Paling Popular
Terkini

Kecoh sekejap tempoh hari apabila kerajaan baru gagal melunaskan janji untuk menetapkan 30 peratus menteri adalah daripada kalangan wanita.

Namun kerana banyaknya hal yang berbangkit dan dibangkit sejak penukaran kerajaan, kekecohan itu tenggelam dalam seribu hal yang lebih menular.

Begitulah malang wanita.

Lihat saja kerajaan Saudi yang hanya baru-baru ini membenarkan wanita mereka memandu kenderaan. Mereka ketinggalan dalam hal ini dek kerana kesalahan mereka mentafsir ayat-ayat Allah. Juga atas kebodohan pemimpin mereka yang masih duduk dalam kegelapan budaya kaum mereka sendiri.

Malang kepada kita pula dalam hal kerajaan Saudi ini ialah bila perilaku itu disabitkan kepada Islam.

Islam mengangkat wanita ke tempat tinggi sebenarnya, dengan syarat kamu serius bersikap terbuka apabila berbicara.

Sementara negara barat pula - walaupun berasakan mereka memberi hak sama terhadap wanita - masih terus juga menjadikan golongan berkenaan sebagai objek perniagaan.

Tabah menepis tohmahan

Wanita dipergunakan untuk melariskan barang dagangan, dan yang malang dalam hal ini ialah apabila wanita berasakan mereka kuasa pembebasan milik mutlak mereka.

Malang wanita itu kadang-kadang datang bertimpa-timpa, namun selalunya akan ada sinar bahagia di hujung terowong gelap yang sering mereka lalui.

Kita ada beberapa contoh bagaimana wanita cekal ini akhirnya berjaya duduk di puncak jaya setelah berhempas-pulas mengharung pancaroba hidup.

Kita ambil kisah Timbalan Perdana Menteri kita Dr Wan Azizah Wan Ismail misalnya.

Dapatkah kamu bayangkan kesusahan seorang wanita naif dan lemah dalam semua hal dipaksa membesarkan anak-anak di samping menempis tohmahan yang dilemparkan kepada suaminya?

Kita melihat beliau perlahan-lahan menjadi kuat setelah diasak dengan pelbagai kekejaman yang pada waktu itu sepertinya tidak mungkin akan berakhir.

Pada awal pembabitan politik, beliau dilihat seperti berjuang di atas simpati. Memohon endah daripada penyokong suaminya dan sedikit demi sedikit beliau berjaya menjadi diri sendiri.

Hari ini beliau ialah contoh wanita kental yang melepasi ujian dan menjadikan beliau seorang yang disegani.

Diharap suaminya dengan rela hati, perlahan-lahan boleh ke tepi.

Difitnah dengan pelbagai cara

Lihat pula akan isteri perdana menteri kita.

Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali adalah gambaran ketenangan sejati. Ketika kamu semua mengelar suami beliau sebagai diktaktor, mahafiraun, mahazalim dan seribu tuduhan, beliau tetap tersenyum dan berdiri di belakang suaminya sambil tidak menggangu sesiapa kecuali menjadi comel.

Dan siapa boleh menafikan akan kecomelan beliau?

Siapa yang tidak bergenang air mata melihat betapa kuatnya wanita kecil ini memberi semangat dan mengajar kuat kepada si suami yang pada waktu itu menjadi manusia paling dibenci oleh musuh politiknya (baca: kamu).

Hari ini Siti Hasmah menjadi kesayangan semua. Penyokong mencintainya dan pembangkang mencemburuinya.

Dalam menyebut perihal "wanita-wanita sorga" tentu kita tidak boleh tidak untuk menyebut Datin Seri Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri kita yang kini sedang tenat menghadapi tuduhan berat.

Rosmah menjadi malang sejak sebelum suaminya bergelar perdana menteri lagi.

Amat menyedihkan perihal apa yang berlaku kepada ‘ibu negara’ kita itu. Beliau difitnah dengan berbagai cara. Dituduh mencuri suami orang, dikatakan pengamal ilmu hitam dan dibenci oleh saudara dan anak sendiri!

Apakah kesedihan yang lebih besar dari dibenci oleh anak sendiri...?

Mereka lalu mengumpul musuh-musuh beliau - yakni mereka yang tidak mendapat habuan atas kepentingan suami beliau - dan merakamkan berpuluh video benci dan dimuat naik ke YouTube untuk seisi dunia melihatnya.

Menceritakan ini pun mendatangkan sayu yang amat besar kepada kami.

Contoh pasangan bercinta

Tidak dapat dibayangkan penderitaan zahir dan batin yang dihadapi oleh wanita tabah berkenaan.

Setiap hari pasti ada saja cerita yang memburukkan beliau di media massa bahkan ianya menjadi kerjaya kepada sesetengah orang.

Malah kata-kata "menabung dari kecik" yang asalnya satu jenaka oleh entah siapa, dikatakan kononnya keluar dari mulut suci beliau.

Semoga mereka yang mereka-reka jenaka itu mendapat balasan setimpal, di dunia apatah lagi di akhirat nanti.

Dunia tahu betapa cintanya beliau kepada suami dan dunia juga tahu betapa mereka adalah contoh loving couple yang sempurna.

Dan kerana itu, mereka yang mahu dekat dan mendapat natijah baik daripada suami beliau telah menghadiahkan berbagai barang berjenama dengan harapan Datin Seri tersebut akan cuba mempengaruhi suaminya.

Kita semua tahu itu semua tidak berlaku kerana beliau bukan jenis begitu. Bukan jenis yang mencampuri urusan suami. Beliau seorang isteri yang sebaik-baiknya, mana mungkin berperangai melulu?

Semua yang dilakukan difikir dan difikir lalu difikir lagi sebelum membuat keputusan, sementara keputusan itu sendiri diambil setelah memikirkan pula kesejahteraan umat dan negara.

Malangnya hadiah-hadiah itulah yang sekarang ini datang menghantui mereka sekelamin.

Keiklasan beliau menerima hadiah sebagai tanda persahabatan mulia menjadi belati yang menikam belakang. Lukanya tidak nampak dipandang mata, sedang darah membuak menambah derita.

Tidak pernah sekali pun kita lihat beliau melenting apabila dituduh dan difitnah, dicaci dan dicebik. Biasanya beliau akan berjenaka mengenainya sambil bernyanyi dan menari - dua kecintaan beliau yang tentunya menjadi penghibur lara yang sering menghantui.

Beliau ada album muzik untuk membuktikannya, dan khabarnya dijual dalam kuantiti yang banyak. Itu menjadi bukti beliau memang dicintai ramai.

Kami yakin beliau dengan rela memaafkan semua penista berkenaan. Beliau memang baik, pemaaf dan pembantu.

Ingin jadi pengganti

Kini beliau sedang diuji teruk. Suaminya difitnah tidak amanah dan kata-kata yang didengar adalah beliau akan didapati bersalah berdasarkan bukti-bukti yang ditemukan.

Belum pernah lagi ada wanita yang diuji sebegitu. Yang dituduh suaminya sedang dia yang memikul batu. Dihukum sebelum diputuskan oleh mahkamah. Dihina sepanjang hari. Dijadikan bahan ketawa. Penampilannya diherdik semua sedang dihatinya cuma ada PERMATA - iaitu pusat akademi yang giat melahirkan genarasi berminda tinggi.

Bahkan setelah digulingkan, beliau sempat berpesan agar PERMATA diteruskan. Begitulah mulia hatinya. Memikirkan nusa lebih daripada dirinya sendiri. Rela jasad dijadikan baja demi tumbuhnya pohon ilmu peneduh semua bangsa.

Andai kata Dr Wan Azizah dan Dr Siti Hasmah digabungkan menjadi satu, maka itulah Rosmah, wanita sorga yang patut menjadi teladan dan ikutan semua.

Kami mengharapkan beliau juga dilimpah rahmat yang sama seperti dua wanita di atas sana. Menjadi tabah dan cekal. Mengharung denai berlumpur dengan senyuman paling manis.

Sememangnya beliau memiliki senyuman bermadu yang membawa tenang siapa pun melihatnya.

Dada menjadi sesak, air mata mula bergenang dan imbuan segala macam kelembutan dalam keayuan semula jadi beliau tergambar di ruangan mata apabila melihat beliau memandang sayu suaminya di mahkamah tempoh hari.

Andai dibenarkan waktu itu, ingin saja kami jadikan diri ini sebagai ganti. Biar derita yang mengunung yang ditanggung beliau jatuh menghempap diri kami.

Setelah semuanya, kami yakin Rosmah memang kuat dalam menghadapi musibah ciptaan musuh-musuh politik beliau.

Tidak apa Datin Seri, ini adalah bala kepada mereka sedangkan kita tahu ini adalah ujian dari pihak paling tinggi demi untuk menaikkan Datin Seri ke darjat yang paling, paling tinggi.

Setelah derita, bahagia pasti tiba. Bertabahlah Datin Sri. IM4U...

 

NOTA PENGARANG: Tulisan ini bersifat satira dan semua gambar yang tersiar di sini adalah bertujuan untuk hiasan semata-mata.


ABDULLAHJONES ialah penulis, penyair, jurufoto, pelukis, dan pencinta wanita-wanita yang sudi dipecahkan hatinya.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS