Opinion

Itulah sayang

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Hari itu dalam satu forum mengenai seni lukis, moderator acara itu menyebutkan bahawa pengkarya hari ini seperti kehilangan arah akibat pertukaran kerajaan.

Beliau memetik nama Zunar sebagai contoh.

Katanya jika sebelum ini karya pelukis kartun itu giat mengkritik kerajaan, kini setelah kumpulan yang disokong berjaya menguasai tampuk pemerintahan, karyanya menjadi hambar.

(Kami tidak nampak terlalu ramai pengkarya yang mengkritik kerajaan pada waktu itu, sebaliknya lebih ramai yang mendiamkan diri untuk menyelamatkan diri.)

"Pengkarya yang dulunya lantang bersuara kini seperti kehabisan modal selepas apa yang mereka perjuangkan berhasil," tambah moderator yang kami kenal baik itu.

Izinkan kami memberi contoh.

Beberapa tahun dulu satu kajian di Eropah mendapati kumpulan gelandangan atau mereka yang hidup di bawah paras kemiskinan dan menang loteri selalunya tidak hidup lama setelah mendapat durian runtuh berkenaan.

Kajian ini menunjukan setelah memiliki wang - selain faktor berjoli sakan dengan arak dan dadah hingga tidak ingat dunia - mereka tidak lagi mempunyai impian lain.

Wajib bebaskan diri

Dan itulah akhirnya yang membawa kepada kematian mereka pada usia yang relatif muda.

Kami mengandaikan pengkarya yang kehabisan idea untuk berjuang menegakkan keadilan adalah seperti kumpulan gelandangan yang 'termenang' loteri itu.

Mereka sedang mabuk dan menunggu mati dalam ghairah kemenangan.

Lukisan berjudul Apokalips

Pada hemat kami, ia berlaku apabila kita - sebagai pemerhati - juga meletakkan diri untuk berpihak kepada satu-satu agenda perjuangan politik.

Tentu sekali ia kesilapan besar bukan hanya untuk pengkarya namun juga adalah malang amat besar kepada semua orang.

Seperti yang kami ulang-ulang sebelum ini, kita wajib membebaskan diri daripada menjadi bidak di atas papan catur politikus supaya nanti sesiapa saja yang curang maka bolehlah kita kritik tanpa ada rasa membelot.

Mesti bebas mengkritik dengan jujur

Namun disebabkan taasub kepada sesuatu partai politik lalu kita memejam mata atas apa saja kejahatan yang dilakukan oleh partai kesayangan kita.

Lihat betapa hari ini kita bergaduh mempertahankan partai dan politikus. Kita jadi berpecah. Apa saja yang dilakukan - atau tidak dilakukan - oleh musuh politik, kita gegar dan jaja biar jadi bukti kegagalan mereka.

Pada masa sama jika perkara sebegitu dilakukan oleh politikus dari partai yang kita sokong, kita diamkan saja.

Apakah Mahathir Mohamad dan kabinetnya dengan tiba-tiba menjadi maksum hanya kerana menjadi kerajaan pilihan majoriti rakyat?

Satu daripada lukisan yang dipamerkan di Artcube, Intermark

Atau Maszlee Malik kini bebas untuk meletakkan akhi-akhi Ikramnya ke merata universiti tanpa boleh tidak dianggap korup?

Tentu sekali tidak. Sebagai rakyat yang bebas kita perlu mengkritik dengan jujur apabila didapati (jika ada) berlakunya ketidakadilan dalam pemerintahan yang baru ini.

Zaman menjadi pak turut sudah berakhir dan penyuruh turut yang dulu mula dibawa ke muka pengadilan seorang demi seorang.

Jika dulu kita menuduh mahkamah tidak adil, maka menjadi tanggungjawab kita untuk memerhatikan pula mahkamah di bawah kerajaan baru ini.

Kita tidak mahu hanya kerana yang dituduh adalah musuh politik maka kita dengan sewenang-wenangnya membiarkan dacing undang-undang berat ke arah mana-mana yang kita suka.

Hari ini kita dengan berani mengatakan bahawa pertuduhan yang ditimpakan ke atas kepala Najib Razak itu ialah bukti bahawa dia bersalah. Sedangkan perbicaraan belum pun dijalankan.

Kepada fanatik Najib pula mereka dengan yakin mengatakan semua pertuduhan ke atas beliau adalah fitnah.

Jadi hamba politik

Kamu ingat dulu apabila Anwar Ibrahim dituduh?

Perkara sama juga berlaku, cuma bezanya ialah Anwar bernasib baik mendapat sokongan hampir seluruh rakyat (yang yakin beliau tidak bersalah).

Begitulah halnya - pusing merata - dan yang bodohnya ialah kita.

Izinkan kami berpuisi disini:

Telah berpakat isi seluruh negara
membuang politikus lama
menang sungguh
bersorak mereka
lalu berpakat anggota
politikus keparat lama
demi tengkuk demi tembolok
keluar partai
mengendeng di bahu kerajaan baru
disambut mesra
malah ditadah nyiru
seluruh isi negara begini saja
diperbodoh, diperseloroh
tidak dipeduli rela tidaknya.

Walaupun kelihatan seperti kami ini bersimpati kepada Najib namun kita sebenarnya tidak berlaku adil apabila dengan rela menjadikan diri kita sebagai hamba partai politik.

Jika kita bebas daripada cengkaman partai politik barulah mata kita tidak dibutakan, dan barulah kita tak jadi macam Pah Bedah yang menjerit-jerit minta keadilan.

Barulah kita tidak perlu sorokkan ekor malu apabila ada pemimpin kita pakai baju batik sambil bertali leher.

Menyebut mengenai hal itu, kami rasa YB berkenaan sangat-sangat memerlukan nasihat dalam berpakaian, dan juga hal perlu tidaknya seorang YB membina badan.

Pengkarya - terutamanya - mesti membebaskan diri daripada menjadi budak politik.

Kita harus keluar dari kepompong kepartaian dan diharapkan juga pemerintah yang baru ini memberikan kebebasan kepada semua jenis karya seni untuk mengkritik selama mana ianya tidak memudaratkan.

Kami ulang lagi bahawa, kritikan bukan bermaksud membangkang. Kritikan tidak bermakna membenci. Sayang-menyayang itu dibuktikan dalam pelbagai cara.

Artikel kali ini dihiasi oleh foto pameran Lolong/The Scream oleh diri kami sendiri. Pameran ini akan dirasmikan pada jam 3 petang ini (3 Nov).

Acara akan diadakan Galeri Artcube, bangunan Intermark di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Pameran akan berlangsung sehingga akhir november.

Kami dengan ini memjemput semua yang membaca ke majlis perasmian tersebut. Bolehlah kita berkenal-kenalan. Mana tahu dengan takdir baik dari tuhan, kita bisa berkawan.


ABDULLAHJONES ialah penulis yang baik hati namun sering disalah erti, terutama oleh penyokong partai pembangkang terlebih utama oleh PAS.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.