Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tulisan saya minggu lalu telah mengusik sedikit hubungan antara politik undi dengan ringgit dan dolar. Pada satu ketika dahulu tidak banyak ringgit dan dinar bersalaman dan bertukar tangan ketika kempen untuk menjadi wakil rakyat.

Saya masih ingat lagi pilihan raya umum (PRU) tahun 1959. Ketika itu saya dalam darjah dua. Pak Ngah saya - Aminuddin Manaf, abang tertua kepada ayah saya Rais Manaf - telah bertanding sebagai calon bebas. Pak Ngah saya telah diberikan logo meja oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Calon lawan ialah Mister Ibrahim Mansoor dari United Malays National Organisation memakai logo kapal layar Perikatan. 

Keputusan: Pak Ngah saya menang untuk menjadi wakil rakyat Pertang (bawah, gambar oleh Chongkian), Jelebu.

Saya memasang telinga dan mendengar sok sek sok sek dari emak dan abah bahawa Pak Ngah telah berbelanja hampir 600 ringgit untuk menang. Saya ulangi 600 ringgit sahaja. Tahun 2020 duit sebanyak 600 ini tak cukup untuk mengadakan satu ceramah. Amin.

Kenapa pada masa sekarang hendak menjadi wakil rakyat memerlukan duit belanja yang banyak? Juga kenapa agaknya ramai sosok yang mahu dipilih mencalonkan diri untuk menjadi wakil rakyat?

Dua soalan ini ikat berikat, kait berkait. Ada pertalian yang amat rapat antara dua soalan ini. Kenapa berbelanja mahal? Kenapa nak jadi wakil rakyat.

Gila nak jadi wakil rakyat atau gila nak jadi YB ini kelihatan sebagai satu penyakit yang sedang merebak. Penyakit Nak Jadi YB (NJYB) ini adalah penyakit tanpa kuman dan tanpa virus. Tapi wajib berwaspada penyakit NJYB ini amat merbahaya.

Penyakit hendak jadi YB ini kini menjadi wabak yang sedang melanggar negara Dunia Ketiga seperti Malaysia. Di India, di Pakistan, di Thailand, di Nigeria, di Colombia, di Mesir - hanya menyebut beberapa nama sebagai contoh – penyakit NJYB ini sentiasa mengganas. Malah di Amerika Latin seperti di Colombia nyawa selalu tercabut dalam usaha untuk menjadi YB.

Apa yang menjadi tarikan besi berani kepada warga Dunia Ketiga sehingga ramai gila isim dan mabuk kepayang untuk menjadi YB? Penyakit NJYB ini amat terbukti merbahaya apabila kita selalu terbaca berita di Amerika Latin tentang bakal calon YB dibedil mati ketika berceramah.

Kita di Malaysia belum lagi – saya ulangi: belum lagi – sampai ke tahap berbunuh bunuh atau bedil-membedil. Kita hanya menggunakan khidmat bomoh – jampi dan serapah.

Awas. Terakhir ini khidmat bomoh kampung ini pun telah ditingkatkan. Disurahkan bagaimana bomoh kampung Rembau telah ditingkatkan kepada bomoh import dari Kerala, India. Malah mengimport bomoh Siam pun selalu didengar. Ini satu peningkatan.

Kisah menteri Sweden letak jawatan

Sebelum merungkai panjang biar saya surahkan berita yang saya terbaca di akhir tahun 70-an. Berita melaporkan kisah bagaimana seorang menteri di Sweden telah meletak jawatan. Sang menteri memberi alasan bahawa terlalu banyak masa diambil oleh parlimen hinggakan dia tidak ada waktu di hujung minggu untuk bersama anak isteri. Menteri ini tinggal di utara manakala parlimen di Stockholm, wilayah Selatan. Malah sang menteri ini telah berjanji dengan isteri yang dia akan membasuh pakaian di hujung minggu. Bila dia ke parlimen di Stockholm, dia telah mungkir janji dengan isteri. Untuk menepati janji sosok ini berhenti dari jadi YB. Amin.

Pada 6 September 2019 dunia membaca berita tentang Puan Margot Wallstrom (bawah, gambar oleh Johannes Jansson), menteri luar Sweden yang meletakkan jawatan.

“I have put everything I have into the job of making Sweden safe, respected internationally and appreciated as a partner,” Wallstrom said in a statement. “It is time for me to spend more time with my husband, my children and my grandchildren.”

Dari pengetahuan saya Sweden ini sebuah negara kafir. Negara Sweden tidak percaya kepada tuhan. Malah Sweden adalah negara terawal dalam dunia yang membolehkan berkahwin atau melakukan hubungan seksual sesama lelaki atau perempuan sesama perempuan. Kenapa agaknya ada budaya YB letak jawatan di negara yang tak percaya pada tuhan? Amin.

Tindakan YB letak jawatan seperti di Sweden mustahil akan berlaku dalam negara Dunia Ketiga. Di Malaysia, sampai kiamat tidak ada YB yang akan letak jawatan. Jauh sekali seorang menteri meletakkan jawatan melainkan kena singkir oleh perdana menteri.

Malah baru-baru ini Najib telah didapati bersalah di mahkamah. Ulang baca – didapati bersalah oleh mahkamah. Khalas. Ketika tulisan ini digarap Najib masih lagi YB untuk kawasan Pekan.

Bukan sahaja Najib bersilat lidah menafikan kesalahan. Malah Najib telah menggunakan nama Islam. Nama Allah telah diseru oleh Najib di dalam parlimen dan di luar mahkamah untuk membuktikan bahawa dia tidak bersalah.


Baca: Najib sumpah laknat dalam mahkamah


Di Malaysia jika ada YB dituduh merogol dan membuntingkan anak gadis, maka Si YB ini akan menggunakan khidmat doktor untuk membuktikan dirinya mati pucuk. Letak jawatan tidak sekali kali. Amin

Semua ini adalah ciri, pola dan budaya politik undi dalam negara Dunia Ketiga.

Apakah yang menjadi besi berani yang menarik sosok untuk gila nak jadi YB? Jawabnya senang sahaja, para YB ini mahu kuasa. Bukankah mendapatkan kuasa ini maknanya ingin dan dapat memberi khidmat kepada orang ramai? Betul dan tepat – semua YB mahu kuasa.

Zahid, Mat Sabu yang saya kenali

Semua YB yang mendapat kuasa memulakan kerja politik mereka dengan niat suci untuk memberi khidmat kepada orang ramai. Zahid Hamidi yang saya kenali semenjak zaman Universiti Malaya bukan berniat masuk politik kerana nak jadi kaya raya dengan membawa masuk buruh Bangla. Mat Sabu yang saya kenal dari zaman Reformasi masuk parti politik dengan niat untuk menegak keadilan.

Malah semua YB ini bermula dengan niat dan akidah yang baik dan jujur. Mereka semua mahu membawa kebaikan untuk orang ramai. Jika menjadi Adun mereka mahu memperbaiki kampung. Jika jadi ahli parlimen mereka berniat meluluskan rang undang-undang untuk kebaikan orang ramai. Semuanya cantik, cute, molek dan comel lote.

Justeru di mana kalau para YB tergelincir? Apa yang memesongkan akidah para YB ini? Kenapa YB ini tergelincir? Kenapa Najib, Zahid, Ku Nan, Isa Samad, Shahrir Samad – hanya menyebut beberapa nama sebagai contoh - telah tangkap dan kini dihadapkan ke mahkamah?

Untuk menjawab soalan ini saya berani merakamkan bahawa apa yang berlaku dalam pentas sandiwara politik tanah air kita ini adalah manifestasi. Aduh! Lagi-lagi manifestasi! Hishamuddin Rais selalu berselindung dengan hujah manifestasi. Manifestasi apa? Najib kena hukum pun manifestasi ke?

Saya selalu menggunakan konsep manifestasi. Betul. Saya gunakan manifestasi untuk menerangkan duduk perkara. Dalam melihat satu kejadian atau fenomena maka kita wajib menyelongkar apa yang menjadi sebab. Apa yang menjadi penyebab. Apa akibatnya.

Tujuan merungkai dan mencari sebab dan akibat ialah untuk memahami kejadian atau fenomena itu dengan jelas, rapi dan tuntas. Jika tidak kita akan terus teraba-raba seperti orang buta melihat gagah.

Pada hemat saya apa yang kita lihat berlaku di pentas politik negara ketika ini adalah akibat dari politik undi. Semua yang kita saksikan dalam tiga dekad kebelakangan ini adalah fenomena yang dihasikan oleh politik undi atau electoral politics.

Semuanya bermula bila ada sosok yang merasa dirinya berkelayakan untuk menjadi YB. Awalnya sosok ini memiliki watak pemimpin. Memiliki pembelajaran yang lengkap. Semasa di universiti mungkin aktif ke sana ke sini. Sosok ini menonjol. Sosok ini mungkin menceburkan diri dalam NGO. Sosok ini secara sedar atau di pelawa untuk mendaftar masuk menjadi ahli parti politik. Khalas.

Masuk politik dengan niat hendak berkhidmat. Dengan niat untuk menyumbang kepada kebajikan ramai. Untuk menegak keadilan. Untuk mendobrak kezalimanan. Untuk membawa kebenaran. Untuk memimpin orang ramai ke jalan yang benar. Untuk membasmi kemiskinan. Untuk memberi pencerahan kepada orang ramai. Untuk memperkasa dan mengajak orang ramai menjadi warga yang bertamadun.

Cita-cita murni

Semua niat dan cita-cita sosok ahli politik ini amat murni. Semuanya baik demi kebaikan. Rafizi masuk politik tidak ada niat nak tibai Azmin. Azmin masuk politik tidak ada niat nak tibai Mat Ezam. Mat Ezam masuk politik tidak ada niat nak tibai Mahathir. Semua masuk politik atas nama khidmat untuk rakyat. Amin.

Awas! Waspada. Dalam politik undi atau dalam electoral politic niat dan akidah sahaja tidak memadai. Bermodalkan bibir, lidah dan air liur untuk satu ketika mungkin boleh. Soekarno boleh berpidato berjam-jam tapi akhirnya Wak Kang masih ingin nak merasa nikmat Bakso panas. Hakikatnya dalam real politic gigi dan gusi akan tinggal sebagai gigi dan gusi.

Dalam real politic yang diperlukan ialah ringgit, dolar, dinar dan dirham. Tanpa ringgit semua niat dan semua akidah walaupun sesuci selaput dara Puteri Gunung Ledang akan terus tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin tanpa bersenggama dengan Raja Ahmad.

Jangan salah baca real politic yang saya paparkan di sini bukan hanya berlaku di Malaysia atau di negara Dunia Ketiga. Apa yang saya tulis ini adalah pola, ciri dan watak politik undi. Ia berlaku di Amerika Syarikat, United Kingdom, Sweden atau Australia. Di mana sahaja politik undi digunakan, maka ringgit dan dollar wajib digunakan bersama.

Idea dan niat yang suci murni untuk memperbaiki masyarakat akan tergantung kering jika sosok yang berniat suci murni ini tidak dipilih sebagai wakil rakyat.

Justeru sosok ini perlu disokong. Sokongan orang ramai ini sekali imbas dapat dibaca. Sokongan dari emak, bapa, sanak saudara dan kenalan hanya membolehkan sosok ini bergerak ke satu tahap. Tahap ini dipanggil tahap dapat semangat.

“Ya, saudara bijak dan layak dipilih untuk jadi calon. Kami semua menyokong saudara. Bertandinglah.”

Kata-kata sedemikian tidak ada makna. Ini hanyalah cakap-cakap yang memberi semangat. Dalam ilmu perubatan Melayu semangat memerlukan pengeras. Pengeras ubat tradisional Melayu mungkin sebuku ibu garam, seekor ayam jantan hitam atau sebilah keris.

Real politic juga memerlukan pengeras. Pengeras dalam real politic ialah ringgit dan dolar. Akhirnya kita berhadapan dengan ringgit dan modal. Dari sini timbul soalan hakiki, dari mana duit dan modal ini hendak dicekau? Jawapannya tunggu minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.  

Lihat Komen
ADS