Krisis kepimpinan Guru Besar SRJK(C)
Iklan mengenai ganjaran RM500,000 yang ditawarkan oleh Ong Koh Hou, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola SRJK(C) Chin Woo, kepada mereka memberi maklumat dan bukti amalan rasuah di kalangan guru besar sekolah rendah Cina, umpama satu letusan bom yang menggegarkan masyarakat Cina.
Iklan tersebut hanya disiarkan oleh akhbar Oriental Daily News . Manakala akhbar Sin Chew Daily, Nanyang Siang Pau dan China Press tidak mahu menyiarkan iklan itu atas alasan ianya 'sensitif'.
Namun dipercayai penolakan itu mempunyai kaitan komersil. Maklumlah penjualan bahan bacaan terbitan syarikat akhbar berkenaan serta program membaca akhbar di kalangan pelajar, memerlukan kelulusan dan kerjasama guru besar.
Iklan mengenai ganjaran RM500,000 yang ditawarkan oleh Ong Koh Hou, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola SRJK(C) Chin Woo, kepada mereka memberi maklumat dan bukti amalan rasuah di kalangan guru besar sekolah rendah Cina, umpama satu letusan bom yang menggegarkan masyarakat Cina.
Iklan tersebut hanya disiarkan oleh akhbar Oriental Daily News . Manakala akhbar Sin Chew Daily, Nanyang Siang Pau dan China Press tidak mahu menyiarkan iklan itu atas alasan ianya 'sensitif'.
Namun dipercayai penolakan itu mempunyai kaitan komersil. Maklumlah penjualan bahan bacaan terbitan syarikat akhbar berkenaan serta program membaca akhbar di kalangan pelajar, memerlukan kelulusan dan kerjasama guru besar.
Mengetahui sedikit sebanyak mengenai latarbelakang iklan tersebut disiarkan, akan membantu untuk memahami kenapa penyiarannya begitu 'menggegarkan'.
Pertama, Ong Koh Hou memang bukan calang-calang orangnya, beliau telah berjaya menyebabkan tiga guru besar SRJK(C) Chin Woo dipindah ke sekolah lain dalam masa setahun.
Beliau, antara lain, cuba mempertahankan hak Jawatankuasa Pengelola dalam memantau dan mengendalikan hal-ehwal penjualan buku teks, buku kerja, bahan tulisan agar kepentingan pelajar dan sekolah terpelihara.
Keberanian Ong dalam memerangi amalan tidak diingini guru besar telah dianggap oleh Kesatuan Kebangsaan Guru Besar Sekolah Cina (KKGBC) sebagai contoh bagaimana guru besar sekolah Cina telah ditindas.
Sudah menjadi 'rahsia terbuka' bahawa setengah guru besar menerima komisen daripada pembekal buku teks, buku kerja, bahan tulisan, serta kelas celik komputer dan aktiviti-aktiviti luar kurikulum yang lain.
Umpama mencurah minyak atas api, dakwaan amalan rasuah membabitkan guru besar SRJK(C) telah dibangkitkan dalam program 'Talking issues' di Astro pada 5 Februari lalu.
Dalam program tersebut, Naib Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Petaling, Teh Hon Seng telah membuat suatu carta yang menunjukkan setiap tahun seorang pelajar membayar RM780 untuk membeli buku teks, buku kerja, dan bayaran untuk pelbagai kelas tuisyen dan aktiviti tambahan.
Balas dendam
Dengan mengambilkira terdapat 650,000 pelajar di semua SRJK (C), menurut kiraan Teh, maka jumlahnya mencecah RM500 juta. Diandaikan kadar komisyen ialah 30 peratus, maka jumlah keseluruhan bayaran komisyen tersebut adalah RM150 juta! Beliau bertanya ke manakah perginya wang komisyen tersebut?
Iklan ganjaran tersebut dikaitkan dengan pendedahan mengenai wang komisyen yang sudah hilang; dan perjuangan Dong Zong dalam mempertahankan kuasa mereka dalam mengendalikan harta benda dan urusan sekolah, termasuk pemberian tender kantin dan urusan penjualan buku teks, buku kerja, bahan tulisan, kelas-kelas tuisyen serta aktiviti-aktiviti luar kurikulum yang lain.
Dan jika dikaitkan pula dengan rungutan ibu bapa pelajar bahawa beg dan kerja sekolah anaknya terlalu membebankan, maka guru besar yang selama ini dianggap sebagai elit masyarakat yang berwibawa, seolah-olah dalam sekelip mata telah dicuragi sebagai manusia yang tidak beretika dan perosak pendidikan.
Menghadapi krisis maruah dan etika, KKGBC mengambil suatu langkah yang tidak rasional: beralasankan mereka dicurigai sebagai pengamal rasuah, digertak pada tengah tahun yang kedua, mereka akan menghentikan semua kelas tuisyen bahasa dan kelas celik komputer dan segala aktiviti luar kurikulum yang kena bayaran, dan mereka akan menjual buku kerja yang ditetapkan oleh kementerian pelajaran sahaja.
Keputusan yang berbau 'balas dendam' dan 'merajuk' itu disiarkan sebagai iklan dalam ketiga-tiga akhbar yang sebelum ini enggan menyiarkan iklan Ong Koh Hou seperti yang tersebut di atas, dan tentunya iklan ini tidak disiarkan dalam Oriental Daily News!
Guru Besar sebenarnya tidak berkuasa untuk berbuat demikian secara unilateral, kerana kelas-kelas dan aktiviti-aktiviti terbabit kebanyakannya dikendalikan atas nama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), dengan direstui Jawatankuasa Pengelola Sekolah.
Keputusan yang cuba 'memperjudikan' kepentingan pelajar tersebut menimbulkan kemarahan ibu bapa pelajar, dan sekaligus menggadaikan profesionalisme Guru Besar sebagai pendidik terlatih.
Rosak imej
Iklan Ong dan dakwaan Teh dituduh oleh KKGBC sebagai menghitamkan imej Guru Besar, mengingkari amalan nilai tradisional yang menghormati dan patuh kepada mereka yang tua dan berhubungan rapat, serta menghina maruah kaum Cina.
Pemimpin MCA dan Persatuan-Persatuan Cina yang rapat dengan KKGBC cuba melobi/memberi tekanan kepada Dong Zong agar 'berdamai' dengan Kesatuan Kebangsaan Guru Besar Cina melalui kompromi kononnya demi kepentingan SRJK(C) dan kaum.
Mereka yang konservatif berpendapat rasuah itu terdapat di mana-mana, ia sukar dicegah atau dibanteras, dan mengambil komisyen adalah amalan biasa dalam dunia komersil. Jika ia tidak melibatkan jumlah wang yang besar, ia sering ditoleransikan. Oleh itu, tidakwajar ia dianggap sebagai rasuah dan ditawarkan ganjaran untuk mencari buktinya.
Ada yang mengkhuatiri terjejasnya imej dan maruah Guru Besar dalam komuniti akan menyebabkan kehilangan kepercayaan komuniti kepada Guru Besar yang sebelum ini menjadi tempat mereka bergantung.
Tetapi ibu bapa pelajar nampaknya tidak mahu bertoleransi lagi, mereka bertekad untuk memerangi segala amalan rasuah di sekolah, agar kepentingan pelajar dan pendidikan Cina dapat dijaminkan.
Kini, Dong Zong dan KKGBC telah bersedia untuk berunding di atas meja bulat, dan diharap sesuatu yang positif, terutamanya mengenai cara-cara mencegah amalan tidak diingini dapat dicapai.
Andainya suatu garis panduan yang dapat memantau ketelusan urusniaga dan akaun sekolah dan mencegah segala amalan yang tidak diingini dapat dirangkakan, maka ia bukan saja dapat memberi sumbangan kepada SRJK(C) khasnya, ia juga dapat memberi sumbangan kepada SRJK(T) dan SRK amnya.
Malah Presiden Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang mengulas isu telah menegaskan, amalan rasuah tidak terhad di di SRJK(C) saja, ia melibat semua aliran sekolah.
Oleh itu , amat tidak bertanggungjawab Menteri Pelajaran Datuk Sri Hishammuddin Hussein menyatakan Kementerian Pelajaran tidak akan campur tangan dalam isu amalan rasuah Guru Besar SRJK(C).
Jika ditanya kenapa Guru Besar menerima komisyen, suatu alasan yang sering diberi ialah mereka terpaksa 'membeli' jawatannya dengan 'harga' yang tidak murah! Jika ditanya mana buktinya? Seperti Guru Besar yang menerima komisyen, memang sukar mendapat buktinya, tetapi ia tetap merupakan 'rahsia terbuka'!
Rasanya Hishammuddin tentu tidak berminat untuk campur tangan dalam perkara yang tidak berbukti ini! Jika selepas ini Ong Koh Hou menawarkan ganjaran untuk mereka yang dapat memberi maklumat dan bukti amalan rasuah pegawai Kementerian Pelajaran pula, beliau tentu akan dituduh sebagai menghitamkan imej pegawai terbabit, bukan?
Nampaknya kempen anti-rasuah kerajaan hanya "indah khabar daripada rupa"!

