Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menurut statistik rasmi pada tahun 1997, jumlah OKU yang berdaftar adalah sebanyak 420,201 orang. Ini adalah mereka yang berani untuk tampil ke hadapan dan berdepan dengan kemungkinan menanti. Jumlah sebenar kita tidak tahu kerana banyak hal yang mengekang OKU daripada memberi maklumat.

Apabila kita selidik di kampung-kampung, ramai yang tidak berdaftar kerana kesedaran yang kurang. Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memberi peluang kepada anak-anak mereka untuk meneroka alam yang serba canggih.

Jumlah yang tidak berdaftar lebih ramai kerana persepsi yang berbeza. Ada yang malas untuk ke tempat-tempat yang dikhaskan. Ada ibu bapa yang tidak bertangungjawab dan membiarkan anak-anak terasing.

Mengikut akta Orang Kurang Upaya 2008, “OKU termaksudlah mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat!”

Tujuh kategori OKU yang ada hari ini ialah kurang upaya pendengaran, kurang upaya penglihatan, kurang upaya pertuturan, kurang upaya fizikal, masalah pembelajaran, kurang upaya mental dan pelbagai (multiple disabilities).

Ada pelbagai kecacatan yang mengekang dan melumpuhkan seseorang, tidak seperti berkeadaan sempurna dan sihat walafiat. Kalau kita pergi ke pusat terapi hospital, kita mendapati ada pelbagai kelumpuhan yang dihadapi oleh rakyat. Ada yang berat dan ada yang ringan.

Selangor mencatatkan jumlah OKU teramai - 65,612 orang. Tidak pasti pula insentif kerajaan Selangor bagi membantu OKU selain menyediakan kemudahan meletak kenderaan.

Kerajaan telah mengambil langkah-langkah yang sewajarnya dengan menyediakan kemudahan dan keistimewaan kepada OKU yang berdaftar. Walaupun masih banyak yang kita mahukan dan impikan dalam pembangunan negara, pada masa ini sudah berpuas hati dengan apa yang di beri.

Bidang pekerjaan dan perniagaan masih lagi sesuatu yang sukar untuk para OKU. Ada yang berjaya namun jumlahnya terlalu kecil.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik sempat melancarkan Garis Panduan Pelaksanaan Dasar Inklusif Orang-Orang Kurang Upaya di institut pengajian tinggi. Ini berteraskan nilai-nilai murni daripada masyarakat penyayang, harmoni dan bersatu.

Ini supaya institut pengajian tinggi di semua peringkat mengenal pasti OKU yang berada di dalam kampus secara holistik dan komprehensif. Pelbagai halangan dan cabaran sebelum ini menggagalkan usaha-usaha murni.

Secara amnya, garis panduan ini memberi penekanan kepada penyediaan persekitaran pembelajaran yang kondusif kepada pelajar OKU serta kemudahan infrastruktur mesra OKU yang baik dan selesa di IPT.

Dengan segala perancangan kerajaan di IPT, kita harapkan bertambah ramai OKU yang dapat mengikuti pembelajaran dengan baik. Buat masa ini kesedaran masih di peringkat awal di kalangan generasi muda. Masih banyak yang diperlukan dalam memastikan garis panduan ini bermanfaat. Kita juga masih kurang IPT yang memberi peluang kepada OKU dengan kursus yang dianjurkan dan ada IPT yang tidak menerima pelajar-pelajar OKU.

Bukan sekadar prasarana bangunan

Menurut Dr Ruzita Mohd Amin melalui Bernama, profesor ekonomi yang juga ketua unit perkhidmatan OKU (DSU), Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), kebimbangan tidak dapat memenuhi pelajar OKU bagaimanapun tanpa disedari menafikan hak mereka untuk menempatkan diri ke menara gading, lebih-lebih lagi universiti pilihan.

Ruzita juga OKU fizikal dan menggunakan kerusi roda bermotor untuk memudahkan pergerakannya ke sana ke mari. Beliau dikenali di universiti kerana keaktifan dalam banyak bidang.

Ruzita selanjutnya berkata kemudahan yang dimaksudkan bukan dari segi fizikal yang merangkumi infrastruktur dan prasarana seperti bangunan dan kelas yang mesra OKU. Perkara ini turut melibatkan sistem sokongan bagi proses pengajaran dan pembelajaran mereka.

“Sistem sokongan ini antaranya dalam bentuk kelonggaran atau fleksibiliti yang diberikan kepada pelajar OKU. Ini termasuklah masa tambahan ketika menduduki peperiksaan, menjalani peperiksaan di tempat berasingan disebabkan keperluan khusus serta kelonggaran dari segi jumlah maksimum tempoh pengajian mereka.

“Mereka adakalanya tidak mampu untuk mengambil beban kerja yang sama dengan pelajar lain (bergantung kepada tahap ketidakupayaan mereka). Perkara ini perlu diambil kira, sama juga seperti program pendidikan khas atau Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang ada kelonggaran tertentu untuk pelajar OKU di sekolah,” katanya.

Dr Ruzita Mohd Amin 

Menurut Dr Ruzita, DSU di UIA ditubuhkan pada 2012 bagi memberi sokongan kepada pelajar OKU dari pelbagai kategori dalam semua aspek pengajian dan kehidupan di universiti, membantu kakitangan dan pelawat OKU, dan yang terkini perkhidmatannya diperluas bagi membantu kumpulan kakitangan (akademik dan bukan akademik) yang mempunyai anak-anak OKU.

Pendekatan yang diambil dalam mengatasi perkara yang menjadi halangan fizikal, komunikasi, sistem dan juga sikap kepada suasana inklusif termasuklah penyediaan peralatan sokongan seperti kerusi roda bermotor (termasuk penyelenggaraan), alat prostetik seperti kaki palsu, alat bantuan pendengaran dan ‘iPad’ bagi mereka yang mempunyai masalah penglihatan.

“Contohnya daripada aspek prasarana di tempat tinggal OKU, kemudahan pengangkutan untuk memudahkan pergerakan mereka di sekolah atau universiti termasuk dalam penglibatan aktiviti pembangunan sahsiah dan kokurikulum… semuanya perlu bersifat komprehensif.

“Untuk itu kita mungkin boleh melaksanakan inisiatif kerjasama awam-swasta, tanggungjawab sosial korporat oleh pihak swasta dan sebagainya terutama dalam usaha menaik taraf bangunan dan kemudahan sedia ada supaya lebih bersifat mesra OKU. Usaha ini boleh dilakukan secara berperingkat sebab kita sedia maklum ia memerlukan masa untuk melaksanakannya,” katanya.

Menjelang Belanjawan 2020 yang dijadualkan, Ruzita berharap kerajaan turut menyediakan peruntukan khusus bagi menaik taraf sistem pendidikan di universiti dan sekolah terutama bagi memenuhi hak dan keperluan golongan OKU.

Dasar 1 peratus

Menurut beliau, bagi mencapai matlamat pendidikan bertaraf dunia, ia juga bermaksud tidak akan ada pihak yang terpinggir dalam sistem pendidikan negara.

“Kalau nak capai world class university, kita juga perlu bersedia untuk memastikan nilai kebersamaan sistem pendidikan dapat dinikmati oleh semua golongan pelajar termasuk OKU, tanpa halangan dan rasa sukar disebabkan ketidakupayaan mereka.

“Di samping itu, komuniti universiti yang terdiri daripada kakitangan pentadbiran, pensyarah dan mereka yang terlibat perlu mempunyai kesedaran OKU, kemahiran berkaitan pendidikan inklusif termasuklah memahami keperluan pelajar OKU yang terdiri daripada berbagai kategori,” katanya.

Sehingga September 2019, terdapat 92 orang pelajar OKU di UIA daripada tujuh kategori ketidakupayaan iaitu OKU penglihatan, pendengaran, fizikal, pertuturan, pembelajaran, mental dan pelbagai, manakala terdapat 10 kakitangan akademik dan bukan akademik OKU.

Begitulah antara artikel yang dipetik dari Bernama.

Bagaimana selepas tamat pengajian dari IPT?

Ini adalah masalah yang lebih besar selepas berjaya di IPT. Kerajaan menyasarkan penyertaan satu peratus OKU dalam sektor pekerjaan. Ini bersesuaian dengan kelayakan yang diperoleh dan tempat yang ditempatkan pekerja. Namun kerajaan sendiri enggan mengambil pekerja OKU disebabkan pertambahan kerja.

Bagaimanapun masih tiada gambaran berkaitan perkara itu. Pergi laman web maklumat kerajaan tidak berfungsi. Tiada siapa tahu apakah yang dimaksudkan kerajaan dan berapa peratus yang diambil bekerja.

Bagaimana untuk pihak swasta yang lebih luas bidang pekerjaan dan lebih fleksibel dalam menentukan kerja? Pihak swasta lebih bersedia sebenarnya dalam mengambil pekerja OKU.

Takkanlah mengharapkan hanya outlet makanan segera mendapatkan pekerja OKU bagi mengisi kekosongan. Perkara ini kerap dilakukan untuk promosi dan pengiklanan. Tidak perlu ke IPT untuk bekerja sebegini dan berapa lama mahu bekerja di tempat-tempat begini.

Bagaimana kerja-kerja yang memerlukan pemikiran dan daya saing yang tinggi? Berbekalkan ijazah yang semestinya berkelayakan, cuma seorang OKU? Dalam resume jika tertulis OKU semestinya dibuang sahaja.

Pihak swasta tidak perlu inisiatif kerajaan untuk mengambil OKU bekerja. Sekiranya setiap pihak swasta mengambil seorang pekerja OKU saja, itu sudah cukup untuk menangani isu ini. Berapa peratus OKU yang mencari kerja untuk sesuap nasi boleh dikira. Namun mereka terus terpinggir dan tidak diendahkan.

Kerajaan telah memulakan langkah dengan bersikap positif kepada OKU. Dengan IPT yang mula mengambil ramai OKU, kita mengharapkan tidak berhenti harapan setakat IPT.

Kita berharap pihak swasta dapat menyambung usaha ini dengan mengambil OKU sebagai pekerja bagi memberi sinaran kepada siswazah-siswazah OKU. Mungkin agak menyusahkan kerana kepelbagaian OKU yang terdiri daripada tujuh kategori utama. Tidak memadai untuk meletak kerja kosong dan mengharapkan OKU yang terbabit memohon.

OKU yang berjaya dengan jawatan lebih suka menyendirikan diri daripada berusaha meyakinkan masyarakat dengan keadaan dan dilema OKU. Kita tidak salahkan mereka kerana kesusahan dan rintangan yang mereka lalui.

Kesimpulannya, OKU akan terus menghadapi zaman kesukaran dan kegetiran disebabkan faktor-faktor ini dan tiada penyudahannya!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR pernah bermastautin di UAE. Pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS