Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images

Laporan The New York Times (NYT) garapan Louise Story telah meledak pada 8 Februari 2015. Heboh, heboh, heboh seluruh dunia. Nama Jho Low dan Riza Aziz menjadi sebutan.

Malah tak semena-mena nama pelukis Van Gogh, Picasso, Monet dan Basquiat melekat sama. Rupa-rupanya duit yang didakwa hasil samun ini telah juga digunakan untuk membeli lukisan sebagai bentuk pelaburan. Cis, berlagak macam pemilik cita rasa canggih!

Tak cukup dengan Picasso, si tembam ini juga menggunakan duit samun untuk bercanda-canda dengan minah dan mamat Hollywood. Maka nama Martin Scorsese dan De Caprio juga muncul. Opps, hampir terlupa si temban ini ada ‘taste’ terhadap minah kaya langsing Cik Siti Paris Hilton.

Sebenarnya heboh-heboh ini hanya permulaan. Ketika heboh merancak saya mengambil kesempatan untuk memasang tajur. Saya sedang menajur satu lagi politik jalan raya.

Saya amat yakin tanpa politik jalan raya mustahil Najib (Razak) dan United Malays National Organisation dapat dikalahkan. Saya tidak pernah berganjak daripada pandangan ini.

Sayugia diingati politik turun ke jalan raya untuk BERSIH bukan satu yang mudah diurus. Ramai jaringan kaum kerabat BERSIH yang mengambil garis “kami NGO tak campur politik”.

Ada juga yang membuat dasar bahawa sebagai NGO mereka wajib non-partisan tidak menyebelahi mana-mana pihak. Walaupun pihak itu penyamun dan pembunuh misalnya, we are non-partisan. Ada juga NGO yang sakit jiwa tidak mahu regime change atau menjatuhkan kerajaan. Ops, menggantikan kerajaan.

Hairan bin Pelik, inilah garis pandang banyak NGO dalam negara kita. Aduh! Dari kangkang kera mana NGO ini belajar membuat dasar sebegini hanya Guru Nanak sahaja yang tahu. Amin.

Dari pengalaman, yang paling mudah menganjurkan politik jalan raya ialah dengan Mat Sabu. Ini pengalaman saya merancang dan menyusun Hari Kebangkitan Rakyat pada 12 Januari 2013.

Idea dilambung. Tarikh dipilih. Kemudian kami ke hulu ke hilir – ke seluruh Semenanjung menghasut rakyat untuk turun ke jalan raya. Secara jelas kami berkempen menimbulkan kebencian terhadap Najib, Rosmah dan United Malays National Organisation.

Hasilnya hampir 400,000 anak semua bangsa turun ke Stadium Merdeka. Jumlah ini lebih ramai berbanding dengan kedatangan peminat bola Manchester United lawan Arsenal di Stadium Wembley.

Sesudah 8 Februari 2015 nasib saya bertambah baik. Tajur dan hasutan saya menjadi lunak. Umpan saya mengena. Saya wajib akui bahawa jawapan bangang lagi bodoh daripada Najib membantu tajur saya menjerat BERSIH.

Dari awal lagi si Najib bersilat lidah bila berhadapan dengan kes 1MDB dalam tulisan NYT. Kini kes 1MDB berpindah dari NYT ke akhbar Wall Street Journal (WSJ). Akhbar WSJ adalah suara hati kaum pemodal dunia. WSJ yang berpangkalan di New York bertambah ganas menyerang Najib.

Awalnya mengikut jawapan Najib - duit RM2.6 bilion adalah duit sedekah jariah tok Arab. Bukan untuk kegunaan Najib anak beranak. Bukan untuk Najib membeli quinoa. Dunia tahu duit ini dari Jho Low yang memasukkan ke akaun peribadi Najib di Ambank.

Sedekah tok Arab

Najib menerangkan kepada orang ramai bahawa tok Arab beri duit sedekah kerana Najib berani melawan IS. Kenyataan Najib ini menjadi lawak bodoh. Ini kerana ketika duit ini masuk ke akaun Najib, kempen anti-IS belum wujud.

Kemudian Najib bersilat lagi. Najib bersilat untuk orang Islam parti PAS. Mengikut Najib duit untuk memperkukuh dan membantu kemenangan kerajaan Islam Najib. Ertinya duit ini untuk PRU13.

Sebagai bukti RM1 juta dan RM2 juta diberi untuk kerja politik di dua kawasan di Johor. Dua-dua penyokong Najib ini mengakui telah menerima duit sedekah Tok Arab ini.

Saya pantas mengambil kesempatan. Bila ada sangkut paut dengan pilihan raya maka tajur saya mengena. BERSIH terjerat. Saya mengolah persetujuan dengan membuktikan bahawa dana kemenangan Najib dalam PRU13 ditaja oleh dana luar.

Saya laungkan jika orang luar campur tangan maka BERSIH wajib bertindak. Mamat dan minah NGO yang non-partisan yang mengaku lebih suci daripada sabun Fab tidak ada pilihan tetapi wajib menyokong.

Menyokong apa? Sokong BERSIH turun ke jalan raya.

Tarikh dipilih. Seperti biasa, mengikut ajaran Mat Sabu kita ada tiga pilihan tempat berhimpun. Pertama Dataran Merdeka, kedua Dataran Merdeka dan ketiga Dataran Merdeka. Datuk Bandar dan ketua polis Dang Wangi boleh melompat dan mengambur untuk membuat pilihan.

Demo kali ini berlangsung selama dua malam. Satu pembaharuan. Tapi saya memerlukan lebih dari ini. Saya amat yakin jumlah yang turun akan melimpah. Kes 1MDB memang menjadi umpan tajur.

Rosmah dengan beg tangan Birkin memang menimbulkan kebencian. Najib dengan sedekah Tok Arab menjadikan hasutan saya bergetah dan melekat.

Tapi saya masih perlukan sesuatu pembaharuan. Dari pemerhatian saya rasa BERSIH3 ada serangan ganas daripada Najib. Jika ini berlaku sekali lagi maka imej BERSIH akan melambung tinggi.

Media luar negara akan menjadi batu api. Lagi ramai penunjuk perasaan kena gasak lagi rancak media luar negara menyerang Najib.

Saya yakin akan fakta media luar ini. Hakikatnya setelah tulisan Louise Story muncul di NYT semakin banyak media luar negara merasa selesa untuk menibai Najib dan United Malays National Organisation.

Tarikh untuk BERSIH4 makin hampir. Saya berbincang dengan kawan wartawan saya yang menghubungkan saya kembali dengan 'orang Tun.' Hanya satu permintaan daripada saya—meminta Dr Mahathir Mohamad turun sama dalam BERSIH4.

Ini satu permintaan yang sukar. Sejarah telah merakamkan bagaimana pada pagi Selasa 3 Disember 1974 saya telah menganjurkan demontrasi kaum pelajar Universiti Malaya (UM) untuk menyokong kaum tani dan penoreh getah di Baling, Kedah.

Falsafah demo Mahathir

Pada subuh Ahad 8 Disember 1974 soldadu dan polis menceroboh masuk ke dalam kampus UM dan Universiti Kebangsaan untuk menangkap pemimpin pelajar bawah ISA. Ketika ini Mahathir ialah menteri pelajaran.

Mahathir Mohamad memiliki falsafah bahawa demo bukan budaya kita. Setiap kali Mahathir berucap dia akan mengeluarkan falsafah ini. Mengikut pandangan Mahathir keluar berdemo membuang masa. Justeru pelajar wajib menumpu pada pelajaran bukan berdemo.

Meminta Mahathir turun berdemo? Maknanya meminta Mahathir belot?

Permintaan ini lebih sulit untuk dikabulkan dari permintaan hantaran Puteri Gunung Ledang kepada Sultan Mahmud. Saya sedar hal ini. Selama ini Mahathir yang dicap Mahafiraun di era Reformasi amat benci kepada tunjuk perasaan jalan raya.

Amat jelas Hishamuddin Rais dan Mahathir Muhamad dua sosok yang memiliki falsafah yang berbeza-beza dalam hal tunjuk perasaan. Saya percaya kepada politik jalan raya. Mahathir benci dan menentang politik jalan raya.

BERSIH secara rasmi tidak mempelawa Mahathir untuk turun berdemo dalam BERSIH4. Tapi saya secara gelap-gelap telah berunding dengan 'orang Tun'.

Semua ini saya lakukan tanpa pengetahuan anggota pemandu BERSIH. Saya sedar dalam kepimpinan BERSIH ada beberapa mamat non-partisan. Justeru saya langkah mereka.

Kali ini saya telah bekerjasama dengan Zaid Ibrahim sebagai orang perantaraan. Daripada apa yang saya difahamkan Zaid ini boleh berhubung terus dengan Mahathir atau dengan pasukan Mahathir.

Pada 29 Ogos 2015 jam 3 petang saya diberitahu oleh Zaid bahawa Mahathir akan turun pada jam 4.30. Desas-desus Mahathir akan turun telah dicium oleh kepimpinan BERSIH.

Jika Mahathir turun, BERSIH tidak dapat buat apa-apa. Justeru pimpinan BERSIH memberi arahan - no main stage for Mahathir, Mahathir diharamkan naik pentas utama BERSIH. Ini dasar BERSIH pada ketika itu.

Lalu saya merancang dan meminta Mahathir datang ke wilayah LRT Masjid Jamek. Di sana ada pentas kecil. Saya memberi tahu rancangan ini kepada Tian Chua. Bila Mahathir sampai kami akan laungkan: Tun! Tun! Tun!

Saya cukup yakin para demonstran akan ikut sama melaung. Laungan ini adalah desakan orang ramai untuk memanggil Mahathir berucap di pentas kecil atas Jalan Tun Perak.

Saya juga memanggil Ibrahim Haris juru video Reuters. Sebelum bekerja dengan Reuters si Brahim ini adalah graduan Universiti Bangsar Utama.

“Kamu nak scoop, tunggu di sini. Mahathir akan datang, sediakan kamera kamu.” Khalas.

Jam 4 lebih Mahathir sampai ke Pasar Seni. Brahim, Tian Chua dan saya menunggu di Jalan Tun Perak di sebelah mahkamah lama. Tetapi Mahathir tidak muncul-muncul.

Ombak orang ramai menggila. Kami berasak-asak. Ribuan penunjuk perasaan ini telah menggagalkan Mahathir dari berjalan dari Pasar Seni ke LRT Masjid Jamek. Media dan orang ramai berpusu-pusu datang untuk melihat Tun. Projek saya untuk memberi Mahathir berucap di Masjid Jamek gagal.

Kemenangan peribadi

Gagal?

Tidak saya tidak gagal. Sejarah membuktikan saya telah berjaya menghasut Mahathir. Pada 29 Ogos 2015 Mahathir Mohamad telah belot.

Mahathir dalam usaha untuk menjatuhkan Najib telah menerima hakikat bahawa politik jalan raya adalah salah satu cara untuk menjatuhkan kerajaan zalim.

Sejarah merakamkan bagaimana pada petang Sabtu, 24 Oktober 1998 saya telah ditahan di hadapan Sogo. Esok di muka hadapan Mingguan Malaysia, perdana menteri Mahathir Mohamad telah menuduh saya sebagai dalang gerakan Reformasi.

Pada BERSIH4 Mahathir belot demi kepentingan negara. Mahathir telah meninggalkan falsafah “demo bukan budaya kita”. Kini demo telah menjadi budaya politik kita.

Untuk saya ini kemenangan peribadi. Selama ini saya dicap sebagai musuh negara kerana saya percaya kepada jalan raya. Saya bukan saja menganjurkan politik jalan raya malah saya menghasut melalui tulisan tentang falsafah politik jalan raya.

Esoknya hari kedua BERSIH4 - pada petang Ahad 30 Ogos 2015 Mahathir turun sekali lagi ke jalan raya. Sah dan sahih Mahathir telah belot.

Sah dan sahih Mahathir menerima hakikat bahawa politik jalan raya adalah budaya kita. Lepas belot ini nak buat apa? Tunggu minggu depan. 


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS