Paling Popular
Terkini

Saya menggarap tulisan ini pada pagi Isnin 2 September 2019. Semalam Ahad 1 September, parti AFD – Alternative fur Deutschland mencatat kejayaan cemerlang di dua wilayah - Saxsony dan Brendenburg di Jerman. Parti AFD berjaya mengatasi parti Christian Democrat dan Sosial Demokrat – parti Angela Merkel. Dua parti ini walaupun merosot sokongan tapi tidak kalah dan masih berjaya bergabung berkongsi kuasa untuk meneraju Jerman.

Ketika saya menggarap tulisan ini Parlimen United Kingdom sedang digantung oleh Boris Johnson yang baru mengambil alih kerusi perdana menteri dari Teresa May. United Kingdom sedang berhadapan dengan persoalan Brexit – politik kanan yang mahu Britain tinggalkan Eropah. Atau masuk sekali lagi menjadi anggota Kesatuan Negara Eropah (EEC). Pungutan suara mencatat keputusan keluar dari EEC. Tapi masih ada suara tak puas hati dengan keputusan meninggalkan Kesatuan Eropah.

Ketika saya menulis ini Doland Trump sedang merayau berkempen. Trump memasang niat untuk bertanding sekali lagi. Untuk mengolah persetujuan para penyokong dan bakal pengundi, Presiden Trump terus mengancam pendatang haram yang menerobos masuk ke Amerika.

Trump mahu mendirikan tembok sempadan di Mexico untuk menghalang kemasukan pendatang haram dari Amerika Latin masuk ke Amerika Syarikat

Presiden Trump juga sedang menyerang melalui Twiter empat ahli Kongres yang bukan berkulit putih. Trump meminta ahli Kongres ini agar pulang ke negara asal usul mereka nenek moyang mereka.

Yang dituduh sebagai pendatang oleh Trump ialah Alexandria Ocasio-Cortez, Ayanna Pressley, Ilhan Omar dan Rashida Tlaib. Kesemua mereka ahli Kongres dari Parti Demokrat. Kesemuanya warga Amerika – lahir dan dibesarkan di Amerika kecuali Ilhan Omar lahir di Somalia.

Ilhan Omar, gambar oleh Lorie Shaull

Tanpa pergi jauh ke luar negara, pada Isnin 2 September 2019 media melaporkan berita tentang seorang pendatang India bernama Zakir Naik masih diharamkan berceramah di Melaka.

Tanpa pergi jauh, dalam portal yang sama pada tarikh yang sama, saya terbaca berita pembatalan persatuan China Dong Zong di Johor oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPP).

Apa makna semua ini? Pada hemat saya semua ini adalah manifestasi ombak kanan. Dunia kita hari ini sedang diampuh oleh ombak kanan.

Apa dia ombak kanan?

Untuk memahami ombak kanan kita wajib juga mengetahui apa itu ombak kiri.

Politik selepas Revolusi Perancis

Garis kiri dan garis kanan adalah istilah politik. Kita wajib memahami sejarah, ciri dan pola-pola garis politik kanan dan garis politik kiri.

Dari fakta sejarah, konsep politik kiri dan kanan muncul hasil dari Revolusi Perancis (1789). Setelah kepala Louise ke-16 dipenggal dan monarki dihapuskan, maka wujud parlimen rakyat di Perancis. Dalam parlimen ini ahli parlimen yang antiraja dan prorakyat duduk di sebelah kiri. Ahli parlimen yang masih menyokong kaum feudal, tuan tanah dan kelas agama duduk di sebelah kanan. Maka dari sini bermula konsep politik kiri dan politik kanan. Amin.

Pola utama politik kiri ialah fikrah yang menyokong kebebasan, kesaksamaan dan persaudaraan umat manusia. Memiliki pandangan cerah yang progresif untuk membawa perubahan kepada orang ramai, merayakan perubahan dan kepelbagaian. Kaum kiri mengambil sikap internatiolisme terhadap anak semua bangsa dan bangsa semua agama.

Ciri utama politik kanan pula ialah menyokong kuasa, berhierarki, berkelas, tunduk pada kuasa, sikap feudal, konservatif, kolot, jumud, bebal dan tidak mahu berubah dan tidak miliki budaya pemikiran kritikal.

Paling jelas kaum kanan ialah reaksionari – reaction. Kaum kanan hanya sanggup menentang, bertindak balas, menyuarakan bantahan dan bertindak bebal. Kaum kanan dan pemilik fikrah kanan tidak ada keupayaan untuk menjadi pemula fikrah atau pemula tindakan. Atau memulakan sesuatu agenda baru. Sosok kanan amat senang hati menjadi tak turut.

Hakikatnya garis politik kiri berjuang untuk kesejahteraan dan kebajikan ramai – untuk majoriti. Garis politik kanan berjuang untuk kesejahteraan dan kebajikan elit politik, kaum pemodal dengan bantuan kaum agamawan.

Amat jelas pada hari ini garis politik kanan makin melonjak naik. Makin ampuh. Buktinya di Amerika ada Donald Trump menjadi presiden. Buktinya Britain menolak Kesatuan Eropah dengan garis politik Parti Konservatif.

Greece kembali ke garis kanan dengan tewasnya garis kiri Parti Syriza. Itali jelas dengan kerajaan berhaluan kanan. Malah di Itali parti anti kaum pendatang berkempen secara terbuka.

Pemuda parti Syriza, gambar oleh Michalis Famelis 

Parti politik berhaluan kanan makin popular di Austria, Switzerland dan Hungary. Di Belanda parti kanan makin mendapat tempat. Malah garis kanan ini memiliki perwakilan dalam parlimen Eropah dan parlimen masing-masing negeri di Eropah seperti di Poland dan Republik Czech.

Apakah ini bermakna parti perkauman, parti Nazi, parti antipendatang semakin mendapat tempat? Kenapa ini berlaku? Bagaimana ini terjadi? Apa kena mengena semua ini dengan kita?

Melintasi moden

Bila agenda pendatang muncul maka ia akan berkait rapat dengan kita di Malaysia. Tulisan ini akan cuba merungkai sejarah untuk menambah pencerahan. Tulisan ini adalah penerusan tema yang sama dari tulisan-tulisan awal saya yang kini telah dibukukan untuk menjadi Persoalan Nasional – Surah-surah Terlarang.

Politik kanan bukan satu yang asing. Politik konservatif juga bukan satu yang baru. Tetapi kali ini ia mengampuh dan merebak luas. Pandangan kanan ini sedang membakar dunia dengan bantuan teknologi baru. Internet semua benda sedang mewabakkan pelbagai bentuk pandangan – termasuk yang kanan.

Kita sekarang dalam era pascamoden. Kita telah melintasi moden. Salah satu ciri-ciri pascamoden ialah sistem ekonomi kapitalis berjaya menakluki seluruh pelosok dunia. Kalau mengikut pandangan Francis Fukuyama dalam tulisannya The End of History (1989), kapitalis berjaya mengalahkan pandangan kiri kaum sosialis.

Francis Fukuyama, gambar oleh Gobierno de Chile

Manifestasi yang mudah dilihat ialah tidak ada lagi wilayah dalam alam kita ini yang tidak dilawati oleh Kentuki dan Mek Dogal. Malah dari surah dan lebong kawan-kawan Islam yang pernah sampai ke Mekah – dalam kota Mekah suci ini juga berselerak Mek Dogal.

Justeru salah satu lagi ciri pascamoden ialah berkembangnya garis kanan yang berkemudikan agenda antipendatang. Di mana-mana - di Eropah dan Amerika – agenda imigran – agenda antipendatang ini sedang menjadi pemangkin utama wacana dan kempen politik.

Imigran dan pendatang haram adalah ciri politik pascamoden yang paling jelas. Kaum pendatang ini adalah hasil dari sistem ekonomi kapitalis. Pendatang, imigran – yang halal dan yang haram adalah sebahagian dari ciri-ciri ekonomi kapitalis.

Contoh yang paling afdal untuk memahami apa yang saya lakar ialah kes Tanah Melayu. Mustahil kes ini gagal kita fahami.

Pada satu ketika dahulu sebelum Inggeris sampai wilayah kita ini hanya diduduki oleh bani berketurunan Melayu Nusantara. Alam ini adalah alam Nusantara. Kepulauan ini ialah Kepulauan Melayu. Lautnya ialah Laut Sunda. Selatnya ialah Selat Melaka. Semenanjungnya ialah Tanah Melayu. Gentingnya ialah Segenting Kra.

Bani China dan Bani India didatangkan ke Tanah Melayu dari Tanah Besar China dan India. Bani China dan India ini diperlukan oleh kaum pemodal Inggeris untuk menjarah harta kekayaan Tanah Melayu. Tanah Melayu kaya dengan bijih dan galian. Sistem kapitalis yang diperkenalkan oleh penjajah Inggeris membawa masuk Bani India dan Bani China sebagai buruh. Ini fakta sejarah.

Generasi hari ini wajib sedar dan diberi tahu bahawa kekayaan Tanah Melayu inilah yang menjadi induk kekuatan kuasa ekonomi kolonial Inggeris. Sesudah tamat Perang Dunia Kedua, Britain hampir jatuh muflis kerana perang. Britain diselamatkan oleh Tanah Melayu. Hampir 60 peratus suntikan ekonomi Britain datang dari hasil bijih dan getah Tanah Melayu.

Cun dah jadi beban

Sesudah Perang Dunia Kedua, negara Eropah juga membawa masuk pendatang. Eropah yang hancur akibat perang dunia kedua perlu dibangunkan kembali. Di Belgium warga dari Moroko datang memburuh. Di Jerman Barat - yang ketika itu terpecah dua - buruh dari Turki dibawa masuk.

Di Perancis, warga Algeria meloroh masuk ke Perancis kerana sebelum 1962 Aljeria pada ketika itu ditakrif sebagai wilayah Perancis. Britain membawa masuk pendatang dari India, Pakistan dan Carribean.

Kemasukan buruh ini merancakkan zaman industri moden dengan pengeluaran barang-barang konsumer. Kalau di permulaan zaman industri, buruh diperlukan di ladang dan di lombong seperti di Tanah Melayu. Bila industri berkembang, buruh diperlukan untuk bekerja di kilang.

Pada awal moden, buruh pendatang “di-ahlan wa sahlan” – dijemput dan dipelihara. Kini dibaca sebagai pembawa masalah. Ketika zaman moden bermula pendatang asing dilihat cun, cantik dan lumayan. Kita di zaman pascamoden, apa yang satu ketika cun, cantik dan lumayan kini telah menjadi beban negara.

Apa hubungan semua ini dengan Zakir Naik dan Dong Zong. Zakir mentafsirkan dirinya sebagai tetamu baru. Dong Zong pendatang lama. Kedua-dua dilihat pembawa masalah ke Tanah Melayu.

Apa masalah yang mereka bawa? Tunggu minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS