Hartawan, penipu dan yang ditipu
'Hartawan'Lebanon Dr. Elie Yousef Najem yang mendakwa memiliki kekayaan AS $46 bilion dan menggembar-gembur akan menderma RM1.01 bilion kepada Majlis Kanser Negara (Makna) telah diberkas polis untuk siasatan jenayah komersial.
Dari laporan media, banyak kes penipuan dan pecah amanah Elie telah didedahkan, termasuk 5 yang telah dilaporkan kepada polis dan satu sedang dibicarakan dalam mahkamah.
Mangsa-mangsa Elie termasuk bekas pekerjanya, syarikat pengubahsuaian, syarikat peminjam wang berlesen dan tidak berlesen, tukang kunci, pembawa teksi, peniaga coklat, peguam, dan mungkin ramai lagi individu dan syarikat yang terkemuka yang telah ditipu tetapi enggan tampil ke depan demi menjaga nama baik masing-masing.
'Hartawan'Lebanon Dr. Elie Yousef Najem yang mendakwa memiliki kekayaan AS $46 bilion dan menggembar-gembur akan menderma RM1.01 bilion kepada Majlis Kanser Negara (Makna) telah diberkas polis untuk siasatan jenayah komersial.
Dari laporan media, banyak kes penipuan dan pecah amanah Elie telah didedahkan, termasuk 5 yang telah dilaporkan kepada polis dan satu sedang dibicarakan dalam mahkamah.
Mangsa-mangsa Elie termasuk bekas pekerjanya, syarikat pengubahsuaian, syarikat peminjam wang berlesen dan tidak berlesen, tukang kunci, pembawa teksi, peniaga coklat, peguam, dan mungkin ramai lagi individu dan syarikat yang terkemuka yang telah ditipu tetapi enggan tampil ke depan demi menjaga nama baik masing-masing.
Pendek kata, Elie adalah 'hartawan'yang tidak mampu membayar sewa rumah, bil-bil air dan elektrik, malah tambang teksi sekalipun. Yang menghairankan ialah sesudah bagitu banyak penipuan dan pecah amanah yang beliau lakukan, beliau masih berani mengadakan sidang akhbar secara besar-besaran untuk mempertahankan kesungguhan beliau dalam memberi derma RM1.01 bilion kepada Makna.
Sidang akhbar tersebut diadakan dalam satu unit kondominium di Villa Putra yang dikawal oleh 16 orang pengawal, kononnya Elie telah diculik sebanyak 3 kali di Malaysia. Sukar dipercayai ialah, menurut laporan Utusan Malaysia, ia bukan saja dihadiri oleh isterinya Farinnie Mohd. serta ibu bapa mentuanya, malah turut dihadiri oleh Presiden Makna, Datuk Mohd. Farid Ariffin.
Alie yang merupakan orang kurang upaya dan mendakwa dirinya pesakit barah otak itu mengulangi bahawa beliau akan menyumbang AS$200 juta untuk membina Hospital dan Pusat Rawatan dan Penyelidikan Kanser Kanak-Kanak Farinnie Elie , AS$50 juta untuk kos ubat-ubatan dan operasi yang lain, serta baki AS$25 juta lagi untuk pembelian tanah. Dan pembinaan akan dimulakan pada 15 Februari ini.
Yang menjadi pertanyaan ialah sama ada Farinnie dan ibu bapanya masih mempercayai Alie seorang 'hartawan'tanpa sebarang keraguan? Menurut laporan, perjanjian Alie untuk mengadakan Majlis Perkahwinan Mewah di Restoran 5 bintang dan pembelian kediaman semewah 'istana'untuk Farinnie masih belum ditunaikan lagi!
Perkahwinan bahagia
Bila ditanya tentang "kekayaan"dan perkahwinan Farinnie dengan Elie, ibu bapanya amat marah, dan menekankan mereka tidak peduli sama ada menantu mereka itu kaya atau miskin, asalkan Farinnie berasa "bahagia"!
Namun dari gambar yang tersiar dalam akhbar, air muka Farinnie yang jelas gusar dan sayu itu sukar meyakinkan orang bahawa dia sedang berada dalam kebahagiaan.
Jika Farinnie yang hanya berumur 19 tahun itu, dengan direstui ibu bapanya, kerana tertelan termakan umpan "kekayaan" Elie lalu berkahwin dengannya yang kurang upaya dan sakit barah otak (didakwa Alie sendiri) , maka dapatkah ini dikaitkan dengan "kebahagiaan" dalam arti kata sebenarnya.
Nampaknya Elie memang licik menipu. Dia cuba menggunakan kehadiran Presiden Makna untuk menghilangkan "keraguan" terhadap "derma" yang dijanjikannya.
Dia juga mendakwa memiliki 95 buah syarikat di negara ini dengan 17 daripadanya mempunyai modal berbayar sebanyak AS$5 juta setiap syarikat . Jika dakwaan ini benar, masakan media boleh tidak mengenali pemodal gergasi di negara kita sendiri?
Untuk menafikan beliau tidak mampu membayar derma terbabit, Elie menunjukkan slip simpanan banknya yang didakwa berjumah kira-kira AS$526 juta di salah sebuah bank di New York Amerika Syarikat. Namun slip terbabit 'dilipat kepala suratnya'!
Bukan setakat ini saja, beliau mungkin sedang diburu oleh Interpol kerana terlibat dalam kes-kes jenayah yang dilakukannya di negeri asing, dan sijil perkahwinan yang dimiliki Elie juga didakwa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) sebagai palsu!
Tamak dan bodoh
Soalan yang patut difikirkan ialah: Pertama, kenapa begitu banyak sekali pihak yang sanggup diperdayakan oleh Elie, termasuk pekerja, peniaga, peguam malah syarikat-syarikat besar, dan termasuk juga Farinnie dan ibu bapanya? Adakah ia berpunca daripada kebodohan atau ketamakan manusia?
Yang kedua, kenapa begitu banyak mangsa penipuan Elie terus membisu saja sehingga 'sandiwara derma'dan latar belakangnya yang diragui itu didedahkan? Adakah mereka masih menaruh harapan Elie akan menjelaskan hutangnya? Atau untuk menutup kebodohan/ketamakan mereka kerana tertelan umpam "kekayaan"Elie?
Yang ketiga, kenapa Alie masih bebas dan berleluasa untuk terus berlagak sebagai seorang 'hartawan'malah mengadakan sidang akhbar untuk mempertahankan hasratnya untuk menderma RM1.01 bilion selepas 5 laporan polis telah dibuat berkaitan dengan kes cabul , penipuan dan pecah amanah dan satu kes sedang dibicarakan?
Skandal tersebut sudah tentu akan menjejaskan imej negara kita khasnya imej keberkesanan polis, namun, pihak manakah yang patut bertanggungjawab dalam skandal ini?
Saya masih ingat nasihat Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Musa Hassan kepada media agar tidak mensensasikan isu "hartawan" terbabit sehingga masyarakat menganggapnya sebagai hero atau wira.
Seorang yang tidak mampu membayar sewa rumah, tambang teksi dan bil-bil air dan elektrik, sanggup berlagak sebagai seorang "hartawan" melalui penipuan demi penipuan, dan begitu ramai sekali manusia yang "tunduk" kepada "kekayaan" nya, tidakkah ini secara tidak langsung membuktikan para hartawan mempunyai kedudukan istimewa di negara kita, sehingga "hartawan" palsu juga disegani?
Tidaklah hairan jika manusia-manusia kerdil yang berada dalam lapisan bawahan, dan sering dipermainkan oleh mereka yang berkuasa dan berkedudukan tinggi, mungkin ada yang mengagumi "kehandalan" Elie dalam menipu.
Kes ini juga memberi amaran kepada rakyat bahawa "hartawan" juga boleh merupakan penipu. Yang penting ialah kita jangan ditipu kerana terlalu tamak atau jahil!

