Dasar BI tidak jejaskan pelajar?
Selepas tiga tahun Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (dasar BI) dilaksanakan, tentangan terhadapnya masih belum reda.
Banyak badan bukan kerajaan menghadiri perhimpunan membantah dasar BI anjuran Dong Jiao Zong di Kajang baru-baru ini. Lebih 3000 wakil daripada lebih 600 persatuan pelbagai kaum menghadirinya.
Selepas tiga tahun Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (dasar BI) dilaksanakan, tentangan terhadapnya masih belum reda.
Banyak badan bukan kerajaan menghadiri perhimpunan membantah dasar BI anjuran Dong Jiao Zong di Kajang baru-baru ini. Lebih 3000 wakil daripada lebih 600 persatuan pelbagai kaum menghadirinya.
Kongres Kepentingan Bangsa yang dihadiri oleh 1000 wakil daripada badan-badan bahasa, korporat, pertubuhan bukan kerajaan dan kebudayaan Melayu turut mahu dasar tersebut dikaji semula.
Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bagaimanapun tidak mengambil sikap terbuka dalam menghadapi bantahan dan tentangan pihak-pihak terbabit.
Beliau meminta mereka menunggu pengumuman keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) untuk menilai kesan dasar BI itu.
Pada 22 Disember keputusan PMR pun diumumkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr. Ahmad Sipon, dan dengan tidak lengah-lengah lagi Hishammuddin pun mengisytiharkan bahawa kebimbangan pihak-pihak tertentu bahawa dasar BI akan menjejaskan prestasi pelajar adalah tidak benar.
Keyakinan Hishammuddin terhadap keputusan PMR sebelum ianya diumumkan dan kecepatannya dalam menggunakan keputusan tersebut untuk mempertahankan dasar BI terbabit menimbulkan syak wasangka bahawa peperiksaan PMR tahun ini mungkin telah dimanipulasi oleh teknokrat Kementerian Pelajaran demi mempertahankan dasar BI yang makin tidak popular di kalangan rakyat semua kaum.
Seperti perangkaan yang lain, keputusan bagi pangkat A,B,C,D dan E juga boleh diselaraskan mengikut hasrat pihak yang membuat keputusan.
Bagaimanapun perbandingan prestasi antara satu tahun dengan tahun yang lain sepaatutnya memerlukan syarat-syarat atau asas-asas yang sama, umpamananya kurikulum pemeriksaan yang sama dan standard soalan yang sama serta skima markah yang serupa.
Beberapa angka yang didedahkan dalam keputusan kali ini juga amat bermakna tetapi nampaknya telah sengaja diabaikan oleh pihak yang asyik mempertahankan bahawa dasar BI tidak menjejaskan pelajar.
Angka pertama, pelajar yang mendapat pangkat E atau tidak lulus dalam mata pelajaran bahasa Inggeris adalah 26.2 peratus sementara mereka yang tidak lulus dalam mata pelajaran bahasa Melayu hanya 7.7 peratus.
Keyakinan pelajar
Ini bermakna lebih kurang satu pertiga pelajar yang lemah dalam bahasa Inggeris. Mereka hendak mempelajari bahasa Inggeris juga menjadi masalah, jangankan hendak menggunakan bahasa Inggeris untuk mempelajari Sains dan Matematik. Jika sesiapa berani mengatakan dasar BI tidak menjejaskan satu pertiga pelajar yang lemah ini, mereka sebenarnya buta dalam celik.
Angka kedua, soalan kertas peperiksaan PMR kali ini dirangka dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, sungguhpun bahasa Inggeris telah digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik, namun hanya 27 peratus pelajar menjawab kertas Matematik dalam bahasa Inggeris, dan 33 peratus pelajar menjawab kertas Sains dalam bahasa yang sama.
Ini bermakna tidak sampai satu pertiga pelajar yang mampu atau berkeyakinan untuk menggunakan bahasa Inggeris untuk menjawab, sungguhpun dengan bantuan soalan yang dirangka dalam dua bahasa.
Dengan kata lain, lebih daripada dua pertiga pelajar dengan bantuan soalan dalam dua bahasa, hanya mampu menjawab dalam bahasa Melayu bercampur-aduk dengan bahasa Inggeris, satu gejala yang tentunya amat menyedihkan ahli bahasa.
Andainya mata pelajaran Sains dan Matematik diajar dalam Inggeris (tanpa dibantu atau diterjemahkan dalam bahasa ibunda), kertas soalan juga disediakan dalam bahasa Inggeris, dan harus pula dijawab dalam bahasa Inggeris , beranikah Hishammuddin atau sesiapa mengatakan ia tidak akan menjejaskan pelajar?
Pihak Kementerian Pelajaran sepatutnya membuat kajian tentang peratusan keciciran/kegagalan yang amat tinggi pelajar sekolah menengah kebangsaan yang berasal daripada SRJK(C) dan SRJK(T) akibat pertukaran bahasa pengantar daripada bahasa ibunda (bahasa Cina atau bahasa Tamil) kepada bahasa Melayu.
Menurut kajian Dong Jiao Zong yang tidak menyeluruh, pada peperiksaan PMR, lebih kurang 50 pelajar pelajar akan disingkirkan akibat kegagalan dalam pemeriksaan, dan pada pemereksaan SPM, 50 peratus lagi akan disingkirkan atas sebab yang sama.
Pisau tumpul
Dengan kata lain, pada peringkat sekolah menengah, pertukaran bahasa pengantar daripada bahasa ibunda akan mengakibatkan 75 peratus kegagalan/keciciran pelajar lepasan sekolah rendah jenis kebangsaan Cina atau Tamil.
Dong Jiao Zong mempunyai pengalaman luas dalam penggunaan bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik di sekolah memengah. Persatuan itu mendapati kegagalan dasar tersebut amat jelas dalam sekolah-sekolah desa. Hanya beberapa sekolah canggih dalam bandar sahaja mencapai kejayaan dengan mengorbankan pelajar yang lemah dan sederhana.
Pengalaman pahit ini menyebabkan Dong Jiao Zong amat tegas dalam pendidikan bahasa ibunda.
Itu adalah keadaan di sekolah menengah. Bagi sekolah rendah keadaan akan menjadi lebih teruk jika bahasa asing digunakan sebagai bahasa pengantar, termasuk Sains dan Matematik.
Dari analisis tersebut, ternyatalah kesimpulan Menteri Pelajaran bahawa keputusan PMR membuktikan dasar BI tidak menjejaskan pelajar adalah melulu dan tidak berasas.
Bahasa ibunda ibarat pisau yang tajam, dan bahasa yang asing kepada pelajar terutamanya pelajar rendah ibarat pisau yang tumpul.
Sesiapa yang mengatakan menggunakan pisau yang tumpul untuk mengerat barang adalah sama berkesannya dengan menggunakan pisau yang tajam, adalah seorang yang bebal.

