Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Terik matahari awal Ogos yang meniti kulit lenganku siang tadi kini membawa ke malam dengan bahang dan haba panas naik berkuap.

Kami baru usai makan malam, dan berjalan kaki melilau di bandar Okinawa, melintasi jalan-jalan kecil menyusur di seluk kejiranan dari Jalan Pintu 2 menuju Goya Crossing. Aku membayangkan penjuru pekan kecil yang satu masa dahulu dikenali sebagai Koza.

Di sini lagu-lagu rakyat Ryukyu bersipongang di setiap bucu dinyanyikan oleh Seijin Noborikawa dan Rinsuke Teruya. Satu ketika dahulu, malam-malam berbahang seperti malam ini, di Koza, kelab malam dan bar memperagakan kumpulan jazz yang menghiburkan pengunjung – seringnya tentera Amerika - dan gema muzik itu diekori oleh irama pop, dan rock’n roll.

Tatkala era Perang Vietnam, tentera Amerika yang berpangkalan di Okinawa menanti masa untuk pulang ke Amerika atau disorong ke medan perang di Asia Tenggara akan mabuk di bar-bar daerah Koza, berhibur dan melayan latar muzik yang dinamai hari ini “Okinawan Rock.”

Aku membayangkan kumpulan Murasaki dan Condition Green yang mewakili genre tersebut, memainkan lagu-lagu mereka. Terngiang Masao Shiroma menyanyi ‘Fly Me Away’ dengan ketika gitar Kiyomasa Higa dan Yukio Shimoji. Entah mengapa, lagu-lagu rock itu serasa dipengaruhi oleh "Le Pourpre Profond" dan Ritchie Blackmore.

Bermula dari menyanyi di hadapan tentera Amerika, George Murasaki, dan kembar Toshio dan Masao Shiroma menggemparkan tanah besar Jepun. Kumpulan rock Murasaki melesat menjadi ikon waktu itu.

Sehingga hari ini, Okinawa masih dianggap sebagai kilang melahirkan penyanyi dan pemuzik berbakat di Jepun. Di Okinawa, pertembungan tradisi Ryukyu, Jepun dan kemudian Amerika Syarikat membentuk masyarakat kreatifnya menjadi kumpulan seniman yang bergaya.

Perang Dunia Kedua berakhir dengan penyeksaan yang tidak tertanggung di Okinawa. Amerika menduduki Jepun sekitar tujuh tahun dan meninggalkannya dalam bulan April tahun 1952. Namun demikian, Okinawa, yang sudah dikorbankan dalam perang; perlu menanggung biawak hidup sehingga tahun 1972. Amerika hanya melepaskan Okinawa pada tahun 1972.

Dari Okinawa-lah dalam tahun-tahun 1970-an Amerika Syarikat meluaskan pengaruhnya di Asia Tenggara, mengganggu Indonesia, meratah Vietnam dan Kemboja; mengintai Malaysia dan Singapura.

Okinawa sedar, saudara masa silamnya di Asia Tenggara, dunia Melayu sedang dirundung dan diasak. Okinawa perlu ke hadapan lagi. Okinawa mesti terus melawan. Meski kehadiran Amerika di Okinawa telah merencahkan landskap seni di pulau itu, penjajah dan penakluk seperti Amerika masih dibenci.

Ada salak dan gonggong anjing sayup-sayup kala kami santai berjalan, iseng-iseng mengambil angin malam.

Waktu sudah melepasi tengah malam di pertengahan minggu, daerah Koza tersebut sudah hening sunyi. Bulan mumbul di permukaan langit. Pada tahun 1970, lima hari sebelum Krismas, Koza menyaksikan satu rusuhan spontan yang melibatkan sekitar 5,000penduduk Okinawa bertembung dengan sejumlah 700 polis tentera Amerika.

Tentera mabuk

Tidak jauh dari pangkalan tentera udara Kadena, empat orang tentera Amerika yang mabuk melanggar seorang lelaki tempatan. Setelah memastikan lelaki tersebut berdaya bangun sendiri, mereka ingin meninggalkan tempat kejadian. Akan tetapi beberapa orang pemandu teksi di daerah merah kota Okinawa itu mulai meneriak “Balik Yankee”. Serta-merta beberapa kejadian langgar lari yang sering berlaku sebelumnya dikenang kembali. Bukan sekali tentera Amerika terlindung dari undang-undang padahal mereka bersalah. Serta-merta rasa perit jerih di bawah penjajahan Amerika melanda ulu hati. Tiba-tiba juga kenangan masa perang yang belum jauh merumba apinya terbakar kembali.

Apabila polis tentera Amerika tiba untuk membantu kawan-kawan mereka, khalayak semakin bertambah. Entah bagaimana rusuhan tercetus, dan penduduk Koza yang memendam dan memeram kemarahan melancarkan rasa tidak puas hati tersebut. Kenderaan diterbalikkan, kelab-kelab malam yang melayani tentera Amerika diserang dan sana sini terbakar dan huru-hara. Batu bata dan botol berterbangan. Bunyi siren dan suara menghamun Amerika berkesiuran. Sekelip mata kekecohan membesar. Rusuhan berlanjut sepanjang malam sehingga pukul tujuh pagi.

Memang tiada yang terkorban. Akan tetapi itu menjadi simbol perlawanan yang tiada berbelah bahagi orang Okinawa terhadap keberadaan tentera Amerika di pulau kesayangan mereka.

Meskipun setelah Okinawa dipulangkan seperti sebuah barangan kembali kepada Jepun pada tahun 1972, insiden tentera Amerika membuat jenayah dan dilepaskan berterusan. Pada tahun 1995, seorang anak perempuan 12 tahun diculik, dipukul dan diperkosa bergilir-gilir oleh dua tentera marin Amerika dan seorang tentera laut di Kin, Okinawa. Mereka yang tertuduh adalah Roderico Harp, Kendrick Ledet dan Marcus Gill. Tingkah laku tentera Amerika yang menyamun, bergaduh, memecah barang, menceroboh, melanggar lari dan mabuk menyusahkan penduduk Okinawa pada skala harian. Sejak tahun 1972 sehingga 2015, 574 jenayah keji dilaporkan; 1062 jenayah ganas; kecurian sebanyak 2928, kelakuan tidak senonoh 71 kes dan lain-lain kes berangka 1024.

Pada 29 Jun 2001, tentera udara Timothy Woodland pula ditahan kerana merogol seorang perempuan tempatan. Selain pada 2 November 2002, tentera marin Michael J Brown mencabul kehormatan seorang pelayan Filipina. Kemudian pada 25 Mei 2003, Lans Korporal Jose Torres mematahkan hidung seorang gadis 19 tahun dan memperkosanya, sekali lagi kejadian ini berlaku di desa Kin. Awal tahun 2005, seorang Staf Sarjan mencabul seorang kanak-kanak sepuluh tahun dan merakam foto bogelnya. Kes paling kekal dalam ingatan ialah pada tahun 2008, Tyrone Luther Hadnott merogol seorang kanak-kanak 14 tahun yang membuatkan penduduk Okinawa kembali ke luar ke jalanan.

Dalam keadaan yang merimaskan dan menjengkelkan ini, tentera Amerika kekal di Okinawa. Kerajaan Jepun kekal membiarkan Amerika berada di situ dengan momokan bahawa Korea Utara boleh beraksi pada bila masa, atau konon kuasa China membimbangkan, lantas kenangan pahit Perang Dunia Kedua kembali menghantui penduduk Okinawa; apakah mereka akan dibiarkan terkorban dan disembelih di medan hadapan sekali lagi?

Perlu dinotakan di sini, sepanjang kehadiran tentera Amerika selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua di Okinawa, mereka bukanlah hadir selaku penyelamat. Memang tidak sepenuhnya dongengan ciptaan tentera Jepun bahawa musuh mereka Amerika akan datang meratah daging manusia hidup-hidup, atau merogol perempuan sepanjang harian menjadi kenyataan; tetapi rekod yang ada, meski disembunyikan kerana ingin memelihara maruah masih menunjukkan kehadiran tentera Amerika itu sangat menakutkan.

Demonstrasi 5,000 hari

Mereka mengambil kesempatan daripada tahanan perang yang tidak berdaya dan lemah. Toshiyuki Tanaka dalam bukunya Japan’s Comfort Women: Sexual Slavery and Prostitution During World War II percaya pemburuan wanita berlaku secara berleluasa di Okinawa selepas tentera marin Amerika mendarat.

Di Okinawa, kemalangan dari latihan ketenteraan Amerika juga kerap berlaku. Antara yang diingati dan mengorbankan nyawa adalah jatuhnya sebuah helikopter Amerika ke atas bangunan Universiti Antarabangsa Okinawa pada bulan Ogos 2004, dan terhempasnya sebuah jet pejuang Amerika di atas bangunan Sekolah Tinggi Miyamori pada bulan Jun 1959.

Kisah di atas akan memahamkan kita mengapa penduduk Okinawa membantah kehadiran Amerika di pulau itu. Pada tahun 2016, 65 ribu orang berdemonstrasi agar tentera Amerika dan Kerajaan Jepun mengakhiri pangkalan-pangkalan tentera Amerika yang sedia ada di Okinawa.

Pada 19 April 2004, sekumpulan penduduk Okinawa mulai memprotes pembesaran dan pemindahan pangkalan Futenma ke Henoko, Okinawa. Mulai Julai 2014 juga mereka mulai membantah di hadapan pagar Kem Schwab. Bantahan dan demonstrasi itu masih berlangsung sehingga kini dan telah melampaui 5,000 hari.

Bayangkan sebuah demo, kadangkala saiznya besar sebesar 30,000 orang pembantah, dan kadang-kala sekecil 500 orang berlaku setiap hari, tanpa henti, tidak kira apa cuaca; termasuk pada hujung minggu; selama lapan jam setiap hari dan kadangkala diikuti oleh mangsa-mangsa Perang Dunia Kedua yang masih hidup.

Inilah sumbangan besar dari demonstran ini untuk hayat gerakan hak asasi manusia.

Bersambung…


FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

 

BERKAITAN
Bahagian 1: Okinawa melawan
Bahagian 2: Menangis di Haebaru
Bahagian 3: Gua kematian Itokazu Abuchiragama
Bahagian 4: Peperangan bawah umur

Lihat Komen
ADS