Ujian toleransi agama dalam Kes Moorthy
Dalam surat Norhayati Kaprawi, ditegaskan bahawa Islam amat menekankan sikap belas ihsan dan penyayang, serta peka terhadap penderitaan manusia. Islam juga adalah agama yang amat menekankan prinsip keadilan yang merupakan hak semua orang, tanpa mengira mereka Islam, Yahudi, Hindu atau Buddha termasuk juga mereka yang tidak beragama.
Namun, mengikut apa ukuran sekalipun, merampas mayat seseorang dari keluarganya yang sedang dilanda kesedihan dan ingin mengkebumikan orang yang dikasihi mengikut agama mereka, memang sesuatu yang sukar dikaitkan dengan sebarang sikap belas ihsan dan penyayang seperti yang disebut di atas.
Dalam surat Norhayati Kaprawi, ditegaskan bahawa Islam amat menekankan sikap belas ihsan dan penyayang, serta peka terhadap penderitaan manusia. Islam juga adalah agama yang amat menekankan prinsip keadilan yang merupakan hak semua orang, tanpa mengira mereka Islam, Yahudi, Hindu atau Buddha termasuk juga mereka yang tidak beragama.
Namun, mengikut apa ukuran sekalipun, merampas mayat seseorang dari keluarganya yang sedang dilanda kesedihan dan ingin mengkebumikan orang yang dikasihi mengikut agama mereka, memang sesuatu yang sukar dikaitkan dengan sebarang sikap belas ihsan dan penyayang seperti yang disebut di atas.
Pada lahirnya, Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi) seolah-olah telah berjasa kepada Islam kerana berjaya menuntut jenazah seorang Muslim dan dikebumikan mengikut cara Islam. Tetapi, jika diteliti dengan lebih mendalam, "jasa" tersebut mungkin telah menjejaskan imej Islam.
Dari segi akidah, pendapat Haji Mokhtar Stork, bekas pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), patut diberi perhatian. Beliau menganggap yang penting ialah sama ada orang terbabit memeluk Islam secara tulen dan merupakan seorang yang mengamalkan agama Islam.
Kata beliau, mengkebumikan seseorang mengikut cara Islam berasaskan sehelai kertas saja, tidak membawa apa-apa makna kepada Allah sekiranya orang itu tidak bertaqwa kepada Islam.
Sentimen agama dan kaum
Kita tidak diberitahu kenapa dan bagaimana wira Everest M Moorthy memeluk Islam. Tetapi jika perkara sepenting itu perlu"dirahsiakan" dari keluarganya dan masih terus mengamalkan agama Hindu secara terbuka, maka jelas sekali, dia tidak boleh dianggap sebagai seorang Muslim dalam erti kata sebenarnya.
Dalam kes ini, kata Ramdas Tikamdas - ahli eksekutif Hakam - affidavit balu M Moorthy yang tidak dipertikai dan dicabarkan, telah membuktikan bahawa suaminya seorang yang mengamalkan agama Hindu sehingga meninggal dunia. Suaminya turut mengambil bahagian dalam perayaan Thaipusam di Batu Caves pada bulan Januari 2005, dan pada bulan November 2005, Moorthy dan keluarganya muncul dalam Buletin Utama TV3 di mana dia ditemubual mengenai sambutan perayaan Deepavali Hindu.
Tidak dapat dinafikan bahawa di negara kita, memang wujud sebilangan kecil bukan Islam yang memeluk agama Islam untuk tujuan memperolehi sesuatu kepentingan yang dinikmati orang Islam. Perbuatan munafik ini sepatutnya tidak digalakkan. Bagi mencegah wujudnya kumpulan munafik ini, layanan yang sama, patut diberi kepada orang Islam dan bukan Islam pada tahap dasar kerajaan. Di samping itu, kumpulan manafik itu juga sepatutnya tidak diterima sebagai orang Islam.
Oleh kerana M Moorthy masih mengamalkan agama Hindu, maka tindakan mengambil mayatnya dari keluarga dan masyarakat yang mengamalkan agama yang sama dan dikebumikan mengikut cara Islam, tentu amat menyinggungkan perasaan mereka. Sentimen kekeluargaan dan keagamaan adalah sentimen semula jadi dan tidak terhad kepada agama tertentu sahaja. Dan hak keluarga dan kebebasan beragama adalah tamadun atau nilai sejagat yang melintasi batasan agama.
Keputusan mahkamah
Justeru, KJ John menganggap asas-asas masyarakat telah dibinasakan apabila hak keluarga dan kebebasan beragama Moorthy dan balunya, diketepikan, dan ianya boleh disusuli dengan keruntuhan tamadun. Dari segi undang-undang, balu Moorthy telah dinafikan sebarang remedi untuk membela hak keluarganya dan kebebasan beragamanya, kerana sebagai seorang bukan Islam, Mahkamah Syariah telah menafikan haknya untuk didengar, manakala Mahkamah Tinggi pula menolak permohonan balu Moorthy itu dengan alasan mahkamah sivil tidak mempunyai kuasa untuk mengulang kaji, menidaksahkan dan menidakendahkan perintah Mahkamah Syariah.
Jelas sekali, kes Moorthy dan balunya melibatkan perampasan hak keluarga, hak kebebasan beragama, dan hak remedi undang-undang apabila hak asasi warga negara kita dirampas sewenang-wenangnya oleh kuasa negara di bawah nama undang-undang. Pihak berkuasa, umpamanya, Kelab Senator Malaysia, sebaliknya meminta pihak media supaya "jangan lagi memainkan isu perkauman dan agama dengan terus menyiarkan berita susulan berhubung isu Allahyarham Mohammad Abdullah".
Hak keluarga, hak kebebasan beragama dan hak remedi undang-undang, kesemuanya hak asasi manusia atau nilai sejagat yang melintasi batasan kaum dan agama. Sesiapa yang memandang hak asasi tersebut hanya dari perspektif kaum dan agama sahaja, terbukti terkongkong oleh sentimen kaum dan agama yang sempit.
Yang ironi sekali ialah di hadapan realiti kehilangan hak keluarga, hakkebebasan beragama dan hak remedi undang-undang oleh Moorthy dan balunya, Pesuruhjaya Suhakam yang bertanggungjawab untuk membela hak asasi manusia, Datuk N Siva Subramaniam sebaliknya menyeru semua pihak supaya menghormati keputusan Mahkamah Tinggi terbabit.
Tidakkah menghormati keputusan Mahkamah Tinggi terbabit bermakna mengakui bahawa perampasan hak keluarga, hak kebebasan beragama dan hak remedi undang-undang adalah sah disisi undang-undang, termasuk Perlembagaan Persekutuan?
Saya tidak faham, selepas remedi undang-undang dinafikan berkaitan hak asasi manusia yang merupakan nilai sejagat, bagaimanakah undang-undang atau mahkamah terbabit sanggup dihormati oleh mereka yang prihatin terhadap hak asasi manusia amnya, dan khasnya mereka yang sudah atau bakal menjadi mangsanya?

