Menurut Wikipedia Indonesia, kontroversi mengenai karikatur Nabi Mohammad bermula apabila dua belas karikatur Nabi Muhammad disiarkan oleh akhbar Jyllands-Posten pada 30 September 2005.

Ensiklopedia tersebut memberi latarbelakang kontroversi itu dengan mengatakan karikatur-karikatur tersebut, pada mulanya dimaksudkan untuk mengilustrasikan secara satira artikel yang membahas isu penapisan sendiri (self-censorship) dan kebebasan bersuara (freedom of speech).

Jyllands-Posten menerbitkan karikatur Nabi Muhammad setelah mendengar kata-kata seorang pengarang Denmark, Kare Bluitgen, bahawa tiada yang bersedia melakar karikatur Nabi Muhammad untuk digunakan dalam buku karangannya. Mereka tidak berani menggambarkan Nabi Muhammad kerana takut akan diancam oleh ekstremis Islam.

Dari pengenalan pendek tersebut, ternyata Jyllands-Posten tergolong dalam kalangan mereka yang menjadikan kebebasan bersuara sebagai prinsip dan nilai yang tidak boleh dikompromi, sekalipun berkaitan dengan Nabi Muhammad.

Golongan ini digelar oleh Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar (sila merujuk kepada kolum 'Tetamu' Berita Minggu , 12 Februari 2006) sebagai "golongan ekstrim, pelampau atau fanatik sekular yang berbeza dengan golongan sekular arus perdana."

Kata Dr Osman Bakar: "Saya tidak hairan kerana sepertimana yang mereka sering katakan, mereka pernah membuat karikatur terhadap Nabi Isa a.s, malah terhadap Tuhan mereka sendiri."

Mereka yang mempercayai kebebasan bersuara mutlak ini sering mendakwa berhak "menyindir" Nabi Muhammad, seperti orang Islam berhak menyembah dan memujanya. Kepada mereka, kebebasan beragama meliputi hak untuk beragama dan juga hak untuk tidak beragama.

Bagi mereka, sesiapa yang tidak setuju dengan karikatur terbabit, berhak tidak melihatnya, berhak memboikotnya, dan juga berhak menyuarakan tentangan dan bantahan terhadapnya. Tetapi mereka tidak berhak untuk menegah pihak akhbar menyiarkan karikatur terbabit atau mengancam keselamatan pelukis karikatur.

Islam dan Barat

Justeru, pada 1 Februari 2006, beberapa majalah dan akhbar di Norway, Perancis dan Jerman menyiarkan semula secara serentak karikatur terbabit untuk menunjukkan sokongan dan solidariti mereka dengan pendirian Jyllands-Posten .

Tidak dapat dinafikan, memang terdapat unsur-unsur pertembungan tamadun dari segi ajaran Islam yang melarang penggambaran Nabi Muhammad untuk mencegah pemujaan dan mempertahankan kesempurnaan-Nya.

Namun, memang kurang tepat jika unsur-unsur tersebut diperluaskan dan disifatkan sebagai pertembungan tamadun antara Islam dengan Barat. padahal, rakyat Denmark sendiri sudah terbahagi kepada dua golongan, dan lebih daripada separuh rakyat Denmark menganggap penyiaran karikatur yang mempersendakan Nabi Muhammad itu adalah salah.

Sensitiviti terhadap agama khasnya dan tamadun amnya bukan jalan sehala. Selain meminta Barat memahami pantang larang umat Islam terhadap Nabi-Nabinya, umat Islam juga perlu memahami dan menghormati prinsip kebebasan bersuara yang diamalkan oleh media Barat selagi ia bukan kebebasan bersuara mutlak yang tidak bertanggungjawab.

Perkembangan terbaru sebenarnya amat menggalakkan. Jyllands-Posten yang pada mulanya berdegil dengan prinsip kebebasan bersuara mutlak mereka, telahpun meminta maaf kerana Kerajaan Denmark mahu mereka menghayati bahawa kebebasan akhbar bukanlah kebebasan mutlak.

Kerajaan Denmark yang mula-mulanya enggan meminta maaf bagi pihak Jyllands-Posten dengan alasan mereka tidak mengawal akhbar terbabit. Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Syed Hamid Albar turut mengutuk sebarang tindakan, kenyataan atau kata-kata yang memburukkan orang lain berdasarkan agama atau atas dasar kaum dan menganggap tindakan itu tidak mempunyai asas terhadap rasa hormat terhadap manusia.

Kerajaan Denmark telah menghantar surat rasmi meminta bantuan Malaysia untuk membendung kemarahan umat Islam di seluruh dunia yang dicetuskan oleh penyiaran semula karikatur menghina Nabi Muhammad itu.

Tindakan gantung

Rasanya tibalah masanya kontroversi terbabit diselesaikan melalui dialog dan perundingan secara damai dan rasional. Sebagai Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), negara kita sewajarnya memainkan peranan penting dalam membantu menyelesaikan kontroversi yang mungkin menular menjadi krisis dunia yang tidak dapat dikawal nanti!

Saya tidak berani meminta umat Islam mengamalkan hadis yang dipetik oleh Dr Osman Bakar di mana Allah telah menasihati Nabi Muhammad yang maksudnya: Kalau ada orang berlaku tidak baik terhadap kamu, doakan kebaikan untuk mereka.

Tetapi sekurang-kurangnya ikutilah nasihat beliau bahawa kita seharusnya mengelak tindak balas berbentuk keganasan kerana itu bukan ajaran Islam.

Berdasarkan prinsip tolak ansur dan kesederhanaan yang diamalkan oleh Islam itu, tidakkah keputusan untuk menggantung permit penerbitan Sarawak Tribune dan menyebabkan akhbar tertua di Sarawak itu terkubur, merupakan hukuman yang terlalu berat, kerana akhbar terbabit telah dua kali meminta maaf.

Malah Editornya terpaksa meletak jawatan diikuti dengan Ketua Pengarang Kumpulannya atas alasan ketidak-sensitifan mereka dalam menyiarkan semula karikatur terbabit?

Dan tidakkah "witch hunt" terhadap Guangming Daily juga merupakan tindakan yang akan makin melemaskan suasana kebebasan bersuara yang sudahpun begitu lembap sekali?