Umno perlu mencari jalan keluar secara bermaruah jika memilih untuk bersama PAS dan PN, bukannya terus “menumpang kuasa” di Putrajaya seperti sekarang, kata Amanah.

Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar, berkata sudah tiga PRN Umno konsisten memilih untuk membina kerjasama politik bersama PN – yang kini dikuasai PAS –  meskipun parti utama BN itu terus menikmati kuasa dan jawatan dalam kerajaan.

Lebih janggal lagi, tambah Mahfuz, apabila Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, secara terbuka mengkritik kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

"Saya berpandangan sudah tiba masanya Umno BN membuat keputusan yang jelas.

“Jika mereka lebih selesa menjadikan PAS dan PN sebagai rakan politik untuk menghadapi PH, mereka perlu berani menerima implikasi daripada pilihan tersebut.

"Jangan terus menumpang kuasa di Putrajaya sambil membina kekuatan politik bersama pihak yang mahu menumbangkan rakan kerajaan sendiri," katanya dalam kenyataan.

Umno sememangnya bersaing dalam perebutan kuasa di negara ini sebelum mereka terpaksa membentuk kerajaan perpaduan selepas PRU ke-15 pada 2022 lalu kerana tiada mana-mana parti mampu mendapat majoriti mudah di parlimen.

Hubungan itu berjalan agak baik sebelum ia memburuk sedikit demi sedikit.

Ia menjadi semakin retak apabila Umno-BN bekerjasama dengan PN dalam tiga PRN iaitu di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Kerjasama itu menyaksikan BN menguasai Johor dengan kukuh, selain mengetepikan PH yang menjadi kerajaan di Negeri Sembilan.

Mahfuz berkata Umno perlu membuat keputusan sendiri terkaitt kedudukan mereka dalam kerajaan tanpa perlu memaksa Anwar "menghalau" mereka keluar dari kabinet.

Dia yang juga Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang berkata, Umno dan BN tidak wajar meletakkan Anwar dalam keadaan serba-salah, seolah-olah seorang tuan rumah yang terpaksa berdepan dengan tetamu yang tidak menghormatinya.

Kedudukan Umno, kata Mahfuz, adalah ibarat tetamu yang sudah lama mencari ‘rumah baru’ sambil dan mengajak pihak di luar merobohkan rumah yang sedang diduduki mereka.

"Jika sudah tidak sehaluan, keluarlah dengan bermaruah. Jika sudah memilih jalan lain, beranilah mengaku. Jangan terus menumpang kuasa di Putrajaya sambil mengatur percaturan politik bersama pihak yang mahu menumbangkan kerajaan Madani," katanya lagi.