Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Di luar suhu mungkin 1 darjah celcius atau mungkin di bawah kosong. Jam empat pagi gua tak boleh tidur. Gua di kota oppss, di kampung yang amat asing. Gua bukan lagi di bumi tropikal Brickfield. Gua di zon 5 – dua stesen dari tempat Jho Low bersekolah – Harrow on The Hill.

Di luar musim sejuk sedang menggelegak.

Satu jam awal tadi gua terbangun. Gua cuba tidur tapi gagal. Gua membaca diatas katil tapi masih gagal melelapkan mata. Oleh kerana tak boleh tidur maka gua mengetik surah ini. Amin.

Apa yang berlaku ialah jam biologi gua masih tertinggal di Brickfeild. Tapi badan gua terdampar di kampung Mat Salleh di luar kota London. Tiga malam dulu gua tersangkut selama 5 jam di Dubai menunggu sambungan pesawat ke Heathrow London.

Di lapangan terbang Dubai gua ada niat hendak tidur tetapi gua takut tercicir. Gua nak kira cicak di dinding tapi ini Dubai. Cicak semuanya sudah mati. Tok Arab sudah bunuh semua cicak. Ini kerana mengikut sunnah Nabi Berjaya membunuh cicak dijanjikan Bidadari. Gua nak bersembang tapi tak ada kawan. Maka gua melangok keseorangan. Hasilnya waktu tidur gua terganggu. Jam bioloji gua menjadi kelam kabut.

Kenapa gua gila datang ke kota London?

Biar gua surahkan secara jujur. Gua tidak lagi berahikan kota London. Keberahian gua telah lupus terhadap kota ini. Betul satu ketika dulu gua cukup berahi dengan London. Gua merayau dari kota ke kota di Eropah.

Gua meleser di Amsterdam. Gua pasang khemah di Wavre Belgium. Gua jatuh cinta dengan gadis Basque di San Sebastian Sepanyol. Kemudian gua jatuh cinta dengan pereka feshen dari Stockholm.Tapi berahi gua tetap London.

London adalah dunia rujukan gua ketika itu. Gua boleh ditinggalkan kekasih. Gua tidak akan menangis merayu. Kekasih boleh dicari - tak ada masalah. Tapi gua gerun untuk meninggalkan London. Dalam dunia ini hanya ada satu kota London.

Tiga puluh tahun dahulu pada hemat gua dalam dunia ini hanya ada tiga wilayah yang memberahikan – London, Jelebu dan Paris. Tempat-tempat lain semuanya cekai mekai. Pandangan ini gua pegang ketika umur gua baru hendak meninggalkan dua siri.

Kenapa sekarang London tidak lagi memberahikan gua? Apa sudah terjadi?

Kisahnya begini – pertengahan tahun lalu gua telah dijemput datang ke London dan juga Paris. Ini jemputan maut. Gua masuk ke kota London pada permulaan musim bunga – indah dan nyaman. Tapi kota London telah berubah. Gua tidak kenal lagi dengan London.

Hampir 20 tahun gua mengenali kota ini. Tiap lopak tiap denai semuanya gua kenal. Tiap lorong gua ketahui. Ketika itu gua boleh masuk secara percuma ke dalam 3 buah panggung wayang. Ini kerana gua telah kenal Si Tukang Jaga Pintu. Tapi pada musim bunga tahun 2018 – kota London telah menjadi begitu asing.

Selama 7 tahun gua memburuh sebagai pelayan restoran di Soho – pusat seks kota London – tapi Soho telah jauh berubah. Soho bukan lagi tempat memanaskan badan.

Soho tidak lagi Soho yang gua kenali. Madame Jojo telah hilang entah ke mana. Raymond Revuebar tempat melihat badan Minah dan Mamat yang kecil molek bergetah telah hilang. Bilik mengintai Minah Bogel dengan bayaran 50 pence untuk 3 minit juga sudah hilang.

Soho Brassarie tempat Yuppie bertemu kekasih telah hilang. Restoran Itali yang selalu gua datangi kerana harganya amat demokratik telah hilang. Restoran Jakarta tempat gua memburuh kini dalam proses mahu dijual setelah 23 tahun dibina oleh keluarga Pak Ibrahim.

Apa yang ada? Cafe, cafe , cafe dan cafe – Costa , Starbuck, Cafe Nero, Gloria Jeans, Dunkin Donut. Kedai kopi Ah Seng di China Town dah hilang. Kedai samosa Mister Daud di tepi Soho sudah hilang. Semua kedai-kedai di pusat kota London telah diambil alih oleh syarikat multinasional yang memiliki modal besar.

Sewa jadi mahal, maka Pak Ibrahim dan keluarga terpaksa tutup kedai.

Paling sedih, apabila gua mencari sekolah seni Saint Martin. Gua gagal bertemu. Sekolah ini tempat gua melepak. Gua pernah mencuba nasib mencari awek – gagal - dari sekolah ini. Tup tup sekolah seni ini telah dipindahkan. Syarikat multinasional telah membeli bangunan sekolah ini.

Tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat kena tampar.

Mek Donald an Kentuki kelihatan bersepah-sepah. Pandang ke arah mana sahaja yang dilihat bukan keaslian kota London – bukan kedai Mister Jack dan Madame Jojo tapi London Sentral telah menjadi sarang syarikat multinasional.

Semua ini menjadikan gua tidak berahi lagi kepada London. Watak keinggerisan tak ada. Watak kematsallehan telah hilang. Yang ada budaya plastik dari Amerika. Ini membosankan.

Untuk gua London tidak lagi special. Pusat kota London dah sama macam kota-kota lain yang didominasi oleh kepentingan multinasional dari Amerika.

Tapi kenapa gua datang juga ke London?

Begini mulanya - hujan tidak guruh pun tidak tetiba gua dapat jemputan ke Paris. Gua jadi was was. Apakah ini jemputan dari puak kanan, dari CIA atau jemputan salah. Gua tak kenal siapa yang menjemput.

Gua difahamkan - gua dijemput kerana satu ketika dahulu gua pernah mendapat perlindungan suaka politik dari Belgium. Kini ramai warga Asia Tenggara yang juga sedang mengalami apa yang telah gua alami. Para warga pemegang suaka politik terkini menjemput gua untuk bertukar fikiran.

Tup Tup – 9 Mei sampai. Pakatan Harapan menang. Ini menjadikan pengalaman Malaysia amat-amat berharga. Malaysia dilihat sebagai negara contoh di Asia Tenggara - sebagai pembawa obor demokrasi.

Maka kerana gua terlibat dalam kempen Pakatan Harapan maka gua dijemput datang. Kenapa ke London dan Paris? Kerana ramai warga Siam, Myanmar, Vietnam dan Kemboja yang masih belum merasai apa itu demokrasi. Mereka tersadai di Eropah sebagai pemegang suaka politik.

Warga Siam lagi parah. Lebih parah dari Malaysia ketika ada ISA. Di Siam ada undang-undang lese mejeste. Ini hukuman melarang mempersoalkan tentang Raja Siam.

Apa sahaja yang ditutur tentang Raja Siam berkemungkinan untuk ditafsir sebagai menghina Raja. Hukuman lese mejeste ini amat ketat dan amat berat. Sesiapa sahaja warga dan bukan warga boleh dipenjara jika dituduh di bawah hukuman lese mejeste Amin.

Hakikatnya gua masuk ke dalam perut kota London bukan lagi kerana gua berahikan kopek kota London. Pikir punya hitung pasti gua dianggap kurang siuman datang ke Eropah ketika musim sejuk menggeledak.

Dari dulu lagi gua tidak suka dengan musim sejuk. Malah salah satu sebab gua meninggalkan kota London 20 tahun dahulu adalah kerana cuaca yang memaksa gua memakai seluar dalam dan stokin sarung kaki. Dua apparel yang paling tidak gua minati.

Congak punya fikir gua datang ini kerana gua mahu membantu para pemegang suaka politik dari Asia Tenggra yang terdampar di Eropah. Gua telah melalui semua. Gua tahu pahit manisnya menjadi pelarian politik. Pengalaman gua 20 tahun dahulu masih segar dalam ingatan.

Pada hemat gua – suasana politik hari ini – dengan puak kanan makin ampuh pasti pelarian politik lebih susah daripada apa yang pernah gua lalui.

Justeru gua merasa sedikt bertanggung jawab untuk meluahkan pengalaman kepada generasi muda Asia Tenggara yang tersadai di Eropah.

Pengalaman gua ini ditambah pula dengan babak kemenangan 9 Mei. Ini menjadikan Malaysia dan para aktivis di Malaysia sebagai sosok rujukan.

Biar gua nyatakan di sini ketika Pakatan Harapan Berjaya mengalahkan Najib gua tidak merasa apa-apa spesial. Gua tidak sedar dan gagal membaca betapa besarnya pandangan warga Asia Tenggara terhadap Malaysia.

Daripada perbincangan dengan para pesuaka politik Asia Tenggara di Eropah – rata-rata mereka mengharapkan model Malaysia ini akan dapat diulang buat di tanah air mereka.

Apakah ini mungkin?

Pada ketika ini gua tidak ada pandangan yang tuntas dalam hal perubahan dan pencapaian demokrasi di Siam atau di Myanmar. Gua hanya boleh berkongsi pengalaman. Mungkin kerana cinta gua kepada London telah luntur. Mungkin otak gua kosong pada ketika ini kerana sejuk di luar menggagalkan gua berfikir secara rapi.

Malah tidur gua yang tak tentu hala ini juga menggagalkan gua berfikir secara berdisplin. Tapi gua tahu Malaysia kini dilihat di Asia Tenggara sebagai pembuka jalan pembawa demokrasi. Malaysia dilihat sebagai benteng demokrasi melalui pilihanraya.

Jam tujuh pagi di luar kota London yang sejuk gua tak mahu berfikir panjang. Di luar kabus menebal. Ini wilayah kampung. Pekan kecil di sini masih lagi pekan Inggeris.

Kota London tidak lagi menarik. Kelmarin seharian duduk berbincang. Gua belum lagi sampai ke Soho. Jelas gua telah hilang berahi terhadap kota ini.

Esok petang gua akan pulang. Berapa lama tersangkut di Dubai gua tak ambil pot. Yang penting gua tak perlu pakai seluar dalam dan stokin sebagai tanda hormat kepada kota London. Di Brickfileld gua dibenarkan terkencing berdiri di mana yang gua suka. Amin.


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS