah dibasuh otak melalui pelbagai wadah, saluran, peringkat dan nilai, tentunya pilihan yang ada hari ini dalam pilihan raya mewajibkan kita untuk terlibat secara langsung.

Para politikus yang kita pilih melalui undi lima tahun sekali dan kemudian menjadi 'bos' kepada rakyat sering melupakan amanah dan tanggungjawab sebaik mendapat kemenangan atau berjawatan dalam kerajaan.

Para politikus ini seolah-olah merasakan mereka mempunyai hak untuk melakukan apa sahaja termasuk memperbodohkan rakyat dengan pembohongan dan propaganda serta fake news secara berterusan.

Sekali lagi, secara peribadi, saya kecewa dengan pilihan yang ada, tetapi sebagai seorang yang rasional, demi negara, terpaksa membuat pilihan terbaik antara yang ada.

Pilihan itu berdasarkan agenda paling besar, menyingkirkan kepimpinan yang bobrok dengan perompakan dan pelbagai skandal melibatkan dana rakyat. Cukuplah rakyat diperkudakan dan dijadikan tebusan untuk kerakusan dan ketamakan sebahagian kecil mereka yang mengaku beragama Islam tetapi menghina agama dengan perlakuan sumbang.

Bukan juga para lebai yang semakin hari semakin nampak hipokrasi dan memperdagangkan agama. Sebagai yang pernah bersama kumpulan ini, sememangnya 'Tipah tertipu' dengan gaya berjubah, berserban dan memetik ayat-ayat Quran yang hanya hiasan politik sekular.

Sebagai warganegara dengan perlembagaan membenarkan pertukaran kerajaan melalui pilihan raya, tidak perlu takut dengan segala bogeyman dan ancaman sandiwara politikus yang bertaraf perompak, atau lebai yang bersubahat.

Tidak perlu manifesto dengan segala janji manis, kempen menggunakan bilion dana sama ada derma atau yang diseleweng, mahupun menggunakan kepakaran manipulasi analisis data, yang pasti, sebuah kerajaan tanpa moral, integriti dan maruah mesti ditumbangkan!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS