Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images

Di dalam sesebuah pilihan raya umum sesebuah negara, kadang-kala isu dasar luar turut menjadi pertimbangan seseorang pengundi. Seharusnya pengundi yang matang akan turut menekuni polisi atau dasar luar parti yang menyandang, dan juga menilai dasar luar yang ditawar parti pesaing.

Untuk sebuah negara yang kecil seperti Malaysia; sebarang tawaran, derma, bantuan pinjaman, pelaburan, ‘belaian manja’ sesebuah negara yang lebih berkuasa haruslah diberi perhatian besar oleh masyarakat setempat.

Bukanlah bermakna kita perlu mencurigai setiap negara dan mengambil sikap lampau waspada, tetapi barang diingat - negara yang mempunyai kepentingan mungkin sahaja menuntut sesuatu sebagai imbal balas. Dalam hal ini, ia dinamakan quid pro quo.

Berdasarkan rekod, dua buah kuasa yang perlu dicurigai adalah China dan Arab Saudi.

China, adalah salah sebuah negara yang mempunyai rekod pelaburan perniagaan yang perlu diperhati. Adalah menjadi pendapat umum bahawa apabila China mendanai atau melabur sesuatu projek infrastruktur, kebiasaannya ia akan dikendalikan oleh pekerja dari China. Kuasa atau pelabur China ini tidak berkongsi pengalaman atau kepandaian. Ia dilakukan sambil menorah keuntungan berlipat kali ganda. Pelaburan China dilihat rata-rata berpotensi menjadi satu ‘penaklukan’.

Pelabur China juga sering dirujuk sebagai penindas dan pencabul hak asasi manusia. Di benua Afrika, yang kuasa China sedang mendesak-desak masuk ke rantau itu, rekod pencabulan hak asasi manusia semakin dipersoal. Steve Tsang, Pengarah SOAS China Institute di London dalam tahun 2017 pernah menyatakan betapa saiz dan pengaruh ekonomi China mengakibatkan sesiapa pun mendiamkan diri terhadap isu hak asasi manusia. Pada tahun 2011, sebagai misalan, buruh Zambia di lombong kepunyaan pelabur China mengalami lingkungan kerja yang buruk dan tidak selamat, jumlah jam bekerja yang terlalu lama, serta ancaman sekiranya melakukan aduan atau bantahan.

China sering ‘menjual’ pelaburannya sebagai “Beijing Consensus” yang kononnya merupakan satu sikap baharu dalam politik pembangunan, dengan menekankan konsensus dan keseimbangan kuasa. China juga berusaha meletakkan dirinya, bukan seperti kuasa Barat, bahawa ia sebuah kuasa baharu yang menghargai konsep multilateralisme, dan keharmonian bersama (peaceful co-existence).

Namun demikian, pengalaman Afrika menunjukkan Beijing tidaklah sejujur yang disangka. Sekali lagi – quid pro quo – China untuk mengekalkan pelaburannya, telah sebagai contoh, melalui syarikatnya, membekalkan senjata kepada Sudan agar terus menekan puak pemisah di Selatan Sudan. Sokongan ketenteraan China terhadap rejim tertentu di Afrika didorong oleh keinginan untuk menguasai sumber alam. Rentetan dari campur tangan pintu belakang itu, China juga diketahui menarah hutan di Democratic Republic of Congo. Ia diburukkan oleh sikap pelabur dari Beijing yang enggan bertanggungjawab atau menyekat jenayah yang berleluasa ini.

Pengalaman Afrika

Pengalaman benua Afrika tersebut jika dihurai satu persatu sangat menakutkan dan membawa kepada satu fakta; bahawa kemerdekaan dan kedaulatan mana-mana negara yang berurusan dengan China sangat terancam. Pembelian maruah dan jiwa penguasa negara sasaran China itu tidak terhad di negara-negara Afrika. China sedang membeli jiwa pemimpin di negara-negara yang ingin dikuasainya. Ambil sahaja bagaimana duit China membeli pimpinan Hungary. Bukan sahaja pelaburan China dialu-alukan, sebarang kritikan terhadap China dengan segera ditangkis. Malah, Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban itu meloncat menjadi jurucakap China pula bahawa ‘mana-mana pihak yang cuba menyekolahkan Beijing mengenai hak asasi manusia adalah sangat menjengkelkan.’

Lihat pula Sri Lanka, yang mempunyai pengalaman buruk bagaimana tergadainya tanah dan pelabuhan Hambantota selama 99 tahun kepada China. Pengalaman berhutang dengan China menunjukkan bagaimana kuasa itu membaham pelabuhan strategik negara tersebut hanya dengan nilai 1.12 bilion dolar Amerika. Sri Lanka yang bergelut dengan hutang terpaksa merelakan pelabuhan tersebut menjadi tanah China. Di Malaysia, China sedang meluaskan pengaruh menerusi projek ECRL, Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) di Gambang serta pembangunan Forest City di Iskandar Malaysia di Johor.

Sebuah lagi negara yang bermasalah ialah Arab Saudi. Seperti China, rekod hak asasi manusia Saudi sangat buruk. Serangan saban hari dan bloked negara itu terhadap negara jirannya Yemen mendiamkan siapa sahaja. Jika suara tangis anak di Syria terasa sangat diwakili, esak perit anak-anak Yemen baik kerana digugurkan bom Saudi buatan syarikat senjata Barat, atau kerana kebuluran tidak pernah dipedulikan. Ini kerana Saudi juga membeli jiwa penguasa negara-negara di dunia.

Di bawah Muhammad Bin Salman, putera raja itu ternyata belajar dari pengalaman dan taktik China. Di Barat, demi mendiamkan rekod hak asasi manusianya yang buruk; Saudi sedang melabur dalam bidang dan industri teknologi maklumat. Pada tahun 2017, akhbar The New York Times sendiri sedang mengkritik kemasukan wang yang banyak ke Amerika Syarikat. Menurut pengarang untuk akhbar itu, Farhad Manjoo:

‘Wang dari rejim yang dikritik kerana rekod hak asasi manusianya – Arab Saudi khasnya, yang mempunyai rencana untuk menyuntik modal berbilion dollar untuk syarikat teknologi maklumat menerusi syarikat milik negaranya – Public Investment Fund — membawa pelbagai pertanyaan. Dengan menerima pelaburan ini, syarikat teknologi maklumat ini akan menjenama semula produk global mereka seraya mengambil berbilion dolar dari kerajaan yang menghalang semua sasaran murni – kerajaan yang ada masalah dengan kumpulan hak asasi manusia, yang mendiskriminasi wanita, yang tiada sistem perundangan yang teratur, yang mempromosi Islam ekstrim tanpa tolak ansur sama ada meraikan keberagaman beragama mahupun intelektual.’

Dr Farouk Musa dari Islamic Rennaisance Front (IRF) pernah mengkritik cadangan memberikan tanah seluas 16 hektar kepada Arab Saudi untuk membina Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) di Putrajaya, dengan segera membantah; “Arab Saudi ialah penaja terbesar kepada keganasan di dunia hari ini. Dan ideologi Arab Saudi kekal menjadi sumber kepada ekstremis Islam paling radikal. Kita tidak boleh lupa dengan laporan sulit AS sebanyak 28 halaman yang didedahkan oleh Kongres pada Julai 2016, jelas membuktikan penyerang 9/11 disokong individu berkaitan dengan kerajaan Arab Saudi sendiri. Tindakan keganasan Arab Saudi tidak terhenti dengan 9/11. Ia berterusan hingga hari ini dan pengeboman tanpa belas kasihan terhadap Yaman, termasuk orang awam. Dan lihat bagaimana mereka mendanai ceramah kebencian di seluruh dunia Islam.”

Pelepasan GST

Kewujudan ‘King Salman Centre for International Peace (KSCIP)’ di Malaysia ini memang sedikit aneh. Fungsinya adalah untuk memahami bagaimana caranya mengatasi masalah terorisme, di atas sebidang tanah yang amat luas. Sedangkan negara yang menginisiatif kajian mengenai terorisme ini sendiri terbukti adalah penyebar keganasan di seluruh dunia menerusi doktrin rasmi negara tersebut, iaitu Wahhabisme.

Di sebalik kekhuatiran mengenai pengaruh takluk China dan niat sebenar Arab Saudi, seperti yang terlihat di mana-mana; kedua-dua kuasa ini juga secara aneh terlibat dengan pelbagai isu yang ditimbulkan dalam pilihanraya kali ini. Baik kerana pelepasan GST, atau pun bagaimana adanya wang Saudi total 681 juta mengalir ‘tanpa sebab kukuh’ di negara ini ketika pilihan raya umum ke-13.

Kita berada dalam tahun 2018. Kita tidak perlu lagi membayar ufti kepada China, dan tidak perlukan lagi tunjuk ajar cara beragama daripada saudagar Jeddah seperti di zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Pilihan raya umum kali ini adalah sangat penting bukan kerana memilih si tua atau si bibir merah semata-mata. Ia bukan sangat mengenai parti-parti atau kartel yang sedang bersaing. Itu memanglah resmi politik. Pilihan raya kali ini, kita turun kerana ia sebenar-benar mengenai generasi cucu cicit kita yang akan datang; sama ada anak-anak kita akan menjadi hamba China atau dirosakkan akal dan rohani mereka oleh kuasa Wahabbi dari Saudi. Tidak dapat dibayangkan jika saudagar kita sudah menjadi pelahap kepada wang China sehingga tidak mempedulikan lagi hak asasi manusia dan nasib masyarakat, sementara agamawan pula menjadi nanar kerana riyal dan petro-dolar sehingga menyembah dajal moden. Duit menjadikan manusia keras hati.

Sebagai rakyat, kita tidak banyak pilihan. Kita harus menjadi Tun Fatimah. Yakni meski pernah nestapa oleh kedurjanaan Sultan Mahmud yang membunuh keluarga dan suaminya, dia memilih kekinian. Tun Fatimah terpaksa bersama-sama si pembunuh itu menyelamatkan Melaka dari serangan Portugis pada tahun 1511. Tentu, Fatimah tidak memaafkan Mahmud. Tiada sebab Mahmud dimaafkan. Akan tetapi itulah pilihan yang waras di saat genting tersebut. Pilihan raya ini adalah mengenai kemerdekaan, kedaulatan nusa bangsa, dan kesucian agama. Kuasa di tangan anda, pengundi.


FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS