Paling Popular
Terkini

Laporan utama majalah berita mingguan dari Indonesia, Tempo, keluaran 4 -10 Februari lalu ialah mengenai golput, singkatan untuk golongan putih. 

Golongan ini terdiri daripada rakyat Indonesia yang “neutral” atau yang mengambil sikap berkecuali dan tidak memihak dalam landskap politik republik itu.

Lantas pada pilihan raya atau Pemilu (pemilihan umum) mengikut istilah Indonesia, mereka memilih untuk tidak mengundi walaupun layak berbuat demikian.

Mengapa mereka jadi golput? Pelbagai alasan dan sebab diberi tapi ringkasnya golongan ini “bosan dengan politik dan tidak percaya orang politik”.

Golput dalam politik bukan “gejala” baru. Menurut Tempo ia lahir menjelang Pemilu 1971, gerakan yang digagaskan para cendekiawan untuk “memilih tanpa memilih” menjadi peserta Pemilu.

Kata Tempo, ada tinjauan terbaru menunjukkan peningkatan jumlah golongan putih. Kajian dijalankan menjelang Pemilu 2019 April ini.

Itu membuat saya teringat perbualan dengan rakan saya mendiang Didik Budiarto kira kira sebulan selepas Pemilu 2009. Didik pernah bertugas sebagai wartawan Tempo (waktu kami bertemu pada 2009 beliau sudah beralih dari Tempo).

Sebenarnya kami borak-borak kosong saja. Sembang antara dua kawan lama tapi tentunya timbul soal Pemilu yang baru berlalu ketika itu. Dan Didik memberitahu beliau adalah golput.

Ini kerana beliau tidak percaya terhadap semua ahli politik dan sebagai wartawan katanya beliau mesti neutral.

Saya tidak setuju lalu nyatakan mengapa. Namun kami tidak bercakap panjang mengenai hal itu kerana bergegas untuk menyaksikan persembahan Alleycats di sebuah kelab di Bukit Bintang.

Di Malaysia ada juga golongan putih. Golput kita. Ramai atau tidak saya tidak tahu. Setakat ini saya belum temui kajian mengenai golput di tanah air.

Menjelang PRU 14 ada gerakan oleh beberapa aktivis menggesa rakyat Malaysia yang bosan dengan kerajaan dan pembangkang ketika itu “memulau” pilihan raya dengan merosakkan kertas undi mereka.

Maka wujudlah gerakan yang dipanggil #undirosak.

Namun seperti yang ditunjukkan dengan jumlah orang yang keluar mengundi pada pilihan raya umum 9 Mei tahun lalu gerakan #undirosakan gagal mendapat sambutan rakyat Malaysia.

Tapi golput tetap ada.

Contoh terdekat bagi saya secara peribadi ialah perbualan menerusi Whatsapp oleh dua kawan baik saya baru baru ini.

Kerja kotor

Yang mereka perkatakan ialah:

“Macam macam parti dah bertukar ganti mereka (baca: rakyat) masih di takuk lama, Barisan Nasional, Pakatan Rakyat, Pakatan Harapan semua sama saja.

“Orang politik cuma pentingkan diri sendiri dan hanya mahu buat duit, semua tak boleh pakai.”

Kesimpulannya kedua-dua kawan saya itu bosan dengan politik dan ahli politik.

Saya tidak setuju walaupun akui ada benarnya (sedikit sebanyak) apa yang mereka katakan itu.

Saya tidak suka politik tapi saya membuat liputan hal politik dan mengikuti politik. Saya tetap akui politik penting.

Bagi saya mengambil sikap berkecuali khususnya untuk tidak mengundi hanya melepaskan peluang menentukan hala tuju negara ini.

Jika keadaan tidak baik golongan yang tidak mengundi tidak boleh merungut ekoran tindakan melepas peluang untuk membuat penentuan .

Menyertai politik bukan mudah. Jika ia dianggap kotor, namun seseorang tetap harus buat kerja kotor itu.

Untuk menuduh semua orang politik korup dan menyalahkan mereka bagi semua masalah secara total pada hemat saya adalah tidak adil.

Hakikatnya ada orang politik baik dan ikhlas dan ada yang tidak baik dan tidak ikhlas. Dalam semua parti. Bukan semua orang BN, PAS, PH jahat. Begitu juga bukan semua mereka baik.

Undi calon, bukan parti?

Ada pihak yang menyarankan kita undi berdasarkan calon bukan parti. Pilih calon yang baik ikhlas dan jujur.

Bagaimanapun calon yang baik memerlukan pelbagai bentuk sokongan dan bantuan untuk membawa kebaikan. Lazimnya sokongan atau backup itu datang daripada parti yang kukuh.

Mungkin itu sebabnya calon bebas di Malaysia kerap dikecewakan pada pilihan raya. Mereka bertanding tanpa back up yang memastikan apa yang dirancang terlaksana.

Namun tentu kita masih ingat pada tahun 1988, Shahrir Samad akibat sengketa dalaman Umno bertindak keluar parti dan melepaskan kerusi parlimen Johor Baru yang disandangnya sekali gus membuka laluan untuk pilihan raya kecil diadakan.

Pada pilihan raya itu Shahrir yang bertanding sebagai calon bebas menang. 

Pun begitu beliau dipercayai mendapat sokongan jentera kumpulan yang kemudiannya menubuhkan Parti Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah.

Pada pengetahuan saya satu satunya calon bebas yang “tulen” - bertanding dengan wang sendiri, tanpa pasukan sokongan besar tetapi tetap menang ialah Mohd Jabar Yusof atau lebih dikenali sebagai Cikgu Jabar.

Cikgu Jabar berjaya tiga kali atas tiket calon bebas. Menang dia ketika itu di DUN Batu Laut di Selangor pada pilihan raya 1972, 1978 dan 1982. Hebat.

Tapi zaman itu sudah lama berlalu.


MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS