Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tangkap, pencuri! Perdana Menteri Malaysia sedang merancang menipu pilihan raya

Stop, thief! Malaysia’s PM is about to steal election

Ini saya terjemahkan dari tajuk tulisan lidah pengarang majalah The Economist keluaran 10 Mac 2018 yang lalu. Saya ulangi lagi, ini tajuk tulisan lidah pengarang. Untuk para wartawan, untuk pemerhati politik dan untuk yang sedar, lidah pengarang membawa makna yang dalam.

Kalau tulisan lidah pengarang Utusan Melayu maknanya ini dasar dan pandangan Utusan. Ini juga selari dengan dasar dan pandangan parti United Malays National Organisation yang menjadi kerajaan. Ini kerana akhbar Utusan adalah milik United Malays National Organisation. Maknanya tulisan itu juga adalah dasar kerajaan.

Justeru The Economist ini suara siapa? Kenapa bunyi lidah pengarangnya amat kasar terhadap Najib? Terlalu kasar terhadap seorang pemimpin Melayu Islam yang warak. Kasar terhadap pemimpin Melayu Islam yang jujur berhemah dan yang tak pernah tinggal sembahyang.

Malah si Najib ini terbukti warak. Si Najib ini baru sahaja membawa kaum keluarga berumrah ke Makkah. Menaiki kapal terbang kerajaan. Tidak ramai anak yang warak lagi salih seperti Najib yang ada keupayaan dan kemampuan berumrah membawa sanak saudara yang ramai. Ini kehebatan Najib. Amin.

Malah Najib yang warak lagi suci ini sempat masuk melawat makam Nabi Muhammad. Ada gambar terpampang sebagai bahan bukti kesucian Najib. Tetapi saya juga terbaca ada suara sumbang yang mempertikaikan apakah ini betul makam Nabi Muhamad? Ini kerana mengikut pandangan yang alim lagi berilmu makam Nabi telah lama ditutup.

Walau apa pun, untuk saya, sama ada Najib pergi umrah dengan kaum keluarga dengan menggunakan duit kerajaan atau tidak bukan satu isu penting. Sama ada Najib melawat makam nabi atau tidak juga tidak penting.

Apa yang amat amat penting ialah kenapa majalah The Economist ini begitu kasar terhadap seorang pemimpin Melayu Islam yang warak, syumul, jujur dan berhemah?

Ini persoalan hakiki dari mata hati 30 juta anak semua bangsa - bangsa semua agama - warga Malaysia. Ini tidak termasuk tujuh juta pekerja asing dan pendatang haram yang juga pasti tertanya-tanya kenapa Najib dituduh oleh majalah The Economist sebagai pencuri.

Sebelum saya memanjangkan labun biar saya terangkan makna to steal election. Dalam bahasa Inggeris to steal election bukan mencuri pilihan raya. To steal election bermakna akan menipu pilihan raya untuk menang.

Pada pandangan The Economist Najib akan menipu dalam PRU14 ini untuk menang. Pandangan The Economist ini kelihatan selari dengan pandangan Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah dari Pakatan Harapan. Malah ahli-ahli Pakatan Harapan dan penyokong Pakatan Harapan juga percaya adanya rancangan jahat.

Lalu saya kembali bertanya, kenapa The Economist ini menuduh Najib ini pencuri dan penipu? Suara siapa di belakang lidah pengarang The Economist? Apakah majalah yang berpusat di kota London ini bersekongkol dengan Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah. Apakah ini agenda Cina Lim Kit Siang dari Democratic Action Party? Atau ini kumpulan lama Anwar Ibrahim bergetah kembali?

900 Fatimah Ismail

Kenapa pandangan The Economist ini selari dengan pandangan Pakatan Harapan. Ini membuatkan saya tertanya-tanya. Kenapa?

Dalam ceramah Mahathir di Bachok Kelantan, di Kamunting Perak dan yang yang paling akhir pada Ahad 18 Mac lalu di Seremban, Dr Mahathir terus menuduh Najib ini pencuri dan penipu. Mengikut Mahathir, Najib akan menang PRU14 hanya dengan jalan tipu.

Mahathir mengulangi dakwaan 900 perempuan bernama Fatimah Ismail yang bakal jadi pengundi hantu. Mahathir mengulangi dakwaan 70 orang Melayu, India dan China yang duduk di satu rumah d ialamat yang sama. Mahathir menerangkan 400,000 undi awal dan hampir 1 juta undi pos. Semua ini didakwa penipuan.


Berkaitan: 900 pengundi bernama 'Fatimah Ismail' ditemui


Tapi mengikut Mahathir, penipuan paling afdal lagi cun ialah persempadan semula. Maaf, Mahathir tidak menggunakan perkataan cun. Perkataan cun ini dari saya Hishamuddin Rais.

Mahathir kata Najib pencuri. The Economist kata Najib pencuri. Mahathir kata Najib akan menipu PRU14. The Economist juga berkata Najib akan menipu untuk menang PRU14.

Hairan bin pelik bagaimana ini terjadi. Agenda siapa ini? Apakah Mahathir telah mengupah The Economist untuk menperlekeh Najib?

Jika kita tanya Lebai Google maka kita akan diberitahu bahawa majalah ini adalah milik syarikat Economist Group (bawah). Syarikat ini dimiliki oleh keluarga Cadbury, Rothschild, Shroder, Agnelli, Lyton dan beberapa keluarga yang lain. Majalah ini telah muncul semenjak tahun 1843. Maknanya sudah lebih dari 100 tahun.

Nama keluarga yang paling menonjol pastilah Rothschild. Saya yakin ramai pembaca tahu bahawa Rothschild ini adalah keluarga Yahudi yang memiliki harta kekayaan yang melimpah ruah. Keluarga ini memiliki bank, kilang, kilang senjata, majalah dan seribu satu macam jenis perniagaan.

Maka pada hemat saya suara lidah pengarang The Economist itu pastilah mewakili kepentingan kaum keluarga ini.

Semua keluarga ini adalah kaum kapitalis. Maknanya majalah ini mewakili suara kapitalis besar. Maknanya The Economist mewakili kepentingan kaum peniaga antarabangsa.

Untuk para ilmuwan, majalah The Economist ini mewakili apa yang dipanggil MNC - multinational cooperation. MNC ini adalah syarikat gergasi dunia. Bukan tahap warung Mek Jah. Bukan tahap restoran Amjal. Bukan tahap gedung membeli belah Mydin. Syarikat MNC ini berupaya menyusun, mengatur perjalanan sistem ekonomi kapitalis dalam dunia kita ini.

Hakikatnya semenjak ledakan Big Bang atau semenjak kun faya kun, tidak adalah majalah yang begitu berkuasa dan penting dalam alam kapitalis kita ini. Majalah The Economist ini kait berkait dengan akhbar The Financial Times yang juga berpusat di kota London.

Kitab rujukan dunia modal

Wow! Majalah ini cukup hebat. Panglima majalah ini ialah modal. Modal pada pandangan majalah ini wajib menjuarai politik. Modal didahulukan, politik mengendalikan. Politik diwujudkan untuk mengembangkan modal. Justeru The Economist menjadi kitab rujukan dalam dunia modal.

Lalu kita semua bertanya kenapa majalah ini mengutuk dan memperlekeh seorang pemimpin Melayu Islam yang warak? Kenapa majalah ini benci terhadap Najib? Apa salah Najib? Kenapa Najib dilakukan sebegini rupa?

Bukankah Najib ini tidak pernah tinggal sembahyang? Najib ini seorang yang warak walau pun ada tuduhan dari surat akuan bersumpah arwah P I Bala yang menuduh Najib dengan Altantuya. Model cun lagi bergetah ini telah mati dibunuh oleh Sirul dan Azilah.


Berkaitan: Najib dituduh bersama Altantuya



Apakah ini membuatkan si Najib ini menjadi pencuri seperti tulisan lidah pengarang The Economist? Mustahil. Justeru apa lagi kesalahan Najib sehingga pemimpin Melayu Islam yang warak ini diserang?

Pada 16 Mac 2016, Tuan Haji Ahmad Rasidi Hazizi, pesuruhjaya tinggi Malaysia ke United Kingdom telah bangun menjawab bagi pihak Najib. Tuan haji ini menyelar tulisan The Economist ini. Menurut tuan haji ini semua laporan itu adalah palsu dan tidak betul.

Laporan tentang 1MDB itu semuanya fitnah dan tohmah. Mengikut surat tuan haji pak duta, mustahil Najib yang warak lagi syumul akan menipu untuk menang dalam PRU14. Malah Najib semenjak menjadi perdana menteri telah mengemudikan Malaysia dengan baik.

Nasib baik Malaysia memiliki pak duta yang cekap lagi bijak menjawab dan menepis segala tohmahan The Economist. Bijak menulis dalam bahasa Inggeris. Nasib baik Pak Duta kita bukan Tan Sri Muhammad Muhammad Taib. Kalau Mat Taison ini pak duta kita di London 'hancus mancus' Tanah Melayu kita ini. Amin

Saya telah memerhatikan dan membuat peta tentang pencuri dan penipu yang dikatakan bernama Najib ini. Saya perhatikan dengan rapi. Dengan jelas saya melihat memang wujud satu konspirasi bertaraf antarabangsa yang sedang merancang untuk menerajang Najib.

Ini projek regime change, projek tukar kerajaan.

Lalu saya teringat kembali kepada presiden Marcos pada tahun-tahun 80-an. Bukan hal kasut isterinya yang saya ingat tetapi cara dan rupa bentuk konspirasi global yang diatur dan disusun untuk menerajang Marcos.

Peranan media antara bangsa, majalah The Times, The Newsweek, Far Eastern Economic Review, BBC, CNBC, ABC dan termasuk majalah The Economist. Media-media milik kaum kapitalis besar ini terus menerus menyerang Marcos hingga presiden Marcos ini mati terkulai.

Ilmelda Marcos, isteri sang presiden, bekas ratu cantik tidak sempat melarikan diri dengan semua kasut-kasutnya. Kesian.

Bayangkan betapa jahatnya media antarabangsa ini sehinggakan bekas ratu cantik ini tidak sempat memakai kasut untuk lari.

Inilah yang saya takuti. Jika ini berlaku maka sejarah sedih berulang lagi.

Dunia akan teringat bagaimana Imelda Marcos tak sempat lari dengan kasut.

Lalu, saya harap-harapkan si Rosmah ini akan membuat persediaan awal. Persediaan awal seperti memesan pesawat pengangkut Antonov 124. Kapal terbang ini boleh membawa muatan beg Birkin tanpa masalah.

Para pembaca akan bertanya bila agaknya konspirasi menerajang Najib ini akan berakhir? Bila perangkap akan melejang? Jawapan awal ialah apabila Najib telah cabut lari? Tapi bila? Kenapa The Economist menyerang? Untuk ini sila tunggu minggu hadapan. 


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS