Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ini bukan soal siapa betul siapa salah. Bukan juga pasal patut atau tidak ia diiktiraf, mahupun diratifikasi.

Ya, yang saya maksudkan ialah Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).

Sudah ramai pakar yang berhujah dan mengulas akan baik buruknya Icerd. Oleh itu tidak perlulah saya mengulanginya.

Apatah lagi semua sudah maklum akan pertikaian atau kontroversi yang sedang terhidang di depan kita sekarang.

Yang ingin saya bicarakan, tidak dinafikan golongan anti-Icerd dan membantah kerajaan Malaysia meratifikasi konvensyen Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu benar-benar yakin mereka benar.

Dalam erti kata lain mereka cukup yakin dan percaya Icerd tidak bagus malah memudaratkan orang Melayu sekali gus Islam.

Namun tidak dinafikan juga golongan yang mempelopori atau menggepalai proses bantahan terhadap Icerd berbuat demikian atas nama politik.

Matlamat dan tujuan utama mungkin untuk mendapatkan kuasa yang hilang. Mungkin untuk mengalih tumpuan umum terhadap masalah yang dihadapi. Terpulanglah. Masing masing ada interpretasi sendiri.

Bukan mempertikai kemelayuan atau keislaman golongan pelopor bantahan. Sekadar menyatakan politik menjadi perkiraan besar. Rasanya ramai yang tahu. Itu pandangan saya secara peribadi. Mungkin betul mungkin tidak.

Jika tidak masakan si pelopor bantahan tetap menyarankan bantahan dan segala bentuk protes terus diadakan meskipun kerajaan sekarang sudah menegaskan belum ada keputusan muktamad berhubung soal Icerd.

Dan apa yang dilakukan kerajaan sekarang, kata mereka ialah mengkaji dan meneliti.

Perlu diingat kerajaan dulu juga pernah menegas perkara yang sama iaitu mengkaji dan meneliti. Walaupun perlu diakui kerajaan dulu tidak meratifikasi Icerd.

Bantahan dan protes tetap diadakan dan disaran diteruskan walaupun parti gabungan Pakatan Harapan – Amanah dan pemimpin kanan Bersatu – menolak ratifikasi Icerd, manakala PKR menegaskan bukan masanya Icerd diratifikasikan.

Pun begitu perlu diakui kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini ada menyatakan hasrat untuk menyertai negara negara ang telah terelbih dahulu meratifikasi Icerd. Ini pun pada hemat saya berlandaskan percaturan politik.

Bagaimanapun baru-baru ini perdana menteri sendiri menegaskan hampir mustahil ratifikasi dilaksanakan kerana ia memerlukan pindaan perlembagaan (ada pihak tidak setuju). 

Dan untuk membuat pindaan berkenaan, sokongan dua pertiga diperlukan di parlimen. Lantas kata Mahathir Mohamad, itu "hampir mustahil" untuk dicapai.

Namun itu tidak memuaskan hati pelopor bantahan Icerd. Laungan dan seruan untuk membantah terus disuarakan.

Seperkara lagi, menteri yang dipertanggungjawabkan mengendalikan isu ini P Waythamoorthy (yang dituduh rasis dan pengkhianat) tetap menjadi sasaran golongan anti-Icerd.

Penjelasannya ditolak mentah-mentah.

Dan yang menghangatkan keadaan timbul semula soal video wawancaranya dengan sebuah stesen televisyen Belanda yang dibuat 10 tahun lalu.

Kata Waythamoorty, yang diperkatakan dalam wawancara itu ialah diskriminasi terhadap masyarakat India di Malaysia oleh kerajaan BN dulu, khususnya Umno ketika itu.

Tapi beliau mendakwa penganut Hindu di Malaysia dipaksa memeluk agama Islam untuk mendapat pekerjaan di sektor awam dan sebagainya. Itu tuduhan liar tanpa bukti.

Maka orang Melayu yang sekarang marah terhadap Waythamoorthy berhak marah.

Ketika wawancara itu disiar 10 tahun dulu pun ramai yang marah.

Peliknya lima tahun kemudian iaitu pada tahun 2013 Waythamoorthy bersama Hindraf yang dipimpinnya menyokong BN dan beliau dilantik sebagai timbalan menteri oleh kerajaan ketika itu.

Dan ramai pemimpin Umno yang kini marah terhadap Waythamoorthy ada dalam kerajaan yang melantik beliau sebagai timbalan menteri dan merestui pelantikan itu.

Mengeksplotasi soal agama dan bangsa kerap digunakan oleh orang politik. Ia senang dilakukan dan ia cara mudah serta laluan singkat untuk mendapatkan sokongan dan undi bila pilihan raya tiba.

Teringat lah saya kisah momok, kisah zaman lampau.

Ketika si orang tua menghadapi masalah si anak yang nakal dan lasak – berlari ke sana sini. Si orang tua kepenatan dan tidak larat mengejar .

Lalu berkatalah dia kepada si anak : “Kau pergilah sana nanti kena tangkap momok.”

Momok ialah hantu yang si anak tak pernah nampak dan tak pasti akan kewujudannya. Tapi dia tetap takut.

Oleh kerana takut ditangkap momok, si anak duduk diam, tidak berlari lari dan sebagainya. Si orang tua berjaya. Taktik menakut-nakutkan membawa hasil yang diidamkan.

Taktik itu masih digunakan hingga sekarang. Bukan oleh orang tua zaman ini tetapi oleh sang politikus untuk meraih sokongan dan mendapat undi.

Banyak kali taktik memomok-momok membawa kejayaan kepada sang politikus.

Sang politikus memomom-momok khususnya orang Melayu – menakut-nakut akan itu dan ini, akan hilang itu dan ini, jika dia sang politikus berkenaan tidak disokong.

Memomok-momok akan terus terjadi demi kepentingan politik. Itu realiti.

Persoalannya, sampai bila orang Melayu boleh dimomok-momokkan ? Waullahualam.


MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS