Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Slogan “Malaysia Baru” terkeluar dari bibir begitu sahaja pada awal pagi 10 Mei 2018, setelah tumbangnya BN dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14. Kemudian ia ditularkan dari mulut ke mulut dengan bunyi yang sama di bibir, tetapi makna yang berbeza di hati.

Jika ditinjau dari sudut etnik, komuniti bukan Melayu mungkin mengidamkan “Malaysia Baru” yang sama rata, sementara komuniti Melayu pula menaruh harapan agar kedudukan bahasa Melayu dan agama Islam diiktiraf, dimartabatkan, malah dihayati nilainya.

Namun demikian, impian yang terpendam dalam hati masing-masing ini tidak sempat dibuka untuk perbincangan yang menyeluruh. Sejauh mana usaha memartabatkan kedudukan bahasa Melayu dan agama Islam dilaksanakan, tanpa dilihat sebagai hegemoni budaya untuk mencabul hak bahasa ibunda kaum minoriti, atau proses Islamisasi ke atas non-Muslim?

Sejauh mana pula kesanggupan dan kesediaan kaum minoriti menjunjung langit di mana bumi dipijaknya, setelah beberapa generasi lahir, hidup dan mati di tanah air ini?

Kesemua ini persoalan identiti yang mencungkil saraf – menjelma sebagai pertikaian Jawi dan khat, sekolah pelbagai aliran, Icerd, UEC (Sijil Peperiksaan Bersama) dan sebagainya.

Semua pihak terdesak (jika bukan terpanggil) untuk menyatakan pendirian sebelum dialog dari hati ke hati diadakan. Dibelenggu dengan persoalan lapuk yang bertimbun-timbun, akhirnya “Malaysia Baru” rebah – berbunyi sinis dan bermaksud sindir ketika diungkapkan.

Lantas komuniti bukan Melayu melihat dirinya terus dianaktirikan - jika bukan dimangsakan - dalam “Malaysia Baru”. Komuniti Melayu pula resah dan gusar dengan kedudukan bangsa dan agama mereka yang kononnya terancam dan tergugat dalam “Malaysia Baru”.

Melayu disifatkan sebagai jumud, konservatif dan menyelindungi ketidakyakinan dirinya dengan keangkuhan; sedang Cina pula dilihat sebagai biadab, dapat betis mahu paha - dan barangkali dalam bahasa yang lebih kasar - babi yang enggan menguak dalam kandang lembu.

Negara Bangsa

Itu belum lagi dicampur dengan isu Zakir Naik dan LTTE (Harimau Pembebasan Tamil Eelam) yang melibatkan komuniti India, jauh sekali perjuangan Orang Asli dalam isu pencerobohan tanah adat, di samping autonomi yang dituntut Sabah dan Sarawak.

Ramai yang menuding jari ke arah politikus ketika membincangkan persoalan identiti, seolah-olah kita telah masak dengan taktik dan muslihat mereka untuk menghasut dengan sentimen kaum dan agama demi kuasa.

“Sebenarnya rakyat biasa OK saja, politikus yang memporak-perandakan keadaan.”

Paling terkesan apabila kita terbaca kisah seperti Cina menolong Melayu (atau sebaliknya) semasa kemalangan jalan raya, atau bantuan yang dihulurkan kepada golongan miskin merentasi batas kaum.

Terharu hingga skrin telefon menjadi kabur ketika catatan sebegini ditatap.

Gambar hiasan

Namun, tepuk dada tanya selera. Benarkah hati kita langsung tidak terusik, malah sanggup sabar sehingga tahap dewa apabila bercakap dengan seorang Cina yang tergagap-gagap bahasa Melayunya? Apa pula reaksi kita apabila kuota bumiputera dikekalkan dalam situasi bukan bumiputera yang miskin dinafikan peluang mereka walaupun berkelayakan dari segi merit?

Dengan kata lain, persoalan ini masih tidak terungkai walaupun tanpa hasutan politikus. Dan sememangnya ia bukan sekadar masalah komuniti etnik tertentu, tetapi persoalan untuk direnung secara kolektif. Selagi masyarakat kita gagal mencapai muafakat, maka akan ada yang menangguk di air keruh.

Persoalannya, bagaimana persoalan yang rumit ini dijernihkan? Ada yang melontarkan konsep “Negara Bangsa”, malah yakin dengan pembentukan sebuah negara berdasarkan takrif satu bangsa, agama, bahasa dan budaya.

Idea ini agak mencabar kerana Malaya (dan kemudiannya Malaysia) ditubuhkan dalam keadaan masyarakat kita terdiri daripada berbilang etnik sebermulanya, dengan bahasa, agama, budaya yang berbeza.

Kisah untuk generasi akan datang 

Justeru, usaha untuk membentuk identiti melalui “budaya yang dikongsi bersama” agak sukar, malah mengundang penentangan, dan ternyata gagal sepanjang enam dekad yang lalu.

Jadi, apakah yang disandarkan oleh rakyat Malaysia sebagai identiti? Petik contoh Amerika Syarikat, yang juga memperlihatkan kemajmukan etnik dalam populasinya, menjadikan kebebasan dan kesamarataan sebagai nilai teras yang didukung bersama.

Sesungguhnya, ia tidak sempurna sejak awal. Diskriminasi terhadap kaum kulit hitam berlaku, dan mereka mengharungi liku-liku sebelum mencapai apa yang ada pada hari ini.

Ia masih tidak sempurna pada hari ini, tetapi semangat kebebasan dan kesamarataan ini telah memberangsangkan seluruh rakyatnya untuk mengejar impian yang dicita-citakan dalam hidup mereka.

Berbalik kepada Malaysia. Apakah yang menjadikan kita rakyat Malaysia? Apakah nilai yang menjadi pautan bersama, tatkala kita mengejar cita-cita dalam hidup kita atas bumi yang dipijak ini?

Apakah pengalaman yang diharungi bersama, sehingga akhirnya terpahat dalam ingatan kolektif kita, menjadi kebanggaan dan kenangan manis ketika dikisahkan kepada generasi akan datang?

Barangkali kita boleh meneroka jawapannya ketika mengharungi bersama cabaran yang mendepani kita. Kita ditakdirkan hidup bersama, dan terpaksa berkongsi nasib yang sama.

Proses memerangi wabak Covid-19 misalnya, menyaksikan bagaimana rakyat Malaysia boleh bersatu, dan berkongsi sesuatu untuk mengharungi krisis yang paling ketara ketika ini.

Pegang tangan doktor Cina

Biar kita akur, bahawa realiti masyarakat kita masih menyaksikan dunia yang berbeza. Satu kelompok akan menuding jari kepada China (untuk dikaitkan dengan Cina); satu kelompok pula akan menyalahkan golongan Tabligh (untuk dikaitkan dengan Melayu-Muslim).

Saban hari akan ada kumpulan manusia yang merakam, menulis dan berkongsi mesej berbaur perkauman. Sekelompok Melayu akan menularkan mesej yang mempertikaikan di manakah Cina tatkala Melayu berada di barisan depan; sekelompok Cina pula akan menyebarkan mesej dan gambar sekumpulan muslim masih “berdegil” untuk menunaikan solat Jumaat di masjid.

Dalam kegelisahan dan kebuntuan, semua orang cenderung mencari jalan keluar dengan menyalahkan pihak lain.

Namun pilihan ada di tangan kita. Realiti yang terpampang di depan mata juga menyaksikan bagaimana pengamal perubatan - tanpa mengira kaum - menjadi benteng paling depan untuk memerangi wabak Covid-19. Kisah bagaimana tangan seorang doktor Cina dipegang oleh pesakit Muslim sebelum didoakan agar dilindungi Allah daripada Covid-19 membuatkan doktor Cina itu merasai kerjanya berbaloi.

Kemudian kita menyaksikan bagaimana seorang ketua jururawat pencen yang berusia 68 tahun, menyahut seruan untuk kembali ke hospital dan sedia berkhidmat di barisan depan.

Mata kita dibasahi air ketika menyaksikan petugas perubatan yang ketandusan sumber menghasilkan sendiri peralatan perlindungan diri (PPE) daripada sarung plastik.

Mata kita dibasahi sekali lagi apabila masyarakat - tanpa mengira kaum - dikerah untuk menyediakan PPE kepada petugas hospital dengan kreativiti masing-masing.

Tatkala mesej perkauman ditular melalui WhatsApp, ada juga mesej daripada tuan rumah kepada penyewanya untuk membatalkan bayaran sewa pada bulan ini.

Tatkala mesej yang menyimbah minyak ke dalam api perkauman disebarkan, ada pula gadis Cina yang membelikan minyak petrol untuk penghantar makanan yang enjin motorsikalnya mati dalam hujan kerana kehabisan minyak.

Kesemua adegan yang berlangsung dalam realiti ini, berbeza daripada dunia yang cuba digambarkan oleh mesej berbaur perkauman. Terpulanglah kepada kita untuk menularkan apa yang kita mahu.

Cuma, mesej yang kita tular bukan sahaja membentuk persepsi, tetapi juga wajah masyarakat kita pada masa depan.

Bersatu pertahan Malaysia

Terlalu awal untuk mendakwa apa yang kita harungi bersama ini mampu membuka lembaran “Malaysia Baru”. Namun apa yang berlaku, sememangnya mencambahkan perubahan dalam masyarakat kita.

Misalnya, sikap profesional yang ditampilkan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, memecah imej stereotaip bahawa penjawat awam kita tidak berkemampuan.

Sebaliknya, beliaulah yang menjadi tunggak keyakinan warga Malaysia pada saat-saat yang genting ini. Malah komuniti Cina yang kelihatan suka merungut, kali ini memberi penghormatan yang tinggi kepada beliau.

Tatkala artikel ini ditulis, netizen Cina Malaysia sedang menuntut permohonan maaf daripada seorang tetamu rancangan televisyen di Taiwan kerana memutar belit beberapa fakta ketika memberi komen terhadap situasi wabak Covid-19 di Malaysia.

Sedar atau tidak, selama ini, ramai netizen Cina yang mengagumi negara lain, seperti Singapura, Taiwan, China dan sebagainya.

Namun kali ini, hampir semua netizen Cina Malaysia terusik apabila tetamu rancangan Taiwan itu seolah-olah memperlekehkan keupayaan dan usaha Malaysia menangani wabak ini dengan fakta yang auta. Mereka bangkit untuk mempertahankan Malaysia.

Apa yang pasti, wabak Covid-19 telah mencetuskan impak yang besar terhadap dunia. Malah kita menjangkakan krisis yang lebih genting menyusul selepas ini.

Jika ia sesuatu yang gagal dielakkan, maka cabaran yang menanti adalah bagaimana kita mengharunginya bersama.

Ekonomi mungkin meleset, situasi boleh jadi bertambah buruk. Tetapi seandainya rakyat Malaysia menemui identiti yang dikongsi bersama sepanjang proses ini, apakah ia selangkah lebih hampir ke arah “Malaysia Baru” yang tidak sempat kita bina selepas 9 Mei 2018?


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif SAUDARA (penyelidikan sosio budaya).

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS