Paling Popular
Terkini

Kolumnis Malaysiakini Lim Hong Siang baru baru ini melontar satu persoalan menarik menerusi posting di Facebook yang berbunyi seperti berikut:

“Sejauh manakah kekuatan Amanah-Pakatan Harapan di pantai timur semenanjung untuk bertembung dengan gandingan PAS-Umno?”

‘Kesihatan’ atau keadaan Amanah sejak kebelakangan ini dikatakan kurang baik. Pada pemilihan parti peingkat kawasan ada nama besar menang tipis. Malah ada yang tumbang.

Bukan itu sahaja ceritanya.

Menurut laporan media, sebilangan mesyuarat agung tahunan pula, termasuk pada peringkat kawasan, sayap pemuda dan wanita seluruh negara, kecuali Sabah, dibatalkan.

Pada 22 September lalu, memetik sumber Malaysiakini melaporkan Amanah mengarahkan 655 cawangan dan 81 kawasan termasuk sayap pemuda dan wanita mengadakan semula mesyuarat tahunan dan pemilihan setelah mesyuarat yang diadakan sebelumnya didapati tidak sah.

Ini berikutan berlakunya “masalah teknikal”.

Sumber memberitahu portal berita itu “isunya berpunca daripada ibu pejabat Amanah pusat yang tidak meneliti atau menyerahkan minit minit mesyuarat pelbagai peringkat kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan”.

Lalu Konvensyen Amanah peringkat negeri yang dijadual bulan ini dikatakan terpaksa ditunda ke tarikh baru bulan depan.

Namun kata setiausaha agung Amanah Mohd Annuar Tahir semua itu tidak akan menjejas pemilihan dan Konvensyen Kebangsaan yang dijadualkan Disember ini.

Mohd Annuar Tahir 

Menurut Annuar proses “pemulihan” dijangka tidak mengambil masa lama kerana Amanah kata beliau “ kekal berada di kedudukan stabil dengan mencatatkan jumlah besar ahli baru setiap bulan”.

Pun begitu, persoalan yang ditimbulkan Lim bagi saya bukan sekadar menarik tetapi juga relevan, apatah lagi ia membabitkan negeri pantai timur yang tiada lagi akan ada pertandingan Umno-PAS.

Yang ada kelak ialah Umno-PAS lawan PH khususnya Amanah yang berdasarkan latar belakang dan sejarahnya dilihat ramai sebagi parti yang mesti mewakili PH secara “besar”.

Lantas saya bawa persoalan lontaran Lim kepada Mohd Sayuti Omar dan Mohd Azlan Zainal.

Saya lontarkan pada Sayuti kerana beliau penulis politik pengalaman dan untuk sekian lama diiktiraf sebagai pemerhati PAS dan akrab dengan Allahyarham Nik Aziz Nik Mat.

‘Perlu benar-benar bersatu’

Di samping itu beliau dilahirkan di pantai timur khususnya Kelantan.

Dan Azlan pula ialah ketua pegawai eksekutif Ilham Centre yang bersama unitnya telah menyelidik serta menjalankan kajian terperinci politik tanah air dan membuat ramalan tepat berhubung keputusan pilihan raya.

Ini termasuk beberapa pilihan raya kecil yang telah diadakan sehingga kini.

Bagi Azlan ,cabaran besar PH terutama di pantai timur bukan dipikul Amanah semata-mata tetapi juga Bersatu.

Kedua-dua parti itu, kata beliau, menjadi taruhan untuk bukan sahaja mengekalkan bahkan melonjak sokongan Melayu di masa hadapan.

Cabaran selepas kemenangan (PRU 14 tahun lalu) lebih berat daripada cabaran semasa berjuang di awal penubuhan parti, menurut Azlan.

Sebagai contoh, kata Azlan, Bersatu dan Amanah boleh menang di semua bandar besar di pantai barat semenanjung berbanding negeri pantai timur iaitu Kelantan,Terengganu dan Pahang.

“Kejayaan menerobos masuk kawasan luar bandar adalah faktor kritikal bagi meraih undi orang Melayu pada PRU15,” kata beliau.

Suasana di Kelantan semasa pilihan raya umum lalu

Azlan menambah, “pemimpin Bersatu dan Amanah mengakui masih sukar menembus masuk kawasan luar bandar yang dianggap kubu kuat Umno-PAS”.

Sayuti bersetuju dan menyarankan PH memberi tumpuan terhadap pengundi muda kerana “pengundi yang berusia 50 tahun ke atas yang sudah sebati dengan PAS sukar untuk dipikat”.

Untuk melaksanakan itu, kata Sayuti, parti komponen PH perlu “benar-benar bersatu”. Menurut perhatiannya, tahap kesatuan parti parti berkenaan di Kelantan dan Terengganu masih belum sampai ke tahap yang boleh dianggap mantap.

“Jika dikira persen belum sampai 60 peratus. Masing-masing bergerak secara bersendirian semacam tidak ada semangat dan landasan jelas.

“Ini mungkin kerana mereka kalah di kedua-dua negeri,” kata beliau.

Sayuti berpendapat, PH “perlu menyusun pentadbiran jabatan yang ada bawah kuasa kerajaan persekutuan di Kelantan dan Terengganu.”

“Misalnya Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) yang wujud di era BN memerintah dulu hendaklah dihidupkan semula dan diberi peranan seluas luasnya,” kata beliau.

Kualiti ahli baru

Di samping itu, semua komponen PH, menurut beliau, mesti menambah keahlian parti masing- masing .

Bercakap mengenai ahli parti, Azlan mengakui jumlah ahli baru Bersatu dan Amanah bertambah “tapi belum mencukupi”.

Dan, katanya. ada pemimpin veteran akar umbi terutamanya di kalangan Bersatu “bimbang tentang kualiti dan komitmen ahli baru terutama mereka yang menyertai parti selepas perubahan kerajaan.”

Maksudnya mereka yang masuk selepas PH menang pilihan raya umum tahun lalu.

Kata Azlan, ahli masih penting untuk menggerakkan aspirasi dan kerja buat parti. Itu fakta yang tidak dinafikan.

Namun, menurut Azlan, kemenangan PH pada PRU14 lalu menunjukkan keahlian bukanlah faktor utama kemampuan parti menang pilihan raya.

Apa yang lebih utama menurut Azlan ialah kualiti yang dibawa ahli dan keyakinan pengundi kepada pentadbiran PH.

“Pada hemat kami, jika nak kira ahli sahaja yang menentukan kemenangan PAS dah lama menang PRU dan Umno tak akan kalah PRU14.”

Landskap politik hari ini lain daripada dua dekad dulu.

Kata Azlan, “ Hari ini sebuah parti boleh menang bukan kerana ia ramai ahli tetapi kerana dia berjaya menarik sokongan pengundi yang bukan ahlinya”.


MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS