Paling Popular
Terkini
story images
story images

Setelah buang air besar di atas katil hospital, saya merasa kurang selesa dengan keadaan ini. Memalukan. Menjengkelkan. Terpaksa saya melakukan. Isteri terpaksa menyucikan. Perasaan bercampur. Kalau ada kekuatan saya mahu melakukan sendiri.

Apa nak dikata. Badan saya sudah lumpuh. Sebelah kanan menjadi kaku. Berat. Terpaksa mengiring. Menyudahkan kerja. Berbaring. Dengan fikiran tak habis memikirkan kalau sebaliknya. Saya ada kekuatan tapi tidak mampu melaksanakan.

Hanya bernasib baik melepaskan hajat di waktu malam. Di waktu orang tidak melawat. Seorang-orang. Kesibukan melupakan hasrat. Ada baiknya buang air malam-malam. Tenang dan tanpa gangguan.

Isteri yang melakukan semua. Dia banyak bersabar. Bukan mudah. Najis orang lain. Melakukan seadanya. Dia cukup bersih dan taat. Tidak banyak bicara. Orang sakit harus dihormati dan dengar cakapnya.

Saya duduk memerhatikan. Dia tabah menghadapi. Air mukanya tenang. Dia banyak bersabar dengan kelakuan saya yang tiba-tiba panas angin. Panas angin kerana tidak lagi mampu melakukan sendiri. Terpaksa bergantung kepada orang lain.

Pakaian saya berganti. Pakaian hospital masih sama. Kawasan ditutup. Jiran sebelah tidak tahu. Sesudah selesai terasa lega. Memulas-mulas sudah pergi. Waktu untuk tidur.

Dua minggu saya di hospital.

Saudara mara dan sahabat handai terus ramai. Tak berhenti kunjung tiba. Wad sentiasa penuh dengan orang. Dari pagi ke petang. Ada sahaja. Sungguh meriah. Para jururawat bertanya, siapakah yang dilawat. Pening kepala. Tidak berhenti-henti orang datang.

Pesakit di sebelah pun merasa hairan. Ternganga melihat ramai orang. Yang melawat dia boleh kira. Lebih banyak melihat tetamu saya. Tumpang sama sekali. Tumpang berborak.

Ia seolah-olah reunion. Pertama kali bertemu. Tidak pernah berjumpa sejak sekolah, universiti, Dubai dan kali akhir kerja. Apabila ramai-ramai baru terasa berhibur. Bertemu muka dengan kawan-kawan. Juga lama tidak bertemu.

Kawan-kawan sekolah, universiti, Dubai dan tempat kerja lama saling kenal mengenal. Memudahkan silaratulrahim. Berbicara seolah kenal lama. Ada yang mula rapat. Ada yang saudara sendiri.

Saya menjadi orang tengah yang menghiburkan. Walau saya hanya diam. Mereka saling menghormati antara satu sama lain. Ukhuwah terjalin dan perhubungan erat.

Usia kami juga telah lebih lima puluhan. Tiada apa lagi yang dikejar dan dicari. Sudah cukup semuanya. Ada yang kaya. Ada yang normal. Semua sama sahaja. Wang beribu-ribu dan berjuta-juta apa gunanya kalau sakit di hospital.

Saya melihat keliling dengan diam dan berfikir. Cuma tidak boleh berbicara. Dalam pertanyaan tentang diri, perasaan terhadap saudara-mara dan kawan-kawan terpelihara. Sedikit sebanyak bertanya diri sendiri, siapa mereka?

Akhirnya saya ingat pada mereka yang datang. Nama tidak ingat. Wajah tetap diingat. Bertalu yang datang. Perlahan-lahan datang dalam memori. Ada yang cepat. Terus datang ingatan dan kawan-kawan berteka-teki tentang siapakah yang diingat.

Siapa yang diingat lupa pula nama selepas mereka pulang. Agak lama. Nasib telefon membantu. Sekurang-kurang ingat nama. Walau tidak ingat sepenuhnya.

Perlahan-lahan juga saya mula bangun. Bahagian kanan mula dapat diangkat. Tangan dan kaki kanan masih lumpuh. Bersalam dengan tangan kiri. Duduk perlu dibantu.

Saya agak payah untuk bergerak dari katil. Saya mencuba. Perlahan-lahan dapat juga melakukan. Nasib ada kerusi roda hospital. Saya dapat bergerak lebih jauh dari tempat perbaringan. Melihat sekeliling. Walau tidak mudah dan menyakitkan badan.

Dua minggu di hospital menjemukan. Nasib baik ratusan yang datang. Selain berkenalan semula dengan kawan-kawan dan belajar untuk kenal mengenal satu sama lain.

Hidup telah berubah. Saya terkena strok atau angin ahmar. Tiada lagi sama seperti dahulu dan perlukan perubahan. Pertamanya dengan diri sendiri sama ada reda atau tidak dengan kehendak-Nya.

Saya belum sembahyang. Kena belajar semula seperti menghafal ayat-ayat Quran. Lebih utama setiap bacaan dalam sembahyang perlu diingat semula. Satu persatu kena belajar semula untuk dekat pada Ilahi.

Saya tidak ingat pergerakan sembahyang. Kalau sembahyang pun duduk. Berapa rakaat. Tidak ingat. Cuma saya ingat waktu sembahyang. Menyuruh orang bersembahyang. Azan pun saya kena ingat balik. Setiap patah perkataan.

Saya sedar mungkin ada kesilapan diri. Mungkin lebih berat dari kesedaran. Masa untuk bertaubat. Masa untuk kenang masa lalu telah terpadam. Hanya waktu terkini dan semasa memanjangkan usia. Dalam usia lima puluh empat tahun, tuhan memberikan peluang kedua.

Sesungguhnya saya bersyukur atas segalanya. Penyakit ini sementara. Apa yang lebih penting masa depan dan perbuatan saya mengikut ajaran agama.

Saya insaf dan mengharap dosa-dosa saya terampun. Itu sahaja. Saya mahukan hari-hari terakhir sebaik-baik.

Amin!

MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Bahagian 1: Siapa saya?
Bahagian 2: Minggu pertama selepas hilang ingatan
Bahagian 3: 
Dua minggu yang kritikal

Lihat Komen
ADS