Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images

Kontroversi Jawi kembali bergolek, dengan momentum baru di ambang tahun 2020. Situasi bertambah keruh apabila persidangan tertutup anjuran Dong Zong terpaksa dibatalkan selepas polis mendapat perintah mahkamah untuk menghalangnya, dan kemudian disusuli dengan himpunan anjuran Gamis untuk mendesak agar Dong Zong diharamkan. Malah, ada yang cuba mengaitkan peletakan jawatan Dr Maszlee Malik sebagai menteri pendidikan pada hari pertama persekolahan tahun 2020 dengan kontroversi Jawi yang gagal diselesaikannya.

Maka tersebarlah teori konspirasi di alam maya, dengan tafsiran bahawa apa yang berlaku adalah satu kejayaan DAP untuk memancung menteri yang enggan tunduk kepada telunjuknya. Ada pula yang mendakwa Dong Zong, satu pertubuhan yang menjuarai isu pendidikan bahasa ibunda (Cina), lebih berpengaruh untuk menentukan jatuh naik seseorang menteri. Apapun, mesej yang tersirat di sebalik teori-teori ini hanya satu – politik tanah air didominasi Cina selepas PRU14.

Sudah tentu ramai yang tertanya-tanya, bagaimana tiga muka surat tulisan Jawi dalam buku teks mata pelajaran Bahasa Melayu tahun empat di sekolah jenis kebangsaan boleh mencetuskan kontroversi sehangat kebakaran hutan Australia, sehingga gagal dipadamkan selepas hampir setengah tahun? Siapa yang mengaut keuntungan politik di sebaliknya, DAP atau MCA? Apakah Dong Zong masih merupakan pertubuhan yang paling berwibawa dalam kalangan masyarakat Cina? Apakah masyarakat Cina sebulat suara menolak pengenalan tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan?

‘Kebocoran yang mengundang air bah’

Punca pertikaian isu Jawi pernah diulas dalam tulisan berjudul “Jawi, Cina dan DAP” pada 5 Ogos 2019. Sebagai maklumat tambahan, isu pengenalan Jawi ini mula diperbincangkan masyarakat Cina setelah akhbar Cina paling laris di Malaysia, Sin Chew Daily mendedahkannya pada 25 Julai 2019.

Ia disusuli dengan komentar timbalan ketua pengarangnya, Tay Tian Yan pada 4 Ogos 2019 dengan perumpamaan berbunyi “kebocoran yang mengundang air bah”. Bermula dengan “untuk mengubah satu bangsa, biarlah dari sekolahnya”, Tay mengisahkan bagaimana elemen Islam diterapkan di sekolah kebangsaan sejak tahun 1980-an, melahirkan generasi baru yang mana fikirannya berpaksikan agama. Bangsa Melayu pada zaman 1960-an dan 1970-an yang terbuka, mesra dan inklusif, kini hanya ditemui dalam filem P Ramlee, menurut Tay.

Tay menambah, sifat sekular dan kepelbagaian dalam institusi pendidikan akan terhakis dengan kemasukan agenda agama. Justeru itu, masyarakat Cina membantah kemasukan tulisan Jawi dalam apa pun bentuk ke sekolah jenis kebangsaan, untuk mengelakkan “kebocoran yang mengundang air bah” pada masa depan.

Hujah inilah yang disandarkan oleh kebanyakan mereka yang membantah. Sama ada tiga muka surat tulisan Jawi itu boleh disamakan sebagai proses Islamisasi atau tidak, telah gagal dipertimbangkan secara rasional. Ringkasnya, sekolah Cina menjadi kubu yang harus dipertahankan.

DAP: Untung atau rugi?

Persoalan selanjutnya, apakah DAP mengaut keuntungan politik di sebalik isu Jawi? Jelas tidak. Malah, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dibalas dengan sorakan “bu” di depan khalayak ramai (masyarakat Cina) pada Ogos 2019 lantaran isu Jawi – mungkin kali pertama dalam tempoh beberapa dekad kebelakangan. Layari sahaja laman media sosial bahasa Cina, kita akan melihat bagaimana kritikan dan tohmahan terhadap DAP membanjiri ruang komen, dan isu Jawi masih diangkat-angkat sebagai senjata untuk menyerang DAP – sama ada oleh MCA, mahupun mereka yang pernah menyokong DAP.

Seandainya ingatan digilap, bukankah kekalahan Pakatan Harapan dalam PRK Tanjung Piai, yang mana menyaksikan penurunan sokongan pengundi Cina sebanyak 40 peratus terhadap PH, juga dikatakan tidak terpisah dari isu Jawi? Bukankah penurunan sokongan pengundi Cina secara mendadak ini, boleh dibaca sebagai petanda bahawa DAP berada pada paras bahaya?

Hakikatnya, timbalan menteri pendidikan, Teo Nie Ching adalah pemimpin DAP yang paling tertekan dalam isu ini. Satu gambar di mana Teo dengan nama tulisan Jawinya ditularkan, bersama tuduhan bahawa Teo adalah pengkhianat Cina. Dua minggu lalu, ketika mempertahankan tiga muka surat tulisan Jawi ini di khalayak masyarakat Cina, Teo menunjukkan gambarnya bersama Pengerusi Amanah Kulai yang sedang memegang nama beliau dalam tulisan kaligrafi Cina.

Sambil menyindir dirinya sebagai pengkhianat, Teo melontarkan soalan untuk muhasabah diri masyarakat Cina – (Jikalau Cina yang memegang nama tulisan Jawi digelar pengkhianat) mengapa masyarakat Cina memuji Melayu yang memegang nama tulisan kaligrafi Cina sebagai “Melayu yang terbuka”?

Dong Zong: Antara idealisme dengan realiti

Jadi, apakah Dong Zong dalang di sebalik segala-gala ini, sebagai badan pendesak agar parti pemerintah – sama ada DAP (dalam PH) mahupun MCA (dalam BN) – akur kepada tuntutan mereka?

Sesungguhnya, pendidikan bahasa ibunda adalah isu yang menyatukan masyarakat Cina berbahasa Mandarin sejak zaman sebelum kemerdekaan. Dong Zong sebagai organisasi yang menjuarai isu pendidikan bahasa ibunda, cukup disegani dalam kalangan komuniti ini, malah berwibawa untuk mengangkat isu politik yang melangkaui batas kaum, misalnya Suqiu pada tahun 1999 – ramai yang menumpukan perhatian kepada tuntutan yang melibatkan dasar bumiputera, tanpa menyedari bahawa hakikatnya, dua pertiga tuntutan Suqiu meliputi isu rasuah, hak asasi manusia, alam sekitar, orang asli, buruh, wanita dan sebagainya.

Justeru itu, label Dong Zong sebagai badan perkauman terpahat sehingga hari ini. Ramai yang tertanya-tanya, apakah Dong Zong adalah Perkasa versi masyarakat Cina? Agak kurang tepat untuk menyamakan Dong Zong dengan Perkasa, kerana Dong Zong tetap berpegang kepada prinsip demokrasi – ia dapat diperlihatkan apabila Setiausaha Agungnya, Ng Chai Heng mempertahankan hak Gamis untuk menganjurkan himpunan, sungguhpun himpunan tersebut mendesak agar Dong Zong diharamkan. 

Apapun, tidak dinafikan bahawa pendekatan perjuangan Dong Zong perlu disesuaikan mengikut peredaran zaman. Persoalannya, kebanyakan pemimpinnya, dari akar umbi, peringkat negeri hinggalah peringkat kebangsaan – dihantui dengan mentaliti dan pengalaman lama apabila berdepan dengan cabaran baru. Mereka takut diserang dan dimangsakan sekali lagi, lantas reaksi spontannya adalah membina tembok yang lebih tinggi dan kukuh, tanpa menyedari bahawa pada masa yang sama, kubu itu juga mengurung dirinya daripada melangkah keluar.

Untuk makluman, Dong Zong terbelenggu dengan krisis dalaman untuk hampir satu dekad yang lalu. Pergelutan kuasa dan konflik yang berpanjangan, sehingga menghakis kewibawaan organisasi ini dalam kalangan masyarakat Cina. Saf pimpinan sedia ada mengambil alih kemudi Dong Zong dua bulan selepas PRU14, dan sesetengah pemimpin berikhtiar untuk menerokai hala tuju yang baru untuk pendidikan bahasa Cina.

Apa yang baru jikalau tiga muka surat tulisan Jawi pun dibantah? Seandainya mahu difahamkan dengan mudah, cuba tanya mengapa Dr Mahathir Mohamad dan menteri kabinetnya hadir di Kongres Maruah Melayu? Jika PH tidak mahu dilihat bertentangan dengan arus perdana masyarakat Melayu, sehingga diambil kesempatan oleh Umno-PAS, maka segelintir pemimpin Dong Zong akan memberi jawapan yang tidak jauh berbeza.

Cuba kita imbas, mengapa himpunan ditukar kepada persidangan tertutup? Mengapa nada Setiausaha Agung Dong Zong, Ng Chai Heng jelas lebih lembut, ketika tampil berhujah di Forum Jawi: Saling Memahami? Bukan berdolak-dalik, bukan cakap tak serupa bikin, tetapi memang wujud dua suara yang berbeza dalam Dong Zong sendiri – antara mereka yang berkeras untuk menentang, dengan mereka yang mahu pertikaian ini diselesaikan secara rasional dan damai. Pemimpin yang rasional gusar, seandainya golongan dengan pendekatan yang lebih keras mengekploitasi emosi masyarakat Cina sekarang untuk kembali mendominasi, dan mengeruhkan keadaan.

Semua Cina menolak Jawi?

Jadi, apakah semua Cina menolak Jawi? Majoritinya menyimpan syak-wasangka terhadap dasar ini, sama ada disebabkan maklumat yang diterimanya tidak seimbang, ataupun isu Jawi padahal dijadikan saluran untuk melepaskan ketidakpuasan mereka terhadap prestasi PH selepas PRU14.

Tetapi, ada juga suara-suara yang tidak selesa dengan reaksi Dong Zong, sehingga menyatakan keengganan dirinya untuk diwakili Dong Zong. Menulis di Kwong Wah Yit Poh, Li Tie menegur kain rentang tertulis “SEKOLAH INI TIDAK SETUJU Pengenalan Tulisan Jawi Dalam Kurikulum Bahasa Melayu” yang digantung di sesetengah sekolah jenis kebangsaan, sambil mengingatkan bahawa tanah ini adalah Malaysia, dan bukannya China.

Kolumnis China Press, Chiew Ruoh Peng pula menyeru agar masyarakat Cina melapangkan dada untuk tidak menolak budaya lain, sementara mempertahankan pendidikan Cina. Mengakui dirinya sebagai lepasan Sekolah Menengah Pensendirian Cina (SMPC), Chiew mendakwa bahawa Dong Zong tidak asing untuk dirinya; sebagai penyokong pendidikan Cina, Chiew mengiktiraf Dong Zong sebagai pejuang yang kental; tetapi sebagai rakyat Malaysia, Chiew tidak merestui keputusan Dong Zong untuk mengadakan himpunan menolak pengenalan tulisan Jawi.

Akhirnya, tatkala masyarakat Cina kelihatan seolah-olah diselubungi sentimen “menolak Jawi”, satu pertubuhan Cina, Tan Kah Kee Foundation – menerbitkan kalendar tahun 2020-nya dengan menampilkan tulisan Jawi, kaligrafi Cina dan Tamil. Jadi, apakah masyarakat Cina sebulat suara menolak Jawi? Jawapannya ada harapan.


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif SAUDARA (penyelidikan sosio budaya).

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS