Paling Popular
Terkini

Anak semua bangsa akan bertanya apakah ada konspirasi dari luar untuk menjatuhkan Najib dan United Malays National Organisation pada 9 Mei 2018 dahulu. Jawapan saya senang sahaja. Betul ada. Memang ada konspirasi luar.

Jawapan saya ini bukan kerana saya memiliki jaringan risikan yang kompak. Atau saya memiliki hubungan rapat dengan jaringan intel. Tidak. Saya tidak memiliki semua ini.

Jika tidak memiliki hubungan intel bagaimana saya begitu yakin tentang wujudnya konspirasi luar yang berkerja untuk menjatuhkan Najib?

Saya berani berkata dan mengeluarkan pandangan sademikian hanya dengan keupayaan mengumpul dan memeta bahan dan maklumat terbuka. Dalam istilah intel ini dinamakan risikan ‘open source’.

Risikan jenis ini mewajibkan seseorang mengumpul dan mengarkibkan semua berita yang bersangkutan. Kemudian dibuat garis masa untuk menganalisa tanda dan makna dari berita ini. Juga menganalisa secara teperinci apa yang tersurat dan apa yang tersirat dari berita ini.

Sebenarnya intel ‘open source’ ini amat mudah. Kita tidak perlu badan risikan rasmi. Tidak perlu kaki tangan dan tali barut. Tidak perlu mengintip e-mail, mencuri dengar panggilan telepon atau mencuri rakam video di bilik tidur atau bilik hotel. Yang diperlukan hanyalah keupayaan fikrah menganalisa bahan-bahan yang dapat dibaca dari media secara terbuka. Inilah asas intel saya.

Apakah ini bermakna kemenangan 9 Mei 2018 tidak berjaya jika tidak ada bantuan luar. Tidak. Jangan silap faham. Kemenangan 9 Mei 2018 itu adalah kemenangan anak semua bangsa warga Malaysia melawan kejahatan Najib dan kuncu-kuncunya. Sama ada bantuan luar ada atau tidak ada bukan satu yang penting.

Bantuan media luar ini menambah meriah suasana pesta menjatuhkan Najib. Hakikatnya jika anak semua bangsa enggan turun ke jalan raya menyokong BERSIH, Najib tidak akan jatuh. Jika anak-anak muda enggan berdemo - Tangkap Mo1 - maka hari ini Najib dan Rosmah masih berkuasa.

Senapang dan meriam di tangan kita. Media luar hanya memberi laporan membantu mencerahkan suasana. Media luar hanya melapor tembakan dan ledakan. Membantu menyakin mereka yang masih ragu-ragu terhadap Najib.

Jika anak semua bangsa tidak mahu menjatuhkan Najib maka Najib dan Rosmah masih lagi di atas takhta. Media luar atau kuasa luar boleh menjerit terpekik terlolong - satu habuk tidak kan berubah.

Contoh terbaik ialah Syria. Kuasa Zionis-Anglo-Amerika-Wahabi telah cuba menjatuhkan Bashar tapi semua gagal. Senjata dari Amerika yang dibeli melalui riyal Saudi dihantar kepada pengganas untuk menyerang Syria. Gagal. Ini kerana rakyat Syria masih menyokong teguh kerajaan Bashar.

Justeru sebelum parlimen dibubar saya amat yakin bahawa Najib dan United Malays National Organisation akan dimasukkan ke dalam tong sampah sejarah. Keyakinan saya berganda-ganda lebih tinggi dan lebih kukuh dari Wisma Yakin di Jalan Masjid India.

Keyakinan ini berasaskan sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan. Ombak ampuh kebencian orang ramai terhadap Najib dan Rosmah cukup jelas. Semua ini disahihkan dan diafdalkan oleh laporan media barat.

Kenapa percaya kepada media barat? Bagaimana pula dengan media tempatan?

Media tempatan dari zaman Mahathir berkuasa terutama salepas 1998 telah tidak diyakini orang ramai. Rakyat Malaysia anak semua bangsa lebih percaya kepada apa sahaja yang dilapor oleh media barat.

Laporan berita media luar yang dinafikan oleh menteri atau oleh Jabatan Perdana Menteri akan dilihat sebagai lawak. Malah Rosmah sendiri terpaksa memakai pembantu khas yang kerjanya hanya menafikan segala betuk berita tentang dirinya.

Garis politik dan pandangan dunia

Sebenarnya tekanan yang dilakukan ke atas media tempatan ini bukan sesuatu yang buruk. Dalam masa jangka panjang ia membantu orang ramai untuk tidak lagi percaya kepada laporan Utusan, Bernama, Tv4, RTM atau The Star. Amin.

Apabila pada 8 Febuari The New York Times (NYT) meledakkan berita Jho Low dan 1MDB ini adalah tanda permulaan serangan media barat terhadap Najib.

Seperti yang telah saya rakamkan dahulu akhbar NYT ini adalah akhbar arkib berita untuk Central Intelligence Agency (CIA). Faham-fahamlah maknanya.

Wajib diingat juga akhbar-akhbar di mana sahaja dalam dunia ini memiliki garis politik dan pandangan dunia. Selain dari tuan pemilik akhbar dan pemegang saham akhbar dan media ini juga mewakili kepentingan kumpulan pembaca.

The Washington Post - memberi garis kumpulan liberal Amerika. The Wall Street Journal pembacanya terdiri daripada kaum pemodal, peniaga dan kaum kapitalis. Press Tv - mewakili Iran. RT pula adalah stesen milik kerajaan Rusia. BBC menjana kepentingan British. Begitu juga Al-Jazeerra.

Ini sama saperti Roket menjana pandangan DAP. Suara Keadilan adalah suara PKR. Malaysian Dateline adalah suara AMANAH. Ini bukan satu kesalahan atau penghinaan. Ini hakikat bagaimana media bergerak.

Hakikatnya walau pun media ini mendabik dada mengatakan bahawa mereka hanya membuat membuat laporan apa yang berlaku, Ini tidak benar seratus peratus. Media juga menggariskan politik dan pandangan dunia.

Konspirasi jatuhkan MO1

Dalam kes konspirasi menjatuhkan Najib peranan media luar jelas sekali. Sesudah laporan NYT muncul pada 8 Febuarari 2015 dunia digemparkan dengan kenyatan Jabatan Keadilan Amerika (JKA). Pada 20 Julai 2016 Peguam Negara Amerika Puan Loretta Lynch yang diapit oleh timbalan ketua FBI telah mengumumkan kepada dunia bahawa JKA sedang menjalankan siasatan ke atas 1MDB.

Dari laporan bertulis JKA muncul apa yang diketahui umum sebagai MO1 - Malaysian Official One. Satu dunia tahu sosok ini adalah Najib isteri…opsss..suami kepada Rosmah Mansor.

Untuk saya pada 20 Julai 2016 Puan telah mengumum hukum gantung sampai mati kepada Najib dan Rosmah. Penggunaan MO1 itu hanyalah bahasa diplomatik yang bersopan. Mustahil dunia tidak faham siapa itu MO1. Amin.

Satu minggu sesudah kenyataan JKA - pada 28 Julai 2016 The Guardian dari London membuat - The Long Read. The Guardian adalah akhbar rujukan kelas menengah kiri dan kaum liberal berbahasa Inggeris sedunia. Dengan The Long Read ini sekali lagi Najib ditibai kaw-kaw.

'Hukuman gantung' Najib, Rosmah

Akhirnya dilaporkan bahawa ada 66 media dunia luar telah melaporkan tentang Najib, Rosmah, Jho Low, Riza dan 1MDB.

Yang tidak melaporkan secara tuntas tentang rompakan 1MDB ini ialah The Star, The Sun, Utusan, Berita Harian, New Straits Times, Nanyang, Sin Chew, Oriental Daily, Tamil Nesan, TV3, RTM, BFM dan dan.. semua media dan tv Malaysia. Tanpa laporan media tempatan tidak sedikit pun menggangu perjalanan projek menerajang Najib.

Buktinya - pada 10 March 2018 - dua bulan sebelum PRU14 dijalankan satu ledakan ‘bom nuklear’ telah berlaku. Majalah The Economist dari kota London telah mengeluarkan lidah pengarang bertajuk : Malaysia’s PM is about to steal an election (Perdana Menteri Malaysia merancang untuk menipu pilihan raya). Di bawah tajuk berita ini adalah tertulis - American Officilas says he already stole millions from taxpayer (Pegawai Amerika berkata Najib telah mencuri berjuta-juta duit cukai orang ramai). Khalas.

Kalau Puan Loretta Lynch mengumumkan hukuman gantung untuk Najib dan Rosmah, kini lidah pengarang majalah The Economist telah memberikan tarikh bila Najib dan Rosmah akan digantung.

Biar saya berlaku jujur. Apabila saya terbaca sahaja isi lidah pengarang The Economist ini - saya melonjak-melonjak ketawa. Saya dengan cepat menulis dalam blog Tukar Tiub untuk memberi penjelasan apa makna lidah pengarang The Economist ini.

The Economist mewakili kepentingan kaum pemodal multinasional Anglo-American. Dari tajuk berita itu kita telah tahu bahawa ini adalah tanda isyarat kepada semua kaum kapitalis dan kaum pemodal sedunia untuk sama berusaha menjatuhkan Najib dan Rosmah.

Lidah pengarang ini meminta agar semua kaum pemodal dunia menolak Najib. Sistem ekonomi kapitalis tidak mahu lagi bersubahat dengan Najib.

Kepada saya lidah pengarang The Economist adalah hadis sahih untuk kaum kapitalis. Kalau dalam Islam ini adalah hadis dari al-Bukhari. Untuk kaum Marxist-Leninist ini adalah garis politik dari The Third International. Untuk kaum kiri Trotskyite ini adalah garis arahan dari The Fourth International. Tidak ada tanda yang jelas dari ini. Amin.

Mungkin ada lagi yang kurang yakin dari apa yang saya rakamkan ini. Untuk mensahihkan risikan ‘open source’ saya sila lihat klip video ucapan Mr Daniel Twinning Presiden The International Republican Institute (IRI). Klip ini mucul dalam laman IRI pada 6 Ogos 2018. Pengarah IRI ini berbangga dengan peranan IRI membantu projek menerajang Najib.

‘Malaysia for 61 years, one party governed this country, since it became independent. So IRI - we have worked with ppposition political parties since 2002…"

Timbul persoalan kurun ini - kenapa kaum kapitalis mahu Najib dilupuskan?

Jawabnya cukup senang. Kaum kapitalis sedang membuat perniagaan satay kijang untuk dijual ke negara Arab. Tetiba si Najib ini menggunakan daging babi yang lebih murah untuk pasaran yang sama.

Sayugia diingatkan bahawa kaum kapitalis juga memiliki rukun iman. Melamine dijual sebagai tepung susu kanak-kanak hanya berlaku di China. Beer bercampur racun dan membawa maut hanya berlaku di Malaysia. Apa boleh jual akan dijual - apa boleh dibeli akan dibeli adalah rukun iman kaum kapitalis dunia ketiga.

Selain dari media luar siapa lagi yang sama membantu dan merayakan kejatuhan Najib. Ada. Watak ini amat-amat penting. Siapa watak ini? Tunggu minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS