Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dalam riuh-rendah orang cerita itu ini tentang pusat-pusat tahfiz kononnya gagal mengawal nafsu pengajarnya, kami diberitahu seorang teman bahawa beliau menjaga 75 orang anak yatim dan terbiar.

Kita boleh skeptikal kepada semua orang, terutama mereka yang membuka pusat pembelajaran agama.

Kita bahkan ada masanya berasa berhak untuk memandang serong akan keiklasan pihak yang menjadikan sekolah agama sebagai modal mencari keuntungan.

Ia lebih kurang diperlihatkan melalui ramainya anak yatim dan terbiar digunakan oleh mengutip derma dan sebagainya.

Namun ada segelintir daripada mereka bersungguh-sungguh dalam hal mempertahankan agama budak-budak yang tidak ada siapa peduli itu.

Kawan kami ini ialah antara mereka yang sebegitu - bekerja untuk anak-anak terbabit hanya demi tuhan.

Beliau membuka tempat jagaan anak yatim dan terbiar sebagai kenangan kepada impian arwah isteri beliau yang bersungguh-sungguh mahu menjaga anak-anak itu.

Semua tanggung sendiri

Mereka sendiri mempunyai empat anak lelaki. Semasa isteri beliau masih ada, mereka menjaga dua atau tiga orang anak yatim.

Dua tahun setelah isterinya meninggal dunia beliau menyewa sebuah rumah kedai di Sungai Buloh untuk dijadikan petempatan lebih ramai budak-budak sebegitu.

Anak-anak yatim dan terbiar itu diberi pilihan sama ada mahu belajar menghafal al-Quran selama tinggal di petempatan itu atau tidak.

Tidak ada paksaan kepada mereka. Mereka juga bersekolah seperti anak-anak lain.

Semua perbelanjaan ditanggung sendiri oleh kawan kami, di samping sedikit bantuan daripada teman-teman rapat.

Kamu bayangkan kepayahan menanggung 75 orang anak sedang membesar. Kamu bayangkan persediaan makan minumnya, pakaiannya, ubat-ubatanya (anak-anak dari Chow Kit selalunya mengidap kudis yang teruk dan perlukan penjagaan rapi).

Jika kamu boleh membayangkan semua itu maka kamu akan tahu bahawa selain ada orang yang mencari keuntungan menggunakan anak-anak yatim, masih ada individu yang betul-betuk mahu membebaskan insan-insan terbiar dan tanpa ibu atau bapa itu daripada belengu kejahatan.

Kawan kami itu menumpukan perhatiannya kepada usaha menjaga anak-anak dari sekitar Jalan Chow Kit di Kuala Lumpur. Seperti diketahui ramai, memang kawasan itu ramai anak-anak sebegini.

Pusingan kotor kehidupan

Kita boleh salahkan dosa ibu bapa atas apa yang terjadi kepada mereka namun sedikit kepedulian sekurang-kurangnya dapat membebaskan mereka daripada perangkap kitaran hidup yang sama seperti yang dilalui oleh ibu bapa mereka.

Anak-anak di Chow Kit itu menghabiskan masa berpeleseran dan membuang masa sambil menunggu ibu bapa mereka ‘menjalankan tugas’.

Biasanya tugas ibu bapa mereka bukanlah apa yang kita panggil sebagai mulia.

Kita tidak tahu mengapa ibu bapa mereka pergi kepada kerja-kerja begitu. Dan untuk meletakkan seluruh kesalahan kepada ibu bapa semata-mata juga adalah tidak adil.

Kita mempunyai banyak saluran yang boleh menghalang mereka daripada terjerumus ke kancah jahat namun kerana kita - pertamanya - gemar menyalahkan orang lain atas kesilapan yang kita sendiri lakukan, maka jalan keluar kepada ibu bapa kanak-kanak terbabit menjadi sukar.

Mereka berulang-ulang melakukan kerja jahat sehingga mati dan kemudian anak-anak yang melihat kelaku orang tua mereka menjalani hidup hanya nampak bahawa jalan paling mudah ialah meniru jalan yang telah dilalui ibu bapa mereka.

Seperti yang kami katakan, jika usaha kawan kami itu tidak disokong maka sampai bila pun pusingan kotor kehidupan anak-anak berkenaan tidak akan berakhir.

Kita lupakan untuk meminta tolong orang politik kerana mereka masih bergelut untuk mempertahankan kerusi yang mereka menangi, dan seperti selalu, apa yang kita lakukan dari hati adalah yang paling baik.

Kita ambil iktibar bagaimana kita jatuhkan kumpulan politikus yang lalu sebagai contoh, yakni dengan berpadu tenaga sesama kita.

Cuma kali ini kita tumpukan pula perhatian kepada hal untuk membina masyarakat yang lebih baik.

Kita semua ada dosa kepada anak sendiri. Kami terlebih utama. Namun mungkin dengan membantu anak orang lain akan datang kesedaran bahawa anak kita adalah tanggungjawab kita.

Artikel kali ini dihiasi oleh foto sekitar pameran Mindscape yang sedang berlangsung di Galeri Prima, Jalan Riong, Kuala Lumpur.

Pameran oleh 17 pelukis lama dan baru tanah air ini akan berakhir pada 21 Dis 2018.

Semua dijemput hadir dan masuk adalah percuma. Galeri Prima dibuka dari jam 10 pagi hingga 5 petang setiap hari berkerja, sementara temu janji diperlukan sekiranya kamu ingin berkunjung pada hujung minggu.


ABDULLAHJONES ialah bapa kepada anak yang gemar berseluar ketat walau berpuluh kali dinasihati supaya jangan berbuat demikian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS