Drama cabar mencabar meletak jawatan di Pengkalan Pasir mungkin akan sampai ke penghujungnya. Kenyataan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengingatkan sesiapa yang meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat sesuka hati, akan kehilangan kelayakan bertanding semula, tentunya menyentak dua anak Haji Musa Annuar Musa dan Husam Musa.

Bukan sahaja kedua-dua tokoh Umno dan PAS itu tidak layak bertanding semula kalau mereka meletakkan jawatan, malah semua Ahli Dewan Undangan Neger (Adun), termasuk Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat akan jadi "penggangur".

Sanggupkah semua Adun Kelantan ini "berkorban" melepaskan jawatan masing-masing? Tidak putih matakah nanti melihat orang lain diangkat menggantikan tempat mereka? Tidak melelehkah air liur Annuar melihat orang lain jadi Menteri Besar Kelantan andaikata Umno menang majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila pilihanraya negeri diadakan.

Pastinya, semasa membuat dan menyahut cabaran meletak jawatan itu, semua politikus ini tidak terfikir atau tidak tahu menahu tentang peruntukan undang-undang Malaysia yang dibangkitkan oleh SPR itu.

Mungkin selepas ini, cabar mencabar akan tertumpu pada isu pembubaran DUN oleh Sultan Kelantan pula. Hanya pembubaran oleh Sultan sahaja akan membolehkan wakil rakyat yang sedia ada di DUN Kelantan bertanding semula.

Cerita wakil PAS letak jawatan dan diikuti oleh wakil-wakil Umno, akan senyap selepas ini kerana masing-masing tentunya tidak mahu kehilangan kelayakan untuk bertanding semula. Lainlah kalau semua 44 wakil rakyat yang masih hidup itu, sanggup duduk di luar DUN selama lima tahun sebagaimana yang ditetapkan oleh undang-undang.

Hilang jawatan

Rasanya, amat sukar bagi mereka yang berjawatan tinggi dalam Umno untuk menerima hakikat ini. Tidak pernah terjadi dalam Umno seorang pengerusi badan perhubungan negerinya seorang yang tiada jawatan dalam kerajaan negeri atau kerajaan pusat.

Annuar tentunya sedar kalau beliau tidak lagi menjadi wakil rakyat, kedudukannya sebagai pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan akan tergugat. Ini akan membuka laluan kepada Datuk Mustapa Mohamad dan Datuk Awang Adek Husin untuk menerajui Umno negeri itu kerana mereka masih ada kedudukan sebagai ahli Parlimen dan menganggotai kabinet.

Melihat pada risiko ini, pastinya bekas menteri pembangunan wilayah dan luar bandar tidak sanggup lagi memainkan isu letak jawatan ini. Takut nanti senjata makan tuan. Malah, wakil rakyat PAS juga rasanya tidak sanggup mengorbankan jawatan mereka apabila tiada jaminan boleh bertanding semula. Maklum sajalah, sudah sekian lama selesa dan seronok sebagai Adun, jadi, tidak mudahlah untuk kembali menjadi rakyat biasa.

Yang mungkin akur dan rela kehilangan jawatan mungkin Tuan Guru Nik Aziz kerana beliau tidak akan rugi apa-apa sekalipun tidak lagi menjadi menteri besar. Beliau akan terus disanjung sebagai ulamak. Rumah dan sekolah agamanya di Pulau Melaka akan terus dikunjungi orang.

Sebenarnya isu meletak jawatannya ini tidak lebih daripada satu drama untuk menutup ketakutan dan kelemahan kedua-dua parti dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir ini. Kedua-dua pihak takut kalah. Bagi PAS kalau tewas, kedudukannya sebagai pemerintah di negeri Cik Siti Wan Kembang akan menjadi goncang. Ia akan menggambarkan perubahan yang sedang berlaku dalam parti itu, belum mendatangkan kesan.

Bagi Umno pula kalau kecundang, ia menunjukkan selama dua tahun selepas pilihanraya umum 2004, mereka masih gagal memenangi hati orang Kelantan walaupun pelbagai propaganda dilakukan. Ini membayangkan hasrat untuk mengambilalih negeri itu daripada PAS dalam pilihanraya umum akan datang tidak secerah yang dijangkakan.

Melulu dan melatah

Ia juga secara peribadi akan menjadi tamparan kuat kepada Annuar kerana masih gagal menyatukan ahli Umno untuk menumbangkan PAS. Kedua pihak tertekan, lalu ada pemimpinnya menjadi "desprado", hingga terkeluar kenyataan melulu dan melatah hingga lupa bahawa yang dipertaruhkan dalam pilihanraya kecil ini, hanya satu kerusi.

Mereka hilang fokus, hingga mengheret seluruh negeri ke dalam pilihanraya itu. Yang hendak diisi semula ialah kekosongan kerusi di DUN berkenaan tetapi menjadi hiruk-pikuk seperti sebuah pilihanraya negeri akan berlangsung.

Mungkin sudah sampai masanya bagi pengundi di Pengkalan Pasir bangkit menunjukkan pendirian mereka. Nyatakan kepada PAS dan Umno bahawa mereka bukan buah catur dalam pertarungan politik kedua-dua parti itu. Bagaimana caranya pengundi di sini hendak bertindak? Mudah sahaja, pangkah calon bebas, Datuk Ibrahim Ali. Baru padan muka kedua-dua parti!

Misi balas dendam

Memang, dengan memenangkan Ibrahim, tidak akan menumbangkan kerajaan PAS dari kuasanya dan juga tidak akan mengukuhkan kedudukan Umno dalam DUN, namun sekurang-kurangnya rakyat Kelantan dapat menghantar isyarat bahawa mereka bosan dengan perbalahan, perpecahan dan "politiking" yang melampau antara PAS dan Umno.

Sekurang-kurang suara Ibrahim yang terkenal dengan kebijaksanaannya "melompat" parti itu akan menjadi pengimbang dalam perseteruan PAS dan Umno di negeri itu. Ibrahim boleh memainkan peranan untuk memantau parti pemerintah dan pembangkang di Kelantan. Dengan kelantangan dan keberaniannya, beliau boleh menjadi "mata-mata" yang berkecuali untuk seluruh rakyat di akar umbi.

Bagaimanapun, kemungkinan Ibrahim akan terpilih agak tipis kerana sikap dan pemikiran pengundi negara ini belum cukup terbuka. Mereka masih mengagung-agungkan parti dan simbol daripada individu. Penyokong totok sesebuah parti politik negara ini sanggup terus memangkah parti berkenaan walaupun yang dicalonkan adalah "batang pisang".

Calon bebas tidak mempunyai rekod yang baik di negara ini, kecuali kemenangan Datuk Shahrir Samad dalam pilihanraya kecil Johor Bharu satu ketika dulu. Tambahan pula Ibrahim pernah tewas dalam pilihanraya umum lalu apabila bertanding atas tiket bebas di parlimen Pasir Mas. Penyertaannya di Pengkalan Pasir lebih merupakan misi balas dendam.

Oleh itu, dia tidak dilihat sebagai calon yang serius, sebaliknya hanya"kacau daun" sahaja. Jadi mampukah Ibrahim mengajak pengundi Pengkalan Pasir membuat anjakan paradigma yang besar?

Kalau Ibrahim menang, ia adalah satu keajaiban atau kejutan yang membingungkan. Jika beliau menang, isu PAS dan Umno meletak jawatan akan menjadi relevan semula. Andainya "putera katak" ini menang, memang wajar semua wakil rakyat PAS dan Umno meletak jawatan, kerana rakyat menolak kedua-dua parti itu !

Hanya ini caranya untuk mengajar dan menghukum para pemimpin PAS dan Umno supaya tidak lupa diri!