Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum

Secara rasmi perdana menteri Muhyiddin Yassin tidak pernah mengumumkan angka sokongan terhadap beliau di Dewan Rakyat. Lalu kita hanya boleh “agak agak” sahaja berapa ramai sebenarnya ahli parlimen yang menyokong beliau.

Namun berdasarkan apa yang berlaku ketika Muhyiddin membentangkan usul untuk menukar speaker Parlimen Julai lalu ( untuk “mengeluarkan ” Mohamad Ariff Md Yusof ) – angka sokongan itu dapat “dilihat”.

Selepas pengundian, usul itu diluluskan dengan kemenangan tipis. Seramai 111 ahli parlimen menyokong manakala 109 menentang. Ketika itu dua ahli parlimen tidak mengundi. Kedua-duanya adalah wakil kerajaan.

Oleh itu bolehlah disimpulkan Muhyiddin ada 113 ahli parlimen menyokongnya.

Yang menentang 109 ahli parlimen. Berdasarkan itu Muhyiddin memegang majoriti empat. Parlimen, seperti kita tahu punyai 222 ahli .

Seperti dikatakan tadi, ini berpandukan apa yang berlalu di parlimen Julai lalu.

 Adakah majoriti itu kekal ke hari ini? 

Jika diambil kira keputusan Majlis Tertinggi Umno tempoh hari bahwa ahli parlimen Umno akan terus mendukung kerajaan Perikatan Nasional (kenyataan Majlis Tertinggi Umno itu bagaimanapun tidak menyebut nama Muhyiddin atau jawatan perdana menteri), angka 113 itu kekal.

Apapun majoriti yang dinikmati amat tipis .Terlalu tipis untuk berasa lega.

Lantas golongan penentang untuk sekian lama mahu menguji sejauh mana Muhyiddin ada sokongan. Mereka berhasrat membawa usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri .

Dr Mahathir Mohamad seperti kita maklum ada membawa usul berkenaan ke parlimen. Usul itu walaupun diterima oleh speaker lama Mohamad Ariff, tidak dibentang apabila speaker baru Azhar Harun tidak memberi kesempatan kerana katanya, menurut peraturan persidangan, urusan kerajaan mesti diberi keutamaan terlebih dahulu.

Kedua-dua usul bawa risiko

Kini menjelang sidang Parlimen yang dijadual bermula 2 November ini , diberitakan ada 25 ahli parlimen pembangkang telah mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Mereka terdiri daripada Mahathir dan kumpulannya, parti Warisan, Amanah, PKR dan DAP.

Kalau usul itu berjaya, Muhyiddin terpaksa letak jawatan kerana beliau tidak mendapat sokongan majoriti ahli Dewan .

Pun begitu diberitakan juga ada dua usul undi percaya untuk menyokong Muhyiddin telah dikemukakan kepada speaker .Yang mengemukan usul berkenaan ialah ahli Parlimen BN/Umno Shahidan Kassim dan ahli Parlimen PAS Nik Muhamad Zawawi Salleh .

Kalau usul ini berjaya Muhyiddin kekal perdana menteri kerana memiliki sokongan sebahagian besar ahli Dewan Rakyat.

Namun kedua-dua usul ini membawa risiko terhadap perdana menteri.

Maksudnya Muhyiddin mesti kalahkan usul undi tidak percaya untuk terus jadi perdana menteri menteri. Itu usul undi tidak percaya. Usul undi percaya pula beliau mesti menang untuk kekal sebagai perdana menteri .

Kedua-duanya meletakkan beliau pada situasi diuji.

Menurut pakar perlembangaan usul undi tidak percaya dengan usul percaya sama sahaja. Nama saja berbeza. Kedua-duanya boleh menyaksikan perdana menteri melepaskan jawatan.

Ketika usul undi tak percaya jelas matlamatnya, usul undi percaya yang bertujuan menyokong, boleh diibaratkan sebagai satu usaha “sokong bawa rebah” atau sokong yang “boleh” bawa rebah. Ia tetap bahaya. Itu pada hemat saya.

Apapun terpulang kepada speaker Azhar Harun sama ada akan memberi kesempatan untuk pembentangan sekali gus pengundian . Baik usul tak percaya mahupun usul percaya .

Sehingga kini beliau terus berpegang dengan pendirian “mengikut peraturan urusan kerajaan diberi keutamaan ”.


MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS