Paling Popular
Terkini

Usaha kerajaan Selangor mewujudkan Rumah Seni Selangor (Russel) memang amat terpuji.

Dengan adanya ruang berkenaan, pengerak seni di sekitar Selangor kini mempunyai tapak untuk menjalankan aktiviti dengan lebih teratur.

Kerajaan negeri juga menanggung sebahagian daripada perbelanjaan rumah tersebut, di samping pihak pengurusan pusat seni itu juga menjalankan aktiviti bagi menambah dana mereka sendiri.

Russel menaja tiga pengkarya yang menamatkan pengajian di universiti selama enam bulan dan pada akhir sesi residensi tersebut, mereka diberikan peluang untuk berpameran.

Terbaru, kami dengar ada ura-ura kerjasama akan dijalankan di antara Russel dan galeri Segaris yang menjadi milik Mara Holdings.

Ini adalah sesuatu yang memberangsangkan dan kami ucapkan tahniah kepada kedua-dua pihak.

Russel juga menerima permohonan residensi daripada pengkarya autodidact, iaitu kumpulan seniman yang mandiri dan tidak mendapat pendidikan formal dalam bidang berkenaan.

Kini wujud pula sebuah lagi ruang yang seakan sama dengan Russel di tengah-tengah Kuala Lumpur. Serambi Karya Bellamy namanya.

Buka jalan lebih jauh

Bangunan lama itu dijadikan pusat aktiviti bagi tujuan pameran lukisan, tayangan filem, pementasan teater, penerbitan buku dan banyak lagi aktiviti seni yang melibatkan anak muda.

Usaha sebegitu seharusnya diberikan sokong oleh semua pihak. Badan-badan kerajaan atau swasta harus mengambil peluang untuk menaja apa-apa program yang dilancarkan Serambi Karya kerana ianya tentu saja memberikan implikasi baik kepada mereka dan anak muda terbabit.

Baru-baru ini berlangsung perasmian Serambi Karya yang terletak di Jalan Bellamy. Ia dirasmikan oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Shahruddin Md Salleh.

Bekas timbalan menteri pelancongan dan kebudayaan itu adalah orang yang bertanggunjawab membuka jalan kepada pengurusan Serambi Karya untuk mengorak langkah lebih jauh.

Turut diadakan pada majlis tersebut ialah pameran lukisan berjudul Harapan oleh ahli akedemik dan pemuisi serta pelukis Dr Rem Dambul.

Selain dari itu terdapat juga pementasan teater boneka, bacaan puisi serta tayangan filem pendek.

Gerai-gerai menjual minuman dan kudap-kudapan juga menyertai acara tersebut. Ia mendapat sambutan hangat daripada orang awam terutama kumpulan anak muda.

Masa untuk lestarikan seni

Serambi Karya yang diuruskan oleh pasangan Fazlina Hishamuddin dan Amar Amir itu membuka jalan kepada ramai pengiat seni pelbagai displin untuk mempersembahkan karya mereka untuk dinikmati lebih ramai pengemar.

Pusat karya setempat seperti itulah yang sepatutnya dibuka di setiap negeri dan menarik sokongan semua pihak.

Ia akan melatih remaja untuk lebih mahir dalam seni yang mereka gemari serta ianya memberi sumbangan kepada kegiatan seni dan budaya tempatan.

Tentu saja ianya juga boleh mengelakakn remaja daripada terjerumus kepada aktiviti yang kurang sihat.

Membuka ruang seperti ini juga merapatkan lagi jurang antara pengkarya dan orang awam.

Sokongan seperti yang diberikan kepada Russel tentulah amat diperlukan oleh Serambi Karya Bellamy, dan juga mana-mana pergerakan yang seumpama mereka.

Sudah sampai masanya pihak yang diamanahkan untuk melestarikan seni dan budaya tempatan memberi sokongan dalam semua bentuk kepada angkatan muda kerana merekalah yang kita harapkan untuk meneruskan apa-apa bentuk kesenian warisan yang kita tinggalkan.

Tanpa bantuan dan sokongan, pusat kegiatan seperti itu akan mati satu persatu sepertimana kita lihat sebelum ini.

Kesungguhan dalam membantu tanpa ada ikatan sama ada untuk kepentingan peribadi atau politik tentu saja menjadi jalan yang benar dalam menuju kegemilangan seni budaya untuk Malaya yang kita cintai ini.

Untuk sebarang kegiatan di Serambi Karya Bellamy sila hubungi Amar Amir melelaui nombor telefon 012-7379386.

Semua foto adalah sumbangan Serambi Karya Bellamy.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan penyair yang kental.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS