Opinion

Berguru dengan Dong Zong

Diterbitkan  |  Dikemaskini

"Cash is king," kata bekas perdana menteri yang sedang dilanda banyak masalah sekarang ini.

Walaupun kedengaran agak menjengkelkan atau tidak menyenangkan, ada sedikit kebenaran dalam kata-kata hikmat beliau itu.

Lihat saja betapa Dong Zong dengan bergayanya menentang apa saja keputusan kerajaan apabila saja ianya tidak kena pada pandangan mereka.

Dong Zong adalah sebuah pertubuhan yang kaya-raya. Mereka adalah kumpulan yang prihatin terhadap kebajikan anak-anak di sekolah-sekolah vernakular.

Dengan kewangan yang kuat, segala kemusykilan yang dihadapi sekolah-sekolah di bawah pengawasan mereka akan segera dapat ditangani.

Lihat bagaimana sekolah itu sentiasa dalam keadaan yang baik, bahkan terdapat antara bangunan di situ dilengkapi penyaman udara sepenuhnya.

Kerana tidak mengharapkan bantuan daripada kerajaan maka mereka beranggapan bahawa kerajaan tidak ada hak untuk campur tangan dalam hal pentadbiran mereka.

Sumber kewangan Dong Zong datangnya daripada penderma dan mereka - yakni para penderma itu - sangat murah hati kerana memikirkan kesejahteraan genarasi yang akan datang.

Lama tunggu peruntukan

Menyediakan persekitaran yang sihat untuk tujuan pembelajaran adalah hal utama. Persekitaran sekolah yang cantik dan lengkap tentu saja membuatkan para pelajar lebih bersemangat dan berbangga dengan tempat mereka.

Lihat saja bagaimana berbezanya kehidupan orang yang tinggal di kawasan setinggan dengan mereka yang tinggal di taman perumahan berpagar.

Malangnya kebanyakan sekolah kebangsaan kita berada dalam keadaan agak daif. Ditambah pula dengan sukanya para guru menghias bilik darjah dan persekitaran sekolah ala kerajaan - kertas berwarna adalah bahan utama perhiasaan cikgu-cikgu tersebut - ia bukan suasana yang cemerlang untuk pelajar menekuni pelajaran.

Jika berlaku sebarang kerosakan di sekolah kebangsaan, maka segala macam boranglah perlu diisi untuk diserahkan kepada kerajaan. Ianya tentu saja mengambil masa yang sangat lama untuk diluluskan dan diuruskan.

Maka meranalah guru dan pelajar mengikuti proses pembelajaran dalam keadaan yang tidak selesa, sehinggalah peruntukan diluluskan. Itu pun hanya akan segera sekira ada anak menteri yang bersekolah di sana.

Cuma itulah, mati hidup balik sekali pun tidak akan kita temui ramai anak para menteri bersekolah bersama anak-anak kita.

Sekiranya ada kalangan ibu bapa yang sanggup menjadi seperti para dermawan Dong Zong, tentu sekali kesukaran yang ditempuhi oleh sekolah kebangsaan ini akan dapat diselesaikan tanpa menunggu campur tangan kerajaan.

Persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) sekolah-sekolah harus memainkan peranan yang lebih besar. Menjadi tugas mereka untuk menutup apa saja kekurangan yang dihadapi oleh sekolah tanpa perlu menunggu bantuan dari saku kerajaan.

(Pujian harus diberikan kepada PIBG Sekolah Menengah Air Putih, Kuantan yang mengusahakan sebuah lif untuk kegunaan murid dan guru dibangunan baru mereka.)

Biar kerajaan tak ada pilihan

Sekolah-sekolah agama pula boleh dibantu dengan wang zakat. Keluarkan zakat harta kamu itu dan jadikan sekolah-sekolah agama sebagai tempat kamu melakukan ibadat tersebut.

Namun apa yang terjadi adalah sekolah - dan tentu juga pihak kerajaan - akan sentiasa dipersalahkan apabila ada perbelanjaan diperlukan oleh mana-mana institusi pengajian ini.

Semuanya kerana kita ini orang bakhil dan hanya sibuk mahu bergaya tanpa mahu berkorban pada hari ini demi masa depan generasi mendatang.

Kami sedari dulu mengatakan bahawa apa saja keresahan rakyat hendaklah ditangani oleh rakyat sendiri, kerana para politikus ini kerjanya adalah untuk memuaskan nafsu masing-masing saja.

Jika kita semua bertindak maka kerajaan tidak akan ada jalan kecuali memgikut apa yang kita mahu, tetapi kita semua masih lebih gemar menyalahkan orang lain atas apa saja masalah yang menimpa.


Walaupun tidak setuju dengan kesombongan Dong Zong dan tidak juga menyokong kerajaan yang bebal hari ini, ABDULLAHJONES berasakan apa yang benar perlu dinyatakan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.