Malaysiakini
KOLUM

KOLUM | PH: Dulu, kini dan akan datang

Lim Hong Siang

Diterbitkan
Dikemaskini 27 Jun 2020, 1:24 pagi
0

Hakikatnya, Anwar Ibrahim tidak memiliki angka secukupnya untuk melayakkan dirinya dinobatkan sebagai perdana menteri. Jika pun Anwar bersetuju dengan opsyen gandingan dengan Mahathir Mohamad untuk enam bulan, tampuk kuasa kerajaan persekutuan tidak akan diserah kepada beliau apabila tiba masanya.

Ketidaksampaian Anwar Ibrahim untuk mencukupkan kerusi yang diperlukan, dijadikan alasan Mahathir Mohamad untuk tidak menyerahkan kuasa kepadanya. Kebuntuan ini berlaku dalam tempoh 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selepas 9 Mei 2018. Apa gunanya jikalau Mahathir menyerahkan tampuk kuasa kepada Anwar, tetapi Anwar gagal melepasi ujian undi percaya yang diusulkan dalam Dewan Rakyat kemudiannya? Bagi penyokong yang membela Mahathir, menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar, bermakna tumbangnya kerajaan PH.

Dengan kata lain, opsyen gandingan Mahathir-Anwar tidak menjamin kestabilan kerajaan PH Plus jika pun kerajaan Perikatan Nasional (PN) berjaya ditumbangkan. Bayangkan, puak penyokong Anwar akan mendesak Mahathir untuk menunaikan janji, mungkin dengan ugutan menarik diri dari kerajaan PH Plus seandainya Mahathir enggan tunduk kepada tuntutan tersebut apabila tiba masanya. Ia bakal mencetuskan satu lagi ketidaktentuan politik.

Namun, ketidaktentuan, atau kecelaruan politik tetap berlaku jika pun Mahathir menepati janji beliau kali ini. Kita perlu sedar, bahawa perbezaan antara Mahathir dengan Anwar, jauh lebih ketara berbanding perbezaan antara Mahathir dengan Abdullah Ahmad Badawi, bahkan dengan Najib Razak. Ia bukan sekadar perbezaan dari segi perwatakan individu, tetapi juga dari segi fahaman politik yang bakal diterjemahkan sebagai kelainan dasar pemerintahan.

Contohnya, jikalau Mahathir menetapkan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris sepanjang tempoh enam bulan beliau menyandang jawatan PM kesembilan, apakah dasar ini akan dibatalkan selepas enam bulan kemudian?

Kebuntuan PH Plus

Padahal inilah masalah yang membelenggu PH Plus, bukan kebuntuan antara Mahathir dengan Anwar dalam soal calon PM kesembilan semata-mata. Parti komponen PH sudah tentu terkesan dengan masalah ini sepanjang 22 bulan di bawah kepimpinan Mahathir.

Jika pun tidak diimbas sejarahnya sehingga ke Barisan Alternatif pada tahun 1999, dan sekadar mula dari Pakatan Rakyat pada tahun 2008 – DAP, PKR dan Amanah (pecahan daripada PAS) sebenarnya berkongsi persetujuan secara umumnya dari segi dasar, khususnya dalam bab pendemokrasian sistem politik, pengagihan sumber ekonomi, di samping sedikit perbezaan dari segi politik identiti — agama, bahasa, etnik, LGBT dan sebagainya.

Walaupun begitu, sejak dari zaman pasca 8 Mac 2008 lagi, ketiga-tiga parti ini (pimpinan Amanah adalah sebahagian daripada PAS ketika itu) bersetuju untuk memecahkan politik perkauman. Sebagaimana yang sedia maklum, PKR memposisikan dirinya sebagai parti berbilang etnik sejak diasaskan pada 4 April 1999. DAP juga dalam usahanya untuk melunturkan imej “kecinaannya” ketika itu, sementara PAS melaungkan slogan “PAS Untuk Semua”.

Kesemua ini adalah eksperimen politik baru untuk memecahkan formula BN sebelumnya, iaitu “Melayu diwakili Umno”, “Cina diwakili MCA”, “India diwakili MIC”, sementara Malaysia Timur diwakili parti tempatan Sabah dan Sarawak. Eksperimen ini jikalau berjaya, mampu menamatkan persaingan siapa lebih membela Melayu antara Umno dengan PAS, atau siapa lebih membela Cina antara MCA dengan DAP – yang dilihat sebagai antara punca politik perkauman berleluasa.

Kehadiran Bersatu menjadi janggal dalam PH. Ia satu langkah kompromi daripada DAP, PKR dan Amanah untuk mencukupkan sokongan pengundi Melayu agar PH menawan Putrajaya dalam PRU14. Malah sungguhpun Bersatu hanya memperolehi 13 kerusi Dewan Rakyat sebermulanya, mereka diberi laluan untuk menguasai portfolio yang penting dalam kabinet, di samping Mahathir dilantik sebagai nakhoda.

Tidak dinafikan, beberapa langkah reformasi dijana di bawah kepimpinan Mahathir, misalnya perisytiharan harta menteri dan wakil rakyat; rombakan Jabatan Perdana Menteri untuk meletakkan beberapa agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dan lain-lain di bawah parlimen, sebagai usaha memecahkan pemusatan kuasa perdana menteri.

Cuma, langkah-langkah reformasi ini masih dianggap kurang menyeluruh jikalau diteliti secara terperinci. Misalnya, sungguhpun PM menunaikan janjinya untuk tidak merangkap jawatan menteri kewangan, dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) terpenting, iaitu Khazanah dan PNB (Perbadanan Nasional Berhad) dipindahkan dari Kementerian Kewangan ke Jabatan Perdana Menteri.

Itu pun belum lagi beberapa projek pembangunan impian Mahathir yang menjadi igauan rakyat Malaysia, misalnya, projek kereta nasional ketiga. Dan sudah tentu, beberapa idea lama yang sering diulangi apabila beliau membuka mulut untuk membincangkan isu etnik, misalnya “Melayu malas” dan “Cina kaya”. Idea-idea yang basi ini menambat langkah kita menuju ke arah Malaysia Baru.

PH Plus sebagai pasukan

Tatkala kita membincangkan realpolitik – keterdesakan untuk PH kembali berkuasa, agar kerosakan yang dilakukan Najib Razak dan Muhyiddin Yassin diperbetulkan dengan kadar segera, diletakkan semula Malaysia di atas landasan reformasi dan sebagainya, PH harus sedar bahawa mereka tidak boleh bersandarkan seorang dua tokoh untuk selama-lamanya.

Jelas, DAP dan Amanah cenderung kepada opsyen kedua, iaitu gandingan Mahathir-Anwar kerana yakin bahawa Mahathir memiliki angka yang memadai. Syarat ini membolehkan PH Plus untuk kembali memerintah sehingga hujung penggal sebelum PRU15. PKR pula, bersandar kepada Anwar untuk menjulang obor reformasi, menyalakan semula harapan pengundi dan membawa balik kemenangan dalam PRU15.

Bagi mereka yang masih bernostalgia dengan “zaman keemasan” era 1990-an, barangkali mendoakan pendamaian antara dua orang tokoh legenda ini. Cuma, bacaan politik ini mungkin sedikit tersasar, seandainya kita terlepas pandang generasi yang dilahirkan selepas era 1990-an. Pertarungan antara Mahathir dengan Anwar yang sedang berlangsung sekarang, mungkin tidak lebih sebagai perkelahian dua orang warga emas yang berumur 90-an dan 70-an, dari kaca mata mereka.

Justeru itu, penonjolan watak lain, atau PH Plus sebagai pasukan politik adalah penting buat ketika ini, sebagai pelaburan jangka panjang. Walhal PH sedang mengambil langkah berisiko tinggi, apabila mempertaruhkan nasib mereka dengan sosok Mahathir, terutamanya. Mustahil tidak pernah terlintas dalam otak mereka, apakah calon Amanah boleh mempertahankan 11 kerusi parlimen yang ditawan dalam PRU14, atas kapasiti sendiri – tanpa bergantung kepada pengaruh Mahathir, dan Anwar dalam PRU15? Apakah pengundi Melayu akan memangkah calon DAP, jikalau Mahathir tidak lagi beraksi di pentas dalam PRU15?

Seandainya PH memiliki rancangan jangka panjang, maka mereka akan menawarkan sesuatu untuk mengolah sokongan pengundi. Mereka tidak akan berpuas hati dengan troll untuk menyindir PAS – bilakah arak akan diharamkan, apakah sekolah jenis kebangsaan akan dihapuskan? Mereka akan lebih matang untuk mencabar PAS, agar tidak lagi memainkan isu perkauman dan agama sebegini jikalau menjadi pembangkang pada masa depan.

Jikalau PH benar rasa bertanggungjawab ke atas pengundinya, mereka sepatutnya telah memuktamadkan satu senarai agenda yang bakal dilaksanakan, selepas kembali berkuasa buat kali kedua. Dasar bersama ini haruslah boleh dipertahankan dengan yakin, tanpa sehiris apologetik ketika berdepan dengan kelompok masyarakat yang berlainan.

Mengambil iktikbar dari pengalaman PH 1.0, PH tidak perlu menjanjikan bulan dan bintang, tetapi sekadar yang mampu setelah menilai kebolehan dirinya, agar rakyat lebih jelas, apakah sebenarnya yang mahu dilakukan, sama ada dalam tempoh 100 hari, setahun, atau sebelum PRU akan datang.

Namun, jikalau kesemua ini diketepikan, dan diserahkan bulat-bulat kepada PM seorang untuk memberi kata putusnya, saya khuatir ini bukan jalan keluar untuk jangka panjang, malah jangka pendek pun. Mungkin ramai yang akan tertanya-tanya, antara PH yang hilang kuasa dengan PH yang hilang diri, mana lebih malang? 


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.