Kini isu pengajaran mata pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris muncul kembali.

Sebenarnya isu yang dibangkitkan oleh Timbalan Presiden Gerakan, Tan Seri Dr. Koh Tsu Koon itu adalah susulan daripada usaha Dong Jiao Zong mempertahankan ciri-ciri sekolah semua aliran.

Selepas Dr. Yap Sin Tian menyandang Pengerusi Dong Zong, beliau telah mengetuai delegasi Dong Jiao Zong untuk berdialog dengan Gerakan dan MCA mengenai pendidikan Cina, terutamanya tentang bantahan terhadap dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, termasuk "formula 2-4-3".

Formula 2-4-3, iaitu dua masa bagi Bahasa Inggeris, empat masa bagi Matematik dan tiga masa bagi sains dalam seminggu, dalam bahasa Inggeris, adalah kompromi politik antara parti-parti komponen Barisan Nasional (BN), setelah mendapat tentangan hebat daripada Dong Jiao Zong.

Sebenarnya Gerakan dan MCA makin terdesak, kerana dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris akan memasuki tahap dua (tahun 4 hingga 6) pada tahun depan, dan "formula 2-4-3"sudah tidak sesuai untuk digunakan lagi.

Dalam pertemuan Dong Jiao Zong dengan Gerakan dan MCA, mereka telah menyampaikan tuntutan mereka kepada kerajaan agar menambahkan masa bagi pelajaran Bahasa Inggeris dan pada masa yang sama sekolah-sekolah rendah pelbagai aliran terus menggunakan bahasa ibunda untuk mengajar Sains dan Matematik.

Resolusi Dong Jiao Zong

Pada 11 November 2002 lagi, Dong Jiao Zong telah mengeluarkan kenyataan menegaskan pendirian pergerakan Cina tersebut: "menyokong sepenuhnya usaha peningkatan tahap penguasaan Bahasa Inggeris, tetapi membantah keras pengajaran dan pembelajaran serta peperiksaan mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di SJKC", berasaskan alasan-alasan berikut:

* Sejak tahun 80an lagi, Dong Jiao Zong telah mengemukakan cadangan supaya bahasa Inggeris di SJKC diajar mulai darjah satu, bukan mulai darjah tiga seperti yang diamalkan masa itu;

* Ciri-ciri sekolah pelbagai aliran di negara kita adalah berasaskan penggunaan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar utama dan ini sudah termaktub di dalam akta pendidikan kita. Oleh itu, pelaksanaan dasar pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris bukan saja bertentangan dengan prinsip dan norma pendidikan, hasrat rakyat, tetapi juga bercanggah dengan akta pendidikan negara kita;

* Pada 10 November 2002, Menteri Pendidikan telah mengumumkan bermula dari tahun 2008, peperiksaan mata pelajaran Sains dan Matematik akan dijalankan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris bagi semua aliran sekolah rendah. Oleh itu, "formula 2-4-3"hanya merupakan formula sementara dalam tempoh peralihan;

* "Formula 2-4-3"(atau sebarang formula yang diubahsuai daripadanya) yang mengulangi pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di samping pengajaran dalam bahasa ibunda, akan memburukkan lagi masalah ketidakseimbangan struktur ilmu pengetahuan (termasuk pelajaran bahasa, sains dan matematik yang dianggarkan menduduki 78 peratus daripada seluruh masa pengajaran dan pembelajaran) dengan pembangunan kerohanian dan jasmani (termasuk pendidikan moral, jasmani dan kesihatan, muzik serta seni yang hanya mencakupi 20 peratus masa sahaja);

* Kementerian pendidikan tidak menyediakan guru tambahan bagi pelaksanaan "Formula 2-4-3", ini bermakna keadaan kekurangan guru dalam SJKC akan menjadi lebih buruk lagi selepas pelaksanaan Formula tersebut;

* Berasaskan pengalaman dalam pembangunan pendidikan selama ratusan tahun, Dong Jiao Zong membuat kesimpulan bahawa pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa ibunda adalah yang paling berkesan sekali.

Klise politik

Justeru itu, pendirian Dong Jiao Zong telah disokong penuh oleh 7 Persatuan Cina yang utama selepas sesi dialog diadakan pada 26 Oktober 2005.

Ini bermakna, masyarakat Cina pada keseluruhannya telah mencapai persepakatan dalam menentang dasar pengajaranan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di SJKC, sungguhpun mereka mengalami tekanan daripada parti-parti berkuasa dan kerajaan.

Pendirian Dong Jiao Zong tersebut adalah untuk kebaikan pendidikan bahasa ibunda sesuai untuk semua aliran, seperti yang dijamin dalam akta pelajaran negara kita.

Oleh itu cadangan Dong Jiao Zong yang selari dengan hasrat dan aspirasi nasionalis tulen semua kaum dan aliran pendidikan, patut ditimbang oleh kerajaan secara teliti dan bertanggungjawab.

Amat dikesali, apabila Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ditanya mengenai cadangan Dong Jiao Zong itu, beliau memberi jawapan yang merupakan "klise" birokratik yang berprasangka.

Kata beliau: "Kerajaan akan menimbangkan cadangan mengenai dasar pendidikan negara jika cadangan-cadangan itu tidak berfikiran sempit dan tidak mempromosi kepentingan satu kaum, satu aliran atau satu agama yang tertentu."

"Apa pun cadangan yang mereka ingin serahkan, ia harus dipandang dari konteks yang lebih luas. Jika tidak, setiap kali kita membincangkan pendidikan, kumpulan tertentu akan berjuang untuk kaum dan aliran yang tertentu saja."

Klise birokratik Hishammuddin membayangkan kecetekan pemahaman beliau mengenai masalah yang dihadapi oleh pelajar semua aliran sekolah rendah dan menengah negara kita, akibat pelaksanaan dasar bahasa Inggeris itu.

Mungkin Hishammuddin, malah Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri, patut menemui Dong Jiao Zong untuk mengkaji cadangan terbabit dan sekaligus mengkaji semula dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris secara mendalam, demi mempertahankan ciri-ciri pendidikan bahasa ibunda semua aliran seperti yang terjamin oleh akta pelajaran negara kita.