Pada pukul 10 lebih 26 Mac 2006, saya tiba di Menara Berkembar Petronas untuk menyertai perhimpunan damai membantah kenaikan harga minyak anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik.

Pihak penganjur telah mengemukakan lima sebab kerajaan tidak perlu naikkan harga minyak yang cukup meyakinkan:

1. Malaysia merupakan negara pengeksport minyak;

2. Petronas telah mendapat keuntungan RM 35.5 bilion;

3. Kerajaan telah membazirkan wang untuk projek mega dan beli senjata api;

4. Inflasi akan berlaku dan ekonomi negara akan terjejas;

5. Rakyat miskin akan sengsara.

Justeru, perhimpunan damai yang diadakan merupakan hak rakyat yang ada dalam perlembagaan dan saluran demokratik rakyat yang sah untuk menyuarakan ketidakpuasan mereka.

Seperti biasa, acaranya hanya merupakan ucapan ringkas pemimpin-pemimpin penganjur diselang-seli dengan pekikan slogan. Ia tidak akan mengancam keselamatan mana-mana pihak, terutamanya di bawah kawalan ketat pihak polis dan pasukan FRU.

Namun suasana tiba-tiba menjadi tegang selepas perhimpunan damai yang dihadiri lebih seribu orang itu diisytiharkan sebagai perhimpunan haram dan diberi 10 minit untuk bersurai.

Sikap polis yang agresif dan berkali-kali mengancam akan menggunakan kekerasan untuk menyuraikan perhimpunan damai sekaligus menyelubungi persekitaran KLCC dengan suasana yang amat menakutkan dan mencabar.

Bagaimanapun bagi mengelak penindasan dan keganasan polis, penunjuk perasaan bersurai setelah melepaskan beratus-ratus balon hitam ke langit untuk membantah kenaikan harga minyak.

Beberapa minit kemudian, sekumpulan penunjuk perasaan berarak kembali ke dataran di depan KLCC dengan pekikan slogan yang disahut dengan sorak sorai penunjuk perasaan lain yang berkelompok-kelompok di sekitar dataran tersebut.

Kali ini pihak polis lantas menyerbu dengan diiringi simburan meriam air. Tanpa timbang rasa dan peri kemanusiaan mereka memburu, memukul dan menangkap sesiapa saja mengikut pilihan dan kesukaan mereka.

Kelihatan ramai yang ingin masuk ke bangunan KLCC tetapi ditegah untuk berbuat demikian. Sepasang suami isteri dengan 3 orang anak kecil terpaksa lari ke sana sini untuk mencari tempat perlindungan. Saya membantu mereka beredar ke tempat selamat.

Akhirnya 22 orang termasuk Dr Hatta Ramli dan dua orang anak perempuan telah ditangkap, dan beberapa orang telah dicederakan. Nyata sekali, huru hara tercetus akibat perhimpunan damai disytiharkan sebagai perhimpunan haram dan penunjuk perasaan dipaksa bersurai.

Keselamatan penunjuk perasaan dan mereka yang kebetulan berada di depan pintu dan sekitar dataran KLCC jelas sekali telah terancam oleh keganasan polis yang sepatutnya bertanggungjawab menjamin keamanan dan keselamatan rakyat.

Keganasan polis

Keganasan polis dan kekecohan hampir dua jam di sekitar KLCC tersebut sepatutnya boleh dielakkan jika pihak polis lebih bersimpati dengan para penunjuk perasaan yang memprotes kenaikan harga minyak yang amat membebankan rakyat itu.

Jika tidak mahu melihat kembalinya zaman reformasi bersama perjuangan jalanannya, maka sebelum keadaan menjadi buruk sehingga tidak terkawal, kerajaan sepatutnya berunding dengan MTUC, pertubuhan bukan kerajaan dan parti politik yang terbabit, untuk mencari suatu penyelesaian yang lebih adil dan saksama.

Cara polis menangani tunjuk perasaan secara kurang profesional itu telah berulang pada hari keesokannya bila perhimpunan aman kira-kira 500 penunjuk perasaan di luar Parlimen yang diketuai MTUC juga diisytiharkan sebagai perhimpunan haram.

Malah penyerahan memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abldullah Ahmad Badawi, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz dan Ketua Pembangkang Lim Kit Siang juga terpaksa dibatalkan.

Akhirnya para penunjuk perasaan berarak ke pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Menara Tun Razak, Jalan Raja Laut dan sekali lagi pasukan FRU telah menghalang mereka di pintu masuk Suhakam. Bagaimanapun, suatu delegasi telah dibenarkan berjumpa dengan Pesuruhjaya Suhakam N Siva Subramaniam untuk menyerahkan surat bantahan serta foto keganasan polis.

Subramaniam bukan sahaja berjanji akan menyiasat insiden yang berlaku di KLCC pada 26 Mac malah menegskan polis tidak berhak melarang sesiapa daripada masuk ke Pejabat Suhakam. Semua rakyat yang ingin meyerahkan memorandum kepada Suhakam berhak untuk berbuat demikian. Beliau juga mengutuk sebarang tindakan polis untuk menghalang sesiapa daripada menyatakan rasa tidak puas hatinya.

Salah laku polis terbaru ini sekali lagi membuktikan bahawa penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) seperti disarankan amat perlu. Jika kerajaan tidak ingin melihat negara kita terjerumus menjadi negara polis, maka penubuhan IPCMC tidak boleh dikompromikan!