Seluruh dunia Islam sedang berang dengan tindakan akhbar-akhbar Eropah mengulang siar karikatur yang mempersendakan Nabi Muhammad s.a.w. Sikap biadap yang dimulakan oleh akhbar di Denmark itu, kini diikuti akhbar lain di seluruh Eropah.

Pengurusan media berkenaan menggunakan alasan kebebasaan media sebagai asas menyiarkan 12 karikatur yang menghina Islam itu. Tanpa mengambilkira sensitiviti umat Islam, karikatur itu disiar walaupun media-media barat menyedari perbuatan itu mengundang satu krisis besar.

Lihatlah sekarang, umat Islam berdemonstrasi di seluruh dunia. Bukan setakat bendera, malah pejabat kedutaan Barat dibakar. Pemulauan produk Denmark sedang dilakukan dan ia mungkin meluas kepada barangan dari negara-negara lain seperti Norway dan Sepanyol yang turut menyiarkan karikatur tersebut.

Tindakan biadap itu juga mungkin menjejaskan hubungan diplomatik apabila beberapa negara Arab, termasuk Arab Saudi, memanggil balik duta mereka di Copenhagen. Malah, keselamatan warga Denmark atau Eropah di negara-negara Islam juga terancam. Dua orang pekerja syarikat makanan Denmark di Arab Saudi, Arla Foods telah diserang.

Berbaloikah tindakan bodoh dan gila akhbar-akhbar berkenaan?

Ketegangan agama menjadi-jadi, terutamanya di negara Islam di Timur Tengah dan Asia Selatan. Kita bernasib baik kerana di Malaysia, umat Islamnya masih rasional walaupun saudara mereka di Indonesia dan Thailand telahpun berarak di jalanraya.

Apakah tujuan sebenar penyiaran karikatur tersebut kalau bukan untuk menghina Islam dan melakukan provokasi agama, lebih-lebih lagi apabila ia diulang siar oleh akhbar-akhbar lain di luar Denmark.

Mencemar maruah

Sepatutnya akhbar di Perancis, Sepanyol, Sweden, Bulgaria dan Jerman tidak mengulang siarnya setelah melihat kemarahan umat Islam semakin memuncak. Masyarakat Barat cukup faham sikap umat Islam yang sensitif terhadap agama mereka, lebih-lebih lagi apabila berkaitan dengan maruah dan imej nabi dan rasulnya. Semua tindakan ini tidak lain dan tidak bukan, bertujuan merosak dan menjatuhkan imej umat Islam.

Orang Barat memang suka melihat umat Islam berdemonstrasi, merusuh dan mengganas. Dengan adanya unsur-unsur ini maka lebih mudah mereka mengesahkan tuduhan yang mengatakan orang Islam adalah pengganas. Kerana itulah provokasi ini dilancarkan.

Dan paling memalukan, media Barat yang selama ini memperjuanglkan kebebasan media dan kebebasan bersuara, membenarkan diri mereka diperkudakan untu tujuan konfrantasi dan provokasi agama.

Alasan kerana menegakkan kebebasan akhbar tidak boleh diterima sama sekali. Kebebasan akhbar tidak boleh dipraktikkan sewenang-wenangnya. Setiap kebebasan itu ada had dan batasnya. Kebebasan mesti digunakan dengan bijaksana supaya ia tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak.

Sebenarnya apa yang dilakukan oleh para editor akhbar-akhbar Barat itu ialah menyalahgunakan kebebasan media yang ada pada mereka. Ada agenda besar di sebalik tindakan tersebut - mahu memperlekeh dan memprovokasi umat Islam. Kita tidak tahu apa agenda tersembunyi mereka.

Dalam dunia serba canggih dan dengan adanya kemudahan Internet, segala maklumat berada di hujung jari. Walau dalam media apa dan bahasa apapun maklumat atau imej disiarkan, ia boleh dibaca dan dimuat turun dari seluruh penjuru dunia.

Sebaran Internat

Begitu juga dengan penyiaran karikatur dalam akhbar Denmark itu. Walaupun ia pertamakali disiarkan September tahun lalu, namun ia tetap tidak boleh disorok. Ia membangkitkan kemarahan umat Islam apabila ia mula tersebar menerusi Internet.

Permohonan maaf sudah tidak boleh mengubah keadaan. Kini seluruh dunia Islam tegang. Antara orang Islam dan orang Barat, mereka semakin curiga-mencurigai dan jurangnya semakin jauh. Warga Denmark di seluruh dunia tidak lagi berasa selamat. Inilah harga yang terpaksa dibayar terhadap perbuatan segelintir editor yang hanya mementingkan berita sensasi dan kepuasan sendiri.

Sensitiviti ini tidak perlu ditinjau jauh. Kita lihat sahaja apa yang berlaku kepada akhbar The Sarawak Tribune . Editornya turut melakukan kesilapan, walaupun perkara keagamaan adalah benda yang amat sensitif di negara pelbagai kaum dan agama ini.

Editor beritanya terpaksa meletakkan jawatannya dan akhbar tersebut menghadapi risiko dikenakan tindakan oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN). Adakah permit penerbitan Sarawak Tribune , akhbar tertua di Sarawak itu, akan dibatalkan atau digantung?

Kesilapan yang dilakukan oleh sidang editor akhbar itu memang besar. Menyedari hakikat itu, mereka telah meminta maaf secara terbuka. Malah, notis minta maaf yang kedua akan dkeluarkan dalam tempoh terdekat ini bagi menunjukkan kekesalan dan kesilapan akhbar tersebut.

Cukupkah dengan notis minta maaf itu atau akhbar berkenaan perlu dikenakan tindakan lebih keras. Jika ditanya pada para pengamal media, mungkin ia sudah memadai, kerana editor yang bertanggungjawab telah bertanggungjawab sepenuhnya. Malah pengakuan kesal dan mohon maaf telah dibuat oleh syarikat akhbar berkenaan.

Atau Sarawak Tribune wajar digantung untuk satu tempoh yang singkat? Terpulang kepada KKDN untuk menilai situasi ini dan kesan penyiaran karikatur tersebut. Walau apapun tindakan yang dikenakan, ia perlulah berdasarkan fakta dan rasional. Desakan dan sentimen perlu diketepikan dalam membuat hukuman ke atas Sarawak Tribune .

Apapun yang berlaku ke atas Sarawak Tribune atau warga Barat di seluruh dunia akibat perbuatan biadap ini, ia perlu dilihat dari prespektif yang luas mencakupi kepentingan semua warga global.

Mungkin sudah tiba masa bagi semua negara termasuk pihak media menghentikan penyiaran bahan-bahan yang menghina semua agama. Bukan sahaja umat Islam yang sensitif terhadap akidah mereka, malah penganut Kristian, Yahudi, Hindu, Buddha dan sebagainya, turut berkongsi sensitiviti yang tinggi.

Negara kuasa besar termasuk badan dunia PBB perlu merangka dasar hormat menghormati antara agama dan umat ini. Dan yang paling penting, pihak media, tanpa mengira di penjuru mereka beroperasi, perlu sedar tidak ada kebebasan mutlak bagi mereka. Konsep kebebasan perlu diiringi dengan kebijaksanaan.