Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Hampir dua dekad lalu, sewaktu bekerja dengan sebuah GLC kerajaan Dubai, bos besar memanggil saya ke pejabat. Dia menerangkan ada sebuah projek baharu yang bakal menjadi mercu tanda.

Projek 'International City' itu berkonsepkan pelbagai kluster mengikut reka bentuk negara-negara yang ada di dunia. Tiada negara Malaysia dalam senarai.

Fasa pertama adalah sebuah mall bernama 'Dragon Mart' dalam kluster 'Chinatown'. Menurut bos, fasa pertama ini, kerajaan China memberi geran sejumlah ratusan juta dolar sebagai tapak pertama untuk China ke Arabia.

Konsep Dragon Mart itu juga mudah, semua bahan pembinaan dan dalaman mesti dari negara China dan bila siap akan menjadi mall terbesar di luar China menjual hanya produk dari negara China. Ada dalam 5,000 kedai dalam Dragon Mart yang panjangnya hampir 1km.

Tugas saya seperti mana projek lain adalah menyiapkan prasarana IT dan telekomunikasi dari reka bentuk kepada pembinaan sehingga siap untuk kegunaan. Bersama para arkitek dan jurutera lain, kami menyediakan keseluruhan projek mengikut apa yang dirancang.

Itulah juga kali pertama saya menjalankan projek secara tidak langsung dengan kerajaan China. Garis panduan bawah geran kerajaan China, termasuk spesifikasi.

Cabaran pertama yang saya hadapi ialah memastikan spesifikasi IT dan telekomunikasi menepati piawiaan tempatan, terutama kabel dan peralatan. Bukan mudah untuk berbincang dengan wakil kerajaan China yang sudah tentu mahukan spesifikasi mereka dituruti sepenuhnya.

Apalagi ketika itu, untuk menjimatkan kos pembinaan di pelbagai projek hartanah lain bawah GLC tersebut, saya telah menandatangani perjanjian perolehan dengan beberapa syarikat pengeluar kabel dan peralatan terkemuka dunia yang memberi 80 peratus diskaun.

Tindakan saya itu sebenarnya tidak digemari oleh pihak konsultan, subkontraktor dan kontraktor utama kerana melupuskan keuntungan mereka dalam pembekalan. Saya berjaya meyakinkan syarikat yang tindakan 'di luar kotak' dan tidak mengikut kebiasaan itu menambah keuntungan.

Akhirnya, pihak yang terbabit bersetuju mengikut cara saya walau tentunya tiada produk China yang digunakan dalam pembinaan Dragon Mart dan Chinatown.

Dragon Mart pada hari ini sudah mempunyai Dragon Mart 2 dan terus popular sebagai destinasi membeli belah di UAE. Sentiasa penuh dengan pelanggan yang datang dari negara-negara Teluk. Begitupun Dragon Mart 2 yang 'upmarket' berbanding Dragon Mart asal nampaknya masih kurang sambutan disebabkan suasana yang berbeza.

Selepas hampir dua dekad juga, kluster Chinatown dipenuhi warga China dengan pelbagai kedai dan restoran makanan China Muslim yang menjadi tarikan. Ramai juga warga China yang memeluk Islam selain warga China dari kawasan-kawasan Muslim yang berhijrah ke sini.

Warna, wajah dan suasana berbeza

Dianggarkan lebih 250,000 warga China dan 4,000 syarikat warga China di Dubai yang bukan sahaja menguasai Dragon Mart dan Chinatown, malah beberapa lokasi membeli belah tradisi yang sebelum ini dikuasai oleh warga India seperti di kawasan Naif.

Kalau dahulu kawasan membeli belah tradisi Naif hampir seratus peratus dikuasai oleh warga India, Pakistan, Iran dan Afghanistan, semenjak lebih sedekad lalu menjadi tapak untuk warga China meluaskan penguasaan perniagaan.

Warga China juga telah melebarkan sayap dalam ruang lain dan membawa warna, wajah dan suasana berbeza kepada Dubai. Sebagai hab perniagaan utama, kebanjiran warga China memeriahkan lagi keadaan.

Seramai satu juta pelancong dari negara China melawat UAE tahun lepas dan sememangnya sudah menjadi biasa melihat hotel-hotel dipenuhi oleh mereka sepanjang waktu.

Malah warga China diberi visa sewaktu ketibaan, sewaktu yang tidak pernah diberikan kepada warga India, Pakistan, Bangladesh dan lain-lain dari Asia, kecuali Jepun, Malaysia, Singapura dan Brunei.

Minggu lalu, Presiden China, Xi Jinping buat pertama kali membuat lawatan rasmi ke UAE selama tiga hari. Sebanyak 13 perjanjian dua hala dalam perdagangan, pelaburan, ekonomi dan kewangan yang ditandatangani.

Dagangan dua hala antara UAE dan China adalah USD50 bilion setahun dan bakal mencecah AS$80 bilion dua tahun lagi.

Paling menarik ialah syarikat-syarikat minyak China diberi pelbagai konsesi dalam menerokai telaga minyak. Sesuatu yang boleh membawa peningkatan dalam pengeluaran minyak sebagai komoditi yang diperlukan oleh China dalam menjana pembangunan dan perindustrian.

UAE juga termasuk dalam Inisiatif Jalan Sutera China untuk membina prasarana darat dan maritim di 68 buah negara. UAE menjadi pusat penting Jalan Sutera ini sebagai hab mengedarkan produk China di Arabia. Sebanyak 60 peratus barangan China melalui UAE sebelum diekspot semula ke Arabia, dalam AS$70 bilion setahun.

Kerjasama ini juga penting ketika Presiden Donald Trump melakukan perang tarif dengan China yang pastinya mahu alternatif lain untuk memastikan tidak terjejas.

Para pelabur China juga terus menambah pelaburan hartanah di UAE dan sehingga kini berjumlah tiga peratus dari mereka yang membeli hartanah terbaharu di Dubai sahaja.

Kerana itu apabila melihat kembali ke hampir dua dekad lalu, Dubai yang sudah mencecah penduduk lebih tiga juta orang tentunya tidak menyangka dari Dragon Mart dan Chinatown, kedatangan warga China menambah rempah ratus kehidupan yang jauh berbeza!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS