Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Keputusan PRK Tanjung Piai telah melepaskan rasa geram yang terpendam dalam kalangan mereka yang mahu memberi pengajaran kepada Pakatan Harapan.

Melayu yang bimbang akan “dominasi DAP ke atas kerajaan PH”; Cina yang tidak berpuas hati dengan “DAP yang tunduk mengikut telunjuk Mahathir”; India yang marah dengan penahanan beberapa pemimpinnya yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) – semuanya bersorak apabila diumumkan bahawa PH tewas dengan sejumlah 15,086 undi majoriti.

Mereka yang turun ke jalan raya untuk menolak Icerd, mereka yang kecewa lantaran keputusan meratifikasi Icerd ditarik balik kerana kerajaan tunduk kepada tekanan; mereka yang menuntut agar Zakir Naik dihantar pulang ke India, mereka yang tidak senang dengan suara agar Zakir Naik diusir – semuanya berpuas hati dengan kekalahan PH, sambil menyimpan harapan agar PH tidak lagi mengingkari “suara rakyat” pada masa akan datang.

Hakikatnya, PRK Tanjung Piai menyaksikan bagaimana Umno-PAS dan MCA yang berada di dua penghujung bertentangan, dengan tuntutan politik yang saling bercanggah, akhirnya bersatu untuk menumpaskan PH di tengah-tengah. Satu misi yang nampak mustahil, malah tidak masuk akal, tetapi berjaya disempurnakan.

Persoalan seterusnya, apakah ia bakal berulang dalam PRU15?

Pendirian MCA vs Umno-PAS

Petik sahaja beberapa isu yang mencungkil sentimen masyarakat selepas 9 Mei 2018. Dalam satu kenyataan berhubung pengenalan tulisan Jawi atau seni khat dalam silibus sekolah jenis kebangsaan, Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong Siaw Ting mempertikaikan, “Apakah tiga muka surat (pengenalan tulisan Jawi) itu boleh dikoyakkan (dari buku teks)? Atau murid dibenarkan untuk berada di kantin ketika ia diajar dalam bilik darjah?

Atau, seandainya pendirian Presiden MCA, Wee Ka Siong dalam isu pengiktirafan UEC (Sijil Peperiksaan Bersama), status Zakir Naik, ratifikasi Icerd dan sebagainya, diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, apakah sokongan pengundi Melayu terhadap MCA akan kekal pada kadar 73.5 peratus sebagaimana di PRK Tanjung Piai?

Sebaliknya, jikalau pemimpin Umno-PAS mengolah isu Icerd, pengiktirafan UEC, Zakir Naik, tulisan jawi atau seni khat, kempen Buy Muslim First (BMF) di depan khalayak Cina, dengan hujah dan nada yang sama sebagaimana mereka berpidato di depan masyarakat Melayu-Muslim, apakah ia bakal menawan hati pengundi Cina?

Kita semua tahu jawapannya. Itu pun belum dilanjutkan dengan soalan siapakah calon perdana menteri BN-Muafakat Nasional? Siapa pula timbalannya? Apakah agenda hudud akan menjadi manifesto bersama? Seandainya BN-Muafakat Nasional menang dalam PRU15, apakah UEC akan diiktiraf? Apakah Zakir Naik akan dikekalkan status penduduk tetap? Apakah Icerd akan diratifikasi, dan seribu satu soalan yang belum dimuafakati jawapannya.

Berlegar-legar dalam kitaran politik

Kita sedar, bahawa formula MCA-Muafakat Nasional tidak akan berjaya seandainya didedahkan talam dua mukanya. Salah satu pihak terpaksa berganjak. Kesudahannya, sama ada MCA tunduk kepada Umno-PAS dan kehilangan undi Cina, ataupun Umno-PAS terpaksa menjilat semula ludahnya untuk memikat undi Cina. Jika pun MCA-Muafakat Nasional mengulangi keajaiban yang diciptakan di PRK Tanjung Piai dalam PRU15, mustahil gandingan politik ini bertahan lama.

Tidak sukar diramalkan, jika pun BN-Muafakat Nasional berjaya merampas semula kuasa dengan cara sebegini, mereka akan tersepit dalam lurah yang digali sendiri, dengan kiri dan kanannya diasak oleh DAP dan Bersatu bersama Amanah. Dengan kata lain, mereka akan ditenggelamkan oleh ombak yang melambung mereka sebelum ini.

Sesungguhnya, pasang surut sesebuah parti politik adalah sesuatu yang lumrah, dan mungkin tiada kena-mengena dengan mereka yang tidak berkepentingan. Cuma, berlegar-legar dalam satu kitaran politik sebegini, tidak membawa Malaysia ke mana-mana. Apa yang menggusarkan kita pada zaman pasca PRU14 adalah, kita bergelut dalam sentimen perkauman dan agama yang sempit, sehingga mengabaikan isu dasar yang lebih penting – perancangan bandar, pengurusan sisa pepejal, ekonomi, pengangkutan awam, perubatan dan kesihatan, reformasi sistem politik dan sebagainya.

Cuba kita mengimbas tempoh 18 bulan yang lalu – kuota matrikulasi hangat diperdebatkan, tetapi pelan mempersiap-sediakan generasi muda untuk berdepan dengan zaman Revolusi Industri 4.0 amat hambar perbincangannya. Pertikaian “bumi Malaysia milik Melayu” mendapat liputan yang luas dalam media, ditular dari satu WhatsApp group kepada satu WhatsApp group tanpa disemak kesahihan maklumat, namun sisa pemprosesan nadir bumi yang mengancam kesihatan penduduk tanah air ini, tidak diberi perhatian yang setimpal. Kerajaan naik dan jatuh, politikus datang dan pergi, tetapi bagaimana dengan rakyatnya?

Pasca PRK Tanjung Piai

Satu Malaysia sedar, bahawa politik perkauman dan agama sempit bakal menemui kebuntuannya. Lihat bagaimana pemimpin PAS memulas pendiriannya mengikut keperluan politik, apabila menyeru agar pengundi muslim menyokong calon BN berdasarkan sifat keagamaannya dalam PRK Cameron Highlands, dan kemudian memberi dalih bahawa “Melayu-Islam terlalu majoriti” dalam Muafakat Nasional untuk menyokong calon non-muslim BN dalam PRK Tanjung Piai.

Amanah yang sering dituduh boneka DAP, sudah tentu mengambil kesempatan ini untuk menyindir PAS kerana mengamalkan “politik tidak berprinsip”. Malah, strategi menyerang musuh dengan retoriknya - “utamakan calon muslim ketika mengundi” (vote Muslim first) adalah jalan paling singkat untuk mengerah sokongan daripada akar umbi pihak lawan. Namun, apabila seruan sebegini dilaungkan, ia menjadi hujah berbaur perkauman dari kaca mata pengundi non-muslim. Akhirnya, PH pula dituduh sebagai mencungkil sentimen perkauman, atau sekurang-kurangnya, dua kali lima dengan BN-Muafakat Nasional.

Ia akan berakhir dengan kesudahan di mana pengundi tidak lagi menaruh kepercayaan dan harapan terhadap mana-mana politikus mahupun parti politik – kerana semuanya sama. Kredibiliti politikus yang bergelar tuan guru terhakis, kerana pendiriannya yang berputar-putar. Parti politik yang pernah menjulang obor harapan, membakar janji-janjinya hingga gelap kehangusan. Politik menjadi sesuatu yang kotor, licik dan keji.

Akhirnya satu Malaysia menjadi sinis. Rakyat tidak lagi menaruh kepercayaan bahawa perubahan boleh berlaku. Menekan ikon “ketawa” di Facebook menjadi satu-satu caranya untuk melibatkan diri dalam hal-ehwal politik. Mereka memperlekehkan segala-galanya, tanpa disedari bahawa mereka juga menjadi sebahagian daripada apa yang diperlekehkan.

Kembali kepada persaingan sihat

Apakah ini masa depan politik Malaysia, selepas PRK Tanjung Piai? Saya berharap tidak. Dari satu sudut, keputusan PRK Tanjung Piai menunjukkan bahawa pengundi Malaysia tidak sanggup lagi mengikat sokongan dirinya kepada parti politik tertentu. Mereka tidak teragak-agak untuk memprotes, seandainya prestasi kerajaan tidak memuaskan. Boleh jadi mereka membantah dalam dua hala tuju yang bertentangan – mereka yang kiri mahukan sesuatu yang lebih kiri, dan mereka yang kanan menuntut sesuatu yang lebih kanan.

Namun, boleh jadi juga mereka membantah atas dasar yang sama, misalnya apabila sebahagian janji yang termaktub dalam Buku Harapan dilengah-lengahkan pelaksanaannya, antaranya pemansuhan undang-undang yang zalim. Atau mereka bangkit untuk menyatakan bantahan terhadap projek yang memudaratkan kesihatan rakyat dan kebersihan alam seperti Lynas, mahupun projek yang menghina kebijaksanaan rakyat seperti kereta terbang.

Hakikatnya, pemimpin BN patut memanfaatkan pengalaman pentadbirannya, sebagai modal terbesar untuk mereka kembali mengolah sokongan pengundi – malah pengundi yang merentasi batas kaum dan agama. Mereka boleh menyaingi PH dari segi kecekapan dan keberkesanan pentadbiran. PH hampir pasti akan terjebak dalam soal integriti setelah beberapa tahun memerintah kelak. Apabila ia berlaku, maka lebih mudah untuk BN merayu agar pengundi memberi peluang kepadanya untuk bangkit semula – sebagai rejim yang pernah menerima pengajaran, dan kini memberi pengajaran kepada penggantinya!

Bukankah persaingan sedemikian lebih bermakna, daripada kita berperang dengan abu? Bukankah pembangkang juga boleh menyumbang untuk membina Malaysia Baru, dan bangkit semula dengan cara bermaruah? 


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif SAUDARA (penyelidikan sosio budaya).

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS